Asklegal
Home banner 36c2

General

Pengajaran Di Sebalik Kehilangan Batu Puteh: Ada Sinar Baru kepada Malaysia

over 6 years ago fadzel

28

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


THIS IS THE PERSONAL OPINION OF THE COLUMNIST. The opinions, beliefs and viewpoints expressed by the author do not necessarily reflect ASKLEGAL's position on the issue, nor should it be reflective of the regular content published by ASKLEGAL. We do not make any claims on the legal accuracy of this article as it has not been verified by a practicing lawyer.


by Mohd Zamre Bin Mohd Zahir | zamrezahir7@gmail.com


Setiap orang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Baik dan buruk sesuatu perkara pasti ada sebab dan akibatnya nanti. Ia juga sama seperti dalam isu Batu Puteh. Isu tuntutan terhadap Batu Puteh pernah menjadi hangat sebelum ini. Ia masih turut diperkatakan lagi hari ini.

Jika dikaji semula, Batu Puteh merupakan batu-batu yang mempunyai keluasan sebuah padang bola sepak yang terletak di Selat Singapura yang menghadap ke arah Laut China Selatan.

Perkataan Batu Puteh berasal daripada perkataan Portugis iaitu “Pedra Branca” yang bermaksud batu putih. Ia dinamakan sempena burung-burung camar laut yang mendiami Batu Puteh pada masa yang lalu. Sebahagian pihak berpendapat ia dinamakan sempena tompokan najis-najis berwarna putih yang ditinggalkan oleh burung-burung tersebut di atas Batu Puteh.

Imej dipetik dari Straits Time melalui AirmataDarahKeringat.blogspot


Latar belakang konflik Pulau Batu Puteh

Batu Puteh menjadi konflik dalam isu pertindihan wilayah perairan antara Malaysia dengan Singapura sejak dahulu lagi. Sejak tahun 1979 lagi, masing-masing menuntut Batu Puteh. Namun, jika diamati dari segi jarak perairan, adakah Batu Puteh milik Singapura?

Jawapannya adalah tidak. Ini kerana Batu Puteh terletak lebih hampir dengan negeri Johor yang merupakan sebuah negeri di Malaysia. Dari segi logik, Malaysia lebih berhak menuntut Batu Puteh kerana ia terletak lebih hampir dengan Johor berbanding Singapura. Namun, adakah logik ini realiti?

Imej dipetik dari The National Archives (UK)


Keputusan ICJ 2008

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diputuskan pada 23 Mei 2008 perlu dihormati. Keputusan mahkamah memihak kepada Singapura. Walaupun isu jarak perairan antara Batu Puteh dengan Johor lebih hampir, namun aspek lain lebih dipandang berat oleh pihak mahkamah.

Malaysia sebelum ini turut membangkitkan aspek keizinan pembinaan Rumah Api Horsburgh yang hanya boleh diberikan oleh negara yang mempunyai penguasaan dan kedaulatan terhadap Batu Puteh iaitu kerajaan Malaysia melalui Kerajaan Negeri Johor.

Surat keizinan telah diberikan oleh Temenggung dan Baginda Sultan Johor kepada pihak Inggeris di Singapura untuk membina Rumah Api Horsburgh pada 25 November 1844 juga membuktikan penguasaan dan kedaulatan Kesultanan Diraja Johor di perairan tersebut. Mengikut surat kebenaran tersebut, pembinaan dan operasi rumah api telah dibenarkan berdekatan dengan Titik Romania atau di mana-mana yang bersesuaian.

Malah, rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Johor turut percaya bahawa Batu Puteh adalah sebahagian daripada jajahan takluk kesultanan Diraja Johor bersandarkan kepada Perjanjian Inggeris-Belanda 17 Mac dan Perjanjian Crawford 2 Ogos 1824 yang secara jelas menggariskan persempadanan kedaulatan Kesultanan Diraja Johor yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Namun, ia belum cukup kuat untuk meyakinkan pihak mahkamah untuk menyerahkan Batu Puteh kepada Malaysia.


Analisa keputusan

Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh. Imej dari laman United Nations

Menurut Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, jika dilihat dari sudut sejarah, Johor pada mulanya mempunyai kedaulatan terhadap Batu Puteh, namun ia telah kehilangannya atas sebab-sebab tertentu. Antara sebabnya, peta-peta menunjukkan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Batu Puteh.

Dalam peta yang diterbitkan oleh Malayan and Malaysian Surveyor General dan Director of General Mapping dalam tahun 1962, 1965, 1970, 1974 dan 1975, Batu Puteh telah ditandakan dengan perkataan “Singapore” atau “Singapura”. Ini menunjukkan Batu Puteh telah menjadi kepunyaan atau penguasaan Singapura.

Tambahan lagi, terdapat sepucuk surat daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953 yang menyatakan bahawa kerajaan Johor tidak mempunyai ketuanan terhadap Batu Puteh sekali gus menunjukkan Malaysia telah melepaskan penguasaan dan pemilikan terhadap Batu Puteh.

Meskipun jika Malaysia mempunyai penguasaan, pemilikan dan kedaulatan terhadap Batu Puteh sebelum ini, boleh digambarkan di sini seolah-olah pemilikan dan penguasaan itu telah dilepaskan.

Di samping itu, Malaysia juga kekurangan bukti bagi menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai ketuanan dan kedaulatan yang sah terhadap Batu Puteh serta kekurangan bukti Malaysia menjalankan pemerintahan, kawalan dan pentadbiran di Batu Puteh.


Pengajaran dari kehilangan Pulau Batu Puteh

Meskipun keputusan ini amat sukar diterima dan ia membawa kerugian yang besar terhadap Malaysia, namun ia memberi satu sinar kepada kita untuk lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Pengajaran ini cukup memberikan tamparan yang hebat kepada kita agar sentiasa berwaspada terhadap sesiapa sahaja. Sifat saling menyalahkan orang lain tidak harus wujud dalam menyelesaikan isu ini. Malah, saling melengkapi dan memperbaiki perlu diutamakan.

Seharusnya, jika ingin menuntut sesuatu hak, bukti yang jelas lagi konkrit perlu ada. Jika Singapura bukan pemilik sah terhadap Batu Puteh, maka Johor yang mewakili Malaysia perlulah memberikan bantahan secara berterusan (persistently object) yang perlu dilakukan sejak awal lagi bagi membantah Singapura sebagai pemilik atau penguasa bagi Batu Puteh.

Keduanya, Malaysia perlu mengekalkan kedaulatan Batu Puteh dan mentadbir sendiri Batu Puteh tanpa campur tangan daripada negara lain.

Ketiganya, perlu ada bukti dalam peta-peta bagi menunjukkan Batu Puteh berada dalam bidang kuasa, ketuanan dan kedaulatan Malaysia dan bukannya bidang kuasa Singapura. Di samping itu, Malaysia perlu membekalkan bukti-bukti jelas dan konkrit yang menunjukkan Malaysia sebagai tuan punya yang sah dari segi undang-undang terhadap Batu Puteh seperti Malaysia melakukan kawalan berkala di Batu Puteh.

Susulan itu, setelah hampir sedekad Batu Puteh jatuh ke tangan negara jiran, Malaysia mengemukakan tiga dokumen yang diperoleh daripada Arkib Negara United Kingdom sebagai fakta baharu yang menyokong permohonan kajian semula berkaitan kedaulatan Batu Puteh. Malaysia memfailkan permohonan kajian berdasarkan peruntukan Perkara 61, Statut ICJ di The Hague, Belanda pada 2 Februari 2017 selepas menemui tiga dokumen terbabit sejak 4 Ogos 2016 sehingga 31 Januari 2017.


Permohon kajian semula kes Pulau Batu Puteh

Pulau Batu Puteh. Imej dipetik dari The Star

Dalam permohonan kajian semula itu, Malaysia menegaskan fakta baharu terbabit ialah urusan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958, laporan kejadian oleh pegawai angkatan tentera laut British yang difailkan pada 1958 dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

Permohonan itu juga memenuhi syarat tempoh yang diperuntukkan oleh Statut ICJ iaitu memfailkan permohonan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penemuan fakta baharu iaitu selepas 4 Ogos 2016 selain dikemukakan sebelum tamat tarikh tempoh 10 tahun daripada tarikh penghakiman iaitu 23 Mei 2008.


Kesimpulan

Sesungguhnya, setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang perlu diambil sebagai pengajaran pada hari muka. Biarpun menaruh harapan dan iltizam yang teguh terhadap keputusan kajian semula Batu Puteh, rakyat perlu bersedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh ICJ kelak.

30 juta rakyat Malaysia kini meletakkan keyakinan penuh kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi mengetuai pasukan baharu bersama peguam dan pegawai Jabatan Peguam Negara, beberapa profesor dan Queen Counsel terkenal yang dipilih dari United Kingdom untuk mengemukakan hujah-hujah terkini bagi mendapatkan kembali Batu Puteh. Semoga ada sinar baharu buat kedaulatan negara berhubung Batu Puteh.



Mohd Zamre Bin Mohd Zahir

Calon PhD, Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tags:

28

Shares

A+

A-