Asklegal
Home banner 6397dabc 27c9 4011 8663 9a24c9d5373c

Family,General,Property

Boleh ke LHDN minta ahli keluarga bayar cukai untuk orang dah meninggal dunia?

about 4 years ago Azar Ishak

93

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Setiap manusia yang ada di atas bumi ni, semestinya tak akan terlepas dari kematian. Tapi, kematian bukanlah pengakhiran segalanya, sebab banyak perkara yang kita akan tinggalkan kepada waris dan ahli keluarga. Ada yang tinggalkan duit, rumah, kereta dan juga… cukai? 

Cuba korang bayangkan senario ni: Korang dah berkahwin selama 5 tahun… tapi secara tiba-tiba suami/isteri korang meninggal dunia kerana serangan jantung. Dalam keadaan kesedihan dan kesunyian tu, secara tiba-tiba juga korang dapat surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang kata korang sekarang bertanggungjawab untuk membayar cukai bagi pihak suami/isteri yang dah meninggal dunia

Selain rasa terkejut dan keliru, korang juga tertanya-tanya kenapa pula korang kena bayar cukai bagi pihak yang dah meninggal dunia. 

Sebelum kita buat sebarang kesimpulan, kita semua kena tahu dulu apa yang LHDN buat ni sebenarnya sah, sebab memang ada peruntukan undang-undang yang membenarkannya

 

LHDN boleh kutip cukai, walaupun setelah seseorang tu meninggal dunia

Imej dari Giphy.

Sebenarnya, cukai yang perlu dibayar secara asasnya adalah cukai individu dan bukannya cukai perniagaan. Cukai ini juga tak sama dengan cukai pewarisan (cukai atas harta/wang pusaka) yang tak wujud di Malaysia. 

Jika seseorang tu meninggal dunia – perkara pertama yang kita kena tengok adalah sama ada dia mempunyai wasiat bertulis. Wasiat inilah yang selalunya akan ada maklumat tentang macam mana aset si mati akan diserahkan kepada siapa, selepas dia meninggal dunia. 

Kalau ada wasiat – pelaksana (pihak yang melaksanakan apa yang terkandung dalam wasiat) bertanggungjawab untuk membayar apa saja cukai yang ditinggalkan oleh si mati, dengan menggunakan harta si mati. 

Namun, kalau si mati meninggal dunia tanpa ada wasiat – waris terdekat (selalunya isteri/suami atau anak-anak) akan bertanggungjawab membayar baki cukai yang belum dibayar kepada LHDN oleh si mati. 

Maka secara mudahnya, selepas sahaja ahli keluarga kita meninggal dunia, kita secara automatik akan bertanggungjawab terhadap komitmen kewangan si mati. Kita juga kena maklumkan kematian tu kepada pihak LHDN, seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967:

“Sekiranya seseorang meninggal dunia pada tahun asas untuk satu tahun taksiran, pelaksananya hendaklah ditaksir dan dikenakan cukai untuk tahun taksiran tersebut, untuk tahun taksiran berikutnya dan, bila perlu, untuk tahun taksiran sebelumnya mengenai pendapatan bercukai bagi individu tersebut... jika ia boleh dinilai dan dikenakan cukai… kerana individu tersebut akan dinilai dan dikenakan cukai sekiranya dia tidak meninggal dunia.” 

Akta ini pada asasnya nak beritahu yang pelaksana atau waris terdekat akan bertanggungjawab dan boleh dikenakan tanggungjawab bagi pihak si mati, seperti mana dia masih hidup. LHDN akan menjalankan taksiran cukai individu terhadap si mati dan hartanya dalam tempoh 3 tahun dari hari kematiannya dimaklumkan kepada LHDN

Jadi, andainya si mati mempunyai 3 sumber pendapatan – dari pendapatan kerjanya, rumah yang disewakan dan faedah dari pinjaman peribadi yang dia bagi –LHDN akan lihat semua ni sebagai pendapatan yang akan ditaksirkan. Pelaksana/waris terdekat akan bertanggungjawab menfailkan cukai untuk si mati – sampailah yang tertunggak tu habis dibayar. 

Tapi, ada jalan keluar tertentu tentang macam mana korang boleh membayar cukai bagi pihak si mati…

 

LHDN benarkan bayaran secara ansuran

Imej dari Giphy.

Kalau korang baca artikel ni, nampak sangatlah yang korang masih hidup dan mungkin seorang pembayar cukai pendapatan. Sebenarnya, borang yang digunakan untuk memfailkan pembayaran cukai bagi pihak si mati dipanggil sebagai Borang TP, yang rupanya agak sama dengan borang BE/B yang kita selalu nampak tu. Bayaran tu nanti boleh dibuat di mana-mana pejabat LHDN, perbankan atas talian atau di pejabat pos. 

[BACA LAGI: 5 kesalahan cukai yang biasa berlaku di Malaysia, dan bagaimana mengelakkannya

Oleh itu, walaupun korang bertanggungjawab ke atas cukai tertunggak orang lain, korang masih boleh membayarnya secara ansuran, seperti mana yang dinyatakan oleh LHDN. Tapi, kalau korang gagal melakukannya, LHDN boleh memfailkan saman sivil untuk dapatkan jumlah yang tertunggak tu. Seksyen 106 Akta menyatakan:

"Cukai yang perlu dibayar dan kena dibayar dapat dipulihkan oleh Kerajaan melalui prosiding sivil sebagai hutang yang harus dibayar kepada Kerajaan."

Dengan kata lain, cukai orang yang telah meninggal dunia masih lagi dikira dan akan ada tindakan undang-undang untuk mengambilnya. Hal ni termasuklah pembekuan aset si mati sehingga tunggakan cukai dibayar. Ada juga penalti yang akan dikenakan kalau lewat menghantar Borang TP, iaitu pembayaran yang tertunggak akan dinaikkan sebanyak 10%

Kesimpulannya, apa yang kita boleh faham adalah – kematian tak dapat membebaskan kita sebagai pembayar cukai. Dengar macam menyeramkan, tapi itulah hakikat yang kita kena tahu. Jadi, untuk elakkan sebarang masalah yang lebih besar, LHDN ada menggesa pelaksana/waris terdekat si mati, untuk periksa jika ada sebarang cukai yang perlu dibayar. Moga dengan maklumat ni, urusan kita semua dapat berjalan dengan lebih lancar dan mudah. 

Tags:
wasiat
lhdn
cukai pendapatan
lembaga hasil dalam negeri
cukai si mati
akta cukai pendapatan 1967
waris
keluarga
bayar cukai

93

Shares

A+

A-