Criminal,General
5 kisah penyamaran pegawai penguatkuasa yang korang kena tahu
over 5 years ago Azar IshakKalau kamu semua jenis yang selalu buka media sosial, mesti ada dengar berita pasal tindakan penguatkuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) yang menyamar jadi pekerja kedai makan sebab nak tangkap orang Islam yang makan secara terbuka di bulan puasa. New Straits Times melaporkan, dua orang penguatkuasa tu menyamar jadi tukang masak dan pelayan.
Tapi tak lama lepas tu, MPS dalam satu kenyataan menafikan laporan NST dan kata YDP-nya tak buat kenyataan seperti mana yang dipetik media. Selain dari penafian tu, MPS juga kata yang penguatkuasaan terhadap orang tak puasa berada di luar bidang kuasanya.
Tapi di sebalik perdebatan tentang isu penguatkuasa menyamar ni, sebenarnya banyak lagi situasi-situasi tertentu yang membabitkan penyamaran pegawai-pegawai penguatkuasa. Dan antaranya adalah…
1. Pegawai JPJ menyamar jadi penumpang bas ekspres
Salah satu berita yang kita tak nak dengar, tapi selalu dengar bila tibanya musim perayaan adalah kemalangan jalan raya. Keadaan bertambah parah bila ia kadang-kadang tu sampai membawa maut. Salah satu kemalangan yang paling tragik adalah pada 13 Ogos 2007, bila 22 orang penumpang bas ekspres maut akibat terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Lepas tu, berlaku lagi beberapa kemalangan melibatkan bas ekspres, terutamanya pada musim perayaan.
Salah satu faktor utama punca kemalangan ni adalah akibat dari kelalaian pemandu bas yang memandu secara berbahaya, memandu secara mengantuk, tak ikut undang-undang dan sebagainya. Oleh itu, untuk nak pastikan para pemandu bas ni memandu dalam keadaan baik, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dah memperkenalkan operasi penyamaran. Dalam operasi ni, pegawai JPJ akan menyamar sebagai penumpang untuk pantau kelakuan pemandu bas.
Dan untuk tahun ni, 30 pegawai JPJ Selangor akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi sepanjang Operasi Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019. Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, penyamaran tu akan dilakukan setiap hari di beberapa destinasi di Selangor bermula 29 Mei sampai 13 Jun.
“Kita akan tempatkan anggota JPJ dalam bas secara samaran untuk melihat dan memastikan pemandu bas tidak melakukan kesalahan antaranya pandu melebihi had laju, menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Apabila kesalahan dibuat pemandu, anggota atau pegawai JPJ yang membuat samaran dalam bas boleh mengarahkan bas untuk berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran dan mengeluarkan saman kepada pemandu atau saman akan dikeluarkan kepada pemandu sebaik bas berkenaan tiba di lokasi terakhir iaitu di terminal.” – Katanya dipetik dari Berita Harian.
Selain dari mengesan kesalahan-kesalahan membabitkan pemandu bas, penyamaran ni juga bawa penemuan lain macam mengesan ‘ulat tiket’. Jadi boleh dikatakan, penyamaran ni adalah “serampang dua mata”. Tapi selain dari penyamaran sebegini, ada juga penyamaran yang melibatkan tempoh masa tertentu. Dan itulah yang dibuat oleh…
2. Pegawai Jabatan Agama menyamar jadi ahli kumpulan ajaran sesat
Seperti mana yang kita tahu, penularan ajaran sesat kadang-kadang boleh menimbulkan kegusaran dan masalah dalam masyarakat. Malah, ada juga kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang bagi ancaman kepada keselamatan negara macam kes Ajaran Tuhan Harun suatu ketika dulu.
Oleh itu, bagi membendung penularan ajaran sesat ni, ia menjadi tugas pihak berkuasa agama negeri untuk mengenal pasti pihak mana yang mendokong dan mengorganisasikan ajaran itu. Kalau kita lihat Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai contoh, ada peruntukan khas di bawah Seksyen 7, Doktrin Palsu yang membolehkan seseorang tu didenda dan dipenjara kerana membawa ajaran sesat.
Tapi nak kesan aktiviti ajaran sesat ni bukannya senang, sebab kena ada banyak kajian dan risikan. Oleh itu, antara apa yang cuba dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah, pegawai-pegawainya akan menyamar jadi sebahagian daripada ahli kumpulan ajaran yang disyaki sesat tu, untuk tengok sendiri sama ada ajaran tu bercanggah atau tak.
Hasil dari penyamaran dan risikan tu kemudiannya akan dibawa ke Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti, untuk menentukan kedudukan ajaran tu. Tapi JAIS tak la terus tangkap atau buat serbuan, mereka selalunya akan buat sesi kaunseling dan akan berdialog dengan mereka dulu. Setakat tahun 2017, 39 ajaran sesat dah dikesan di Selangor, dan 19 daripadanya masih bergerak aktif.
Tapi macam mana pula dengan pihak polis?
3. PDRM terkenal dengan penyamaran Cawangan Khas-nya
Salah satu unit yang tekenal dan penuh rahsia dalam PDRM adalah Cawangan Khas atau Special Branch (SB). Unit ni memang terkenal dengan kepakaran risikannya sejak zaman sebelum merdeka lagi. Menurut buku “Malaya’s Secret Police 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency” oleh Leon Comber, tugas sebenar SB adalah menyelinap masuk ke dalam kumpulan musuh dan mengumpulkan maklumat.
Contohnya, masa zaman darurat, SB dah buat penyamaran dalam Min Yuen (sebuah gerakan komunis) untuk mencari maklumat dan apa je usaha subversif yang mahu dilakukan oleh komunis. Malah, melalui penyamaran ni juga, ramai ahli komunis yang berjaya dipengaruhi supaya meninggalkan perjuangan komunis.
Dalam buku – Misi Rahsia Pasukan F (tulisan Azian Aziz) pula, Cawangan Khas ada menubuhkan satu pasukan yang dikenali sebagai ‘Pasukan F’ pada Mac 1971. Antara cara siasatan utama diorang adalah dengan gunakan teknik penyamaran. Biasanya, pasukan ni akan menyamar sebagai orang kampung ataupun pencari rotan untuk mengesan komunis. Hasilnya, Pasukan F berjaya membunuh sembilan pengganas komunis di hutan Kulim, Kedah dan berjaya halang cubaan untuk menghidupkan semula aktiviti pengganas komunis di Malaysia.
Bagaimanapun, di zaman moden ni, SB dah tak tertumpu kepada aktiviti komunis lagi, tapi kepada ancaman lain macam pengganas. Sebagai contoh, Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman dah melakukan risikan dan pemerhatian terhadap kumpulan Islamic State (IS) sejak bertahun-tahun. Kesannya, banyak aktiviti pengganas dan rancangan diorang dapat ditumpaskan.
Dalam perkembangan lain, baru-baru ni, sebuah parti politik di Sabah dah bertindak menghalang SB dari datang ke sidang media mereka. Pemimpin kanan parti tu kata, kalau SB nak datang, mereka kena beritahu identiti dan tak boleh menyamar sebagai wartawan. Akan tetapi, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyifatkan tindakan parti tu sebagai “kebudak-budakan”. Jelasnya, kehadiran polis ke sesuatu majlis adalah untuk memastikan keamanan serta kelancaran majlis tanpa sebarang kekecohan.
“Sebenarnya, tidak kira Cawangan Khas (SB) atau bukan SB, kehadiran mereka itu untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan, itu sahaja… Katalah sewaktu buat sidang media, mereka keluar hujah yang menyakitkan hati atau berlaku kekecohan, kalau ada polis lebih mudah dapat jamin keselamatan.” – Abdul Hamid Bador, dipetik dari Berita Harian.
Tapi macam mana pula dengan hak pengguna yang selalu kena tipu ni? Dan hal ni membawa kita ke point seterusnya…
4. Pegawai Perdagangan Dalam Negeri menyamar untuk kesan peniaga perdaya pengguna
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditubuhkan pada 27 Oktober 1990, iaitu sebuah kementerian yang berperanan untuk menjaga kepentingan dan hak-hak pengguna. Dalam masa sama, kementerian ni juga ada Bahagian Penguatkuasaan-nya sendiri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang perdagangan dan melindungi hak-hak pengguna.
Oleh itu, pasukan ni dah terlibat dalam pelbagai operasi membenteras aktiviti tak bermoral para peniaga. Dan apa yang pasti, siasatan tu juga kadang-kadang melibatkan aktiviti penyamaran pegawai-pegawainya. Sebagai contoh, pada tahun lepas, penguatkuasa KPDNHEP dah bertindak menyamar sebagai pelanggan dalam operasi untuk menyerbu dua premis dipercayai menjual barangan tiruan.
Hasilnya, KPDNHEP dah merampas pelbagai barang tiruan bernilai RM5,150, dan menahan dua lelaki berusia 29 dan 44 tahun masing-masing dipercayai pemilik kedua-dua premis berkenaan. Selain tu, KPDNHEP pun bertindak menyamar di beberapa kompleks membeli-belah, macam Kota Raya, Low Yat Plaza dan Kompleks Pertama untuk memantau penjualan barangan tiruan.
Tapi rupa-rupanya, operasi KPDNHEP tak terhad kepada para peniaga je. Sebab pada Mac lalu, ada anggota KPDNHEP yang menyamar sebagai penonton wayang dan akan tahan orang yang merakam filem di pawagam. Kaedah ni adalah sebahagian dari Operasi Hak Cipta Membanteras Kegiatan Rakaman Dalam Panggung Wayang KPDNHEP.
Itu belum masuk lagi penyamaran bila tibanya musim perayaan seperti memantau harga barangan, tindakan peniaga yang menyorokkan barangan atau menjual barangan melebihi harga yang ditetapkan.
5. SPRM menyamar untuk uji tahap integriti pegawai penguatkuasa
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, aktiviti ‘wang perlindungan’ masih lagi berleluasa di kalangan pegawai penguatkuasa di negara ni. Berdasarkan risikan pihaknya, seorang pengusaha rumah urut tak berlesen membayar antara RM1,000 hingga RM10,000 kepada pelbagai agensi penguatkuasa. Malah, beberapa orang awam seperti samseng kawasan dan PR (orang penghubung) kepada pegawai penguatkuasa turut terlibat mengutip wang rasuah secara bulanan.
Bagi membendung aktiviti ni dan nak menguji tahap integriti pegawai penguatkuasa, SPRM dah menjalankan operasi secara penyamaran di beberapa negeri bagi menahan pihak-pihak yang terlibat.
“Hello! sudah bagi salam pada Abang Long kawasan?” – Kata seorang lelaki kepada pegawai SPRM yang menyamar. Dipetik dari NST.
Hasilnya, dalam Op Jejak dan Op Kota Raya yang dilancarkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen tahun ni, SPRM dah menahan 14 orang, termasuk 7 orang pegawai agensi penguatkuasa dan tiga orang awam sebab terlibat melindungi pusat-pusat urut haram. Bagaimanapun menurut Azam Baki, didapati agensi-agensi terlibat masih lagi tak ambil iktibar dengan perkara macam ni.
Selain tu, sejak kebelakangan ni, SPRM juga jalankan operasi penyamaran ketika berlangsungnya pilihan raya kecil – macam di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland. Pegawai-pegawainya yang berpakaian biasa akan menghadiri pelbagai acara serta kempen untuk buat pemantauan awam. Perkara ni dibuat untuk memastikan ada atau tak elemen rasuah terjadi sepanjang tempoh PRK tu.
Sebenarnya, operasi penyamaran ni adalah sebahagian dari pendekatan siasatan baru yang diperkenalkan oleh SPRM untuk mengoptimumkan penyiasatan dan pengunaan pakar. Antara lain yang akan diperkenalkan oleh agensi tu adalah termasuk siasatan berasaskan perisikan, pengesanan aset, penyiasatan berasaskan analisis kewangan dan sebagainya.
Namun begitu, mesti ada di antara kamu semua yang tertanya-tanya sama ada memang boleh atau tak pegawai penguatkuasa melakukan penyamaran. Dan hal ni akan membawa kita ke point seterusnya…
Bukti dari operasi penyamaran boleh diterima di mahkahmah
Sebenarnya, dalam banyak operasi penyamaran – istilah “risikan” selalu digunakan. Sebagai contoh, PDRM mengatakan – Cawangan Khas-nya menjalankan tugas selaras dengan apa yang diperuntukan di bawah Seksyen 3(3), Akta Polis 1967.
Mengulas hal ni, peguam Arik Zakri berkata, secara umumnya cara mengesan dan pencegahan jenayah sama sahaja di semua agensi penguatkuasa. Dan apa yang lebih penting adalah – kalau sesuatu bukti tu relevan untuk sesuatu pertuduhan, ia boleh je diterima di mahkamah, walaupun cara bukti itu dikumpulkan tidak menepati prosedur yang betul. Tambahnya, kita juga perlu tahu bahawa pemberi maklumat ada kekebalan, seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Malah, akta ni merangkumi semua agensi penguatkuasa.
"Bukti yang didapati secara tidak mengikut undang-undang boleh diterima dengan syarat ia berkaitan dengan pertuduhan itu. Prinsip umum ini tertakluk kepada beberapa pertimbangan yang perlu dibuat oleh Mahkamah, contohnya prinsip supaya kesan prejudis (kemudaratan) tidak melebihi nilai probatif sebarang bahan bukti tersebut.” – Arik Zakri, katanya kepada Asklegal.
Tambahnya, ada juga akta seperti – Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membenarkan pihak polis memintas hubungan telekomunikasi dan bertindak sebagai agen provocateur iaitu menyamar sebagai orang tengah atau pembeli dalam sesuatu penjualan dadah supaya dapat memerangkap pesalah sindiket. Hal ni diperkuatkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010, apabila mahkamah memutuskan bahawa kaedah penyamaran adalah sah untuk membendung aktiviti pengedaran dadah selaras dengan Seksyen 40A, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain tu, kita juga boleh lihat Seksyen 114, Akta Keterangan 1950 berkenaan dengan anggapan mahkamah.
Menurut Arik, dari seksyen ini – ia jelas mengatakan tindakan agensi kerajaan itu dianggap telah dijalankan dengan betul, sehingga ia boleh dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, sama ada tindakan penyamaran itu betul atau salah, ia masih lagi diperdebatkan. Ini kerana, ia sekali lagi membawa kita kepada sifat bukti itu sendiri. Kalau bukti tu releven, ia masih lagi boleh diterima di mahkamah.
Tapi, apa yang pasti adalah…
Awak boleh dipenjara kalau menyamar jadi penjawat awam
Walaupun penguatkuasa boleh menyamar untuk buat siasatan, kamu semua sebagai masyarakat awam tak boleh menyamar jadi penjawat awam untuk apa-apa sebab sekalipun. Ini kerana, dah jelas bahawa menyamar sebagai penjawat awam adalah kesalahan di bawah Seksyen 170, Kanun Keseksaan;
Oleh tu, janganlah nak gatal-gatal nak menyamar jadi polis, JPJ – etc. Lagi satu, bila kamu semua nak buat perkara yang melanggar undang-undang tu, fikirkanlah masak-masak akibatnya. Sebab… siapa tahu mungkin ada mata yang memerhati?