Asklegal
Home banner 6e4c20ab 0dc8 42f7 adb0 f6af13565181

Criminal,General

4 kanak-kanak hilang setiap hari di Malaysia, ini yang kita boleh lakukan tentangnya...

about 5 years ago Azar Ishak

40

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Dari tahun 2012 sampai 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia. Dengan mengambil statistik pada tahun 2017 pula, boleh dikatakan purata 4 orang kanak-kanak hilang untuk setiap hari di negara ni. Bagaimanapun, angka ni termasuk dengan kes-kes lain macam – remaja lari dari rumah, kanak-kanak yang diculik untuk tebusan, pemerdagangan kanak-kanak, ataupun eksploitasi seksual. Walaupun ada di antara mereka ni yang balik dalam keadaan selamat, tapi ada juga yang sampai sekarang masih lagi belum ditemui.

Kes kehilangan kanak-kanak selalunya dapat perhatian utama dari pihak berkuasa. Sebab itulah, bila ada je kes, kita akan nampak polis umumkan kes tu di NUR Alert melalui Facebook atau laporan berita. NUR Alert ni sebenarnya satu sistem amaran awal untuk kes kanak-kanak hilang yang berumur 12 tahun dan ke bawah. Baru je pada Isnin lepas (4 Mac), PDRM buat pengumuman NUR Alert tentang seorang kanak-kanak 3 tahun, Nur Aisyah Aleya Binti Abdullah yang dilaporkan hilang.

NUR Alert – Nur Aisyah yang mana mayatnya telahpun ditemui. Imej dari RTM

Bagi yang nak tahu, NUR Alert ni diperkenalkan melalui Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, yang mana dasar ni diperkenalkan oleh Malaysia sebagai pengiktirafan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC). Matlamat NUR Alert ni adalah untuk memastikan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah dilindungi dari sebarang eksploitasi, keganasan dan pengabaian, melalui hantaran makluman untuk penguatkuasaan, media dan agensi penyiaran.

Melalui cara ni, Polis akan terima maklumat daripada masyarakat untuk membantu usaha pencarian kanak-kanak yang hilang tu. Maknanya, semakin ramai yang membantu, semakin cerah peluang kanak-kanak tu dijumpai dalam keadaan baik dan selamat. 

Jadi, kita dah jelas tentang fungsi NUR Alert, tapi kita juga nak tahu macam mana dan bila sistem ni bermula?

Ada kisah tragik di sebaliknya…

NUR Alert sebenarnya adalah singkatan dari National Urgent Response (NUR) Alert. Tapi lebih awal dari tu, ia dinamakan sebagai National Urgent Response Information Network (NURIN) sebelum dipendekkan. Nama awal ni datang lepas berlakunya kes penculikan dan pembunuhan tergempar melibatkan seorang kanak-kanak 8 tahun, Nurin Jazlin pada tahun 2007.

Setahun lepas tu, pakcik Nurin dan sekumpulan blogger dah mencadangkan idea supaya diperkenalkan sistem sedemikian. Diorang dah menghantar kertas cadangan kepada Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Akhirnya selepas tiga tahun, sistem NUR Alert diperkenalkan dan mula dilaksanakan

Selain tu, pengenalan NUR Alert sebenarnya berdasarkan satu program yang berjaya di Amerika Syarikat (AS), “AMBER Alert”. Sistem ni dapat nama dari peristiwa hitam penculikan dan pembunuhan seorang kanak-kanak berumur 9 tahun, Amber Hagerman, di Arlington, Texas, pada tahun 1996. AMBER Alert juga adalah akronim bagi America’s Missing Broadcasting Emergency Response. 

Kes pembunuhan Amber sampai ke hari ini masih belum selesai. Imej dari True Crime Files.

Menurut seorang Professor Madya Keadilan Jenayah, Universiti Nevada, Timothy Griffin, sistem AMBER Alert setakat ini mencatatkan 20% kadar kejayaan dalam menyelesaikan kes penculikan kanak-kanak sejak diperkenalkan pada tahun 1996.

Walaupun tak ada banyak maklumat tentang kejayaan NUR Alert, tapi seperti mana yang kita tahu, pihak berkuasa sentiasa cari jalan untuk tambah baik sistem sedia ada. Pada tahun 2016, PDRM dah bekerjasama dengan Facebook untuk memperkembangkan lagi NUR Alert melalui platform Facebook. Pada bulan lepas, PDRM dah berkerjasama pula dengan GRAB, untuk dapatkan kerjasama daripada pemandu-pemandu dan penumpang Grab dalam usaha pencarian kanak-kanak hilang.

Tapi, ada satu lagi inisiatif NUR Alert yang melibatkan kita semua...

Ini caranya untuk korang dapat notifikasi NUR Alert dengan cepat…

Pada 1 Mac 2019 lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada mengumumkan yang NUR Alert akan turut disalurkan melalui Multimedia Messaging Service (MMS) ke phone kita. Dekat MMS tu nanti, akan ada gambar dan identiti kanak-kanak yang hilang. Tapi, korang mesti subscribe servis ni dulu secara percuma, seperti mana yang ditunjukkan di bawah.

Cara nak subscribe NUR Alert. Imej dari mcmc.gov.my

Kebanyakan daripada kita selama ni, selalu buat tindakan sendiri dengan kongsi berita pasal kanak-kanak hilang di media sosial. Walaupun media sosial boleh dikatakan sebagai salah satu platform penyebaran maklumat yang cepat, tapi kadang-kadang maklumat yang dikongsikan tu mungkin tak tepat atau dah lapuk

Lagi satu, walaupun kita ada niat yang baik, tapi kalau maklumat yang dikongsikan tu tak tepat, ia juga boleh menambahkan lagi masalah. Bukan je maklumat palsu yang mengelirukan, ia juga boleh membawa pada suasana panik – macam insiden melibatkan Pusat Membeli-belah 1 Utama ni:

Klik sini kalau nak baca catatan asal

Masa juga jadi antara faktor kritikal bila adanya kes kanak-kanak hilang. Berdasarkan Pusat Kebangsaan Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi Amerika Syarikat (NCMEC), 48 jam pertama lepas seseorang kanak-kanak hilang adalah waktu paling kritikal untuk mana-mana kes sekalipun. Oleh itu, antara cara terbaik untuk membantu adalah dengan subscribe sumber rasmi, yang maklumatnya disahkan dan dikemaskini. Sebab itulah kalau kita dapat maklumat dari MMS NUR Alert lebih baik, sebab ia lebih pantas dan efisien.

Kita kena lakukan banyak lagi untuk terus berjaga-jaga

Malaysia sebenarnya ada undang-undang yang tegas untuk kesalahan menculik – sesiapa yang didapati bersalah menculik boleh berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan (Seksyen 3, Akta Penculikan 1961). Tapi pencegahan je tak cukup, memandangkan kes penculikan masih lagi berlaku. Ini maknanya, kita semua tetap kena berjaga-jaga.

Macam kisah NUR Alert – Nur Aisyah Aleya yang kitorang ceritakan di awal tadi. Dua hari lepas maklumat tu disebarkan, kita dikhabarkan dengan pengakhiran tragik Nur Aisyah. Berdasarkan siasatan awal, sepasang suami isteri dah ditahan bagi membantu siasatan, bila mereka disyaki meninggalkan mayat Aisyah di Hutan Gunung Raya, selepas kanak-kanak tu mengalami sawan ketika mandi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan tempat mayat Nur Aisyah ditemui. Imej dari mStar 

Kisah tragik Nur Aisyah berakhir dengan kesedihan, tapi hakikatnya masih ramai lagi kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Portal Rasmi Kanak-Kanak Hilang PDRM. Ini menunjukkan yang NUR Alert bersangkutan dengan hal hidup dan mati. Jika lebih ramai masyarakat yang berjaga-jaga, mungkin kita dapat elakkan tragedi sebegini dari berulang

Jadinya mulai sekarang, korang boleh minta kenalan korang untuk mendaftar dengan NUR Alert. Kalau korang nampak muka yang agak familiar atau aktiviti mencurigakan, korang patut hubungi Talian NUR/KASIH – 15999 atau nombor spesifik yang disiarkan dalam setiap edaran NUR Alert.

 

 

Tags:
kanak-kanak hilang di malaysia
nur alert
talian nur
sejarah nur alert
penculikan kanak-kanak
pdrm kanak-kanak hilang

40

Shares

A+

A-