Asklegal
Home banner 23843747 1219 44f4 8f3d d0e958ba2238

Civil,General

Pampasan buat penerima vaksin COVID-19

almost 3 years ago zamrezahir7@gmail.com

353

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PIHAK PENGARANG. Pendapat, kepercayaan, dan sudut pandangan yang diutarakan oleh pengarang tidak semestinya mencerminkan pendapat ASKLEGAL dalam isu ini, dan juga tidak mencerminkan kandungan biasa yang diterbitkan oleh ASKLEGAL. Kami tidak menjamin ketepatan undang-undang di dalam artikel ini.
oleh Mohd Zamre Bin Mohd Zahir | zamre@ukm.edu.my
 

Suntikan vaksin COVID-19 merupakan suatu isu yang hangat diperkatakan. Hampir semua orang membincangkan isu berkaitan dengan vaksin, termasuklah mereka yang tidak sabar untuk diberi suntikan vaksin COVID-19 dan mereka yang masih ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan tersebut. Pfizer Inc bersama dengan BioNTech SE, Moderna Inc., Sinovac, CanSinoBIO dan beberapa buah syarikat yang lain telah tampil ke hadapan dengan menyatakan bahawa vaksin COVID-19 yang ditemukan adalah selamat dan berkesan. Selain itu, vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca turut dikatakan selamat digunakan.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Mac 2021 dikatakan selamat digunakan di Malaysia. Oleh itu, dalam keadaan yang terdesak untuk mendatarkan keluk jangkitan wabak ini, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Di sebalik usaha murni ini, timbul juga isu berkaitan risiko kesan sampingan vaksin COVID-19 yang mungkin boleh memberikan impak penting dari segi fizikal, mental dan juga kewangan penerima vaksin. Persoalannya, sejauh manakah kerajaan Malaysia bersedia untuk berdepan dengan tuntutan penerima vaksin kelak?

 

Sistem pemberian pampasan

Imej dari The Star.

Terlebih dahulu, kita perlu memahami maksud vaksin. Vaksin adalah sejenis ubat yang dicipta untuk melindungi daripada penyakit berjangkit dengan memperkenalkan sistem daya lawan jangkitan (dikenali juga sebagai sistem imuniti) terhadap virus atau bakteria dengan kaedah yang selamat. Vaksin merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) sekiranya seseorang dijangkiti virus berbahaya. Sistem imuniti dapat mencegah jangkitan virus daripada merebak dengan cepat ke dalam badan. Lantaran itu, seseorang tidak mudah mendapat jangkitan virus COVID-19.

Di Malaysia, pihak kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas berkaitan dengan vaksin COVID-19 bagi menilai kesan sampingan yang mungkin timbul selepas program vaksinasi. Hal ini penting bagi menilai tindakan susulan yang boleh diambil sekiranya berlaku kesan sampingan yang teruk termasuk mengakibatkan kematian.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pihaknya tidak memanggil hal tersebut sebagai pampasan seperti yang dilakukan oleh beberapa negara termasuk Singapura, tetapi lebih kepada sagu hati ataupun bantuan. Pakar akan meneliti dahulu kes terbabit bagi melihat kesan sampingan sama ada kesan tersebut disebabkan oleh vaksin ataupun sekadar kebetulan. Sekiranya berlaku kesan sampingan yang serius seperti kematian, pihak kerajaan akan mendaftarkan kes tersebut dengan WHO dan syarikat pengeluar vaksin tersebut untuk direkodkan serta dinilai berdasarkan data yang ada.

Perkara ini dilihat seakan-akan sama seperti seseorang yang menandatangani surat kebenaran pembedahan, tetapi ia tidak bermakna tindakan mahkamah tidak boleh dilaksanakan. Walaupun wujud keizinan pesakit, namun tindakan mahkamah masih boleh dibuat. Dalam konteks COVID-19 pula, walaupun kes tidak dibawa ke mahkamah, pampasan masih akan diberikan.

 

Pengesahan penerimaan vaksin

Imej dari BBC.

Di samping itu, pihak kerajaan turut bercadang untuk mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19. Dua cadangan telah diutarakan:

  • penerima suntikan vaksin dipaparkan di aplikasi MySejahtera
  • dokumen secara fizikal dalam bentuk pasport yang boleh diterima oleh negara-negara lain

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memperhalus cadangan tersebut. Sementara itu, Menteri MOSTI menyatakan bahawa skim perlindungan diwujudkan untuk memberikan pampasan kepada penerima vaksin COVID-19 yang menerima kesan sampingan yang serius. Skim tersebut bertujuan untuk memberikan pampasan ex-gratia terhadap kes kesan sampingan yang serius yang boleh dikaitkan dengan pemberian vaksin COVID-19. Persoalannya, sejauh manakah skim yang disyorkan mampu menghadapi isu tuntutan penerima vaksin yang terkesan kelak?

Menurut Health Resources and Services Administration (HRSA), sebuah agensi bagi U.S. Department of Health and Human Services, sebilangan besar individu yang menerima vaksin tidak mempunyai masalah yang serius. Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, tetapi kebanyakannya jarang dan sangat ringan kesannya. Beberapa masalah kesihatan yang timbul akibat program vaksinasi tidak disebabkan oleh vaksin itu sendiri.

Dalam kes yang sangat jarang berlaku, vaksin boleh menyebabkan masalah yang serius, seperti reaksi alergi yang teruk. Dalam keadaan sedemikian, National Vaccine Injury Compensation Program (VICP) akan memberikan pampasan kewangan kepada individu yang mengemukakan petisyen dan didapati terkesan akibat vaksin yang dilindungi oleh VICP.

 

Persediaan menghadapi tuntutan vaksin

Imej dari AP.

Jika dilihat situasi yang berlaku di negara jiran, Presiden Joko Widodo menandatangani Peraturan Presiden (Perpres) Nomor 14/2021 sebagai pindaan kepada Nomor 99/2020 berhubung dengan Pengadaan Vaksin dan Pelaksanaan Vaksinasi COVID-19. Perpres yang ditandatangani mengandungi beberapa perubahan, seperti pemberian pampasan kepada mana-mana individu yang mengalami alahan yang teruk, kecacatan atau kematian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Perpres tersebut juga menyatakan bahawa Kerajaan Indonesia akan menetapkan ketentuan yang sewajarnya sekiranya terdapat individu yang memerlukan rawatan perubatan selepas menerima suntikan vaksin. Jika berlaku keadaan yang memerlukan rawatan perubatan selepas menerima suntikan vaksin, kerajaan akan menanggung pembiayaan mengikut kadar yang ditetapkan. Kesemua tanggungan itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Indonesia.

Baru-baru ini, pihak kerajaan Malaysia telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19. Antaranya:

  • RM50,000 jika kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin yang memerlukan rawatan berpanjangan dihospital
  • RM500,000 jika hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19

Kerajaan bersetuju menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan ini. Kerajaan akan menubuhkan 3 jawatankuasa di peringkat Kementerian bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin COVID-19.

Bantuan khas kewangan ini dilihat sebagai langkah proaktif pihak kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin. Selain itu, ia juga dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak.

Sementara itu, ada pihak yang berpendapat tiada keperluan mendesak pada masa sekarang bagi usaha pemberian bantuan khas kewangan kesan vaksin COVID-19 itu. Manakala, ada pula pihak yang berpendapat usaha ini suatu inisiatif pihak kerajaan yang dilihat murni selain menyokong bantuan sebegini.

 

Tanggungjawab bersama rakyat dan kerajaan

Apabila berhadapan dengan kemelut COVID-19 dan vaksin sebagai penyelamat, terdapat isu lain yang perlu diselesaikan dengan baik dan berkesan. Sebelum ini, Dr. Fahirah Syaliza Mokhtar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan rakan-rakan penyelidik turut membuat kajian berkaitan isu pampasan COVID-19. Isu berkaitan dengan pampasan bagi kesan sampingan COVID-19 wajar diberikan perhatian penuh dan penyelesaian terbaik adalah suatu yang menjadi kemestian.

Kebanyakan negara mengambil penyelesaian bagi isu pampasan vaksin ini melalui pemberian bantuan khas kewangan, skim, sagu hati dan program tertentu. Persoalannya, adakah kaedah ini sudah cukup memadai sebagai penyelesaian yang terbaik? Rakyat perlulah memberikan bantuan dan kerjasama agar penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan. Kerajaan pula haruslah mencari mekanisme penyelesaian yang jelas dan munasabah dalam konteks pemberian pampasan agar setiap pihak mendapat keadilan yang tuntas.

Tags:
pampasan
vaksin covid-19
covid-19
mekanisme
bantuan khas kewangan

353

Shares

A+

A-