Asklegal
Home banner 4d92

Corporate

SALAH FAHAM UMAT ISLAM TENTANG KONSEP TAKAFUL

almost 9 years ago Nazura

14

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-



Picture credit: linkedin.com


Industri takaful terus berkembang pesat selepas sistem perbankan Islam dan pasaran modal Islam di Malaysia. Perkembangan sistem kewangan Islam dibantu dan disokong kuat oleh industri takaful.


Industri Takaful ini bermula pada tahun 1984 dengan wujudnya Akta Takaful 1984 yang dimulai oleh Syarikat Takaful Malaysia dengan berasaskan konsep mudharabah. Dewasa ini telah wujud pelbagai model kontrak yang patuh syariah dijadikan sebagai kontrak asas atau campuran seperti wakalah, waqaf, ju’alah, wadiah, musyarakah, kafalah dan tabarru’.


Walaupun industri ini berkembang pesat selama 31 tahun namun terdapat segelintar umat Islam dan bukan Islam yang mempunyai salah anggapan terhadap sistem takaful tersebut.


Di Malaysia istilah yang popular digunakan ialah Takaful namun dikenali sebagai insuran Islam di Timur Tengah dan negara-negara Islam dan bukan Islam lain. Perkataan Takaful berasal daripada perkataan Arab iaitu kafala dan dikenali sebagai Takaful yang diertikan sebagai perlindungan bersama di mana para peserta takaful menyumbang kepada satu tabungan bagi tujuan perlindungan bersama jika berlaku sesuatu bencana atau kesusahan di kalangan para peserta.


Seksyen 2, Akta Perkhidmatan kewangan Islam 2013 memberikan tafsiran Takaful sebagai suatu perkiraan yang berasaskan pertolongan secara bersamayang di bawahnya peserta takaful bersetuju untuk menyumbang kepada suatu kumpulan wang yang sama yang menyediakan manfaat kewangan kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta takaful itu atau kepada benefisiarinya pada masa berlaku sesuatu kejadian yang telah dipersetujui terdahulu.


Ternyata konsep takaful ini disarankan oleh syariah kerana terdapatnya unsur tabarru’, derma dimana para peserta saling bantu membantu sesama ahli peserta yang di dalam kesusahan. Tabarru’ bermaksud memberi sesuatu kepada pihak lain tanpa mengharapkan sebarang pembalasan.


Perkara ini amat digalakan oleh Islam berasaskan al-Qur’an surah al- Maidah ayat 2 yang bermaksud "..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."


Selain itu, takaful juga merupakan sebagai salah satu strategi pengurusan risiko yang mana kolektif risiko akan dikongsi bersama dengan ahli peserta yang lain. Kekadang risiko yang dialami oleh individu adalah amat sukar untuk ditangani jika tidak ada ahli peserta yang lain juga menanggung risiko tersebut.


Ini digambarkan oleh RasulAllah yang mana orang Beduin datang berjumpa RasulAllah dengan melepaskan untanya tanpa ditambat. Apabila ditanya oleh Rasullah kenapa mereka tidak menambat untanya, mereka menjawab bahawa beliau bertawakkal kepada Allah dan RasulNya. Apabila mendengar perkara tersebut RasulAlah menyatakan dengan tegas, ikat unta tersebut dan kemudian baru berserah atau bertawakkal kepada Allah.


Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu mengambil risiko yang rendah dengan melakukan perkara yang sepatutnya dan setelah itu barulah bertawakkal kepada Allah.


Malahan satu kaedah dalam perundangan Islam (qawaid fiqhiyyah) menyatakan bahawa al-darar yuzal yang bermaksud kerosakan hendaklah dielakkan. Kaedah perundangan ini menyarankan apabila kerosakan berlaku usaha hendaklah dilakukan untuk mengurangkannya. Oleh itu,Takaful adalah sebagai satu mekanisma untuk mengelakkan kerosakan apabila sesuatu perkara itu berlaku.


Terdapat juga salah faham umat Islam yang menyatakan bahawa takaful itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan qada’ dan qadar Allah. Mereka berpendapat umat Islam hendaklah menerima seadanya apa sahaja yang bakal dan telah berlaku sebagai qada dan qadar Allah.


Segolongan umat Islam pula menyatakan bahawa takaful juga adalah salah satu bentuk perjudian sepertimana dalam insuran konvensional. Malahan mereka menyatakan tiada perbezaan langsung di antara insuran konvensional dengan takaful kerana beranggapan bahawa takaful juga adalah suatu bentuk jual beli perlindungan.


Bagi menjawab persoalan yang bersarang di benak umat Islam terutamanya yang menyatakan bahawa takaful bertentangan dengan qada’ dan qadar Allah, sistem takaful ini adalah suatu tindakan untuk mengurangkan risiko atau mengelak kerosakan atau kesusahan apabila berlaku tanpa menafikan bahawa umat Islam tidak boleh lari dari qada dan qadar Allah.


Ini bersesuaian dengan peristiwa Saidina Umar al-Khattab yang melarang umat Islam untuk pergi ke sesuatu kawasan yang dijangkiti wabak taun . Apabila ditanya oleh para sahabat adakah Saidina Umar al-Khattab cuba lari dari qada dan qadar Allah. Lalu Umar menjawab dengan tegas bahawa aku lari dari satu qadar kepada suatu qadar yang lain.


Konsep takaful bukanlah berbentuk perjudian sepertimana insuran konvensional kerana konsep asas takaful ialah tabarru; derma yang mana para peserta saling bantu membantu di kalangan ahli dan bukannya konsep memberi keuntungan kepada setengah pihak semata-mata.


Oleh itu tiada istilah menang atau kalah dalam konsep takaful kerana semuanya berbentuk tolong menolong dari tabungan tabarru’ tadi. Ini adalah asas perbezaan yang paling ketara di antara takaful dan insuran konvensional yang telibat dengan maysir, perjudian yang mana hubungan antara ahli sebagai pembeli dan operator insuran sebagai penjual yang mana barang (kecelakaan) belum wujud lagi sebagai pelan perlindungan.


Ini sekaligus menafikan konsep jual beli polisi dalam takaful malahan ianya adalah berbentuk tolong menolong dikalangan ahli atau peserta. Pengendali takaful hanya bertindak sebagai badan pengurusan yang menguruskan tabungan tabarru’ peserta tadi bagi tujuan perlindungan bersama peserta. Tiada konsep jual beli pelan perlindungan dalam sistem Takaful.


Kesimpulannya industry takaful adalah sangat penting dalam menyokong perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia. Fleksibiliti yang dibenarkan oleh syariah dalam industri takaful adalah pemangkin kepada inovasi produk takaful yang lain.


Sokongan dari umat Islam sama ada di Malaysia atau luar Malaysia amat diharapkan dan semua salah faham ini dapat dijernihkan kembali.


Malahan kita berharap bahawa system takaful akan menjadi suatu instrumen pampasan kepada kesalahan-kesalahan jenayah pada masa kini yang mana takaful menjadi mekanisme pampasan kepada kemalangan maut dan jenayah pembunuhan berdasarkan konsep diyyah dalam undang-undang jenayah Islam akan menjadi kenyataan sepertimana yang disarankan oleh undang-undang Islam itu sendiri.



DR JASRI JAMAL

Prof Madya di Fakulti Undang-Undang UKM dan

Pengetua Kolej Dato Onn UKM

No tel: 0389215921

Email: jasri@ukm.edu.my

Tags:

14

Shares

A+

A-