Asklegal
Home banner 274503eb 2f3b 43bf a901 346c3d6b8a41

General

Semua penceramah kena ada tauliah. Tapi kenapa ada yang dikecualikan?

about 5 years ago Azar Ishak

31

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Di Malaysia ni, mendengar ceramah agama dah jadi rutin biasa untuk mereka yang pergi masjid dan surau. Kalau jarang pergi masjid dan surau pun, selalunya kita akan dengar ceramah melalui radio, tv atau Youtube. Tapi dalam keadaan kita suka mendengar ceramah ni, kita juga kadang-kadang ada dengar pasal penceramah yang ditahan pihak berkuasa agama. 

Antara berita terbaru yang kita dengar adalah tentang tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan penceramah bebas, Ustaz Wan Ji Wan Hussin kerana didakwa mengajar tanpa tauliah. Kalau kita pergi lebih awal lagi pada tahun 2009, Mufti Perlis (masa tu bekas Mufti sebelum dilantik semula pada tahun 2015), Datuk Dr Asri Zainul Abidin atau Dr Maza juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana dakwaan yang sama. 

Bila kita dengar cerita macam ni, kita dapat tahulah yang isu tauliah ni sangat penting di Malaysia. Tapi kenapa pula kena ada tauliah, dan macam mana sistem ni berfungsi?

 

Pendakwah kena lulus ujian dan temuduga sebelum boleh dapat tauliah

Contoh kad tauliah. Imej dari SocialThung.

Seperti mana yang kita tahu, hal berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri, jadi soal tauliah ni pun di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing. Tapi, undang-undang, peraturan dan prosedur pasal tauliah ni boleh dikatakan lebih kurang sama je di antara negeri-negeri.

Tapi kalau korang rasa tauliah ni ada satu jenis je, korang pun nampaknya silap. Sebabnya, tauliah ni ada beberapa jenis, yang antaranya:

  1. Tauliah berceramah 
  2. Tauliah mengajar fardu ain
  3. Tauliah mengajar al-Quran
  4. Tauliah khas (contoh: Perbandingan Agama/Perbankan Islam/Motivasi)

Kalau nak dapat tauliah ni, mana-mana pendakwah mesti buat permohonan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing. Kalau di Selangor, mereka kena isi borang permohonan tauliah mengajar di pejabat JAIS atau muat turun di sini. Lepas borang itu dihantar, pemohon akan dipanggil ke pejabat JAIS untuk ambil ujian bertulis. Kalau lulus ujian bertulis, pemohon akan dipangil sekali lagi untuk jalani temuduga bersama – Bahagian Dakwah JAIS. 

Keputusan sama ada pemohon layak atau tak untuk dapat tauliah kemudiannya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), lepas mereka puas hati dengan syarat-syarat dan tapisan keselamatan. Tempoh tauliah tu pula selama 5 tahun, dan permohonan pembaharuan tauliah kena dibuat 6 bulan sebelum tamat tempoh tauliah. Kalau buat permohonan lepas tarikh tauliah tamat, pendakwah tu kena buat permohonan baru dan ulang prosedur awal tadi. 

Tapi apa hukuman untuk orang yang sampaikan ceramah agama tanpa tauliah ni?

 

Lain negeri, lain tauliah yang diperlukan

Imej dari Berita Harian.

Sebelum kita cerita pasal hukuman ni, ada satu perkara yang kita semua kena tahu. Sebenarnya, tauliah hanya terpakai untuk negeri yang pendakwah/penceramah tu dapat je. Contohnya, kalau dia dapat tauliah di negeri Selangor dan tak ada tauliah di negeri Perak, maknanya dia cuma boleh berceramah di negeri Selangor je, dan tak boleh di Perak. Kalau buat juga, dia berisiko ditahan kerana mengajar tanpa tauliah.

Seksyen 108, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 menyatakan:

“Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau mana-mana perkara tentang agama Islam tanpa tauliah… melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.” 

Bagaimanapun, ada negeri-negeri yang hukuman berbeza di antara satu sama lain, seperti denda RM5,000 atau penjara 3 tahun (Kedah, Pulau Pinang, Johor); RM3,000 atau penjara 2 tahun (Selangor); RM2,000 atau penjara setahun (Pahang) dan RM1,000 atau penjara setahun (Negeri Sembilan). 

Makanya, nak ataupun tak, setiap pendakwah tu mestilah mohon tauliah di negeri yang mereka nak sampaikan ceramah agama. Dapat tauliah di satu atau dua negeri tak bermakna mereka boleh beri ceramah di semua negeri di Malaysia ni. 

Bagaimanapun, dah dapat tauliah ni tak bermakna korang bebas beri ceramah macam tu je. Sebabnya, Jawatankuasa Tauliah masih ada hak untuk gantung atau tamatkan tauliah kalau pendakwah tu melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antara syarat-syarat tu adalah:

  1. Memberi ceramah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni).
  2. Berakhlak mulia dan tak terlibat dengan jenayah.
  3. Tidak memfitnah saudara Islam lain.
  4. Tak menyentuh mana-mana parti politik masa berceramah.
  5. Mematuhi undang-undang negara dan setiap garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jawatankuasa Tauliah. 

 

Tapi masih ada pendakwah yang dikecualikan dari dapat tauliah

Imej dari Perak Today.

Walaupun kita nampak undang-undang pasal tauliah ni agak tegas, tapi dalam keadaan tertentu masih ada pengecualian diberikan. Kalau kita rujuk, Peraturan 22 dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor 2008) ada orang yang dikecualikan dari mendapat tauliah. Antaranya adalah:

  1. Alim Ulama atau tokoh agama tempatan tertentu atau Alim Ulama atau tokoh agama luar negeri yang dijemput secara rasmi atau atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya;
  2. Mufti-mufti Negeri dan ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri;
  3. Hakim-hakim Mahkamah Syariah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri-Negeri;
  4. Menteri atau ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Islam atau Ketua Jabatan Agama Islam Negeri atau ahli Majlis Agama Islam Negeri-Negeri; dan
  5. Pegawai Hal Ehwal Islam atau pegawai Agama Islam Persekutuan dan Negeri, Pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti-universiti tempatan atau Institusi Pengajian Tinggi Tempatan, Guru Agama Kementerian Pendidikan atau Guru Agama Jabatan Agama Islam Negeri.

Tapi kalau kita baca di awal tadi, kita ada nampak yang bekas Mufti Perlis dan pensyarah universiti, Dr Asri tetap ditahan JAIS sebab tak ada tauliah. Macam mana pula tu kan? Menjawab persoalan ini, Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali masa tu kata, walaupun ada pengecualian – perkataan 'boleh' itu juga boleh menjurus kepada 'tidak boleh', bergantung kepada Jawatankuasa Tauliah.

Pengarah JAIS, Datuk Muhammed Khusrin Munawi masa tu pula kata, walaupun ada pengecualian – mereka yang nak berceramah di Selangor tetap kena ikut prosedur tauliah yang ditetapkan. Tambahnya, Mufti Perak, Tan Sri Harussani pun pernah mohon tauliah di Selangor, walaupun dia seorang mufti. 

“Saya tidak nampak masalah dengan prosedur ini. Contohnya, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah buat permohonan kepada JAIS untuk menyampaikan ceramah di Selangor sebelum ini.

Dengan bahasa mudahnya, jika seseorang nak masuk ke rumah orang lain, dia perlu beri salam dahulu, perlu ada adab, hormat kepada tuan rumah, bukan main masuk saja.” – Katanya, dipetik dari Bernama

Jadi di sini, kalau nak selamat, sesiapa saja yang nak sampaikan ceramah agama kenalah dapatkan tauliah dulu. Dalam waktu sama, pihak yang menjemput penceramah ni kenalah berhati-hati, dan pastikan dulu penceramah yang dijemput tu ada tauliah. 

 

Jawatankuasa masjid boleh digantung, kalau jemput penceramah tanpa tauliah

Imej dari Moslem Today.

Sebelum ni, JAIS ada keluarkan amaran kepada pengerusi, setiausaha serta ahli jawatankuasa masjid/surau supaya mematuhi undang-undang supaya tak jemput mana-mana penceramah yang tak ada tauliah. Manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula memberi perkenan supaya pengerusi jawatankuasa masjid/surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik dan ceramah tanpa tauliah, digantung tugas

Kalau kita rujuk Kaedah 33 dalam Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) jelas dinyatakan bahawa MAIS boleh menggantung atau menamatkan jawatan pegawai atau anggota jawatankuasa masjid/surau sekiaranya mereka: (1) tak mematuhi arahan MAIS, JAIS atau kaedah-kaedah yang ditetapkan, dan (2) bertindak mencemarkan agama Islam

Oleh itu, pihak masjid dan surau kenalah berhati-hati kalau nak jemput mana-mana individu untuk sampaikan ceramah. Selain lebih selamat, ia juga dapat elakkan fahaman salah atau sesat dari disebarkan dalam kalangan masyarakat. Kalau korang duduk di Selangor, JAIS ada sediakan sistem yang membolehkan korang semak penceramah-penceramah yang ada tauliah, boleh semak di sini

 

Tags:
jais
mufti perak
mufti perlis
tauliah
ustaz
tauliah berceramah
prosedur dapat tauliah
enakmen pentadbiran agama islam

31

Shares

A+

A-