General
Bolehkah PDRM memeriksa telefon anda untuk mesej politik sewaktu di sekatan jalan raya?
over 7 years ago khaliq[This article was originally written in English. Click here for the English version]
Mitos:
Pihak polis boleh memeriksa telefon anda (tanpa waran) untuk mencari mesej-mesej yang mempunyai unsur politik atau keagamaan.
Latar belakang:
Mesej suara dari Rajan Nair yang telah menjadi viral di WhatsApp dan Facebook
Sewaktu di sekatan jalan raya, seorang polis telah memeriksa telefon bimbit milik Rajan di mana beliau sedang dalam perjalanan pulang dari Gurun, Kedah – termasuk WhatsApp, mesej suara dan juga SMS. Rajan juga ditanya sama ada beliau aktif dalam politik atau pun tidak. Rajan dibenarkan pergi setelah menjawab ‘tidak’ dan dipulangkan telefon bimbitnya.
“Saya menelefon kawan saya yang bekerja sebagai polis untuk bertanyakan tentang hal tersebut setibanya di rumah. Menurutnya, pada masa sekarang telefon bimbit memang diperiksa sekali untuk memastikan sama ada, ada atau tidak mesej-mesej yang berunsurkan politik atau keagamaan. Jika ada, pemilik itu akan dihadapkan ke mahkamah sekaligus merampas telefon bimbit tersebut.” – “Rajan Nair”, diambil dari mesej suara miliknya yang telah diforwardkan.
Adakah ini benar?
Alasannya:
Pihak berkuasa perlu mempunyai sebab munasabah untuk memeriksa telefon bimbit milik pemandu walaupun tidak ada undang-undang spesifik ke atas tindakan sedemikian. Contohnya, jika anda ditahan kerana membawa dadah di dalam kenderaan sewaktu di sekatan jalan raya, memeriksa kandungan telefon bimbit anda boleh dikatakan munasanah kerana ia mungkin membantu pihak polis mendapatkan maklumat tentang kegiatan pengedaran dadah tersebut.
[Baca lagi: Bolehkah PDRM memeriksa kenderaan anda sewaktu menjalankan sekatan jalan raya?]
Berdasarkan undang-undang, apa-apa pemeriksaan hanya boleh dijalankan sekiranya terdapat waran. Terdapat akta khas dalam hal yang melibatkan pemeriksaan peranti elektronik (telefon bimbit) iaitu Seksyen 247 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang menyatakan bahawa harus ada waran untuk melakukan pemeriksaan dan merampas atau menyita. Pengecualian hanya jika pegawai berpangkat inspektor atau yang lebih tinggi mempunyai sebab yang munasabah untuk percaya bahawa kelengahan dalam menunggu waran akan menyebabkan kemudaratan atau gangguan ke atas siasatan (Seksyen 248).
Sama juga halnya dalam Seksyen 116(A) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa tindakan memeriksa kandungan telefon bimbit dan merampasnya boleh diambil jika pegawai dengan pangkat inspektor atau lebih tinggi mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa seseorang itu terlibat dalam kegiatan jenayah atau kesalahan keselamatan (seperti terrorisme)
[Baca lagi: Bolehkah PDRM memasuki kediaman anda tanpa waran?]
Dalam hal-hal yang menyentuh tentang isu politik dan keagamaan ini, adalah sukar untuk pihak berkuasa mengambil sebarang tindakan melainkan jika anda memandu dengan meletakkan sepanduk besar dengan tertulisnya mesej-mesej politik atau keagamaan. Bukan sahaja itu, tindakan memeriksa telefon bimbit peribadi seseorang itu sepertinya telah melanggar hak perlembagaan sebagai warga tempatan dalam kebebasan mengekspresikan diri dalam hal-hal politik atau keagamaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Berhubung dengan mesej "amaran" pada tahun 2015 terhadap pemeriksaan telefon dalam kes 1MDB, pihak polis mengatakan:
“Perkara seumpama ini adalah tidak benar sama sekali. Kami mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih penting daripada memeriksa telefon bimbit..” – Datuk Seri Mortadza Nazarene, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, dipetik dari The Star.
Bagaimanapun, tindakan boleh dikenakan terhadap anda jika anda menyebarkan berita palsu – berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Nota: Kenyataan berikut adalah berdasarkan perspektif undang-undang dan bukan dari kes individu. Jika anda mempunyai persoalan tentang undang-undang atau kemusykilan ke atas suatu berita seperti di atas, anda boleh menyuarakannya ke Facebook kami atau klik sini untuk emel.