Criminal
ISU MELOKAP DAN MEMERIKSA “TRANSEKSUAL” YANG DITAHAN
almost 9 years ago RamalinggamPicture credit: chinanews.com
Apakah definisi transeksual?
Isu transeksual bukanlah suatu isu yang baharu di Malaysia. Isu ini telah lama wujud dan kini menjadi semakin hangat apabila golongan ini mula menuntut pelbagai hak di sisi undang-undang.
Meskipun Malaysia tidak memberikan pengiktirafan undang-undang kepada golongan ini, namun kewujudan mereka menuntut semua pihak untuk meneliti beberapa isu penting yang menyentuh hak mereka yang asas.
Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan "transeksual" sebagai seseorang (lelaki atau perempuan) yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi dan kadang-kadang menukar organ jantinanya melalui pembedahan.
Picture credit: metro.co.uk
Masalah transeksual bila dalam tahanan polis
Apabila seseorang transeksual ditahan, isu penempatannya di dalam lokap haruslah difikirkan terlebih dahulu. Umumnya, dalam menempatkan seseorang di dalam lokap, identiti dalam kad pengenalan seseorang atau pasport akan digunakan oleh pihak polis sebagai indikator dalam menentukan jantina individu yang ditahan.
Jika tertera lelaki, maka dia akan ditempatkan di dalam lokap lelaki dan sebaliknya, jika kad pengenalannya menunjukkan perempuan, maka dia akan ditempatkan di dalam lokap wanita.
Isu ini sangat penting untuk diambil tindakan segera kerana melibatkan hak asasi seseorang yang ditahan. Walaupun transeksual merupakan gender yang tidak diiktiraf oleh undang-undang, namun hak asasi setiap insan perlu dilindungi daripada dicabuli.
Picture credit: talkingpointsmemo.com
Sebagai contoh, seorang yang asalnya lelaki dari segi fizikal bertukar menjadi wanita setelah menjalani pembedahan pertukaran jantina. Apabila individu ini ditahan kerana disyaki melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang, di dalam lokap manakah dia akan ditempatkan?
Adakah di dalam lokap wanita ataupun di dalam lokap lelaki? Jika di dalam lokap wanita, adakah bersama-sama dengan wanita yang lain? Jika di dalam lokap lelaki, adakah bersama-sama dengan lelaki yang lain?
Persoalan ini mungkin nampak mudah tetapi implikasinya sangat besar
Jika transeksual itu ditempatkan di dalam lokap wanita, wanita yang lain di dalam lokap tersebut akan berasa kurang selesa dengan kehadiran seseorang yang asalnya lelaki. Manakala, jika dia ditempatkan bersama-sama dengan lelaki yang lain, kemungkinan ketidakselesaan akan berlaku sama ada kepada transeksual berkenaan mahupun suspek yang lain.
Tambahan pula, apabila transeksual tersebut ditempatkan di dalam lokap lelaki, kemungkinan berlaku jenayah yang lain seperti jenayah yang bertentangan dengan aturan tabii adalah tinggi.
Selain isu melokap, perkara lain yang penting untuk diberikan perhatian ialah isu pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap transeksual yang ditahan.
Siapakah yang akan memeriksa tahanan transeksual?
Apabila seorang transeksual ditahan, siapakah yang akan memeriksa transeksual tersebut?
Dalam isu ini juga, umumnya amalan yang sama akan digunakan, iaitu penentuan jantina orang yang ditahan dibuat berdasarkan kad pengenalan atau pasport. Persoalannya, adakah penentuan jantina seseorang berdasarkan kad pengenalan atau pasport sudah memadai untuk membolehkan seseorang pegawai polis untuk memeriksa seseorang transeksual yang ditahan?
Walaupun isu ini nampak remeh, namun ia merupakan perkara yang menjadi perbincangan di negara-negara yang mengiktiraf transeksual. Ini tidak bermakna bahawa Malaysia boleh mengabaikan isu ini kerana kita tidak pernah mengiktiraf golongan transeksual. Dalam konteks ini, isunya bukan pengiktirafan, tetapi pemeliharaan hak asasi seseorang sebagai manusia di muka bumi ini.
Jika haiwan diberikan perlindungan dan jaminan, mengapakah golongan ini tidak boleh diberikan perlindungan daripada pencabulan atau penindasan dalam konteks hak asasi yang asas?
Picture credit: themalaymailonline.com
Pihak berkuasa perlu mempertimbangkan isu transeksual
Dari aspek yang lain pula, jika kedua-dua isu yang dibangkitkan di atas ingin diambil tindakan, apakah alternatif yang ada bagi pihak polis dalam hal ini?
Dalam isu melokap, adakah pihak polis perlu menyediakan lokap khas kepada transeksual secara umum atau perlu menyediakan lokap khusus bagi transeksual lelaki dan transeksual wanita. Persoalan lain yang mungkin ditimbulkan ialah bagaimana pula dengan golongan gay, lesbian dan biseksual? Adakah mereka ini juga perlu dikenal pasti dan diasingkan lokapnya daripada orang-orang lain apabila mereka ditahan?
Kesukaran dalam memikirkan alternatif juga timbul dalam isu pemeriksaan fizikal transeksual yang ditahan. Adakah polis wanita perlu memeriksa transeksual lelaki yang menggelar dirinya sebagai wanita? Jika ini menjadi ukuran, maka sukar untuk menyelesaikan isu ini kerana kepentingan pihak polis dalam menjalankan tanggungjawabnya juga perlu diambil kira supaya alternatif yang dicadangkan tidak menjejaskan mana-mana pihak.
Sesungguhnya, isu melokap dan memeriksa transeksual yang ditahan bukanlah satu perkara yang mudah untuk diambil tindakan. Apa yang perlu dingat ialah langkah yang ingin diambil (jika ada) harus memikirkan implikasi semasa dan susulan yang mungkin timbul daripadanya.
Dr. Ramalinggam Rajamanickam
Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
rama@ukm.edu.my
03-8921 6355 (samb. 6376)