Asklegal
Home banner b0f6

Industrial

HAK ASAS SEBAGAI HAK ASASI PEKERJA MIGRAN DI MALAYSIA

about 8 years ago Nazura

5

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Picture credit: thedailystar.net


Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tanggal 18 Disember setiap tahun sebagai Hari Migran Antarabangsa. Menerusi Deklarasi Philadelphia 1944, komuniti antarabangsa telah mengiktiraf “Pekerja migran bukan merupakan komoditi” dalam usaha mengangkat maruah pekerja migran sebagai tulang belakang kepada proses pembangunan ekonomi sesebuah negara.


Sumbangan pekerja migran kepada pembangunan dan peningkatan ekonomi sesebuah negara mendapat perhatian dan pengiktirafan di serata dunia. Hari Migran Antarabangsa adalah bagi memperingati sumbangan pekerja migran sebagai tulang belakang kepada pertumbuhan dan kemakmuran sesebuah negara. Kemajuan komunikasi dan pengangkutan secara global kini, menjadi penggerak kepada bilangan orang yang bermigrasi di seluruh dunia.


Malaysia sebagai sebuah negara destinasi dan pengimport pekerja migran utama di rantau ini mempunyai sistem perundangan yang mantap bagi melindungi dan seterusnya mengiktiraf hak asas pekerja migran. Sehingga 30 April 2015, terdapat seramai 1,946,152 orang pekerja migran yang digaji secara sah dan telah dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia.


Picture credit: durianasean.com


Sejarah

Hari Migran Antarabangsa ini telah dipilih oleh PBB pada 4 Disember 2000 sebagai satu usaha PBB untuk mengakui bahawa proses migrasi itu menuntut keberanian untuk meninggalkan negara asal serta penglibatan dan sumbangan migran di seluruh dunia. Idea asal untuk mengadakan hari khas migran tercetus pada tahun 1997 apabila Filipina dan lain-lain Pertubuhan Migran Asia mula meraikan apa yang pertama kali dipanggil, "Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Pekerja Migran".


Tarikh 18 Disember tahun 1990 juga merupakan tarikh permulaan memperkenalkan Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga (ICMRW- International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of Their Families).



Picture credit: mtuc.org.my


Hak Asas Pekerja Migran

Bagi memastikan aktiviti migrasi memberi manfaat kepada pekerja migran dan sebagai pilihannya, bukan sebagai satu keperluan hidupnya sebagai manusia, perkara asas yang perlu diberi perhatian adalah soal keamanan dan keselamatan, tadbir urus yang baik, penyediaan persekitaran dan peluang kerja yang bersesuaian. Perkara ini merupakan tanggungjawab besar yang menuntut kerjasama semua pihak bagi menjamin penyediaan kebajikan dan sokongan asas seseorang pekerja migran.


Di Malaysia pekerja migran sama seperti seorang warganegara, dijamin perlindungannya seperti diperuntukkan di bawah Artikel 8, Perlembagaan Persekutuan.


Migran yang masuk secara sah dijamin haknya di bawah undang-undang. Namun, sering kali hak-hak asas migran dikaitkan dengan konsep hak-hak asasi manusia yang sejagat seperti mana yang diperuntukkan dalam konvensyen dan protokol antarabangsa.


Hak asas merupakan hak terhadap keperluan dan sokongan asas sebagai seorang manusia seperti makanan, pakaian, tempat tinggal. Bagi pekerja migran, hak asas pekerjaan termaktub di dalam terma dan syarat kontrak pekerjaan seperti mana yang diperuntukkan di dalam Akta Kerja 1955 (Semenanjung Malaysia), Ordinan Buruh Sabah (Sabah) dan Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak).


Hak asas ini termasuklah hak terhadap gaji minima, cuti, tempoh waktu kerja mengikut piawaian, penamatan, kerja lebih masa dan tatacara aduan.


Picture credit: thestar.com.my


Pengiktirafan hak-hak asas pekerja migran di bawah undang-undang telah diutarakan di dalam kes Chong Wah Plastic Sdn Bhd and Others v. Idris Ali and Others yang menghuraikan konsep kesamarataan di dalam pekerjaan yang dimasuki pekerja migran termasuklah soal bayaran upah. Perlindungan bagi hak-hak asas pekerja migran seperti mana yang diperuntukkan di dalam Akta Kerja 1955 merangkumi juga hari rehat, kerja pada hari rehat, waktu bekerja, tugas kerja, kerja syif, cuti sakit dan cuti kelepasan.


Manakala Hak Asasi pula menekankan undang-undang kebebasan asasi seseorang rakyat tertakluk setakat yang di benarkan oleh negara penerima selagi ia tidak menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara penerima.


Kesedaran Pekerja Migran

Pekerja migran hendaklah di berikan pengetahuan lengkap tentang hak-hak asas mereka di bawah undang-undang di Malaysia. Hal ini kerana migran yang berhijrah ke Malaysia bagi tujuan pekerjaan sering terdedah kepada diskriminasi dan penganiayaan.


Perkara ini menjadi-menjadi dengan amalan penyumberan luar (Outsourcing) bagi pengambilan pekerja migran, iaitu apabila agensi penyumberan luar pekerja di beri tanggung-jawab mengurus pekerja-pekerja mereka dengan berperanan sebagai seorang majikan.Ini di sebabkan kontrak pekerjaan di masuki di antara pekerja dan agensi berkenaan bukan antara pekerja migran dan organisasi tempat mereka bekerja seperti yang berlaku dalam keadaan pengambilan pekerja secara biasa.


Kesannya, tenaga buruh pekerja di jadikan komoditi yang di dagangkan kepada mana-mana organisasi yang memerlukan.


Picture credit: blogs.wsj.com


Mengangkat Maruah Pekerja Migran

Rancangan Malaysia ke-11 telah memberi beberapa keutamaan dalam perkara asas bagi pasaran buruh yang secara tidak langsung memperbaiki dan memperkemas kecekapan pengurusan bagi tujuan meningkat produktiviti, menambah baik instrumen undang-undang perburuhan dan dasar pekerja migran. Selaras dengan itu, satu dasar kemasukan dan pekerjaan akan dibangunkan dengan mengambil kira kebajikan pekerja migran dan keperluan kepada sektor industri yang memerlukan pekerja migran.


Di peringkatan serantau pula, negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk membangunkan Instrumen ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Pekerja Migranberdasarkan Artikel 22 Perisytiharan ASEAN mengenai Perlindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran yang telah diterima pakai pada tahun 2007.


Sesungguhnya, Malaysia menghadapi cabaran yang besar bagi memastikan hak asas dan kebajikan pekerja migran dalam keadaan yang terbaik. Perkara ini menuntut kerjasama dan integriti semua pihak terutamanya majikan yang menggaji pekerja migran secara sah. Malaysia mempunyai perundangan pekerjaan yang cukup mantap dansistem perlindungan asas kepada semua pekerja migran antarabangsa. khususnya daripada sebarang eksplotasi dan penganiayaan, kezaliman dan ancaman semasa berada di Malaysia.


Dasar dan polisi pekerja migran pula di gubal dengan mengambil semua perkara meliputi kedaulatan negara, keselamatan, ekonomi dan hubungan diplomatik dengan negara penghantar.



Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin

Calon Doktor Falsafah, Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia

Tel: 03-90815821

Email: mafiqmd@gmail.com


Dr Rohani Abdul Rahim

Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia

Tel: 03-89216374

Email:rar@ukm.edu.my

Tags:

5

Shares

A+

A-