Asklegal
Home banner a2822612 156d 4a05 be69 4d97b0c28e8d

Family,General

Di Malaysia, suami tak perlukan izin isteri kalau nak kahwin lain. Tapi...

Not published yet ago Azar Ishak

16

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Baru-baru ni, kita dilaporkan dengan satu kes di Indonesia bila seorang lelaki mati akibat disiram air panas oleh isterinya, sebab dia kahwin lain. Di Malaysia berbeza pula situasinya, bila seorang wanita ni terbuka hati nak melamar kenalannya yang juga ibu tunggal untuk jadi madunya. 

Walaupun hal poligami ni selalu je kita dengar, tapi hakikatnya ia masih lagi satu perkara yang taboo, nak-nak lagi di kalangan kaum Hawa. Ini kerana, kontroversi masih lagi timbul, terutamanya tentang keizinan isteri pertama, hak isteri yang dimadukan, isu suami kahwin lari dan sebagainya. 

Secara asasnya, poligami ditakrifkan sebagai seorang lelaki yang berkahwin lebih daripada seorang isteri. Dalam perundangan Islam pula, bilangan isteri tu dihadkan kepada empat orang sahaja. Disebabkan hal ni bersangkutan dengan kebenaran agama, maka sehingga ke hari ni undang-undang Malaysia membenarkan orang lelaki Islam mengamalkan poligami (tertakluk kepada syarat-syarat tertentu). 

Bagaimanapun, rupa-rupanya bukan semua negara Islam benarkan poligami dan antara negara yang tak benarkan adalah…

 

Tunisia haramkan poligami sejak tahun 1956 lagi

Imej dari BBC.

Walaupun Tunisia merupakan negara yang bermajoriti Muslim, nampaknya negara ni ambil jalan berbeza dari negara-negara Islam lain. Seperti mana yang kita tahu, hujah yang membolehkan poligami diambil dari ayat 3: Surah An-Nisaa’:

“… maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja...” – Surah an-Nisaa’:3

Tapi bagi penggubal undang-undang keluarga Tunisia, mereka dah buat tafsiran terhadap konsep keadilan. Mereka berhujah, keadilan yang dimaksudkan dalam al-Quran bukan hanya dari segi material, tapi juga merangkumi keadilan emosi dan spiritual. Malah, mereka juga ambil ayat 129 dalam surah sama:

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya);…” – Surah an-Nisaa’:129

Disebabkan hal itu, poligami diharamkan di Tunisia, dan sesiapa yang melanggar larangan ni dianggap dah melakukan kesalahan jenayah. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ni ada pula gerakan wanita di negara tu yang nak poligami dibenarkan. Bagi mereka, poligami dapat menyelesaikan masalah anak dara tua yang semakin meningkat di negara tu. Tapi, kerajaan Tunisia masih belum membuat sebarang keputusan, sama ada nak mengekalkan undang-undang sedia ada atau memindanya.

Selain Tunisia, ada juga beberapa negara bermajoriti Muslim yang mengharamkan poligami, seperti Turki dan Wilayah Kurdistan, Iraq. Tapi, seperti yang diberitahu awal tadi, Malaysia membenarkan poligami dengan syarat-syarat tertentu.

 

Di Malaysia, suami tak payah dapatkan kebenaran isteri kalau nak kahwin lagi, tapi…

“Butang baju aku mana Pah?”. Imej dari 
Zack Affendi (Youtube)

Sebenarnya, masih ada salah faham di kalangan Muslim Malaysia tentang poligami. Sebabnya, ramai anggap suami kena minta kebenaran isteri dulu kalau nak berpoligami. Hakikatnya, suami tak perlukan kebenaran isteri, tapi apa yang mereka kena ada adalah kebenaran mahkamah. Malah, hal ni dah diseragamkan di seluruh negeri di Malaysia. 

Sebagai contoh, Seksyen 23(1) [artikel ini merujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor] memperuntukkan sesuatu perkahwinan poligami tu hanya boleh wujud selepas mendapat kebenaran secara bertulis daripada mahkamah.

“Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”  

Jadinya di sini, bila permohonan mahkamah dibuat, maka secara langsung si isteri akan menjadi defendan. Oleh itu, si isteri akan dimaklumkan tentang permohonan suaminya tu melalui proses perbicaraan mahkamah. Seksyen 23(5) dalam enakmen sama juga menyatakan – selain dari panggil suami dan isteri (atau isteri-isterinya), mahkamah juga boleh panggil bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang yang dirasakan patut.

Mahkamah akan kenal pasti, sama ada si suami penuhi tak 4 syarat yang ditetapkan dalam Seksyen 23(5) ni:

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e (bahaya) kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Kalau si suami tadi penuhi syarat-syarat yang dinyatakan, mahkamah akan benarkan si suami tu kahwin lagi. Tapi, macam mana pula kalau si isteri tak puas hati dengan keputusan mahkamah? 

 

Isteri boleh buat rayuan

Imej dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Sebenarnya, isteri masih boleh buat rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat. Salah satu kes yang kita boleh rujuk adalah –  Aishah Bte Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof Bin Wan Othman (1990). Berdasarkan kes ini, si isteri mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Syariah Shah Alam yang dah membenarkan suaminya berpoligami.

Pihak isteri buat macam tu sebab merasakan mahkamah hanya ambil berat soal kemampuan suami dalam hal nafkah zahir di bawah syarat (b), Seksyen 23(5). Hakim juga dianggap dah mengabaikan tiga lagi syarat dalam seksyen berkenaan. Hasilnya, Jawatankuasa Rayuan dah menolak keputusan hakim kerana tak mengambil kira kesemua syarat yang dinyatakan.

Bila kita tengok proses ni, kita boleh nampak bukan senang nak berpoligami dekat Malaysia. Banyak aspek yang diambil kira oleh mahkamah, sebelum bagi mana-mana lelaki tambah isteri. Tapi, mungkin disebabkan hal ni jugalah ramai suami yang kahwin lari di luar negara (selalunya Selatan Thailand), tanpa pengetahuan isteri dan kebenaran mahkamah. 

Malah, Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand pada Mac lepas merekodkan peningkatan rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan negara itu setiap tahun sejak 2011. Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima pihak konsul berbanding tahun 4,375 tahun sebelumnya (2017). Antara puncannya adalah nak berpoligami, tapi dihalang oleh keluarga dan isteri pertama. 

Jadi, apa status perkahwinan mereka ini? 

 

Perkahwinan masih lagi sah

Imej dari imgflip.com

Sebenarnya, kalau seseorang suami tu kahwin di luar negara macam di Thailand misalnya, ia masih lagi dianggap sah, walaupun tanpa kebenaran mahkamah. Hal ini selaras dengan Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menganggapnya sah jika segala rukun nikah dipatuhi. Bagaimanapun, si suami masih lagi melakukan kesalahan – berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, dan menurut Seksyen 124, pesalah boleh dihukum denda tak lebih RM1,000 atau penjara tak lebih 6 bulan atau kedua-duanya

Walaupun bernikah tanpa kebenaran, Mahkamah Syariah masih boleh memerintahkan supaya perkahwinan tu didaftarkan agar ia sah di sisi undang-undang. Ini selaras dengan Seksyen 23(2), dalam Enakmen sama.

“Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.” 

Selain tu, isteri juga boleh tuntut kepada suaminya yang kahwin tanpa kebenaran mahkamah tu – untuk bayar keseluruhan jumlah mas kahwin dan pemberian kepada isterinya masa berkahwin dulu. Ia dinyatakan dalam Seksyen 23(8):

“Mana-mana orang yang membuat akad nikah bersalahan dengan subsekyen (1) hendaklah membayar dengan serta merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.”

 Walaupun begitu, masalah juga timbul khususnya tentang hak dan kebajikan isteri yang dimadukan. Oleh itu, ada pihak yang mencadangkan…

 

Isteri boleh buat taklik tambahan

Imej dari Laman Seri.

Taklik ni adalah syarat-syarat yang boleh ditetapkan antara pasangan suami isteri setelah mencapai satu persetujuan, selepas akad nikah. Taklik juga boleh ditakrifkan sebagai talak (cerai) bersyarat. Setiap negeri ada tetapkan taklik standard (mungkin berbeza sedikit antara negeri), contohnya: 

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu bertalak ia dengan talak khul'.” 

Tapi ada juga peruntukan untuk taklik tambahan, seperti dalam Seksyen 22, yang memperuntukkan tentang pendaftaran taklik lain dalam Pendaftaran Perkahwinan. Taklik lain inilah yang dimaksudkan sebagai taklik tambahan. Ia juga tak kata apa syarat-syarat yang boleh ditambah, tapi hendaklah tak bertentangan dengan hukum syarak.

Jadinya, antara contoh syarat-syarat yang dibenarkan adalah suami tidak boleh paksa isteri berhenti kerja lepas berkahwin, suami tidak boleh mendera emosi isteri, suami tidak boleh berpoligami tanpa keizinan isteri sedia ada dan sebagainya. Walaupun begitu, perceraian tak terus berlaku kalau suami melanggar taklik, tapi pihak isteri kena bawanya dulu ke Mahkamah Syariah, dan mahkamah akan putuskan.

Dalam situasi lain, kalau seorang suami tu tak beri nafkah kepada isterinya (poligami atau tak), Mahkamah melalui Seksyen 60(1), ada kuasa untuk memerintah suami membayar nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Jika suami tak berlaku adil pula, Seksyen 129 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bertitik tolak dari perbincangan panjang lebar kita ni, nampaknya semua masalah boleh selesai, kalau setiap orang ikut undang-undang yang dah ditetapkan. Selain tu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara juga ada buat sesi kaunseling keluarga bagi membantu menyelesaikan konflik suami isteri (klik sini untuk maklumat lanjut). Tak salah untuk kita semua ambil jalan baik dulu, sebelum selesaikan sesuatu isu tu di mahkamah, kan?

 

Tags:
undang-undang keluarga islam
poligami
undang-undang poligami
poligami izin isteri
poligami izin mahkamah
kahwin lari
isteri pertama

16

Shares

A+

A-