Asklegal
Home banner 30c60fa0 85c0 4ffc ab6d e2df71e4824f

Constitution

Apa maksud 'Pilihan raya kecil' dan bila ia diadakan?

over 5 years ago amsyar ahmed

25

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Pada tiga minggu lepas, satu pilihan raya kecil (PRK) telah diadakan bagi kawasan DUN Sungai Kandis dan akan disusuli oleh dua lagi PRK bagi kawasan DUN Balakong dan DUN Seri Setia yang akan dilaksanakan secara serentak pada 8hb September 2018. 

Tapi pernahkan anda terfikir, kenapa PRK perlu diadakan sedangkan PRU14 baru sahaja berlangsung tiga bulan yang lalu?

Secara umumnya, pilihan raya kecil bermaksud pilihan raya yang diadakan untuk mengisi satu atau beberapa kekosongan kerusi di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri oleh sebab-sebab yang timbul selain daripada pembubaran Parlimen atau DUN. Untuk rujukan, ketiga-tiga PRK diatas diadakan atas sebab yang sama, iaitu kematian para penyandangnyaTafsiran ini adalah sama seperti mana yang dinyatakan menurut Peraturan 2 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Jadi, selain daripada sebab kematian wakil rakyat, artikel ini akan menerangkan 5 sebab kenapa sesuatu PRK diadakan di Malaysia untuk pengetahuan para pembaca.

 

1. Peletakan jawatan

Jarang sekali kita dengar ada wakil-wakil rakyat di Parlimen/DUN yang meletakkan jawatan mereka secara sukarela – Kali terakhir perkara ini berlaku adalah pada tahun 2014 yang mana Tuan Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan beliau sebagai ADUN Kajang melalui surat pelepasan keahlian DUN Selangor yang diberikan kepada Speaker Parlimen. Dari segi undang-undang, senario ini adalah selaras dengan prosedur yang dinyatakan di bawah Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Di peringkat Persekutuan pula, hal ini juga turut diperuntukkan di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan yang boleh digunakan oleh ahli-ahli Parlimen. Peruntukannya adalah seperti berikut:

Pelepasan keahlian oleh ahli-ahli

51. Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan, jika dia seorang ahli Dewan Negara, kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, atau jika dia seorang ahli Dewan Rakyat, kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Maksudnya, mana-mana Ahli Parlimen boleh melepaskan jawatan mereka dengan memberikan surat yang ditandatangani sendiri kepada Speaker Dewan Rakyat (bagi Ahli Dewan Rakyat) atau Speaker Dewan Negara (bagi Ahli Dewan Negara).

Apabila seseorang Ahli Dewan Rakyat melepaskan jawatannya, beliau juga hilang kelayakan untuk bertanding untuk kerusi Parlimen dalam tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan jawatan beliau. Isu ini nyata dijelaskan di bawah Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan. Jadi, setelah perletakan jawatan, kerusi Ahli Dewan Rakyat tersebut akan diisytiharkan kosong dan satu pilihan raya kecil akan diadakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi ruang kepada para pengundi di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat yang baharu.

 

2. Desakan untuk meletakkan jawatan

Siapa yang nak desak Mat Sabu ni…
Imej kredit dari worldofbuzz.com

Anda pasti telah mendengar cerita tentang beberapa Ahli Parlimen yang dipilih semasa PRU14 yang didesak untuk meletakkan jawatan atas sebab tindakan keluar parti (atau lebih dikenali sebagai ‘lompat parti’).

Dalam konteks ini, keputusan Ahli Parlimen untuk melompat parti dianggap tidak sihat dan tidak disokong kerana mereka telah dipilih oleh para pengundi di kawasannya atas kapasiti parti politiknya berbanding kapasiti individu. Namun begitu, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan melompat parti dan di samping itu, tiada sebarang undang-undang yang melarangnya yang telah diisytiharkan sah. 

Ini boleh dilihat dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors v Nordin bin Salleh & Anor, di mana kerusi DUN Kelantan milik Nordin dan seorang lagi telah diisytiharkan kosong atas tindakan mereka keluar parti. Ini kerana tindakan mereka dianggap bertentangan dengan Perkara 31A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang memperuntukkan mana-mana ADUN yang keluar parti hendaklah ditamatkan keahlian DUN-nya.

Mahkamah Agung (sekarang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan Perkara 31A sebagai tidak sah. Ini kerana ia bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, yang merangkumi hak seseorang warganegara untuk menubuhkan, menyertai, dan keluar daripada mana-mana pertubuhan secara bebas. 

Tuntasnya, mana-mana wakil rakyat yang keluar partinya bolehlah sekadar didesak oleh ahli bekas partinya ataupun para pengundinya untuk meletakkan jawatan sahaja. Seandainya wakil rakyat itu akur dengan desakan tersebut dan melepaskan jawatannya, barulah pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen/DUN yang ditinggalkannya. 

 

3. Hilang kelayakan

Semasa memegang jawatan Ahli Parlimen, mana-mana wakil rakyat tersebut boleh hilang kelayakan atas macam-macam faktor. Perlembagaan Persekutuan turut menyenaraikan sebab-sebab kehilangan kelayakan mereka dan antara intipati hal tersebut yang dinyatakan di bawah Perkara 48(1) adalah seperti berikut:

  • Tidak sempurna akal/Menjadi gila
  • Menjadi bankrap
  • Memegang jawatan yang mempunyai pendapatan (seperti perkhidmatan awam)
  • Tidak memberikan penyata perbelanjaan pilihan raya seperti yang dikehendaki oleh undang-undang selepas dicalonkan untuk menjadi Ahli Parlimen/ADUN atau menjadi agen pilihan rayanya
  • Disabitkan dengan mana-mana kesalahan oleh mahkamah dan menerima hukuman penjara setahun ke atas/lebih daripada RM2000 & tidak mendapat pengampunan bebas
  • Mendapat/Menggunakan hak kewarganegaraan asing/luar Malaysia

Selain daripada Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan-perlembagaan negeri juga ada menyatakan sebab-sebab kehilangan kelayakan yang sama seperti di atas – iaitu terpakai ke atas ahli-ahli DUN. Contohnya, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan Negeri Selangor juga menerangkan keadaan-keadaan yang menyebabkan seseorang ADUN negeri tersebut hilang kelayakan menurut Perkara 50(1) [Negeri Sembilan] dan Perkara 64(1) [Selangor]

 

4. Pemecatan jawatan

Imej dari Qerja

Seterusnya, sukar sekali untuk kita dengar ada wakil rakyat yang dipecat daripada perkhidmatannya. Setakat ini, ada beberapa orang ahli Parlimen hanya digantung tugas oleh sebab ketidakpatuhan mereka terhadap arahan Speaker ataupun Peraturan Mesyuarat.

Hal ini adalah kerana tiada sebarang peruntukan khas yang jelas membenarkan Parlimen/DUN memecat mana-mana ahlinya selain daripada menegur, hukuman penjara, denda ataupun gantung tugas berdasarkan Seksyen 9 dan 29 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Jika dibandingkan dengan Parlimen United Kingdom, Dewan Rakyatnya diberi kuasa untuk memecat mana-mana Ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada keistimewaan Parlimennya. Walaupun tiada sebarang hubung kait yang jelas antara Parlimen Malaysia dengan Parlimen UK, sebenarnya Parlimen negara kita juga turut mempunyai bidang kuasa yang sama sebagaimana Parlimen UK. Menurut Seksyen 32(1) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952:

Privileges and immunities of the House of Commons to be enjoyed by the House and members thereof
32. (1) Save as is otherwise expressly provided by this Act, the House and the members thereof respectively shall hold, enjoy and exercise such and the like privileges and immunities, and powers relating thereto as are held, enjoyed and exercised by the Commons House of the Parliament of the United Kingdom and by the members thereof and also such privileges, immunities and powers as are from time to time defined by any law of Malaysia but not exceeding those at the commencement of such law held, enjoyed and exercised by the Commons House aforesaid and by the members thereof
respectively whether such privileges, immunities or powers were so held, possessed or enjoyed by custom, statute or otherwise.

Terjemahan tidak rasmi bagi Seksyen ini adalah seperti berikut: 

Keistimewaan dan kekebalan Dewan Rakyat United Kingdom untuk dinikmati oleh Parlimen dan ahli-ahli yang daripadanya

32. (1) Kecuali sebagaimana yang selainnya diperuntukkan dengan nyata oleh Akta ini, Parlimen Malaysia dan ahli bahagiannya masing-masing hendaklah memegang, menikmati dan menjalankan apa-apa dan sebagainya keistimewaan dan kekebalan, dan kuasa-kuasa berkaitan dengannya kerana memegang, menikmati dan dilaksanakan oleh Dewan Rakyat Parlimen United Kingdom dan oleh ahli-ahli daripadanya dan juga apa-apa keistimewaan, kekebalan dan kuasa sebagaimana yang dari masa ke semasa ditakrifkan oleh mana-mana undang-undang Malaysia tetapi tidak melebihi yang terdapat di permulaan undang-undang sedemikian memegang, menikmati dan dilaksanakan oleh Dewan Rakyat United Kingdom tersebut dan oleh ahli-ahli yang daripadanya masing-masing sama ada apa-apa keistimewaan, kekebalan atau kuasa adalah Jadi diadakan dimiliki atau dinikmati oleh adat, statut atau selainnya. 

Maksudnya, Parlimen Malaysia boleh mengguna pakai setiap keistimewaan dan kuasa yang dimiliki oleh para ahli Dewan Rakyat UK (House of Commons) dan Parlimennya. Oleh sebab itulah, jika Parlimen UK mempunyai kuasa untuk memecat Ahli Parlimennya yang dipilih menerusi pilihan raya, Parlimen Malaysia juga sebenarnya mempunyai kuasa yang sama untuk memecat mana-mana ahlinya walaupun tindakan ini kelihatan tidak demokratik dan lantaran itu, kuasa ini jarang sekali digunakan olehnya. 

 

5. Kematian

Kredit Imej: JAPEN

Akhir sekali, seperti yang dinyatakan di permulaan artikel ini, terdapat tiga orang ADUN Selangor yang meninggal dunia disebabkan oleh kesakitan tubuh badan dan kemalangan jalan raya selepas mereka dipilih sebagai wakil rakyat semasa PRU14. Boleh dikatakan bahawa inilah sebab utama PRU diadakan. Menurut seorang pakar perlembagaan iaitu Prof Shad Saleem Faruqi, sejak tahun 1959 hingga 2016, seramai 45 orang Ahli Parlimen telah meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan yang disebabkan oleh penyakit, kemalangan jalan raya, nahas pesawat atau helikopter dan dibunuh.

Dari segi undang-undang, Perkara 66(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 iaitu Perlembagaan Negeri Selangor memperuntukkan:

Kesan kematian, kehilangan kelayakan dan larangan pencalonan tanpa persetujuan
66. (1) Jika seseorang ahli Dewan Negeri meninggal dunia atau hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan itu, maka kerusinya hendaklah menjadi kosong.

Maksudnya, kekosongan boleh berlaku apabila terdapat kematian mana-mana wakil rakyat dak PRK akan diadakan untuk memilih wakil rakyat yang baru. 

 

Kesimpulannya – jom mengundi (sekali lagi)!

Secara holistiknya, ia dapat dikatakan bahawa pilihan raya kecil selalunya akan diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut atas sebab-sebab yang dibincangkan di atas. Hal ini adalah signifikan untuk memastikan suara masyarakat tempatan yang terjejas boleh dibawa oleh wakil baru yang dipilih melalui PRK di Parlimen atau DUN. 

Oleh sebab itulah, pilihan raya kecil mempunyai kepentingan yang setaraf dengan pilihan raya umum; maka rakyat mestilah menganggap tugasan turun mengundi itu sebagai satu tanggungjawab penting yang perlu ditunaikan. 

Tags:
parlimen
pilihan raya kecil
prk
sungai kandis
seri setia
dun
akta majlis parlimen (keistimewaan dan kuasa) 1952
perlembagaan persekutuan
10d23179 ddd4 4850 be0c ee0555dcfd90
amsyar ahmed

In Pursuit of Legal Communitization


25

Shares

A+

A-