Civil,General
Boleh ke kita didakwa kerana tak Solat Jumaat sebab Covid-19?
over 5 years ago Azar IshakKEMASKINI 13 Jan 2021: Solat Jumaat dan solat fardu di beberapa negeri yang kini dalam tempoh PKP dihadkan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja. Di Sabah, menurut kenyataan dari JHEAINS, ahli kariah wajib melaksanakan solat fardu Zohor untuk menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing.
__________________________________________________
Seperti mana yang kita dapat nampak dan perhatikan, pada setiap hari Jumaat umat Islam di seluruh dunia akan berkumpul di masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Suruhan menunaikan Solat Jumaat ni sebenarnya datang dari al-Quran sendiri, iaitu melalui Surah al-Jumuah ayat 9 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”
Disebabkan statusnya sebagai solat yang diwajibkan, maka kalau seseorang tu meninggalkannya, ia dah dikira sebagai berdosa dan salah dari segi hukum agama. Tapi rupa-rupanya, Malaysia dah lama ada undang-undang tentang kewajiban Solat Jumaat ni dan korang sebenarnya boleh dihukum kalau tak tunaikan Solat Jumaat.
Tapi undang-undang ni hanya terpakai kepada golongan lelaki Islam je, sebab kefarduan (kewajiban) Solat Jumaat ni cuma dikhaskan kepada golongan lelaki.
Korang boleh didenda sampai SERIBU RINGGIT dan DIPENJARA sebab tak tunai Solat Jumaat
Seperti mana yang diketahui, Malaysia mengamalkan dua sistem undang-undang iaitu sivil dan syariah. Disebabkan hal berkaitan dengan agama Islam berada di bawah kuasa negeri, maka setiap negeri mempunyai undang-undang syariahnya tersendiri dan kadang kala tu berbeza di antara satu sama lain. Setiap kes syariah pula akan dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Kesalahan syariah ni ada pelbagai, macam - minum arak, tak puasa, berzina, tak bayar zakat, mempersendakan Quran dan termasuklah kesalahan tak tunaikan Solat Jumaat. Tapi bila dikaji, peruntukan kesalahan tak tunai Solat Jumaat ni ada juga yang berbeza-beza dari setiap negeri. Contohnya, kalau kita tengok Seksyen 20, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, ia ada menyatakan:
Peruntukan dengan isi yang sama juga dikongsi oleh beberapa negeri lain macam – Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Tapi ada juga peruntukan syariah di negeri-negeri tertentu yang menetapkan hukuman berbeza macam:
- Kelantan – Denda tak lebih seribu atau penjara tak lebih satu tahun.
- Pahang – Denda tak lebih RM50 dan penjara tak lebih 7 hari.
- Kedah – Denda tak lebih RM100 dan penjara tak lebih sebulan.
Tapi buat masa sekarang, cuma negeri Sarawak yang tak ada peruntukan untuk kesalahan tak menunaikan Solat Jumaat. Tapi jangan korang ambil kesempatan pulak ye. Solat Jumaat tu tetap wajib tau.
Lepas kita dah tahu pasal undang-undang kesalahan syariah tak tunai Solat Jumaat ni, kita juga mesti nak fahamkan maksud peruntukan kan? Sebabnya, hampir dalam setiap peruntukan undang-undang Solat Jumaat, ada terma-terma yang kita tak berapa faham. Macam – baligh, uzur syarie dan kenapa pula kesalahan tu dikira bila kita tinggalkan Solat Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut?
Ada sebab di sebalik syarat peruntukan undang-undang tu
Sebenarnya dalam Islam ada empat sumber rujukan utama iaitu al-Quran, hadis/sunnah, ijma’ dan qiyas. Berdasarkan empat rujukan inilah, sesuatu hukum tu ditetapkan kepada setiap umat Islam.
Ini makna satu persatu rujukan tersebut:
- al-Quran – Kitab suci umat Islam dan merupakan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
- Hadis/sunnah – Perkara-perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW, termasuk perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda.
- Ijma’ – Persepakatan seluruh tokoh-tokoh ulama dari umat Nabi Muhammad SAW, selepas kewafatan baginda pada sesuatu zaman, terhadap sesuatu hukum.
- Qiyas – Membandingkan perkara yang tidak dinyatakan hukumnya dalam al-Quran dan sunnah dengan perkara yang ada dinyatakan hukumnya dalam al-Quran dan sunnah.
Dalam isu kesalahan tak tunai Solat Jumaat, seseorang tu boleh dikenakan tindakan bila dia tak uzur syarie, tapi dia tetap juga tinggalkan Solat Jumaat. Uzur syarie ni bermaksud keuzuran yang diiktiraf dalam agama sehingga membolehkan seseorang tu tak buat perintah agama macam – solat, puasa dan sebagainya. Contoh keuzuran tu pula adalah seperti – hujan lebat, tak sihat, bermusafir dan sebagainya.
Tapi alasan-alasan tu mestilah munasabah dan kalau tak munasabah – seseorang tu masih lagi wajib tunaikan perintah agama, dan dalam kes ni menunaikan Solat Jumaat.
Seterusnya pula adalah baligh. Baligh ni boleh ditakrifkan sebagai satu peringkat dalam hidup korang di mana tubuh badan korang berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Disebabkan majoriti umat Islam Malaysia bermazhab Syafie – kebanyakan ulama mazhab ni berpandangan umur baligh bagi wanita dan lelaki adalah 15 tahun.
Kalau kita rujuk peruntukan untuk negeri Pahang dan Kedah, memang dah ditetapkan yang umur wajib solat Jumaat adalah 15 tahun, sesuai dengan pandangan Mazhab Syafie.
Untuk perkara ketiga, peruntukan undang-undang syariah yang ada dalam setiap negeri menetapkan yang ia hanya jadi kesalahan bila seseorang lelaki tu tinggalkan Solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut. Benda ni yang agak menimbulkan persoalan, sebab kenapa pula kena tunggu tiga kali berturut-turut?
Sebenarnya, syarat ni datang berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:
“Barangsiapa yang meninggalkan Solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya,” – Hadis riwayat al-Tirmidzi.
Oleh itu, boleh disimpulkan yang peruntukan undang-undang ni hanya dikhaskan kepada pesalah ‘tegar’ je, dan kalau seseorang tu tinggalkan Solat Jumaat tapi bukan untuk tiga kali berturut-turut, dia masih lagi tak tertakluk dalam peruntukan undang-undang yang ditetapkan tu. Sebab itu jugalah…
Tak ada kes melibatkan kesalahan ni dibicarakan di mahkamah...sampailah tahun 2019
Tapi apa yang menariknya, sampai ke hari ni kita tak dengar satu pun kes melibatkan kesalahan tak tunai Solat Jumaat dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Malah dalam satu kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, dari tahun 2004 sampai 2008, dapati tak ada satu pun kes berkaitan isu ni dibicarakan di Mahkamah Syariah.
“Mereka yang tidak cukup tiga kali (tak tunai Solat Jumaat) tidak boleh dikenakan sebarang tindakan mengikut peruntukan sedia ada… inilah elemen yang paling sukar sekali untuk dipenuhi bagi maksud penguatkuasaan kesalahan ini.” – Jurnal Hukum.
Disebabkan oleh kekangan yang dinyatakan itu, maka sampai ke hari ni kita masih belum dengar kes tak Solat Jumaat dibicarakan di sekeliling kita. Walaupun macam tu, ia tak bermakna yang kes ponteng Solat Jumaat tak berlaku, sebab kita ada je dengar kes macam tu jadi dan dilaporkan media.
KEMASKINI: Sehinggalah tahun 2019, buat pertama kalinya kes membabitkan tak tunai Solat Jumaat dibawa ke Mahkamah Syariah. Enam orang lelaki telah ditahan atas kesalahan tersebut dan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu. Seorang dari tertuduh yang merupakan bapa kepada anak dua dikenakan hukuman penjara sebulan dan didenda RM2,500. Lima lagi tertuduh yang masih bujang dikenakan hukum penjara sebulan dan denda RM2,400.
Dalam keadaan tertentu Solat Jumaat masih boleh dibatalkan
Walaupun Solat Jumaat ni adalah wajib bagi setiap lelaki muslim, tapi dalam keadaan tertentu ia masih lagi boleh dibatalkan dan diganti dengan Solat Zohor. Hal tu boleh kita lihat bila negeri Perlis memutuskan yang Solat Jumaat di negeri tu dibatalkan dan diganti dengan Solat Zohor. Perkara ni dibuat bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, hal ni masih tertakluk dalam bidang kuasa Jabatan Mufti dan kuasa Ketua Agama Islam Negeri (Sultan/Raja). Sebab itulah, kita boleh tengok ketika PKP 1.0 – sementara Perlis membatalkan Solat Jumaat, majoriti negeri lain tetap melaksankannya. Contohnya seperti Kedah dan Terengganu yang kata Solat Jumaat masih diteruskan, tapi dengan syarat-syarat tertentu macam – khutbah dipendekkan dan jemaah disaran mengambil wuduk di rumah.
Tapi, kalau ada majikan yang tak benarkan Solat Jumaat, tindakan tegas akan diambil
Sebenarnya, walaupun tak ada undang-undang khusus yang mewajibkan majikan memberikan pelepasan waktu kepada para pekerja mereka untuk tunaikan Solat Jumaat. Tapi, tindakan majikan menghalang pekerja Islam dari menunaikan Solat Jumaat juga tak boleh diterima kerana ia seolah-olah menafikan hak pekerja berkenaan.
Oleh itu, kerajaan dah terbitkan satu Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja untuk rujukan majikan dan pekerja. Dalam garis panduan tu, Kementerian Sumber Manusia dah menetapkan pelepasan waktu sekurang-kurangnya 20 minit untuk solat lima waktu dan 1 jam 30 minit untuk Solat Jumaat bagi pekerja menunaikan solat.
Sebab itulah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran di Parlimen sebelum ni ada tegaskan supaya para majikan kena benarkan pekerja mereka tunaikan solat fardu dan Solat Jumaat.
“Majikan perlu beri masa kepada pekerja untuk menunaikan solat. Jika ada majikan yang ingkar, laporan boleh dibuat kepada pihak kementerian dan tindakan tegas akan diambil. Saya janji mengenai perkara ini. Tiada alasan dalam hal ini.” – Katanya dipetik Astro Awani.
Jadinya, lepas garis panduan ni dikeluarkan, maka diharapkan takde lagi masalah pasal majikan yang tak benarkan pekerja tunaikan solat fardu atau Solat Jumaat. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan toleransi, maka isu-isu sebegini sepatutnya tak lagi berbangkit.