Asklegal
Home banner ecb2333d 8b90 473d 8da3 851405fff300

Consumer

5 perkara penting yang perlu anda ketahui tentang undang-undang baru larangan merokok

about 5 years ago Clarence Kuna

107

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Dengan kenaikan cukai barangan tembakau yang dilaksanakan pada November 2018 dan larangan merokok di premis makanan yang akan berkuat kuasa pada tahun 2019, nampaknya Malaysia akan mengikut jejak langkah negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura dalam mengawal ketat undang-undang dan peraturan merokok. Mungkin sudah tiba masanya ia berlaku, jadi dengan undang-undang baru ini dan juga penguatkuasaan yang lebih ketat, anda mungkin juga tertanya-tanya – bagaimana kita akan tahu di kawasan manakah undang-undang larangan merokok akan dikuatkuasakan?


Sebenarnya bukan senang untuk memperoleh dokumen berkenaan kawalan tembakau, kerana ianya di bawah Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang merupakan kawalan yang diwartakan di bawah Akta Makanan 1983. Anda mungkin boleh merujuk kepada sebahagian sahaja daripada pindaan terbaru dalam Peraturan Kawalan Warta Kerajaan Persekutuan, tetapi dengan bantuan peguam-peguam kami, kami dapat memperolehi salinan terbaru (tidak dicetak untuk rujukan umum). Kita akan meneliti senarai lengkap di bawah untuk rujukan (petua: tanda bukukan (bookmark) artikel ini!)

 

1. Ada 23 kawasan larangan merokok

Senarai panjang ini termaktub di bawah Peraturan 11 Kawalan Hasil Tembakau 2004. Menteri Kesihatan juga telah menjelaskan bahawa larangan ini juga berkuat kuasa ke atas vape dan shisha melainkan produk yang tidak mengandungi nikotin kerana dalam definisi undang-undang kita, “merokok” adalah “menyedut dan menghembus asap apa-apa hasil tembakau dan termasuklah memegang atau mempunyai kawalan ke atas apa-apa hasil tembakau yang bernyala”. Dengan ini, di bawah adalah senarai kawasan larangan merokok umum di Malaysia:

  1. Pusat hiburan dan pawagam (tidak termasuk pub, pusat disko, kelab malam atau kasino semasa waktu operasi mereka)
  2. Mana-mana kawasan hospital dan klinik
  3. Lif dan tandas awam
  4. Kedai makanan dan kedai berhawa dingin
  5. Kenderaan awam dan terminal pengangkutan awam
  6. Lapangan terbang
  7. Semua kawasan premis kerajaan
  8. Semua kawasan bangunan yang digunakan untuk perhimpunan (selain dari bangunan persendirian dan kediaman, atau tempat awam)
  9. Semua kawasan institusi pengajian atau institusi pengajian tinggi
  10. Semua kawasan prasekolah
  11. Bas sekolah
  12. Semua tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di bangunan yang tersenarai dalam Jadual Dua
  13. Semua kawasan pusat membeli belah
  14. Semua kawasan stesen minyak
  15. Semua kawasan stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan dan gimnasium
  16. Semua kawasan rumah ibadah atau tempat awam
  17. Semua kawasan perpustakaan
  18. Semua kawasan pusat internet
  19. Semua kawasan latihan Khidmat Nasional
  20. Semua tempat kerja berhawa dingin yang mempunyai sistem penghawa dingin berpusat
  21. Semua kawasan rehat dan riadah di dalam bangunan, taman permainan atau taman, dan semua kawasan dalam lingkungan 3 meter dari tempat-tempat ini.
  22. Semua taman awam, kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  23. Semua menara pemerhatian, kawasan perkhemahan, jambatan berkanopi dan 5 meter dari pintu masuk/keluar jambatan berkanopi (taman negara dan taman negeri)

Semua “kawasan” seperti yang tertera di atas juga termasuk semua kawasan di persekitarannya yang dilingkungi oleh sempadan tepat-tempat tersebut, dan termasuk jarak sejauh 3 meter dari semua kawasan bumbung tetap yang bersambung dengan bangunan utama. Pesalah akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga 2 tahun.


Bangunan yang tersenarai dalam Jadual Dua (untuk senarai no.12 seperti di atas) adalah:

  1. Bank atau institusi kewangan
  2. Telekom Malaysia Berhad
  3. Tenaga Nasional Berhad
  4. Pos Malaysia Berhad

Untuk semua tempat persendirian, pemiliknya boleh menetapkan syarat masuk seperti “dilarang mengambil gambar” atau contoh semasa iaitu “dilarang merokok”. Jika pelawat mengingkari syarat-syarat ini, pemilik mempunyai hak untuk mengusir keluar pelawat tersebut – jadi perhatian harus diberi jika sesuatu kawasan persendirian menetapkan larangan merokok.


[BACAAN LANJUT – Bolehkan anda menghalang seseorang dari mengambil gambar anda di Malaysia?] (artikel Bahasa Inggeris)

 

2. Kementerian Kesihatan boleh menetapkan “kawasan larangan merokok” yang khusus

Peraturan 22 Kawalan Hasil Tembakau juga membenarkan Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana bangunan, premis atau kawasan yang boleh dikunjungi oleh orang awam (atau mana-mana bahagian dalam kawasan ini) sebagai kawasan larangan merokok.


Beliau juga boleh menetapkan syarat untuk semua kawasan ini atas budi bicaranya, selagi keputusan beliau diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. Versi atas talian warta ini boleh didapati di sini. Jika anda tertanya-tanya apa yang tertera dalam warta ini, anda juga boleh membaca warta mengenai kawasan larangan merokok yang terdahulu di sini.

 

3. Larangan merokok di semua tempat makan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye menerangkan bahawa menjelang tahun 2019, larangan merokok akan berkuat kuasa di semua restoran berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan penjaja jalanan. Perokok perlu berada sekurang-kurangnya 10 kaki (3 meter) dari semua kawasan di atas sekiranya mereka ingin merokok.

Apa yang perlu anda ketahui adalah anda boleh melaporkan premis-premis yang tidak memberhentikan pelanggan mereka dari merokok kepada pihak berkuasa. Pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan sehingga 6 bulan jika mereka gagal mempamerkan tanda “Dilarang Merokok”, dan mereka juga boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan sehingga 1 tahun jika mereka tidak mengambil langkah untuk menghentikan pelanggan mereka dari merokok dalam premis.


Untuk mengetahui bagaimana anda boleh membuat laporan dan bagaimana peraturan ini akan dikuatkuasakan.…

 

4. Masih belum jelas bagaimana peraturan ini akan dikuatkuasakan

Jika anda belum sedia maklum, undang-undang berkenaan rokok pernah diketatkan dan kawasan larangan merokok tambahan pernah diwartakan sebelum ini; taman awan dan beberapa kawasan di taman negara ditambah sebagai kawasan larangan merokok pada tahun 2017. Namun, kebanyakan orang tidak pernah mengetahui penggubalan undang-undang ini kerana peraturan ini tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.


Kami masih belum pasti bagaimana peraturan ini akan dikuatkuasakan pada tahun 2019, tetapi ianya mungkin melibatkan “pegawai berkuasa” seperti yang termaktub dalam Akta Makanan 1983, yang mengatakan bahawa mereka adalah:


“mana-mana pegawai perubatan atau mana-mana penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Kementerian Kesihatan atau dari pihak berkuasa tempatan, atau mana-mana orang yang berkelayakan, yang dilantik oleh Kementerian untuk menjadi pegawai berkuasa...”


Ini juga termasuk pegawai dari Kementerian Kesihatan, dan juga pegawai dari majlis tempatan. ini juga dijelaskan melalui kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa seramai 5,000 orang pegawai Kementerian Kesihatan sedia ada akan memikul tanggungjawab untuk memantau premis.


Masih belum pasti jika polis akan terlibat dalam penguatkuasaan ini, tetapi anda boleh melaporkan segala aduan kepada semua pihak berkuasa yang dinamakan di atas.

 

5. Ada 6-bulan tempoh ihsan (grace period)

Walaupun larangan akan berkuat kuasa, namun hukuman untuk merokok di kawasan larangan (denda RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun) tidak akan berkuat kuasa menjelang 1hb Januari 2019. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye, 6 bulan pertama selepas larangan berkuat kuasa adalah tempoh ihsan (grace period) untuk mendidik perokok.


Tapi...ini tidak bermakna pegawai berkuasa tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah. Perokok yang masih degil akan didenda serta merta jika mereka enggan bekerjasama dengan pegawai terlibat. Walaupun orang ramai dan pemilik perniagaan tidak boleh menguatkuasakan peraturan dengan sendiri (selain menegah perokok dari merokok), mereka masih boleh membuat laporan melalui talian Kementerian Kesihatan di 03-8892 4530.
 

Tags:
undang-undang merokok
tembakau
nikotin
no smoking zone
larangan merokok
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


107

Shares

A+

A-