Civil,General
Boleh ke kita saman syarikat pembinaan yang menyebabkan kita tercedera?
about 4 years ago Azar IshakMesti anda ada dengar berita tentang dua kemalangan berasingan yang hampir saja meragut nyawa pada bulan lepas. Satunya adalah kes batu konkrit yang jatuh menghempap sebuah kereta di MRR2. Mujurlah pemandunya selamat, walaupun keretanya berada dalam keadaan remuk. Kes kedua pula melibatkan sebuah kereta yang ditimpa besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2. Bersyukur sekali lagi kita apabila tak ada sesiapa yang terkorban akibat kemalangan itu.
Apa yang pasti, kes-kes yang berlaku ni nampaknya melibatkan projek pembangunan yang memang pesat berlaku di Malaysia. Dan hal ni juga semakin membimbangkan kita semua, kalau-kalau ia berlaku lagi di masa akan datang. Makanya, muncullah persoalan sama ada boleh ke kita ambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan itu?
Walaupun polis ada melakukan siasatan, mangsa itu sendiri sebenarnya masih boleh menuntut ganti rugi dari apa yang berlaku. Mereka boleh saman pihak yang bertanggungjawab kerana cuai. Akan tetapi, ia taklah semudah yang disangka. Sebabnya, perkara sukar itu dah pun dilalui oleh seorang lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan melibatkan roda tren pada 18 tahun lalu.
Lelaki yang menyaman Monorel Malaysia
Kisahnya bermula pada 16 Ogos 2002 – apabila seorang wartawan, David Chelliah berjalan di sebuah jalan untuk pergi ke tempat kerjanya. Dalam perjalan itu, dia melalui bawah pembinaan landasan monorel yang baru saja dibuat. Pada masa tu, tren masih lagi belum beroperasi dan hanya dalam fasa percubaan. Jadinya, ketika David berada di bawah landasan itu, secara tiba-tiba roda tren jatuh dan mengenai dirinya, sampai membuatkan David dapat kecederaan serius. Dia kemudianya tak sedarkan diri dan dapat tahu yang berat roda tu hampir 14kg, sehingga menyebabkan dirinya:
- bengkak kelopak mata
- patah tulang di tengkoraknya
- darah beku di lubang hidung kanannya
- beberapa kecacatan fizikal lain yang dia rasakan di kemudian hari
Lepas peristiwa itu, David sedar yang dia juga menghidapi masalah ingatan, penglihatan dan kepekaan. Dia turut mula hilang kekuatan pada bahagian tangan dan ia menambahkan lagi kesukarannya untuk bekerja sebagai wartawan. Hal itu dah membuatkan kerjanya semakin terjejas dan dia tak boleh menjalani kehidupan normal seperti dulu. Menurutnya lagi, perkara itu memang tak dapat dipulihkan dan dia memerlukan penjagaan sepanjang hayat.
Jadinya, David pun failkan kes di mahkamah pada 2003, di mana dia minta pampasan sebanyak RM5 juta, dan beberapa lagi kos tambahan:
- ganti rugi am (jumlahnya tak dinyatakan)
- ganti rugi khas sebanyak RM20,000
- faedah
- kos dan perbelanjaan perubatan di masa akan datang sebanyak RM5,000 sebulan
Kes tu berjalan selama 10 tahun
Dalam kes ni, nampaknya David bertindak menyaman Monorel kerana kecuaian mereka merancang, mengeluarkan, memasang bahagian tren dan mengendalikan tren tersebut. Dalam masa sama, untuk menyaman seseorang atas sebab kecuaian, si penuntut kena membuktikan perkara-perkara berikut:
- bahawa orang yang menyebabkan kemudaratan terhadap anda mempunyai kewajiban penjagaan di bawah undang-undang
- bahawa mereka melanggar tanggungjawab itu dengan melakukan tindakan cuai, atau gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang cukup
- bahawa tindakan cuai mereka inilah yang menyebabkan anda mengalami kemudaratan/kecederaan
- kecuaian mereka dari awal lagi berkemungkinan besar akan menimbulkan bahaya kepada anda
Dalam kes David, semua perkara di atas ni ada asasnya… tapi ada satu masalah pula. Sebab, tuntutan kecuaian juga menghendaki orang yang mengemukakan tuntutan itu, mangsa, untuk membuktikan dengan tepat tindakan apa sebenarnya yang menyebabkan kecederaan mereka. Sebagai contoh, David kena tahu sama ada kegagalan mengetatkan roda atau kualiti buruk bahan yang menyebabkan roda itu jatuh menghempapnya. Ia memang agak sukar untuk dijelaskan dalam beberapa kes dan sukar juga untuk diceritakan dalam kes David ni.
Bila kes ni sampai ke Mahkamah Tinggi, tuntutan David untuk pembayaran sementara (interim) sebanyak RM250,000 dah ditolak. Pembayaran sementara ni selalunya akan diberikan kepada mangsa sebelum keputusan kes dibuat, dengan cara ni bolehlah wang itu digunakan dulu untuk menampung perbelanjaan. David kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan ni dan pergi ke Mahkamah Rayuan. Di sana, mahkamah membenarkan David menerima pembayaran sementara, tapi jumlahnya diturunkan kepada RM50,000.
Namun, yang ini hanyalah pembayaran sebelum keputusan akhir, dan keputusan itu masih belum dibuat. Dalam masa sama, masalah juga timbul untuk menentukan apa tindakan kecuaian sebenarnya yang dilakukan oleh syarikat sehingga menyebabkan roda itu jatuh menimpa David.
Mahkamah menerapkan peraturan khas untuk memutuskan kes ini
Biarpun undang-undang itu tegas, masih ada pengecualian terhadap peraturan umum. Samalah dalam kes David, yang mana ada cara tertentu untuk membantunya. Walaupun ia adalah tugas si penuntut untuk memberikan bukti punca kecederaannya, prinsip yang dikenali sebagai res ipsa loquitur (kenyataan memperjelaskan dirinya sendiri) akan mengalihkan tugas ini kepada syarikat yang sedang disaman. Jadinya sekarang, bukannya David yang kena membuktikan Monorel cuai, sebaliknya Monorel yang kena membuktikan yang mereka TIDAK cuai. Kalau mereka gagal membuktikannya, mereka secara automatik akan didapati bersalah atas kesalahan kecuaian.
Bila keputusan akhir dibuat, hakim mengatakan – tidak normal untuk roda kren jatuh begitu saja sehingga mengenai seseorang. Jika ia berlaku, roda itu sama ada tidak dipasang dengan betul, atau sekrunya tercabut. Jadinya, walaupun punca yang tepat tidak dapat diketahui, boleh dikatakan bahawa roda itu tercabut disebabkan kecuaian seseorang dalam syarikat. Syarikat itu juga tak dapat membuktikan bahawa mereka cukup berhati-hati, dan oleh itu, mereka didapati melakukan kecuaian.
Pada 2012, David dan Monorel bersetuju menyelesaikan isu pampasan melalui mediasi dan bukannya di mahkamah. Prosiding mediasi adalah cara di luar mahkamah dan secara amnya lebih sulit daripada proses mahkamah biasa. Disebabkan hal itu, kami tak tahu berapa jumlah sebenar yang David dapat.
Oleh itu, apa yang kita dapat faham dari kes ni adalah, bukanlah mudah untuk buat tuntutan terhadap syarikat pembinaan sekiranya kita tercedera. Tapi, apa yang baiknya – masih ada pengecualian yang dapat membantu mangsa, ketika mana memang susah untuk membuktikan punca kecuaian dengan tepat.
Dalam kes melibatkan dua pemandu kereta yang tercedera dan kereta mereka remuk sama sekali, mereka juga sebenarnya boleh memfailkan tuntutan. Tapi, sama ada mereka akan berjaya, ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan mahkamah.