Asklegal
Home banner 115be289 b5b3 408f a5ec 61b541a1ab0e

Civil

Apa yang boleh kamu buat jika kamu tak mampu mengupah peguam?

over 6 years ago Faiz

712

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


The original version of this article was written in English, click here to read it. 

Pernah tak anda dalam situasi di mana anda nak saman si polan ni sebab dia mengingkari kontrak antara korang TAPI korang takde duit nak upah seorang peguam? Ataupun anda baru je beli sebuah TV plasma yang berharga beribu ringgit dari sebuah kedai, tapi bila dihantar ke rumah, TV tersebut ada kerosakan & kedai tersebut enggan bayar ganti rugi?

Ataupun, bayangkan jika anda ditahan oleh polis sebagai seorang suspek dan anda mahu menggunakan hak anda mendapatkan khidmat seorang peguam tapi anda rasa anda tak mampu.

Kalau anda pernah berada dalam situasi seperti di atas ataupun apa apa situasi yang memaksa anda mengambil khidmat seorang peguam tapi tak mampu, jangan goyang. Ni ada berita baik untuk anda.

 

Malaysia mempunyai tiga jenis badan bantuan undang-undang untuk dipilih!

Jangan saman kalau takde sebab munasabah.
Imej dari linkedin.com

Tapi sebelum tu, anda perlu tahu yang bantuan dari badan undang-undang mempunyai 2 jenis, iaitu:

  1. Nasihat Undang-Undang – PERCUMA daripada ketiga-tiga jenis bantuan guaman dan merangkumi kesemua sudut undang-undang
  2. Perwakilan Undang-Undang – Hanya disediakan untuk sebahagian undang-undang dan DISUBSIDI

Kedua-dua jenis bantuan undang-undang ini ditawarkan oleh ketiga-tiga jenis badan bantuan guaman di Malaysia

Badan bantuan guaman pertama adalah Jabatan Bantuan Guaman yang ditaja oleh kerajaan dan mengendalikan sesetengah jenis kes sivil dan jenayah.

Badan bantuan guaman kedua adalah Majlis Peguam dan mereka mempunyai pejabat di setiap negeri di Malaysia. Badan Peguam adalah ditaja secara persendirian oleh ahli perbadanan tersebut sendiri(peguam) dan menawarkan khidmat bantuan guaman untuk kes-kes melibatkan keluarga, pekerjaan & juga kes jenayah

Badan guaman yang ketiga adalah khas untuk kes-kes jenayah sahaja. Badan guaman ini dikenali sebagai Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Ianya telah beroperasi sejak 2012 untuk memenuhi permintaan yang tidak disediakan oleh Jabatan Bantuan Guaman & Badan Peguam

Sebagai nota ringkas, kes sivil adalah apabila anda menyaman seseorang untuk perkara seperti pelanggaran kontrak, hak penjagaan kanak-kanak & sebagainya. Sebaliknya, untuk kes-kes jenayah, apabila anda didakwa melakukan jenayah dan ia merupakan tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap anda.

Perlu diingatkan bahawa bantuan guaman adalah berbeza daripada khidmat pro bono. Bantuan guaman ditawarkan melalui 3 badan guaman yang dinyatakan di atas oleh peguam panel mereka manakala tugas pro bono adalah tugas yang diambil oleh peguam individu dengan perbelanjaan mereka sendiri. Sebagai ringkasan, bantuan guaman adalah institusi(lebih kurang la) & pro bono adalah melalui individu.

Sekarang anda dah tau kan yang terdapat 3 jenis bantuan perkhidmatan guaman, meh sini kita bincang tentang perkara-perkara yang lebih penting seperti bagaimana anda nak penuhi syarat untuk itu dan apa yang anda boleh buat. Kita akan membincangkan isu-isu ini di bawah tajuk yang berasingan untuk setiap pusat bantuan guaman.

TETAPI, ada satu perkara yang sangat penting yang anda akan perasan sepanjang artikel ini dan ianya adalah..

 

Anda perlu lulus dua peringkat ujian jika anda mahukan bantuan guaman!

Tak perlu ulang kaji pun(dengar macam senang kan?)
Imej dari pinterest.com 

Ketiga-tiga badan bantuan guaman ini akan menguji anda melalui ujian kemampuan (“means test”).

Ujian kemampuan ni apa? Bagus soalan tu. Ujian kemampuan ni adalah penting untuk mengenal pasti samada taraf kewangan anda layak untuk mendapatkan bantuan undang-undang atau tidak. Jabatan Bantuan Guaman memberi peluang kepada anda untuk mengambil ujian dalam talian dulu untuk ketahui taraf kewangan anda layak atau tak untuk mendapatkan bantuan guaman. TETAPI, jangan le kecewa kalau anda tak memenuhi syarat melalui ujian dalam talian tu sebab keputusan melalui dalam talian tu bukanlah muktamad.

Bagi Majlis Peguam & YBGK, anda perlu mengisi borang di pejabat mereka sendiri untuk mengetahui taraf kewangan anda.

Ujian kedua ini pula HANYA dijalankan oleh Jabatan Bantuan Guaman & Badan Peguam & ianya dikenali sebagai ujian merit.

Secara asas, ujian merit ini adalah satu ujian dimana badan-badan bantuan guaman mempertimbangkan merit daripada kes anda sama ada terdapat sebab munasabah untuk memberi anda bantuan undang-undang. Maksudnya, jika anda ke badan bantuan guaman untuk bantuan dalam tuntutan yang remeh, permohonan anda tidak akan dilayan(sedih). Tetapi, YBGK tidak mempunyai ujian merit ini kerana ianya adalah hak anda untuk diwakili oleh peguam dalam kes jenayah jika anda memilih untuk diwakili oleh peguam

 

Jabatan Bantuan Guaman

Imej dari giphy.com

Bantuan Guaman ini berasal daripada Akta Bantuan Guaman 1971 (“LAA 1971”) & menyediakan perkhidmatan undang-undang untuk rakyat Malaysia pada kadar yang disubsidi. Ini bermakna anda masih perlu membayar jumlah tertentu tetapi ia akan jauh lebih murah daripada mengupah peguam anda sendiri.

Jenis kes yang dikendalikan oleh Jabatan Bantuan Guaman ("JBG") boleh didapati dalam Jadual Kedua dan Ketiga LAA 1971. Jadual Kedua pula menangani kes jenayah manakala Jadual Ketiga menyenaraikan semua kes sivil yang dikendalikan oleh jabatan.

Sebagai peraturan am (“general rule”), JBG hanya mengendalikan kes-kes jenayah selepas orang itu mengaku salah dan hanya membantu orang itu untuk mengurangkan hukuman (“mitigation”) yang mereka bakal terima. Terdapat dua pengecualian kepada peraturan am ini

  1. Jika kesalahan telah dilakukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001
  2. Jika kesalahan itu merupakan kesalahan kecil di bawah Akta Kesalahan Minor 1995

Contoh bagaimana peraturan am ini digunakan:

Ali telah didakwa atas kesalahan mencuri & dia mengaku melakukan jenayah itu

Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara 7 tahun terhadap Ali tetapi Ali adalah pencari nafkah tunggal untuk keluarganya

Oleh itu, Ali boleh mendapatkan bantuan guaman untuk mengurangkan hukumannya kepada yang lebih ringan

Contoh pengecualian kepada peraturan am ini:

Ali didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta KanakKanak/Kesalahan Kecil

Ali mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu.

Ali akan mendapat bantuan guaman walaupun mengaku tidak bersalah & akan dibicarakan

Ini adalah senarai kes sivil yang lain:

  1. Kes-kes keluarga
  2. Penyewaan padi(kami dah Google, & ianya jatuh di bawah Akta Padi Kultivator(Kawalan Sewa & Keselamatan Tempoh ) 1967 & adalah mengenai menyewa lading padi)
  3. Hartanah (pengedaran)
  4. Kemalangan jalan raya
  5. Kes pinjaman duit
  6. Sewa beli sesuatu perkara
  7. Probet & surat pentadbiran
  8. Pengambilan anak angkat
  9. Tuntutan pengguna

Selain meliputi kes sivil dan jenayah, LAD juga menyediakan bantuan untuk kes Syariah (sivil sahaja) & menyediakan perkhidmatan pengantaraan (“mediation”)bagi kedua-dua isu sivil & Syariah. Satu perkara penting yang perlu diambil kira ialah walaupun kes anda diluar bidang kuasa JBG, LAA 1971 membolehkan anda membuat rayuan kepada Ketua Pengarah untuk meminta pengecualian

Baru-baru ini pada tahun 2017, kerajaan telah membuat pindaan kepada LAA 1971 yang memperkenalkan perkhidmatan sahabat sah. Perkhidmatan sah sahabat ini bertujuan untuk memberikan bantuan dan keselesaan kepada penjaga seorang anak yang telah menjadi mangsa jenayah. Sahabat sah ini akan menasihati penjaga kanak-kanak, menemani mereka semasa prosiding mahkamah, dan kadang-kadang, bercakap bagi pihak mereka. Anda boleh membaca mengenai pindaan di sini.

Bagaimana nak mendaftar untuk bantuan guaman? Anda anda perlu pergi ke mana-mana cawangan mereka (anda boleh mendapatkan senarai penuh di sini ) & mendaftar dengan mengisi borang dan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10.

Perkara lain yang perlu diambil kira ialah walaupun ini adalah perkhidmatan bersubsidi, anda mungkin perlu membayar jumlah tertentu kepada JBG. Kebiasaanya, ianya adalah lebih daripada RM10 yang anda perlu bayar untuk pendaftaran dan amaun yang perlu dibayar bergantung kepada gaji tahunan anda serta kes individu anda. Seperti yang anda dapat lihat dari imej di bawah, jika anda memperoleh pendapatan kurang daripada RM30,000 setahun, bantuan guaman anda adalah percuma.

Bantuan undang-undang seterusnya, Majlis Peguam Malaysia beroperasi sedikit berbeza ... haaa cuba tengok bawah..

 

Majlis Peguam Malaysia (LAC)

Imej dari quickmeme.com

Bantuan guaman Majlis Peguam ("LAC") hanya meliputi kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang keluarga, undang-undang pekerjaan, kes-kes syariah, dan kes jenayah. Perbezaan utama yang pertama ialah tidak seperti JBG, LAC juga meliputi kes jenayah apabila tertuduh mengaku tidak bersalah (kes dia akan dibicarakan (“claims trial”)). Mari kita tukar sikit contoh “Ali” kami yang diberikan di atas:

Ali telah didakwa mencuri & dia mendakwa bahawa dia tidak melakukan jenayah itu.

Ali dikatakan telah menuntut perbicaraan dengan memohon tidak bersalah.

Ali boleh mendapatkan bantuan undangundang untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah.

Perkara yang perlu anda tahu ialah anda tidak perlu membayar yuran guaman di bawah LAC. Ia sememangnya percuma dan juga meliputi orang asing yang didokumenkan ataupun tidak. (Bukan seperti LAD yang hanya untuk rakyat Malaysia). Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai perbezaan antara JBG dan LAC di sini

Walau bagaimanapun, walaupun LAC tidak mengenakan satu sen untuk yuran guaman anda, anda perlu membayar yuran pemfailan mahkamah. Yuran pemfailan bukan sebahagian daripada yuran guaman yang biasanya dikutip peguam tetapi mereka adalah sebahagian dari yuran mahkamah yang anda perlu bayar. Bayaran pemfailan boleh diketepikan jika anda mendapatkan bantuan guaman melalui JBG tetapi tidak jika anda mendapatkan bantuan guaman melalui Bar. Kalau anda memenangi kes itu, mahkamah mungkin membenarkan anda menuntut yuran pemfailan yang telah anda bayar kerana itu adalah penting untuk menyimpan rekod yang sepatutnya.

Aduh! Keliru la dengan benda ni. Apa yang nak kena bayar & apa yang tak payah? Haa kami pecahkan untuk korang:

Yuran guaman (kepada peguam)

JBG – YA

LAC – TIDAK

Yuran pemfailan (kepada mahkamah)

JBG – TIDAK

LAC – YA

Untuk pengetahuan anda, bantuan undang-undang yang disediakan oleh Majlis Peguam dibiayai sepenuhnya oleh peguam dan anda boleh mencari senarai pejabat mereka di sini. Anda juga boleh membaca lebih lanjut mengenai program yang mereka tawarkan di sini

Haa! Bantuan undang-undang yang ketiga pulak adalah:

 

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK)

Imej dari imgflip.com

YBGK hanya meliputi kes jenayah sahaja (termasuk kes jenayah Syariah) untuk semua rakyat Malaysia dan dibiayai oleh kerajaan tetapi diuruskan oleh Majlis Peguam. Ini bermaksud di Semenanjung Malaysia, YBGK beroperasi menerusi LAC & di Sabah & Sarawak, mereka bekerja melalui JBG dan Persatuan Undang-Undang / Persatuan Undang-Undang Sabah. Anda boleh mendapatkan senarai penuh pusat mereka di sini

Bagi pembayaran, jika pendapatan anda kurang daripada RM25,000 setahun, bantuan guaman akan disediakan secara percuma! Walau bagaimanapun, jika anda memperoleh antara RM25,000 hingga RM36,000, anda akan dikenakan kadar yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah YBGK.

Bantuan undang-undang yang disediakan oleh YBGK akan meliputi semua peringkat kes-kes jenayah seperti penahanan, reman, permohonan jaminan, pengurangan. Mana-mana jenis kes jenayah akan diberi perwakilan undang-undang (jika anda melepasi ujian sarana) kecuali jenayah yang membawa hukuman mati (seperti pembunuhan).

 

Jangan takut untuk meminta pertolongan!

Macam yang kami dah bagitau, ketiga-tiga jenis bantuan guaman memberi perkhidmatan nasihat undang-undang! Jikalau anda tersepit dalam masalah ni, jangn segan segan untuk hubungi mereka di nombor di bawah:

Jabatan Bantuan Guaman - 03 8885 1000  

Majlis Peguam - 03 2072 2051

YBGK - 1-800-88-9245

Kalau nak lagi bagus, hubungi mereka dahulu sebelum anda ke sana supaya anda boleh bertanya kepada mereka apa jenis dokumen yang anda perlu bawa. Takdelah nanti nak kena patah balik ke rumah sediakan dokumen lepas tu ke sana balik. 

 

Tags:
syariah
ybgk
jabatan bantuan guaman
bantuan guaman
majis peguam
4968c20d 9335 4269 9181 7042a4f9815f
Faiz

An avid reader


712

Shares

A+

A-