Civil
Mengutuk orang di laman sosial boleh mengakibatkan masa dalam penjara
about 7 years ago Amanda Ang[Artikel asal ditulis dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Lepas makan tengah hari, anda berjalan ke kereta untuk balik ke ofis dan inilah apa anda nampak.
Pemandu kereta ini bukan sahaja tidak meninggalkan nombor telefon bimbit di atas papan pemuka, bila anda membunyikan hon kereta, pemandu tersebut tak dikelihatan langsung di sekitar keretanya. Setelah menunggu selama 15 minit, akhirnya pemandu kereta tersebut berjalan ke keretanya dengan muka yang kelihatan tenang dan tanpa rasa bersalah. Apabila anda mengambil keputusan untuk berhadapan dengan pemandu yang tidak bertimbang rasa ini, jawapannya adalah: “apesal plak? Takleh tunggu ke?”
Pada ketika ini, anda telah mengguna setiap titik kesabaran untuk tidak menyerang pemandu ini. Dengan kemarahan yang mendidih, anda mengambil gambar pemandu dan keretanya yang menghalang kereta anda untuk berkecoh di laman sosial supaya satu dunia dapat melihat perlakuan yang jijik ini.
Tapi…. Adakah ini keputusan yang terbaik?
Ramai antara kami yang menggunakan laman sosial untuk mengadu tentang bos yang teruk, teman wanita dan lelaki yang tidak munasabah, pemandu yang tidak bertimbang rasa, dan banyak lagi. Tetapi jika anda tidak menyedari apa yang boleh dan tidak boleh disebut, tingkah laku ini mungkin sahaja akan menimbulkan kesulitan dengan pihak berkuasa.
Inilah apa yang berlaku kepada tiga orang murid di MMU yang telah menyebarkan berita yang tidak menyenangkan di laman Facebook MMU confessions. Perbuatan ketiga-tiga murid ini diadu dan sekarang dibawah siasatan pihak polis di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) untuk defamasi di Seksyen 499. JIka begitu, apakah maksud defamasi dan bilakah komen dan status anda dianggap sebagai defamasi?
Penjelasan ringkas untuk maksud defamasi adalah pernyataan yang digunakan untuk memburukkan reputasi orang lain. Mangsa defamasi ini boleh membuat pengaduan untuk dibayar pampasan.
Bagaimanakah anda membuktikan aksi defamasi ini? Menurut kes Ayob Saub v TS Sambanthamurthi [1989], tiga elemen ini mesti dibuktikan:
-
Terdapat bahan unsur berfitnah (reputasi orang tersebut diburukkan di alam awam)
-
Kandungan bahan tersebut adalah tentang mereka atau mempunyai ciri-ciri yang mengenalpastikan orang tersebut (termasuk kata-kata, gambar, lagu, dan lain-lain)
-
Bahan itu diterbit atau tersebar ke orang lain, selain orang yang berkenaan
Maksud tersirat atau “innuendo” juga dianggap defamasi. Contohnya, jika anda berkata “Jerry ni memang minat pergi tempat urut X” dan tempat urut X tersebut memang terkenal dengan “perkhidmatan istimewa”, pernyataan anda boleh dianggap defamasi. Walaupun tidak dikatakan dengan langsung, pernyataan tersebut senang ditafsirkan sebagai Jerry adalah seorang yang mempunyai “hobi yang menarik”.
Tidak kisah sama ada anda menyebut nama mereka atau tidak…
Tanggapan orang ramai adalah defamasi tidak berlaku jika nama tidak disebutkan. Ini mempunyai kebenarannya tetapi jika pernyataan tersebut mempunyai maklumat yang boleh mengenal pasti individu itu, ini masih boleh dianggap sebagai defamasi. Contoh-contohnya:
-
“Editor yang tinggi dan tampan daripada AskLegal” – AskLegal hanya mempunyai satu editor
-
“Lelaki penjual mee daripada Kedai X yang selalu berteriak pada orang” – Kata-kata anda cukup khusus untuk sesiapa sahaja yang mengunjungi kedai tersebut untuk mengenal individu ini
Jika individu tersebut boleh dicam oleh orang lain, ia dianggap defamasi.
Jadi… apa lagi yang boleh saya katakan?
Ingat lagi garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pentadbir kumpulan (admin) di bulan Mei? Garis panduan ini tidak mempunyai kuasa undang-undang, tetapi mereka direka untuk membantu kita mematuhi undang-undang.
Banyak yang boleh dikatakan, tetapi ingat mengikuti peraturan. Pada hujung minggu lepas (5 Ogos 2017), terdapat kes buli jalan yang pelik di mana mangsa tersebut menulis posting di forum Lowyat.net dengan fakta tentang apa yang telah berlaku – postingnya sah sepenuhnya (jadi ikutlah contoh individu ini). Secara amnya, ini adalah contoh perkara yang anda boleh dan tidak boleh mengatakan:
Perkara yang boleh dikatakan:
-
Kebenaran yang dibuktikan (jika seseorang adalah seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan, anda boleh memanggil mereka sebagai jenayah)
-
Komen adil dan jujur anda (tiada niat buruk)
-
Aduan kepada pihak berkuasa (seperti membuat laporan polis, atau melaporkan anak kepada ibu bapa mereka)
-
Melindungi pihak seseorang (cth. Memberitahu kakitangan anda untuk memotong klien X kerana mereka tidak pernah membayar mengikut masa)
Perkara yang tidak boleh dikatakan:
-
Khabar angin dan kata bohong
-
Spekulasi mengenai seseorang (cth. “baju-baju dia semua lawa; mesti anak manja orang kaya”)
-
Serangan kepada watak seseorang
Tambahan pula, anda juga melanggar 2 undang-undang
Biasanya, defamasi adalah kes sivil (tuntutan mahkamah) di mana mangsa menyaman anda untuk pampasan kerana kerosakan terhadap reputasi mereka. Tetapi kerana anda juga tidak mematuhi beberapa undang-undang persekutuan, kerajaan juga boleh memilih untuk mendakwa anda.
Undang-undang Pertama - Kanun Keseksaan
Seksyen 499 Kanun Keseksaan (Penal Code) menjadikannya penjenayahan untuk memfitnah orang lain:
“Sesiapa, dengan kata-kata yang diucapkan atau dimaksudkan untuk dibaca atau dengan tanda-tanda, atau oleh representasi yang dapat dilihat, membuat atau menerbitkan apa-apa perihal mengenai mana-mana orang, yang berniat untuk membahayakan, atau mengetahui atau mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa imput tersebut akan merosakkan reputasi dan boleh dikenakan denda orang itu, dikatakan, kecuali dalam kes yang kemudiannya dikecualikan, untuk memfitnah orang itu."
(Diterjemahkan oleh Asklegal, tiada penterjemahan rasmi)
Terdapat 10 pengecualian lengkap dengan contoh situasi hidup nyata dalam Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Penalti untuk defamasi? Seksyen 500 memerintah sehingga 2 tahun penjara, denda, atau kedua-duanya. Memandangkan bahawa jumlah denda tidak dinyatakan; jadi maksudnya secara teori ia tidak terhad. Setiap kes defamasi adalah unik kepada fakta-fakta kes tersebut dan secara amnya, jika pencemaran nama baik tersebut lebih serius and profilnya lebih tinggi, pampasannya akan lebih banyak. Sebagai contoh, hartawan Tan Sri Vincent Tan telah dianugerahkan RM7 juta terhadap wartawan dalam satu kes atas sebab, sebagai pemilik perniagaan berprofil tinggi, dia akan mengalami kerugian besar jika reputasinya telah digambarkan dengan salah.
Undang-undang Kedua - Akta Komunikasi & Multimedia 1998
Selain Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 menjadikannya suatu kesalahan untuk menggunakan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk tujuan yang tidak berpatutan.
Akta Komunikasi & Multimedia 1998 - Seksyen 233 (sebahagiannya):
"(1) Seseorang yang—
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar—
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran,
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain ...
melakukan suatu kesalahan."
Ya, ini termasuk menyiarkan ucapan unsur defamasi di media sosial. Penalti bagi kesalahan sedemikian adalah denda sehingga RM50,000, 1 tahun penjara, atau kedua-duanya.
Anda juga boleh menghadapi masalah jika berkongsi pos defamasi!
Di sinilah bila jadi susah untuk keyboard warriors. Setiap repost atau bahagian pernyataan defamasi adalah penerbitan tambahan, dan setiap individu yang terlibat boleh dinamakan dalam tuntutan mahkamah oleh mangsa, dan dituntut oleh kerajaan juga. Ya, 700 repost bermakna 700 orang boleh didakwa. Ini termasuk sama ada anda seorang pentadbir kumpulan atau pengguna biasa
Peraturan ini ditubuhkan pada tahun 1829 dalam kes M'Pherson v Daniels. Mana-mana orang yang menerbitkan penyataan unsur defamasi juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kenyataan sedemikian adalah benar dan adil, dan akan bertanggungjawab untuk defamasi juga. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa mereka hanya mengutarakan apa yang dikatakan orang lain ataupun mereka tidak bertanggungjawab untuk apa yang dikatakan oleh poster asal. Ini kerana mereka memilih untuk berkongsi kenyataan defamasi tersebut.
Walaupun bebas bersuara, anda masih tidak patut memfitnah orang lain
Kebebasan Bersuara yang dijamin oleh Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan tidak mutlak, dan tentunya tidak memberi hak untuk menyebarkan kebohongan tentang orang lain. Peraturan Keemasan sangat sesuai di sini: lakukan kepada orang lain seperti yang anda ingin lakukan pada diri sendiri. Walaupun sifatnya baik untuk memberitahu orang lain tentang penipu supaya mereka dapat berwaspada, tetapi tidak baik juga untuk menyebarkan perkara yang tidak benar tentang penipu tersebut, tidak kira jahat mana individu itu. Dua salah tidak bermakna ada betulnya.
Sebelum menyiarkan tentang orang yang buruk lakunya di media sosial, fikirkan akibatnya dan jangan tambah hina dengan fakta anda. Gunakan media sosial secara bertanggungjawab!