General
Boleh ke kita bayar zakat terus kepada asnaf dan tak kepada pusat zakat?
over 5 years ago Azar IshakBila tiba je bulan Ramadan, selain dari berpuasa – semua orang Islam akan menunaikan zakat fitrah. Kewajiban zakat ni memang penting dalam Islam, sampaikan ia menjadi rukun Islam yang keempat. Sebenarnya terdapat dua jenis zakat dalam Islam, iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah diwajibkan kepada setiap orang Islam, tak kiralah diorang tu – tua atau muda, lelaki atau perempuan, kaya atau miskin.
Manakala, zakat harta pula terbahagi kepada beberapa kategori seperti – zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat pelaburan, zakat KWSP, zakat emas & perak, dan zakat takaful. Berbeza dengan zakat fitrah, zakat harta hanya diwajibkan kepada orang-orang yang layak. Kewajiban zakat ni datang dari Allah SWT sendiri melalui banyak ayat dalam al-Quran, dan salah satunya seperti:
“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” – Surah Al-Baqarah: 267
Seperti mana yang kita selalu nampak, sekarang ni kuanter zakat ada dekat mana-mana dan tak terhad di pejabat zakat atau masjid je. Kita boleh nampak kuanter zakat dekat – pasar raya, pasar malam, pejabat-pejabat kerajaan, kuanter zakat bergerak, dan malah boleh bayar zakat secara online. Tapi masalahnya sekarang ni, ada pulak pihak-pihak tertentu yang tak nak bayar zakat dekat institusi zakat.
Namun sebelum tu, jom kita tahu dulu masalah yang berbangkit dan apakah salah faham yang jadi dalam hal ni.
Zakat bukan hanya untuk fakir dan miskin je
Sebenarnya, dalam peraturan zakat, orang-orang yang layak terima zakat digelar sebagai asnaf. Terdapat lapan golongan yang termasuk dalam kategori asnaf iaitu:
- Orang fakir (al-fuqara’)
- Orang miskin (al-masakin)
- Amil (pengutip zakat)
- Orang yang baru memeluk Islam (muallaf)
- Hamba (al-riqab)
- Orang berhutang (al-gharimin)
- Orang yang berjuang di jalan Allah (fisabilillah)
- Musafir yang berada dalam perjalanan (ibn sabil)
Jadinya, zakat bukan hanya untuk orang fakir dan miskin je, tapi juga untuk golongan-golongan lain. Sebab itulah, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) atau sebagainya tak terima zakat. Diorang cuma boleh terima zakat kalau tergolong dalam 8 golongan ni. Contohnya macam – anak yatim yang miskin atau ibu tunggal yang berhutang.
Dan bila bercakap dalam konteks Malaysia, seperti mana yang kita tahu, urusan berkenaan dengan agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri dan bukannya persekutuan. Hal ni termasuklah zakat yang diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Secara umumnya, Majlis (bagi pihak sultan/YDP Agong) berkuasa memungut zakat daripada setiap orang Islam yang layak dan membuat peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya.
Sebagai contoh, kita boleh rujuk dalam Seksyen 86, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Atau Seksyen 74, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.
Walaupun dah ditetapkan dalam undang-undang, tapi nampaknya institusi zakat sekarang ni berdepan dengan cabaran. Sebab, apa pihak-pihak tertentu yang tak nak bayar zakat melalui institusi yang diiktiraf. Dan hal ni membawa kita tentang masalah…
Wujudnya rasa tak percaya dengan institusi zakat
Dalam satu kajian yang dah dijalankan, didapati ada beberapa sebab kenapa seseorang tu pilih untuk bayar zakat terus kepada asnaf dan tak nak lalui institusi zakat. Antara faktor-faktornya adalah:
- Malas nak bayar di kuanter zakat
- Anggap institusi zakat tak cekap dalam mengagihkan zakat
- Tak yakin dengan institusi zakat
- Rasa lebih puas tunaikan zakat sendiri tanpa lalui institusi zakat
- Unsur-unsur negatif dikaitkan dengan institusi zakat mempengaruhi diorang
Sebab bagi diorang, walaupun pusat-pusat zakat terima zakat sampai berjuta-juta, tapi masih ada fakir – miskin dekat luar sana. Dan hal ni seolah-olah yang duit zakat tu tak sampai kepada orang-orang yang memerlukan. Jadinya, diorang pun ambil keputusan untuk bayar zakat terus kepada asnaf dan tak nak lalui pusat zakat.
Sebenarnya, hal ni dah lama diperbincangkan oleh para ulama Islam. Sebab, ada ayat al-Quran khusus yang membincangkan pasal siapa yang berhak mengutip zakat. Ayat tu adalah:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);...” – Surah al-Taubah: 103
Perkataan “ambillah” dalam ayat ni ditujukan kepada pemerintah, supaya diorang mengutip zakat dan ia juga menggambarkan yang zakat menjadi sebahagian daripada tanggungjawab negara. Melalui pemerintah, barulah zakat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan. Dan seperti mana yang diterangkan tadi, zakat di Malaysia perlu melalui institusi zakat yang dah ditetapkan di setiap negeri.
Jadinya muncul persoalan, sama ada boleh ke kita bayar zakat terus kepada asnaf, tanpa melalui pemerintah? Bukan ke ia dah melanggar hukum?
Menjawab hal ni, ulama-ulama Islam dah berbincang panjang lebar dalam memberikan hukum. Sebahagian ulama dalam Mazhab Maliki mewajibkan zakat diserahkan kepada pemerintah, sekalipun pemerintah tu zalim. Manakala, bagi Mazhab Hanbali pula, seseorang tu boleh tunaikan zakat sendiri (tanpa melalui pemerintah), tapi kalau pemerintah tu mengagihkan zakat tepat kepada orang yang layak, maka seseorang tu kena bayar zakat kepada pemerintah.
Tapi macam mana pula dengan Malaysia?
Kita boleh didenda kalau bayar zakat kepada pihak yang tak dilantik MAIN
Disebabkan masalah ni menjadi perdebatan ramai pihak, jadinya pada tahun 2006, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 dah menetapkan hukum membayar zakat secara bersendirian, tanpa melalui institusi zakat. Muzakarah tu memutuskan hukumnya – masih sah kalau zakat tu diserahkan kepada asnaf yang layak, tapi dalam masa sama tetap berdosa. Sebabnya…
“… tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa. Ini kerana dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau ulil amri dalam perkara kebaikan adalah wajib” – Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76.
Akan tetapi, walaupun Majlis Fatwa mengatakan hukumnya sah, tapi di sisi undang-undang ia masih dilihat sebagai satu kesalahan di majoriti negeri-negeri di Malaysia. Kalau kita tengok Seksyen 21, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, ia menyatakan:
Walaupun begitu, sehingga ke hari ni, kita masih belum dengar kes-kes yang melibatkan kesalahan bayar zakat terus kepada asnaf didakwa di mahkamah. Antara puncanya mungkin kerana beberapa negeri di Malaysia dah menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (contohnya Selangor) bahawa membayar zakat secara bersendirian adalah sah, tetapi berdosa.
Tapi dalam keadaan tertentu, ada juga orang-orang tertentu yang dibenarkan mengagihkan zakatnya sendiri tanpa melalui pusat zakat. Contohnya adalah di Wilayah Persekutuan. Ini kerana, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan ada tawarkan skim khas berupa wakalah (beri semula bayaran zakat kepada pengeluar zakat) untuk membayar sendiri kepada asnaf. Tapi syaratnya, nilai zakat yang ditunaikan tu mestilah besar:
“Zakat yang melebihi RM10,000 sebagai contoh boleh dianggap sebagai jumlah yang besar. Sekiranya zakat dalam jumlah sedemikian, maka sebahagiannya bolehlah dibuat agihan sendiri dan sebahagian yang lain perlu ditunaikan ke pihak yang berwajib.” – Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
Bayarlah zakat, untuk kepentingan dan kebajikan masyarakat
Tak seperti zakat fitrah yang diwajibkan kepada semua orang Islam, zakat harta hanya diwajibkan kepada orang yang layak. Sekarang ni semuanya semakin mudah bila institusi zakat juga dah sediakan kalkulator untuk korang kira zakat harta. Jadi, tak payahlah korang pening kepala nak kira macam mana.
Malah, korang juga boleh dapat rebat ke atas cukai pendapatan korang, kalau korang berzakat. Maknanya, semakin tinggi kadar zakat yang ditunaikan, semakin banyak juga rebat yang akan diberikan kepada pembayar zakat tersebut dari dikenakan cukai pendapatan.
Selain tu, zakat juga sebenarnya dah banyak membantu masyarakat di Malaysia ni dalam memperbaiki hidup dan kebajikan diorang. Kebajikan tu pula, bukan untuk orang Islam je, tapi juga kepada orang bukan Islam. Contohnya, Perlis jadi negeri pertama yang membenarkan orang bukan Islam menerima zakat. Malah, Mufti Perlis, Prof Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin pun ada bagi penjelasan kenapa zakat sepatutnya diberikan kepada pemerintah (pusat zakat/MAIN) dan tak sepatutnya dibuat secara sendirian.
“Perkara ini menjadi perbincangan para ulama, tetapi hukum asalnya hendaklah kita membayar zakat kepada pemerintah. Sebabnya, amil zakat kena tengok keseluruhan (pihak mana yang layak). Mungkin disebabkan kita kenal seseorang yang miskin tu, maka kita bagi zakat kepadanya. Tapi, sebenarnya ada lagi yang miskin, tapi tak dapat (zakat).
Tapi jika diberikan kepada amil melalui pemerintah, maka pemerintah akan lihat keseluruhannya. Maka semua yang layak (dapat zakat) akan dapat yang sepatutnya. ” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.