Property
Betul ke bercucuk tanam di luar pagar rumah salah di sisi undang-undang?
almost 6 years ago adlykiddySudah menjadi satu benda yang normal untuk kita melihat tuan rumah bercucuk tanam di depan rumah mereka dan kebiasaanya tumbuh-tumbuhan tersebut tak melangkaui ke jalan raya atau jalan tar dan hanya berada di atas bahu jalan sahaja. Tapi persoalannya di sini adakah ia salah di sisi undang-undang memandangkan ia telah pun melebihi dari tanah tuan rumah. Kalau dibenarkan, siapa yang perlu tuan rumah tersebut meminta kebenaran? Jiran-jiran atau / dan pihak kerajaan? Dalam artikel ni kami akan membincangkan isu tersebut, jom kita lihat apa kata undang-undang…
Undang-undang kata boleh tapi ada syarat
Secara am-nya tuan rumah boleh menghubungi pihak Majlis Perbandaran tempatan mereka untuk sebarang modifikasi atau bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah. Undang-undang dan garis panduan ni pula telah ditulis oleh pihak Jabatan Perancangan dan Desa (PLAN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurut garis panduan yang telah dikeluarkan:
“Undang-Undang Kecil 18 (UUK18) di bawah Undang- Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) membenarkan sesuatu bangunan yang telah siap dan mempunyai sijil fitness diubahsuai tertakluk kepada dua keadaan berikut, iaitu;
a) pengeluaran permit oleh PBT ke atas pelan lakar yang dikemukakan sebagai memberi kebenaran untuk menjalankan kerja ubahsuai yang dipohon; atau
b) PBT meluluskan pelan-pelan yang dikemukakan oleh PSP dan setelah kerja-kerja ubahsuai siap, CCC akan dikeluarkan.” – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Jadi agaknya semua dah tau tuan rumah boleh buat modifikasi rumah tapi kena ikut peraturan yang telah ditetapkan. Tapi takkan nak tanam pokok cili pun kena ada sijil? Menurut PLAN, garis panduan yang dikeluarkan mereka untuk bercucuk tanam dan pengubah suaian di lorong belakang rumah hendaklah di baca sekali dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS), 1984.
Dengan berkata sedemikian, PLAN membenarkan tuan rumah untuk bercucuk tanam dengan beberapa perkara yang perlu dipatuhi.
Yang pertama sekali ia hendaklah mematuhi garis panduan keselamatan api dari Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (undang-undang tersebut telah diselaraskan dan wajib diguna pakai untuk semua negeri). Senang cerita pengubah suaian yang dilakukan tidak menyebabkan kebakaran merebak dan memudahkan untuk orang melarikan diri jika berlaku kebakaran.
Yang kedua pula adalah aspek kebersihan, diikuti dengan kesendirian (privacy), tanpa menghiraukan keselamatan, dan juga mengambil kira tentang kemesraan pengguna lain. Undang-undang ni dipatuhi oleh semua pemaju rumah, jadi semua tanah kosong kat depan rumah landed tu tuan rumah boleh bercucuk tanam lah? Sebenarnya tak juga kerana…
Jenis tanaman dan lokasi penanaman juga main peranan
Satu laporan dari Berita Harian berkata tanah rizab yang perlu digunakan oleh kerajaan untuk tujuan tertentu dan kepentingan orang ramai tak boleh digunakan dengan sesuka hati. Tapi ni tak semestinya tuan rumah langsung tak boleh nak tanam apa-apa, mengikut budi bicara pihak berkuasa sebenarnya boleh je kita nak tanam tumbuh-tumbuhan janji ia tidak membahayakan orang sekeliling dan tidak berbentuk monopoli.
Menurut PLAN, pemilihan tanaman untuk lorong belakang rumah perlulah dipilih dengan betul, kalau ada orang tanam tumbuhan yang memberi ruang kepada penjenayah untuk masuk ke rumah atau menyorok maka ia tak dibenarkan. Hanya pokok yang berketinggian maksimum 1 meter sahaja boleh.
“Pemilihan dan susunan tanaman/pokok bersesuaian perlu diberi perhatian bagi mengelak wujudnya suasana terlindung atau gelap yang mana boleh memberi ruang kepada kejadian jenayah.Hanya tumbuhan renek (shrub) yang berketinggian kurang daripada 1 meter dibenarkan. Contoh tanaman yang sesuai adalah seperti melur(jasminum sambac), heliconia(heliconia spp) dan siantan (ixora cocinea)” – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Jangan ada yang gatal tangan nak tanam pokok durian kat tengah bandar, nanti ‘durian runtuh’ lagi banyak masalah yang akan timbul. Tapi tu untuk rumah landed, macam mana pula rumah apartmen dan kawasan berpagar atau gated community? Untuk rumah macam tu, mereka ada polisi dan standard operating procedur (SOP) mereka tersendiri.
Bagi yang taktau skim rumah berstatus strata atau gated community adalah bangunan atau tanah dibahagikan kepada tuan tanah/rumah yang ramai,dan ditadbir bawah satu badan swasta yang kena ikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Senang cerita macam rumah kondo, tapi rumah landed pun ada juga macam ni. Pihak kerajaan yang menggubal undang-undang untuk rumah strata tersebut terletak di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)
Nak tahu lebih lanjut tentang strata, boleh tekan kat sini.
Kalau apartmen dan rumah strata polisinya lain sikit
Kami telah menemubual dua orang yang sedang bekerja dalam industri perumahan swasta ni. Najib yang merupakan seorang eksekutif bangunan di Lembah Klang berkata bahawa polisi bangunan dikuatkuasakan oleh beberapa badan dari pentadbiran bangunan, penduduk, dan juga kerajaan.
“Polisi bangunan dikuatkuasakan oleh Joint Management Body (JMB) or Management Corporation (MC) di bawah house rules. House rules di approve oleh COB (Bahagian Pesuruhjaya Bangunan) dan hanya boleh di kuatkuasakan atau dibentangkan di dalam meeting dan mendapat kelulusan penduduk bangunan tersebut dalam majoriti vote or poll. House rules tak boleh merepek dan kene ikut guideline COB jugak. contoh pets, bunyi music, pokok tanaman, etc2” – Najib, Building Executive
Antara isu yang terdapat dalam polisi bangunan adalah hal-hal mengenai bercucuk tanam manakala isu-isu yang sering menjadi keutamaan adalah binatang-binatang yang mungkin akan tertarik dengan tumbuhan yang diletakkan di kawasan apartmen. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenis tumbuhan yang dibenarkan, penduduk hendaklah menguhubungi pihak pentadbiran bangunan.
“Refer dengan building management/PMA yang akan refer houserules dan juga JMB/MC approval. Jenis dan jumlah boleh dimention dalam houserules as long tidak mengganggu laluan orang lalu lalang dan tidak jadi tempat pembiakan nyamuk/insects.” – Najib, Building Executive
Kenyataan yang sama telah diberikan oleh Aida yang bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor binaan terkemuka di Kuala Lumpur. Berpandukan polisi yang telah dikuatukuasakan, ada sesetengah bangunan langsung tidak membenarkan sebarang penanaman atau penggunaan pasu di dalam bangunan.
“Sesetengah common area tak boleh kena kacau oleh penghuni. Macam contoh, letak pasu kat depan rumah. Sebab kat depan rumah tu kira sebagai common area dan yang tu bukan hak milik penghuni tapi hak milik management. Kalau ikut undang-undang, tuan rumah patut tau layout rumah mereka dan kalau tanah tu bukan hak milik meraka, sepatutnya tak boleh kacau” (Sic) – Aida, Property Developer”
Mereka berdua berkata bahawa beza pentadbiran beza polisi dan yang penting penghuni perlu mendapat kebenaran dari pihak management dan polisi tersebut hendaklah tertakluk kepada house rules yang dipersetujui oleh Joint Management Body (JMB), Management Corporation (MC), dan juga COB.
Duduk bandar tak semestinya tak boleh bercucuk tanam
Berdasarkan temu ramah kami dan apa yang tertulis dalam undang-undang, tuan rumah boleh tanam pokok kat depan rumah dan ia mestilah tak mengganggu orang lain dari segi keselamatan, keselesaan, dan paling penting berpandukan budi bicara jiran-jiran dan pihak berkuasa tempatan. Tapi jangan dengar kata kami bulat-bulat! Anda digalakkan untuk menghubungi kerajaan tempatan untuk mendapatkan kepastian. Kalau nak berkebun secara agresif mungkin tuan rumah boleh apply permit seperti inisiatif yang dibawakan oleh pihak berkuasa tempatan (tak semua tempat ada).
Seorang penduduk di Shah Alam yang telah kami temuramah berkata, kawasan kejiranan mereka telah apply lot tanah untuk berkebun di dalam bandar. Pertama sekali ia perlulah mendapat persetujuan dari jiran-jiran dan kemudiannya menghubungi MBSA (pihak berkuasa tempatan) untuk mendapatkan surat rasmi.
“Setakat ni kami telah bayar dalam RM3500 untuk tanah dan bukan kami je ada, jiran-jiran lain pun terlibat sekali. So kami share la tanah tu untuk berkebun. Pihak MBSA ada buat inisiatif untuk berkebun kat bandar, dorang just tanam sayur-sayuran je.” – Miya, Shah Alam
Sebenarnya macam di Shah Alam, pihak berkuasa tempatan MBSA telah membuat beberapa program Kebun Komuniti. Secara ringkasnya tinggal di bandar bukanlah alasan untuk tidak berkebun bagi sesiapa yang berminat. Dan memandangkan pihak majlis perbandaran mempunyai kuasa untuk mengubal undang-undang kecil, perlaksaan untuk bercucuk tanam terletak di bawah budi biacara mereka yang perlu diikuti dengan undang-undang ditetapkan oleh pihak Kementerian.
“Undang-Undang Kecil merupakan suatu undang-undang yang dibuat di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) boleh dari semasa ke semasa membuat, meminda atau membatalkan undang-undang kecil mengikut perkara yang diingini bagi kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan tersebut.” – Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)
Kepada sesiapa yang tengah bercucuk tanam tu, selamat maju jaya!