Asklegal
Home banner 26d0

General

“Ragging” Dalam Institusi Pendidikan: Di Manakah Kesudahannya?

almost 8 years ago Ramalinggam

0

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Apakah gejala ragging?

Gejala “ragging” dalam institusi pendidikan di Malaysia bukanlah satu fenomena yang baharu. Gejala ini telah menjadi satu budaya atau amalan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar senior terhadap pelajar-pelajar junior khasnya freshie (pelajar baharu).


Aktiviti “ragging” melibatkan kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan sebagai pelaku dan juga mangsa. Perbuatan “ragging” bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal semata-mata malahan penderaan mental, emosi dan seksual.


Perlakuan “ragging” dalam institusi pendidikan, sama ada diperingkat persekolahan mahupun di institusi pengajian tinggi, menjadi penghalang dalam melahirkan modal insan yang berkualiti bukan sahaja dari segi intelek malahan juga dari segi sahsiahnya.


Aktiviti “ragging” bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal semata-mata, malahan membabitkan penderaan emosi, mental, seksual dan sebagainya. Perbuatan “ragging” memberikan kesan yang besar kepada seseorang mangsa. Hal ini terbukti menerusi kes-kes “ragging” yang dilaporkan oleh media massa.


Kesan negatif perlakuan ragging

Impak negatif perlakuan “ragging” kepada seseorang pelajar adalah besar. Pelajar-pelajar yang menjadi mangsa “ragging” mengalami trauma fizikal, mental, emosi dan psikologi yang teruk sehingga terdapat pelajar yang meninggal dunia.


Perkara ini terbukti menerusi berita kematian seorang pelajar Maktab Tentera DiRaja (Royal Military College) yang bernama Mohammed Naim Mustaqim Mohamad Sobri yang berusia 16 tahun pada tahun 2010.


Kematian pelajar itu dikatakan mempunyai perkaitan dengan perbuatan “ragging” yang dilakukan oleh empat orang pelajar di institusi yang sama. Sebagai kesan, seorang pelajar dibuang daripada institusi tersebut dan tiga orang lagi digantung pengajian.


Contoh-contoh kes ragging yang dilaporkan

Sementara itu, pada tahun 2007 pula, seorang pelajar bernama Matteus Mering August di Sekolah Menengah Teknik Bintulu, Sarawak telah meninggal dunia akibat perbuatan “ragging” yang dilakukan oleh tiga orang pelajar yang lain di sekolah yang sama. Mereka telah menumbuk dan menendang mangsa sehingga menyebabkan kematiannya.


Insiden ini diikuti pula dengan kejadian di negeri Pahang. Seorang pelajar tingkatan tiga di Kuantan telah dilecurkan dengan seterika panas oleh pelajar-pelajar seniornya apabila pelajar itu enggan untuk membelikan rokok kepada mereka. Manakala, sepuluh orang pelajar senior telah menyerang seorang pelajar Tingkatan Tiga di Mentakab, Pahang.


Keadaan ini ditambah pula dengan insiden di Sarawak di mana beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Sarawak telah memukul rakan sekolahnya yang lebih muda dan kemudian memuat naik rakaman kejadian itu di internet.


Pada tahun 2014 pula, kita telah dikejutkan dengan insiden “ragging” oleh sepuluh orang pelajar senior terhadap tujuh orang pelajar junior Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana pelajar-pelajar junior ini dikatakan dipaksa berbogel dan menghisap rokok jika tidak mahu diapa-apakan (The Star, 5 Jun 2014).


Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa aktiviti “ragging” bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal semata-mata, malahan membabitkan penderaan emosi, mental, seksual dan sebagainya. Perbuatan “ragging” memberikan kesan yang besar kepada seseorang mangsa.


Menangani perlakuan ragging

Sungguhpun demikian, sehingga kini, perbuatan “ragging” dalam institusi pendidikan di Malaysia hanya ditangani menerusi tindakan tatatertib dan pekeliling semata-mata (rujukan: UKM 3.3.8/5/3 Jld 9, 1 Ogos 2013).


Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Dr Mohammad Shatar Sabran, apabila terdapat aduan tentang “ragging,” perkara itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib dan tindakan kemudian diambil mengikut prosedur.


Tindakan diambil bergantung kepada keadaan dan maklumat yang diperoleh. Pelajar yang melakukan kesalahan mungkin diberi surat peringatan, amaran, digantung atau dibuang terus daripada universiti (Sinar Harian, 2014).


Di manakah kesudahannya?

Perlu diingat bahawa salah satu fungsi hukuman atau tindakan yang penting adalah sebagai mekanisme pencegahan. Hukuman atau tindakan yang dibuat harus mempunyai unsur-unsur pencegahan.


Persoalannya di sini, sejauh manakah bentuk-bentuk tindakan atau hukuman yang dikenakan ke atas pelaku “ragging” mencegah perbuatan “ragging” daripada berlaku?


Ketiadaan satu perundangan yang spesifik dalam mencegah perbuatan “ragging” menyebabkan masalah ini tidak dapat dibendung dan dikawal daripada berleluasa.



Dr. Ramalinggam Rajamanickam

Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

rama@ukm.edu.my

03-8921 6355 (samb. 6376)



Pic credits: Utusan

Tags:

0

Shares

A+

A-