Asklegal
Home banner 5893b99e 5d36 4b32 a412 2504c4fd484d

Constitution,General

4 cara yang boleh melucutkan kerakyatan seseorang secara kekal

over 3 years ago Azar Ishak

27

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for the English version]

Kalau korang orang Malaysia, korang mesti akan ada dua dokumen penting ni untuk membuktikan kewarganegaraan korang tu. Ia adalah Kad Pengenalan (MyKad) dan pasport Malaysia. Sebenarnya, undang-unang kewarganegaraan di Malaysia ni agak kompleks dan luas, di mana korang boleh baca semuanya dalam Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi negara). Disebabkan sifatnya yang kompleks tu, maka kami kali ni akan bincangkan tentang macam mana seseorang rakyat Malaysia tu boleh hilang taraf kerakyatannya. 

Sebelum kita bincang tu dengan lebih lanjut, kita kena tahu dulu yang ada dua cara untuk jadi rakyat Malaysia:

  • kelahiran/pendaftaran – apabila seseorang tu dilahirkan oleh warganegara Malaysia dan pendaftaran kelahiran ibu bapanya tu di sini
  • naturalisasi – seseorang bukan warganegara dari kelahiran, tapi menjadi warganegara selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan

Namun begitu, peruntukan untuk melucutkan taraf warganegara tak bergantung pada cara korang terima kewarganegaraan. Mungkin ada di antara kita yang anggap dilucutkan kerakyatan ni agak sukar nak berlaku. Tapi, kalau ia berlaku juga, ini caranya di bawah peruntukan undang-undang Malaysia.

 

1. Anda melepaskannya dengan sendiri 

Imej dari JPN

Sebelum kita tengok macam mana kerajaan menarik balik kerakyatan seseorang, jom kita tengok macam mana rakyat sendiri yang melepaskan kewarganegaran mereka. Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Cilisos, dianggarkan hampir 5000 rakyat Malaysia memilih untuk melepaskan kerakyatan mereka setiap tahun. Perkara ni sebenarnya dibenarkan di bawah Artikel 23, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:

(1) Mana-mana warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih dan yang sempurna akal yang juga seorang warganegara negara lain atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain boleh melepaskan kewarganegaraannya bagi Persekutuan melalui akuan yang didaftarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan hendaklah sesudah itu terhenti menjadi warganegara.

Jadinya, seperti mana yang kita nampak – peruntukan ni sebenarnya agak terlalu berterus terang je. Tapi, dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ada dinyatakan bersama dengan peruntukan ni – senarai dokumen yang korang kena hantar kalau nak batalkan kerakyatan, boleh baca di sini. Ia juga termasuklah borang permohonan untuk melepaskan kerakyatan – yang dikenali sebagai Borang K. Korang juga kena bayar yuran RM10 bila hantar permohonan tu. 

Seperti mana yang dinyatakan di atas, salah satu syarat untuk melepaskan kerakyatan tu adalah korang mesti dah dapat kerakyatan negara lain atau nak jadi warganegara negara lain. Benda ni masuk akal jugalah sebab kalau korang lepaskan kerakyatan macam tu je tanpa ada kerakyataan lain – korang takde kerakyatan langsung la kan? Dengan kata lain, korang tak ada kebebasan untuk tinggal di mana-mana negara. 

Tapi, macam mana pula kalau korang memang nak simpan kerakyatan Malaysia dan nak juga kerakyatan baru? Sebenarnya, perkara ni tak dibenarkan sama sekali, sebab…

 

2. Kerakyatan akan dilucutkan kalau anda ada kerakyatan negara lain 

Imej dari hatimku.blogspot

Malaysia adalah salah sebuah negara yang tak mengiktiraf dwi-kerakyatan. Maknanya, korang tak boleh jadi rakyat Malaysia, tapi dalam masa sama jadi rakyat negara lain… walaupun negara lain tu membenarkannya. Dalam keadaan begini, kerajaan Malaysia dibenarkan untuk membatalkan kerakyatan korang, kalau korang ada kerakyatan negara lain. Masa tu, korang akan diberikan dua pilihan sama ada nakkan kerakyatan Malaysia atau kerakyatan negara lain. Kalau korang gagal buat pilihan, Artikel 24, Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.
(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

Bahagian pertama undang-undang di atas secara jelas mengesahkan yang mempunyai kerakyatan kedua di luar Malaysia boleh membuatkan kerakyatan seseorang tu dibatalkan. Bahagian kedua pula menyatakan, mana-mana orang Malaysia yang tinggal di negara lain tak boleh menggunakan hak-hak yang khusus untuk rakyat negara tu saja. Kalau mereka buat juga, mereka boleh hilang kewarganegaraan Malaysia. Ini kerana, menggunakan hak-hak yang hanya khusus kepada rakyat sesebuah negara, boleh membuatkan seseorang tu dianggap warganegara negara berkenaan. 

 Fasal 3A dalam Artikel 24 memberikan contoh:

Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; 

Jadinya, dengan kata lain – mengundi dalam pilihan raya di negara lain juga boleh dianggap sebagai mengambil kewarganegaraan negara lain, kerana perkara macam tu hanya dikhaskan untuk rakyat negara tu saja.

Tapi perlu diingatkan yang orang Malaysia masih dibenarkan untuk ada status penduduk tetap (PR) di negara lain. Ini kerana, PR tak memberikan korang kerakyatan dalam sesebuah negara – sebab ia hanya membenarkan korang tinggal di sana secara tetap. 

 

3. Anda tak setia kepada negara 

Imej dari Giphy.

‘Tak setia’ boleh membawa banyak maksud, tapi dalam konteks ni – ia bermaksud yang korang dah menentang kepentingan negara. Artikel 25 Perlembagaan Persekutuan, menyenaraikan contoh-contoh perkara ni. Panjang juga senarainya, jadi kami akan cuba ringkaskan untuk korang:

  • Korang dah melakukan atau bercakap sesuatu yang dianggap tak taat atau tak setia kepada negara
  • Kalau Malaysia berperang dengan negara lain, dan korang mengkhianati negara dengan secara rahsia memberikan maklumat kepada negara lain 
  • Dalam tempoh 5 tahun selepas mendapat kerakyatan, korang dah dihukum penjara di negara lain lebih dari 12 bulan, atau didenda lebih dari RM5,000 (atau setara dengan mata wang negara tu)… dan korang tak diberikan pengampunan atas kesalahan tersebut
  • Korang dapat jawatan kerajaan atau berkhidmat dengan negara lain tanpa mendapat keizinan daripada kerajaan Malaysia, atau apa-apa jawatan yang memerlukan bersumpah ikrar dengan negara lain 
  • Korang bermastautin di negara lain secara terus-menerus selama 5 tahun atau lebih tanpa pengetahuan kerajaan Malaysia, dan tak berada di sana kerana urusan kerajaan Malaysia dan tak mendaftar dengan konsulat Malaysia untuk mengekalkan kewarganegaraan

Menjadi tak setia kepada negara mungkin boleh dianggap wajar untuk kerajaan melucutkan kerakyatan. Tapi, macam mana pula kalau korang tak pernah buat apa-apa kesalahan dan kerakyatan korang dilucutkan disebabkan kesilapan orang lain? Percaya atau tak, hal begini juga boleh jadi salah satu sebab kerajaan melucutkan kerakyatan korang.

 

4. Anda secara 'tidak sengaja' diberikan kerakyatan

Imej dari mikeyip.

…. ataupun korang dapatkannya melalui penipuan. Walaupun dua keadaan ni berbeza, tapi kedua-duanya jatuh dalam peruntukan Artikel 26, Perlembagaan Persekutun di mana:

(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan naturalisasi itu –
(a) telah didapati dengan cara fraud, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau
(b) telah dibuat atau diberikan dengan silap.

Kalau korang tertanya-tanya macam mana pula boleh ada yang diberi kerakyatan secara tak sengaja, ia selalunya jadi disebabkan kesilapan perkeranian dan dokumentasi. Ada kes di mana seorang wanita ni dah diberikan kewarganegaraan pada tahun 1970-an tapi ditarik balik pada tahun 1980-an kerana mereka dapat kesan JPN dah buat silap. 

Sementara tu, kerakyatan yang diberikan secara penipuan (fraud) pula adalah permohonan kerakyatan yang dibuat secara tak jujur. Sebagai contohnya macam MyKad palsu yang kita selalu dengar tu. Kalau kerajaan tahu pasal ni, mereka boleh tarik balik kerakyatan tu bila-bila masa je, walaupun orang tu dah tinggal di Malaysia bertahun-tahun lamanya. 

 

Tak mudah sebenarnya untuk kerajaan tarik balik kerakyatan 

Imej dari Berita Harian.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan ada menyenaraikan beberapa sebab yang membolehkan kerakyatan seseorang tu ditarik balik, ada juga peraturan yang kerajaan kena ikut sebelum buat macam tu. Artikel 26A Perlembagaan Persekutuan menyatakan – kerakyatan seseorang hanya boleh dilucutkan kalau “Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah kepada kebaikan awam untuk orang itu terus menjadi warganegara”. Seterusnya, Artikel 27 ada menetapkan prosedur yang kerajaan kena ikut:

  • notis mesti diberikan kepada orang yang kerakyatannya mungkin akan dilucutkan, dan ia mesti disertakan dengan sebab-sebab pelucutan tersebut. Orang tu juga mesti ada hak untuk mempunyai jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kes tersebut.
  • kalau dia memilih untuk adanya jawatankuasa, kerajaan harus melantik 2 orang ahli dan seorang pengerusi untuk mendengar kes tersebut
  • kerajaan kemudiannya kena buat keputusan berdasarkan hasil siasatan jawatankuasa tersebut

Mungkin ada di antara undang-undang yang korang baca ni agak berat untuk difahami. Tapi takpe, apa yang korang kena ingat adalah – rakyat Malaysia tak boleh ada kerakyatan negara lain atau tak boleh menentang kepentingan negara. Seterusnya, korang kena pastikan kerakyatan yang korang dapat tu sah di sisi undang-undang dan tak ada sebarang kesilapan semasa pendaftaran. 

Tags:
perlembagaan persekutuan
mykad
ic
passport
jpn
kerakyatan
kewarganegaraan
lucut kerakyatan
syarat kerakyatan
tarik kerakyatan
dua kerakyatan

27

Shares

A+

A-