General
Dilema eutanasia: Hak menamatkan tempoh hayat seseorang pesakit
about 7 years ago zamrezahir7@gmail.comTHIS IS THE PERSONAL OPINION OF THE COLUMNIST. The opinions, beliefs and viewpoints expressed by the author do not necessarily reflect ASKLEGAL's position on the issue, nor should it be reflective of the regular content published by ASKLEGAL. We do not make any claims on the legal accuracy of this article as it has not been verified by a practicing lawyer.
oleh Mohd Zamre Bin Mohd Zahir | zamrezahir7@gmail.com
Membantu menamatkan tempoh hayat seseorang pesakit yang mengalami penyakit yang dikatakan sukar atau tidak mungkin sembuh dengan cara sengaja seperti dengan memberikan suntikan atau ubatan melalui gas yang melebihi dos tidak dibenarkan oleh undang-undang. Ia turut dikenali sebagai eutanasia atau mercy killing atau assisted suicide. Tindakan ini umumnya dilihat melanggar undang-undang di banyak negara di dunia seperti Malaysia, Singapura, United Kingdom dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negara yang membenarkan eutanasia seperti Belgium, Netherlands (Belanda) dan Luxembourg. Para penyokong eutanasia percaya bahawa negara tidak boleh mengganggu hak seseorang untuk mati. Namun, para penentang eutanasia mempunyai pendapat yang berbeza dan meletakkan asas bahawa tiada sesiapa yang boleh menentukan bilakah seseorang itu akan mati kecuali Tuhan.
Marcapada, isu berhubung kait dengan kematian dibangkitkan semula. Di Malaysia, tindakan eutanasia adalah jelas melanggar undang-undang. Sesiapa yang melakukan eutanasia adalah dilihat melakukan cubaan untuk membunuh. Tindakan eutanasia salah di bawah Kanun Keseksaan. Malah, jika seseorang itu cuba membunuh dirinya sendiri, ia turut bertentangan dengan Kanun Keseksaan. Berdasarkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, sesiapa yang cuba untuk mengambil nyawanya sendiri tetapi gagal setelah mengambil beberapa langkah untuk melaksanakannya adalah telah melakukan kesalahan jenayah dan boleh disabitkan dengan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Setiap insan memahami bahawa nyawa ialah suatu anugerah yang perlu dilindungi setiap masa. Detik menikmati nilai kehidupan sebelum tibanya kematian perlulah dihargai. Maruah insan untuk menentukan corak kehidupannya perlulah dihormati. Malah, hasrat seseorang itu untuk mati secara bermaruah dikatakan sudah ada. Dalam keadaan ini, seseorang itu boleh memberikan panduan kepada doktor yang menjalankan rawatan perubatan ke atasnya tentang bagaimana hasratnya boleh ditunaikan oleh doktor tersebut.
Sebagai contoh, pesakit menyatakan hasratnya agar doktor tidak perlu menyedarkan (resuscitate) semula sekiranya beliau tidak sedar. Larangan ini dipanggil Larangan Resusitasi (Do Not Resuscitate) (DNR). Contoh kedua yang boleh dilihat ialah pesakit membuat suatu arahan berbentuk Arahan Awal Perubatan (Advance Medical Directive) (AMD) menyatakan bahawa beliau tidak memerlukan alat sokongan hayat (ventilator) untuk hidup setelah disahkan oleh doktor bahawa tiada harapan lagi untuk sembuh (futile) dan segala rawatan perubatan pada waktu itu untuknya didapati sia-sia (no prospect of recovery). Ia juga sebagai panduan atau arahan yang berbentuk penolakan yang dilihat sebagai arahan bertulis pesakit berhubung rawatan perubatan di masa hadapan pesakit tersebut.
Jika diimbas sejarah kembali, AMD yang pertama yang dapat dilihat ialah berdasarkan cadangan dan draf oleh Luis Kutner yang merupakan seorang peguam Amerika Syarikat pada tahun 1967 dan dipanggil sebagai advance directive atau living will. Ia bertujuan membolehkan pesakit yang berkeupayaan untuk memberikan arahan tentang rawatan perubatannya di peringkat akhir kehidupannya dan apabila pesakit tidak mampu lagi untuk menyatakan kehendaknya.
Sebagai contoh, dalam kes Re C (Adult: Refusal of Treatment) [1994] 1 All ER 819, pesakit yang disebut dalam kes ini dikenali sebagai “C” yang menghidap penyakit paranoid skizofrenia (paranoid schizophrenic) di Hospital Broadmoor. Doktor kepada C percaya bahawa C perlu memotong kakinya. Malah, besar kemungkinan C akan mati jika tidak menjalani pembedahan memotong kaki. Pesakit menolak daripada memberi keizinan bagi membolehkan pembedahan itu dilakukan. Hakim menyatakan bahawa dalam meneliti sama ada pesakit memahami sifat, tujuan dan kesan sesuatu cadangan rawatan perubatan dan pembedahan, tahap keupayaan pesakit perlu dilihat melalui tiga aspek utama:
- Aspek kefahaman dan pengekalan maklumat tentang rawatan perubatan.
- Aspek kepercayaan kepada maklumat tersebut.
- Aspek mempertimbangkan sesuatu maklumat agar keputusan dapat dibuat.
Dalam kes ini, tidak dinafikan C menghidap penyakit paranoid skizofrenia. Walau bagaimanapun, Hakim mendapati bahawa tidak dapat dibuktikan bahawa C tidak memahami maklumat yang disampaikan kepadanya sebelum keputusan dibuat dan C juga berkeupayaan untuk tidak memberikan keizinan pada ketika itu. Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa pemotongan kaki C adalah dilarang melainkan terdapat keizinan bertulis daripada C. C melepasi ketiga-tiga aspek utama. Keputusan C juga wajar dihormati.
Rentetan daripada kes C ini, aspek keupayaan dan keizinan pesakit amat penting dalam perkara berhubung rawatan perubatan dan pembedahan yang akan dijalankan ke atas pesakit tersebut. Oleh hal yang demikian, penulis berpendapat AMD amat penting bagi memelihara aspek keupayaan dan keizinan pesakit kerana AMD dibuat oleh pesakit yang berkeupayaan sahaja dan AMD dilihat sebagai cermin keizinan pesakit berhubung rawatan perubatannya.
Di samping itu, AMD juga dipercayai sangat signifikan kerana ia dapat mengelakkan tercetusnya konflik dalam keluarga pesakit bagi membuat keputusan berhubung rawatan perubatan untuk pesakit ketika pesakit tidak berkeupayaan atau tidak sedarkan diri lagi. Malah, ia dapat memberikan kata putus kepada doktor dan pihak penyedia perkhidmatan kesihatan misalnya hospital sama ada ingin meneruskan atau menghentikan rawatan perubatan terhadap pesakit tersebut. Ia juga dapat melindungi doktor daripada dikenakan tindakan undang-undang jika isu tentang keizinan pesakit berhubung dengan rawatan perubatan dibangkitkan. Selain itu, ia mampu bertindak sebagai makluman tentang ikrar pesakit sama ada ingin mendermakan organnya kepada pesakit lain atau tidak.
Dari sudut yang lain pula, para doktor berasakan AMD tidak sama dengan euthanasia. Malah, ada yang berpendapat bahawa kewujudan AMD dapat membantu doktor melaksanakan tugas berkaitan dengan keizinan pesakit bagi rawatan perubatan dengan lebih cekap, mudah dan telus.
Intihanya, pengajaran yang boleh diambil daripada penulisan ini ialah setiap individu adalah dilarang daripada melakukan eutanasia atau mercy killing atau assisted suicide. Ia ialah amalan yang ditegah oleh undang-undang. Walau bagaimanapun, setiap individu adalah disarankan agar menyedari bahawa kita berhak untuk menentukan masa hadapan. Walaupun kita tidak pernah mengetahui detik dan saat kematian kita, namun perancangan rawatan perubatan adalah suatu langkah bijak yang perlu dilakukan demi kebaikan semua pihak. Jika kita ingin menolak atau meneruskan rawatan perubatan, ia perlu dinyatakan agar semua pihak yang terlibat dengan urusan kesihatan kita mengetahui hasrat hati kita. Ia penting demi menjaga maruah kita untuk mati secara terhormat, bukan mati kerana keputusan berhubung tentang rawatan perubatan ditentukan oleh orang lain yang mungkin hakikatnya bertentangan dengan keinginan kita. Umpama kata peribahasa “pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak,” setiap insan yang hidup akan melalui fasa kematian. Maka, hargailah kehidupan ini sebelum tibanya detik kematian yang setiap saat menghampiri kita. Hormatilah keputusan yang dibuat demi menegakkan hak insan termasuklah pesakit.
Mohd Zamre Bin Mohd Zahir merupakan siswazah/calon PhD di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan sedang melakukan penyelidikan dalam bidang undang-undang perubatan. Beliau boleh dihubungi melalui email: zamrezahir7@gmail.com