Asklegal
Home banner f076

General

PEMARTABATAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA MAHKAMAH DI MALAYSIA

over 8 years ago Ramalinggam

13

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Bahasa merupakan medium atau alat komunikasi antara satu pihak dengan pihak yang lain. Bahasa digunakan untuk menyampaikan mesej atau maklumat dengan cara yang berkesan. Bahasa juga memainkan peranan yang sangat signifikan sebagai lambang identiti sesebuah negara. Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi simbol dan identiti negara kita.


Pada dasarnya, bahasa Melayu mendapat pengiktirafan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia menerusi undang-undang tertinggi tanah air, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Perkara 152 menjelaskan kedudukan bahasa Melayu yang telah diangkat martabatnya di Malaysia. Selain Perlembagaan Persekutuan, penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperkasakan lagi kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelasnya memperuntukkan tentang bahasa yang perlu digunakan di mahkamah. Secara spesifiknya, hal ini dapat dilihat dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Peruntukan ini meletakkan satu obligasi yang berat terhadap badan kehakiman dalam menjalankan prosiding dalam bahasa Melayu.


Dalam merealisasikan hasrat Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, terdapat beberapa perkara yang harus diberikan perhatian dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Antaranya, aspek peristilahan undang-undang yang tepat dalam bahasa Melayu. Undang-undang merupakan suatu bidang yang kaya dengan istilahnya yang tersendiri. Seperti bidang perubatan yang mempunyai istilah saintifiknya yang tersendiri, bidang undang-undang pula mempunyai istilah undang-undangnya. Istilah tersebut adalah dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Latin ataupun bahasa Perancis. Umum mengetahui bahawa kebanyakan istilah undang-undang wujud dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, apabila istilah-istilah tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, badan kehakiman harus memastikan bahawa istilah yang digunakan adalah tepat dan menepati maksud istilah Inggeris yang asal. Kadangkala, terdapat juga istilah yang tidak pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebelum ini. Dalam konteks ini, harus dipastikan bahawa kaedah padanan yang betul telah digunakan dalam menterjemahkan istilah Inggeris yang berkenaan.


Di samping itu, perkara yang harus diberikan fokus ialah tatabahasa bahasa Melayu. Sistem ejaan yang betul, tanda baca, kata ganda, kata majmuk, “di” sebagai imbuhan dan kata sendi nama, hukum “diterangkan menerangkan” dan sebagainya seharusnya diambil kira dalam menjalankan prosiding dalam bahasa Melayu. Walaupun terdapat segelintir pihak yang memandang isu ini sebagai perkara yang remeh, namun perlu diingat bahawa sebagai negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita seharusnya menekankan pengunaan bahasa Melayu yang menepati hukum bahasa. Sehingga kini, masih terdapat kesalahan tatabahasa yang ketara dalam penghujahan para peguam dan keputusan mahkamah di Malaysia yang perlu diambil tindakan segera.


Bukan itu sahaja, malah kebanyakan sumber rujukan undang-undang, khususnya buku-buku rujukan adalah dalam bahasa Inggeris kerana pengaruh sistem undang-undang Inggeris atau common law. Ini menjadi antara cabaran utama pengendalian prosiding undang-undang dalam bahasa Melayu. Sudah menjadi kebiasaan bahawa rujukan dalam bidang undang-undang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Apabila sumber ini wujud dalam bahasa Inggeris, ia menyulitkan para pengamal undang-undang dan anggota kehakiman untuk mengalih bahasa ilmu yang diperoleh ke dalam bahasa Melayu.


Sesungguhnya, sudah tiba masa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Bagi tujuan tersebut, penggunaan bahasa Melayu yang tepat harus diutamakan kerana mahkamah menjadi sumber rujukan yang penting menerusi keputusan kes yang dibuatnya. Penekanan kepada aspek bahasa Melayu harus dititikberatkan oleh mahkamah agar para pengamal undang-undang sentiasa mengambil inisiatif untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu. Para penyelidik dan penulis juga harus menerbitkan penyelidikan dan penulisannya dalam bahasa Melayu ke arah memperkaya khazanah ilmu undang-undang dalam bahasa Melayu di negara ini. Sokongan, kerjasaman dan sumbangan semua pihak yang terlibat dalam bidang perundangan amat penting ke arah melakukan transformasi bahasa di mahkamah-mahkamah Malaysia.



Dr. Ramalinggam Rajamanickam

Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

rama@ukm.edu.my

03-8921 6355 (samb. 6376)

Tags:

13

Shares

A+

A-