Asklegal
Home banner 1940a76a a593 46eb 90fc 909dcc477e72

Constitution,General

Adakah menjadi ateis bertentangan dengan undang-undang Malaysia?

Not published yet ago Azar Ishak

0

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Boleh dikatakan majoriti dari kita semua pernah ada pengalaman baca Rukun Negara setiap pagi Isnin masa perhimpunan sekolah. Tapi berapa ramai antara kita yang betul-betul faham apa yang Rukun Negara tu maksudkan? Walaupun mungkin ada di antara kita yang dah lama meninggalkan zaman sekolah, tapi rasanya semua masih ingat dengan baris pertama Rukun Negara iaitu – “Kepercayaan kepada Tuhan”

Seperti mana yang kita semua sedar, majoriti rakyat di negara ni ada agama dan percaya tentang kewujudan tuhan. Tapi dalam masa sama, ada pula golongan yang tak percaya dengan kewujudan tuhan. Makanya, muncullah persoalan. Adakah Rukun Negara ada kesan undang-undang terhadap kita semua? Sebelum kita pergi ke situ, jom kita tahu dulu yang…

 

Kebebasan beragama dijamin di negara ni

Imej dari Ipoh Echo

Kenyataan ni bukanlah kata-kata kosong, sebab walaupun Malaysia adalah negara majoriti muslim. Tapi, mereka yang beragama lain boleh je mengamalkan agama mereka dengan bebas. Hal ni dinyatakan sendiri oleh Perlembagaan Persekutuan, dalam Perkara 3 dan Perkara 11.

Perkara 3
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Perkara 11
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Jadi, kebebasan untuk mengamalkan satu agama adalah dijamin oleh undang-undang. Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan tak pula nyatakan sama ada kebebasan mengamalkan agama tu juga bermaksud ada kebebasan untuk TAK mengamalkan apa-apa agama. Disebabkan ia tak ada dalam undang-undang, dan Rukun Negara pula kata kita kena percaya kepada Tuhan…

 

Adakah menjadi ateis bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan & Rukun Negara?

Imej dari  Rebuilding Malaysia

Pada November 2017, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ada kata yang ateisme sebagai tak berperlembagaan. Tak berperlembagaan ni bermaksud yang ia tak selaras/selari dengan perlembagaan negara. Dia juga kata, yang ateisme ni ancaman terhadap kerpercayaan agama, bukan je untuk orang Islam, tapi juga untuk kepercayaan-kepercayaan lain.

“Kena faham dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menyatakan kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama.” – Asyraf Wajdi Dusuki, dipetik dari Astro Awani

Tambahnya lagi, dengan tak ada agama, seorang ateis tu dah melanggar Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Tapi lepas beberapa hari Asyraf buat kenyataan tu, ada sekumpulan peguam kata Asyraf salah bila dia kata ateisme di Malaysia tak berperlembagaan. Hujah diorang adalah:

  • Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama di bawah Perkara 11, dan itu termasuklah kebebasan untuk tak percaya
  • Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri di bawah Perkara 5. Ini termasuklah hak untuk tak percaya kepada agama
  • Kebebasan beragama tak bermakna wajib untuk setiap orang ada agama
  • Ateisme tak bermakna takde agama. Ia bermakna tak mempercayai dewa atau Tuhan. Buddhisme dalam erti kata tegasnya tidak melibatkan kepercayaan kepada tuhan
  • Untuk mempromosikan ateisme, ia adalah sebahagian dari kebebasan ekspresi, seperti mana di bawah Perkara 10(1)(a), Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Peguam-peguam ni juga kata yang Rukun Negara tu sebenarnya bukanlah undang-undang. Ia hanya dikenali sebagai falsafah kebangsaan dan panduan kepada rakyat Malaysia untuk hidup. Malah, tak ada penalti untuk kesalahan melanggar Rukun Negara. Jadi, seorang ateis tak boleh dikatakan dah melanggar undang-undang sebab tak ada kepercayaan.

Ini termasuklah dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebabnya, tak disebut ateisme dalamnya, dan dah tentu ia tak ada hukuman untuk sesuatu yang tak wujud. Juga, sesuatu yang tidak berperlembagaan tidak perlu dikatakan sebagai menyalahi undang-undang.

 

Tapi, atas kertas korang mesti kena ada agama

Imej dari GIPHY

Bila pasal urusan rasmi, macam nak dapatkan sijil kelahiran atau kematian, atau juga nak dapatkan IC, seseorang tu mesti isi ruang agama dalam borang pendaftaran dan permohonan. Kalau korang tinggalkan ruang tu kosong atau tulis “tiada agama”, permohonan korang akan ditolak. Atau diorang mungkin tak nak tengok pun permohonan tu.

Jadi, kitorang pun hubungi JPN untuk dapatkan pengesahan benda ni. Dan diorang pun sahkan yang semua permohonan sijil atau kad pengenalan MESTI kena ada agama. Mungkin ada beberapa keadaan yang unik di mana JPN boleh membenarkan korang tinggalkan bahagian "agama" kosong, tapi bilangannya sangat sikit. Kebanyakan orang masih kena pilih agama seperti yang disenaraikan.

Oleh itu, selain memaksa korang letak status agama, boleh ke agensi macam JPN ambil apa-apa tindakan serius terhadap korang? Sekali lagi, disebabkan tak ada undang-undang yang spesifik tentangnya, maka diorang tak boleh.

Walaupun begitu, apa yang kita bincang ni sebenarnya lebih kepada umum. Ini kerana, kalau kita lihat berkenaan dengan orang Islam, lain pula prosedurnya…

 

Tukar agama untuk orang Islam, ada prosedurnya yang tersendiri

Imej dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Dalam isu menukar agama di Malaysia, prosedur untuk selain agama Islam adalah lebih mudah. Ini kerana, seseorang tu hanya perlu kemukan Sijil Baptisma atau Surat pengesahan memeluk agama tertentu (selain Islam) kepada pihak JPN. Tapi, untuk orang Islam yang nak keluar dari Islam, dia kena lalui beberapa proses undang-undang.

Dalam banyak kes, murtad tak dibicarakan di mahkamah sivil, tapi sebaliknya di Mahkamah Syariah. Sebagai contoh dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Fatimah Tan binti Abdullah. Mahkamah kemudiannya membuat keputusan menolak rayuan MAIPP dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan Fatimah bukan lagi seorang Islam pada Mei 2008.

Dan dalam prosedur JPN juga, orang Islam yang nak tukar status agamanya kena kemukakan Perintah Mahkamah Syariah atau Pengesahan Majlis Agama Islam/Jabatan Agama Islam bahawa dia bukan lagi beragama Islam. Malah, dari tahun 2000 sampai 2010, Mahkamah Syariah dah terima 863 kes permohonan untuk tukar status agama Islam dan dari jumlah tu, 168 permohonan dah diluluskan

Walaupun begitu, seseorang rakyat Malaysia tu masih lagi tak boleh tukar status agamanya kepada “tiada agama” dalam IC, seperti mana yang dah diterangkan tadi.

 

Jadi, ateisme tak langgar undang-undang, cuma ia tak diiktiraf

Imej dari GIPHY

Jadi secara rangkumannya, ia bukanlah jenayah atau ada apa-apa hukuman sekiranya seseorang tu tak mengamalkan apa-apa agama. Tapi untuk orang Islam yang mengisytiharkan dirinya tak lagi beragama Islam, dia tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah negeri masing-masing (ada negeri yang ada hukuman dan ada yang takde). 

Mengaku sebagai seorang ateis sudah pasti boleh menimbulkan polemik di kalangan masyarakat dan ia juga sudah pasti akan diperdebatkan. Dan sekali lagi nak beritahu, majoriti apa yang dibincangkan dalam artikel ni adalah terpakai kepada orang bukan Islam dan orang Islam perlu melalui undang-undang Syariah yang dah ditetapkan kepada diorang.

Tags:
perlembagaan persekutuan
ateisme
ateis di malaysia
undang-undang malaysia
murtad
mahkamah syariah
kes murtad
agama dalam kad pengenalan

0

Shares

A+

A-