Asklegal
Home banner 8747

General

Mengapakah Analisa DNA Amat Berguna Di Dalam Sistem Perundangan?

over 8 years ago Nazura

1

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Secara umumnya perkataan “DNA (Deoxyribonucleic Acid)” bukanlah satu perkataan yang asing jika ditanya kepada khalayak umum, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlibat secara langsung di dalam sistem perundangan seperti peguam. Jika disoroti, perkataan ini mula menjadi popular di kalangan masyarakat pada awal 2000an melalui peranan media seperti pendedahan melalui siri-siri tv popular di Amerika Syarikat yang berkisar kepada topik perundangan dan penyiasatan jenayah seperti “Crime Scene Investigation”.


Namun, jika ditanya kepada masyarakat umum apakah itu DNA? Besar kemungkinan tidak ramai yang mampu untuk memberi penjelesan dengan tepat.


DNA merupakan satu molekul kimia yang terdapat di dalam setiap sel badan manusia kecuali sel darah merah. Separuh daripada komposisi molekul DNA adalah diwarisi daripada ibu dan separuh lagi daripada bapa. Perwarisan ini berlaku semasa proses persenyawaan manusia.


Dari sudut biologi, DNA merupakan bahan yang terpenting di dalam badan manusia. Selain daripada berperanan sebagai bahan yang menentukan kebakaan atau keturunan dari satu generasi ke generasi yang lain, DNA juga merupakan bahan yang menggerakkan atau menentukan kelancaran fungsi-fungsi biologi di dalam badan manusia. Sebagai contoh, DNA berperanan penting dalam pembinaan protein yang digunakan oleh badan manusia untuk membentuk tisu-tisu badan, organ dan juga antibodi.


Pada dasarnya kira-kira 99% daripada komposisi molekul DNA adalah sama bagi setiap manusia. Namun kewujudan 1% komposisi molekul DNA yang berbeza antara seorang manusia dengan yang lain menyebabkan ianya boeh dijadikan sebagai satu kaedah untuk menetukan identifikasi seseorang individu. Sekumpulan ahli sains di England yang di ketuai oleh Sir Alec Jeffreys merupakan pihak yang mula-mula menemui keupayaan DNA ini. Bertitik tolak daripada penemuan ini, saintis-saintis telah menjalankan kajian lebih mendalam sehingga wujudnya teknik analisa DNA yang digunakan di dalam sistem perundangan pada hari ini.


Dari sudut perundangan, secara umumnya analisa DNA boleh digunakan di dalam kes-kes sivil dan juga jenayah.


Sebagai contoh bagi kes sivil, ianya boleh digunakandi dalam kes tuntutanmendapatkan nafkah anak daripada bapa. Sekiranya lelaki yang didakwa sebagai bapa kandung kepada anak tersebut menafikan dakwaan tersebut, analisa DNA boleh digunakan untuk mengesahkan atau menidakkan dakwaan tersebut.


Bagi kes jenayah pula, analisa DNA boleh digunakan untuk membuktikan penglibatan jenayah yang dilakukan oleh individu yang didakwa di mahkamah. Sebagai contoh di dalam kes bunuh, bukti-bukti biologi seperti serpihan kuku, peluh atau darah yang mungkin ditinggalkan oleh pembunuh ditempat kejadian jenayah sekiranya berlaku pergelutan dengan mangsa boleh digunakan untuk analisa DNA untuk menentukan individu yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut.


Sebagai kesimpulannya, penemuan dan keupayaan DNA di dalam menentukan identifikasi seseorang individu telah banyak membantu menambah baik proses perundangan dan keadilan pada masa ini. Walaupun terdapat teknik-teknik forensik lain seperti analisa cap jari dan analisa jenis darah yang terlebih dahulu digunakan di dalam proses perundangan, teknik-teknik tersebut tidak dapat menandingi keupayaan analisa DNA.


Hal ini kerana, selain daripada keupayaan analisa DNA yang dapat menentukan identifkasi seseorang individu secara lebih spesifik berbanding teknik-teknik forensik yang lain, analisa DNA juga telah diiktiraf oleh para saintis sebagai teknik forensik yang paling boleh dipercayai sehinggakan ianya dianggap sebagai “gold standard” di dalam sains forensik.



Mohd Munzil Bin Muhamad

Pensyarah

Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia

mohdmunzil@ukm.edu.my

03-89216362

Tags:

1

Shares

A+

A-