Asklegal
Home banner 3948ab4e 2351 4324 a74e 82e5208dd0f6

Constitution

Apakah tugas Speaker Dewan Rakyat sebenarnya?

about 1 year ago amsyar ahmed

25

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Parlimen Malaysia merupakan salah satu institusi penting dalam sistem pemerintahan negara kita. Badan perundangan ini berfungsi untuk meluluskan undang-undang di peringkat Persekutuan/negara yang biasanya dipanggil Akta (atau Act dalam Bahasa Inggeris). 

Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, tiga unsur penting yang menjadi komponen Parlimen adalah: 

  1. Yang di-Pertuan Agong (YDPA); 
  2. Dewan Negara; dan 
  3. Dewan Rakyat.
Berdasarkan Perkara ini, kuasa untuk membuat undang-undang peringkat negara adalah terletak pada Parlimen yang mengguna pakai sistem dwidewan (dua dewan/bicameral) yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Setiap kali setelah Pilihan Raya Umum diadakan dan Dewan Rakyat mula bersidang, terdapat satu acara penting yang mesti diselesaikan sebelum sidang dewan dimulakan iaitu pelantikan Yang di-Pertua Dewan, ataupun lebih dikenali sebagai Speaker.

Pada dua minggu yang lepas, YB Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, mantan Hakim Mahkamah Rayuan telah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat Kesembilan bagi Parlimen Malaysia ke-14 yang menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah Dewan Rakyat dibubarkan pada April lepas bagi memberi laluan kepada pesta demokrasi Malaysia yang dikenali sebagai Pilihan Raya Umum. Pelantikan beliau telah menimbulkan pelbagai isu yang sangat memerlukan penerangan asas dari segi undang-undang untuk difahami oleh setiap rakyat Malaysia.
 

Apakah tugas-tugas Speaker Dewan Rakyat?

Image from NST
YB Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. Imej daripada NST​​​​​​

Secara umumnya, Tuan Yang di-Pertua/Speaker Dewan Rakyat berfungsi seperti moderator yang mempengerusikan dan mengawal selia mesyuarat Dewan Rakyat. Terdapat banyak bidang kuasa yang diberikan kepada beliau bagi memastikan kelancaran sesi mesyuarat dan pematuhan peraturan oleh Ahli-ahli Dewan seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) atau Standing Orders of the Dewan Rakyat. Antara bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat adalah:

1. Membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris semasa Dewan bersidang

Semasa sidang mesyuarat berlangsung, kadang-kadang kita akan terdengar beberapa orang Ahli Dewan akan mengucapkan –  

“Dengan izin Tuan Speaker, we need to ....” 

Maksudnya di sini, jika terdapat mana-mana ahli Dewan yang ingin berhujah dalam Bahasa Inggeris, beliau mestilah mendapatkan kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat dengan sekurang-kurangnya mengucapkan frasa sedemikian sebelum menyambung hujahnya dalam bahasa berkenaan. Menurut Peraturan 8 PMDR:

8. Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia, tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris

Hal ini adalah bertepatan dengan hasrat memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan yang mesti diutamakan dalam urusan rasmi pemerintahan negara.

2. Menolak sebarang usul yang dikemukakan kepadanya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, usul bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk dibincangkan sebelum dipersetujui atau diterima. Semasa sidang Dewan Rakyat, sudah pasti ramai ahli-ahli Dewan yang bersidang akan membawa macam-macam usul/cadangan untuk penambahbaikan perjalanan Mesyuarat. Dalam hal ini, tidak semua usul/perkara yang dibangkitkan akan diterima oleh Speaker untuk diambil tindakan.

Secara rumusannya, Peraturan 18(7) PMDR menyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk menolak sebarang usul yang dibawa oleh mana-mana ahli Dewan atas sebab-sebab:

  • Ahli Dewan berkenaan hanya ingin mengambil ruang untuk bercakap semasa mesyuarat 
  • Persoalan yang dibangkitkan telah dibincangkan dan diterangkan oleh pihak Kerajaan  
  • Usul tersebut adalah bercanggah dengan mana-mana Peraturan Mesyuarat.

Hal ini adalah penting untuk memastikan sidang Parlimen berjalan dengan lancar mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang ditetapkan pada hari tersebut.

3. Membenarkan ahli-ahli Dewan mengeluarkan pertanyaan tambahan 

Semasa sesi soal jawab antara pihak Kerajaan dengan ahli-ahli Dewan yang lain, sudah tentu akan ada dalam kalangan mereka yang kurang jelas dengan jawapan yang diberikan oleh mana-mana anggota Kabinet. Oleh sebab itu, mereka boleh meminta Menteri/Timbalan Menteri yang berkenaan untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas bagi menjawab persoalan yang dikemukakan. Menurut Peraturan 24(3) PMDR:

24. (3) Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan ahli-ahli mengeluarkan tidak lebih daripada tiga pertanyaan tambahan bagi setiap pertanyaan, bagi maksud menerangkan apa-apa butir perkara yang telah diberi jawab lisan...

Rumusannya, setiap pertanyaan tambahan yang ingin dikemukakan mestilah tidak melebihi tiga soalan tetapi setiap pertanyaan tersebut mestilah berkaitan dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri/Timbalan Menteri yang berkenaan dan belum pernah dijawab oleh beliau sepanjang sidang Parlimen pada tahun tersebut di samping pertanyaan tersebut mestilah tidak menggabungkan beberapa soalan tambahan.

Namun, masa yang diberikan oleh Speaker untuk setiap pertanyaan tambahan hendaklah tidak melebihi 30 saat dan Menteri atau Timbalan Menteri diberi masa dua minit 30 saat untuk menjawab soalan-soalan tambahan yang dikemukakan kepadanya.

 

Speaker berkuasa menggantung mana-mana Ahli Parlimen daripada perkhidmatannya!

Pada minggu lepas, Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Bukit Gelugor, YB Tuan Ramkarpal Singh telah diarahkan keluar dari Dewan dan digantung tugasnya selama dua hari atas kegagalan beliau untuk mematuhi arahan YB Speaker Dewan Rakyat untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya semasa sidang Dewan. Situasi ini telah menjadi isu hangat apabila beliau (YB Ramkarpal) telah mencatatkan rekod sebagai Ahli Parlimen pertama yang diarahkan keluar dan digantung setelah Parlimen Malaysia Ke-14 mula bersidang!

Dari sudut undang-undang, adakah Speaker berkuasa untuk bertindak sedemikian?

Menurut Peraturan 44(2) PMDR:

44. (2) Pengerusi hendaklah memerintah mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat atau terus tidak mengendahkan kuasa Pengerusi keluar dari Majlis Mesyuarat bagi tempoh tidak melebihi sepuluh hari dan ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar dari Majlis Mesyuarat. Sekiranya mesyuarat berakhir sebelum tamat tempoh sedemikian, maka baki tempoh itu hendaklah dibawa ke mesyuarat yang akan datang, melainkan jika Parlimen dibubarkan sebelumnya. Jika Pengerusi tidak menentukan tempoh ahli diminta keluar, tempoh tersebut hendaklah disifatkan sebagai selama dua hari termasuk hari kejadian berkenaan.

Berdasarkan peruntukan ini, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang gagal mematuhi peraturan Dewan yang berkaitan di atas keluar dari Dewan dan menggantung perkhidmatannya selama 10 hari atau kurang jika dinyatakan tempohnya atau selama dua hari jika tempoh tidak dinyatakan termasuk hari ahli Dewan tersebut diarahkan keluar.

Sekiranya Speaker berpendapat bahawa tindakan ini tidak memadai, beliau boleh menggantung perkhidmatan seseorang ahli Dewan Rakyat untuk tempoh yang lebih lama dengan persetujuan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat menerusi prosedur yang dinyatakan di bawah Peraturan 44(3) PMDR.

 

Jadi… bagaimanakah Speaker Dewan Rakyat dilantik?

Imej daripada Iluminasi.com​​​​​

Pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah penting bagi menjamin kelancaran dan kelangsungan institusi Parlimen di negara kita. Oleh sebab itu, calon-calon yang dipilih mestilah memenuhi kriteria yang dinyatakan di bawah Perkara 57(1) Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat ini. 

Dalam bahasa yang lebih mudah, calon-calon Speaker Dewan Rakyat boleh dipilih dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau mana-mana rakyat Malaysia yang layak bertanding dalam pilihan raya Persekutuan (bagi kerusi Parlimen) iaitu seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun dan tidak hilang kelayakannya untuk bertanding.

Tetapi, jika Speaker dilantik dalam kalangan bukan ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah mengangkat sumpah di hadapan Dewan Rakyat dan dianggap sebagai salah seorang anggota Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 57(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga menerangkan cara pelantikan Speaker yang merupakan perkara pertama yang hendaklah diselesaikan apabila Dewan Rakyat memulakan persidangan setelah berlangsungnya Pilihan Raya Umum atau jawatan itu menjadi kosong seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan berikut:

Peraturan-peraturan mesyuarat pertama selepas pilihan raya
1. Pada hari mula-mula diadakan mesyuarat Majlis selepas Pilihan raya ... maka Setiausaha hendaklah membacakan Pemasyhuran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memanggil mesyuarat dan kemudian daripada itu urusan-urusan yang hendak dijalankan pada hari itu termasuklah— 
(a) Memilih Tuan Yang di-Pertua;
(b) Tuan Yang di-Pertua mengangkat sumpah mengikut seperti yang dibentangkan dalam Jadual Keenam dalam Perlembagaan; 

Dari segi aturan pemilihan Speaker pula, antara intipati/gist syarat yang dinyatakan di bawah Peraturan 4 PMDR adalah seperti berikut:

  • Nama-nama yang ingin dicalonkan oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat mestilah mendapat persetujuan daripada calon tersebut. 
  • Nama-nama tersebut mestilah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat pertama bermula.
  • Ketika sesi pencalonan, seseorang ahli Dewan Rakyat yang berkenaan hendaklah mencadangkan nama tersebut secara lisan dan diikuti dengan sokongan tanpa sebarang perbahasan/perbincangan.
  • Sekiranya hanya seorang yang dicalonkan, Setiausaha Dewan hendaklah mengisytiharkan nama calon tersebut bahawa beliau telah dipilih atau sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, maka pemilihan akan dilakukan menerusi undi bersurat (menyatakan pilihan menerusi kertas undi) dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Kesimpulannya, Tuan Yang di-Pertua/Speaker Dewan Rakyat mempunyai banyak bidang kuasa dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa sidang Parlimen.  Pelantikan seseorang yang berkelayakan dan berkaliber adalah sangat penting bagi mengawal selia urusan mesyuarat Dewan Rakyat dan kelakuan ahli-ahlinya dengan lebih berkesan berasaskan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Tags:
pru14
parlimen malaysia
speaker dewan rakyat
tuan yang di-pertua dewan rakyat
gantung tugas
10d23179 ddd4 4850 be0c ee0555dcfd90
amsyar ahmed

In Pursuit of Legal Communitization


25

Shares

A+

A-