Civil
Apakah langkah yang boleh diambil jika anda ditampar di khalayak umum?
about 7 years ago khaliq[Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Beberapa bulan lalu, suatu rakaman video telah tertular di laman sosial di mana pengarah filem tempatan, David Teo telah ditampar di khalayak ramai, di hadapan kamera dan di hadapan Perdana Menteri. Kejadian berlaku di Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 pada 17 Mei yang lalu. Pelakon dan pelawak, Sulaiman Yassin telah menampar David Teo yang dikatakan tidak menghormati PM Najib. Klik sini untuk melihat video.
Imej screenshot dari Youtube oleh Free Malaysia Today
Bagaimanapun, situasi dikatakan telah terlerai. Kedua-dua pihak bersalaman pada akhir majlis dan menurut David Teo, beliau tidak membuat apa-apa dakwaan.
Baru-baru ini, pelakon Sharnaaz Ahmad didenda RM1,200 selepas mengaku bersalah menumbuk seorang pekerja Bangladesh di Kelab Desa & Golf Kuala Lumpur.
Kejadian tersebut membawa kita kepada beberapa perkara…apa yang boleh (dan harus) anda lakukan sekiranya anda ditampar di hadapan orang ramai? Ini juga merangkumi bentuk keganasan yang lain iaitu bertumbuk, mengasak atau menendang.
Jadi, harus diingat bahawa…
JANGAN tampar balik!
Andai kata anda adalah mangsa keadaan (ditumbuk atau ditampar), dinasihatkan supaya jangan membalas melainkan dalam keadaan yang tidak mengizinkan (nyawa anda dalam bahaya). Sebaliknya:
- Menjauhkan diri dari si pemukul.
- Bertindak untuk mempertahankan diri
- Hanya menolak si pemukul itu
- Meminta bantuan dari pihak penguasa terdekat
Ini untuk tidak memperbesarkan masalah yang berlaku, dan supaya tindakan undang-undang tidak dikenakan terhadap anda. Dalam Seksyen 96 – 106 Kanun Keseksaan, mengatakan anda mempunyai hak untuk mempertahankan diri tetapi masih ada beberapa hal yang masih samar-samar tergantung situasi kes. Ini termasuk hak anda untuk mempertahankan diri ditarik - anda kemungkinan boleh dikenakan tindakan – jika sempat menghubungi pihak polis, dan tidak mengancam nyawa si penyerang yang hangat diperdebatkan:
Seksyen 99 Kanun Keseksaan - Perbuatan yang tiada hak pertahanan persendirian terhadapnya:
(3) Seandainya mangsa sempat untuk mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa daripada serangan atau perbuatan penyerang maka keadaan ini juga tidak mewajarkan penggunaan hak pertahanan persendirian
(4) Mangsa tidak dibenarkan di bawah undang undang untuk mendatangkan kerosakan kepada penyerang lebih daripada yang perlu dilakukan
Dengan kata lain, jika anda yang memulakan, andalah yang akan kena. Sama juga kalau anda membalas pukulan tersebut.
Langkah pertama, lapor polis
Hanya untuk illustrasi. Imej asal dari Ipoh Barat Voice.
Ada dua langkah yang boleh diambil – dari segi jenayah atau awam. Laporan polis adalah perlu untuk memulakan siasatan jenayah.
Setelah laporan dibuat, pihak polis boleh menjalankan siasatan dan bergantung kepada hasilnya, si pelaku akan didakwa di bawah kesalahan jenayah. Maksudnya di sini, si pelaku akan dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan.
Sebagai contoh, orang yang menampar anda itu akan didakwa di bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan oleh sebab telah menyakiti/melukai orang lain dengan sengaja di mana akan dikenakan hukuman (Seksyen 323) penjara selama satu tahun maksimum dan/atau didenda RM2,000 jika didapati bersalah.
Ambil perhatian bahawa, dengan hanya mengugut dan mengangkat tangan seperti hendak menampar, itu boleh dikatakan sebagai suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan bagi sesetengah kes. Sebaliknya tidak jika ugutan cuma secara lisan.
Seksyen 351 Kanun Keseksaan – Serangan:
“..serangan tidak memerlukan apa-apa sentuhan, tetapi memadai tindakan penyerang, sama ada melalui apa-apa isyarat atau persiapan yang menimbulkan kebimbangan kepada mangsa yang merasa dirinya akan dikenakan kekerasan jenayah.”
Sama ada pihak polis mendakwa si pelaku atau tidak, laporan polis yang telah dibuat itu boleh digunakan untuk langkah selanjutnya – tuntutan mahkamah.
Selanjutnya, tuntutan mahkamah
Tuntutan mahkaman adalah satu lagi langkah yang boleh diambil jika anda di tampar di hadapan orang ramai.
Sekiranya anda bercadang untuk mengeluarkan saman terhadap seseorang itu, terdapat dua perkara yang harus anda pertimbangkan - sama ada mengeluarkan saman semasa siasatan polis sedang berjalan atau sebagai "backup" dalam situasi di mana tiada apa-apa dakwaan dibuat. Ini disebabkan kos tuntutan mahkamah adalah mahal dan mengambil masa, di mana anda harus menggunakan khidmat peguam dan harus ada waktu untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah. Adalah lebih baik jika anda mendapatkan khidmat nasihat dari perguam terlebih dahulu jika mahu membuat tuntutan mahkamah.
Sekiranya tuntutan mahkamah dibuat, ini sudah termasuk di bawah undang-undang tort. Undang-undang tort ini agak rumit untuk diterangkan tetapi pada dasarnya, ia adalah satu cara di mana anda boleh menuntut kerugian yang dibuat oleh pihak ketiga.
[Baca lebih lanjut: What is tort law?]
Peguam anda boleh memberi khidmat nasihat berkenaan tort jenis mana yang dipakai untuk mengeluarkan saman ke atas seseorang, tergantung keadaan kes itu. Tetapi biasanya dipakai Tort of Assault untuk kes yang dibincangkan dalam artikel ini. Dalam Tort of Assault, ia tidak seharusnya ada kontak fizikal, menggunakan gerak isyarat untuk memukul sahaja sudah memadai untuk menjadi suatu kesalahan - sama seperti yang disebut dalam Kanun Keseksaan.
Ada juga cara lain yang boleh diambil seperti meminta si pelaku itu membuat kenyataan terbuka meminta maaf di hadapan khalayak umum jika anda ditampar/dipermalukan di depan orang ramai. Kenyataan sedemikian boleh dibuat di laman sosial seperti di Facebook atau - jika mahu lebih dramatik - dipaparkan di dalam suratkhabar. Sekali lagi, peguam anda boleh membantu anda, jangan risau.
Adanya saksi/bukti amatlah membantu
Adanya saksi yang saksama boleh membantu menyokong kenyataan yang anda buat jika terlibat dalam situasi sebegini. Harus diingat – pihak satu lagi boleh memberi kenyataan yang sebaliknya (palsu).
Mendapatkan kenyataan secara langsung dari pihak saksi yang berada di tempat kejadian boleh dijadikan bukti bagi membantu siasatan pihak polis. Lagi baik jika adanya rakaman video baik dari telefon pintar maupun CCTV.
Akhir sekali, janganlah anda memulakan dahulu atau termakan dengan hasutan untuk membalas sungguhnya kita mudah terjebak dalam situasi demikian. Ditampar adalah satu hal tetapi jika ditambah dengan tindakan undang-undang? Ia menjadi 'tamparan' yang lebih hebat.