Asklegal
Home banner 57f9b760 e7a7 4b8b 8d38 f75c250db8df

General

Ini cara buatkan seseorang tu didenda RM500k sebab bakar sampah secara terbuka

over 5 years ago Azar Ishak

150

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Kita mesti pernah rasa sakit hati dengan perangai jiran yang suka sangat bakar sampah kat luar rumah. Disebabkan tindakan diorang tu, habis kawasan rumah kita berasap dan berjerebu. Bayangkan, bila keluar rumah, benda pertama yang korang dapat – terhidu bau asap!

Disebabkan hal macam ni selalu jadi, maka tak mengejutkanlah bila dilaporkan terdapat lebih 3000 kes pembakaran terbuka berlaku pada bulan Mac 2019 je. Maknanya, bukan korang je yang pernah alami hal macam ni.

 

Tapi…wujud ke undang-undang yang menghalang pembakaran secara terbuka?

Imej dari imgflip.com

Korang tak payah risau! Sebabnya, Malaysia dah ada undang-undang yang mengharamkan pembakaran secara terbuka. Kerajaan sebenarnya dah menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang korang boleh guna untuk ajar jiran korang yang degil tu.

Di bawah Seksyen 29A(1) akta ni, ia dah nyatakan – tak ada sesiapa pun yang dibenarkan atau boleh menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis. Dan sesiapa yang melanggar Seksyen 29A(1) ni, diorang boleh didakwa di bawah Seksyen 29A(2), di mana jika sabit kesalahan akan didenda tak lebih RM500,000 atau penjara tak lebih 5 tahun atau kedua-duanya!

Ya! nilai RM500,000 tu cukup tinggi dan takde sesiapa yang nak ambil risiko bayar denda dan kena penjara sampai 5 tahun kan? Tapi… kenapa masih ada yang berani buat pembakaran secara terbuka, walaupun undang-undang dah sediakan hukuman berat?

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam temubual bersama The Straits Times kata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) rupa-rupanya tak cukup alat untuk jalankan penguatkuasaan. Sebab katanya...

 “Hanya dua atau tiga minggu yang lalu, saya sedar yang JAS tidak ada kereta pun untuk jalankan penguatkuasaan. Ini mengarut! Dan, mereka juga tidak ada peralatan yang cukup”. – Yeo Bee Yin untuk The Straits Times.

Penalti terhadap kesalahan ni juga sebenarnya dah boleh dianggap cukup tinggi dan tak perlu diubah.

Bayangkan, inilah sebabnya kenapa penting sangat untuk korang buat laporan kalau ada sesiapa yang bakar sampah secara terbuka. Bukan je korang buat laporan terhadap jiran, korang juga dapat mengelakkan perkara ni dari berlaku dengan peguatkuasaan yang betul.

 

Tapi, macam mana kalau kita dituduh walaupun bukan kita yang buat?

Habis baju bau asap. Imej dari Tribun Kaltim

Kalau korang didakwa terlibat dengan kes pembakaran terbuka dan korang berdepan dengan tuduhan di bawah Seksyen 29A, sebenarnya ada beberapa kelonggaran dalam akta sama di bawah Seksyen 29C, yang menyatakan:

“… adalah menjadi pembelaan jika orang, pemunya atau penduduk premis membuktikan – 
bahawa pembakaran terbuka itu berlaku di luar kawalannya atau tanpa pengetahuan atau pembiaran atau persetujuannya.

Jangan risau! Apa yang korang kena buat adalah, korang kena buktikan yang korang dah ambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan diri dari melakukan jenayah di bawah Seksyen 29C. Lagi satu, kena ingat ni – kita tak bersalah sehingga terbukti bersalah

 

Adakah ni bermakna, pembakaran terbuka untuk tujuan keagamaan juga diharamkan?

Imej dari Malay Mail

Persoalan baru pun muncul bila kita bincang pasal hal ni. Adakah bakar duit neraka atau colok juga diharamkan kat Malaysia. Rupa-rupanya taklah macam tu, sebab Jabatan Alam Sekitar dah buat beberapa pengecualian yang membenarkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu;

  1. Pembakaran tanah pertanian berpenyakit
  2. Pembakaran terbuka dari aktiviti keagamaan atau kebudayaan (colok, duit neraka, pooja dan sebagainya)
  3. Pembakaran mayat
  4. Untuk tujuan barbeku atau memanggang (aktiviti riadah barbeku dan sebagainya)
  5. Flaring (untuk tujuan mengekstrak minyak)

Walaupun macam tu, setiap anggota masyarakat sepatutnya cari jalan untuk meminimumkan pencemaran udara.

Sebagai contoh, untuk barbeku, korang boleh je guna pemanggang elektrik dan bukannya arang. Untuk acara keagamaan atau kebudayaan pula, korang boleh bakar colok dan joss paper dalam relau tertutup dengan sistem penapisan yang baik dan bukan di tempat terbuka.

Bagaimanapun, hanya disebabkan pembakaran untuk tujuan keagamaan dibenarkan, ini tak bermakna yang larangan dari Jabatan Alam Sekitar kita boleh abaikan macam tu je. Sebabnya, ada perkara-perkara tertentu yang masih lagi dilarang sama sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, seperti:

  1. Sebarang pembakaran terbuka di atas tanah gambut
  2. Pembakaran terbuka dalam lingkungan 30km radius Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

 

Jadi, ni dia persoalan seterusnya. Kepada siapa kita boleh laporkan kejadian ni?

Imej dari Utusan

Kalaulah kes ni jadi dengan tak terkawal, sampai boleh membahayakan diri dan orang sekeliling, korang patut hubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tapi, kalau ia cuma pembakaran sampah yang dah lama mengacau kehidupan korang dan buatkan kawasan rumah korang berasap. Korang bolehlah buat laporan kepada majlis tempatan (Majlis Perbandaran) atau Jabatan Alam Sekitar melalui hotline diorang.

Ini kerana, portal rasmi JAS sendiri mengesahkan yang di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling – bukan JAS je yang ada kuasa untuk siasat kes sebegini, tapi ada juga beberapa badan lain yang diberikan kuasa, seperti:

  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
  • Polis Diraja Malaysia
  • Majlis tempatan (Majlis/Dewan Bandaraya dan Majlis Perbandaran)

Dengan kemudahan ni, nampaknya lebih mudah untuk korang buat laporan sebab banyak jabatan yang terlibat. Nombor Majlis Perbandaran masing-masing dan hotline Jabatan Alam Sekitar boleh disemak kat sini.

Tags:
jabatan alam sekitar
bakar sampah
pembakaran terbuka
alam sekitar
jerebu
akta kualiti alam sekeliling 1974

150

Shares

A+

A-