Asklegal
Home banner 8e07

Industrial

Dasar Penyediaan Sokongan Asas (PSA) Bagi Pekerja Migran Dalam RMK-11

10 months ago afiqahmad10

0

Shares


Pengenalan

Pergerakan orang bagi tujuan mencari pekerjaan dan kesejahteraan hidup sudah menjadi sinonim dengan fenomena migrasi pekerja migran. Malahan, Malaysia merupakan salah satu negara destinasi utama bagi pekerja migran di rantau ASEAN.


Walaupun wujud cadangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja migran, namun hakikatnya khidmat perburuhan daripada mereka amat di perlukan oleh majikan untuk mengerakkan semua sektor ekonomi negara termasuklah pembinaan dan perladangan.


Keperluan ini bukanlah sesuatu yang bersifat berkala, malahan berterusan bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan sektor ekonomi negara sentiasa terpelihara.


Bagi tujuan berkenaan, aspek pengurusan pekerja migran menjadi sangat penting, kerana pengurusan yang baik bukan sahaja menjamin jumlah pekerja migran yang mencukupi untuk menjana ekonomi tetapi juga memastikan kelestarian pekerja migran untuk bekerja di Malaysia.


Sokongan asas untuk pekerja migran

Pengenalan Perintah Gaji Minimum 2016 yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai 2016 menunjukkan manifestasi kerajaan untuk menambah baik sokongan asas (basic support) pekerja migran khusus bagi aspek struktur gaji minimum. Ini secara tidak langsung memastikan kebajikan terhadap kelangsungan hidup (right to life) pekerja migran terjamin. Namun begitu, Perintah Gaji Minimum 2016 ini masih tidak dipakaikan kepada pekerja rumahtangga yang bergantung kepada perjanjian kerja khusus.


Pengurusan pekerja migran menjadi matlamat penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) di dalam komponen pembangunan modal insan bagi strategi menjana pasaran buruh dalam sebuah negara maju. Bagi tujuan ini, pengurusan pekerja migran merangkumi usaha untuk mengurang kebergantungan terhadap pekerja migran berkemahiran rendah.


Aspek perundangan

Daripada aspek perundangan pula Akta Kesatuan Sekerja 1959 akan dipinda untuk memberi pertimbangan bagi membenarkan pekerja migran memegang jawatan dalam kesatuan sekerja serta memenuhi keperluan perjanjian perdagangan bebas (FTA) termasuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).


Kini dasar pengambilan pekerja migran secara komprehensif diwujudkan dengan mengambil kira keperluan industri dan kebajikan pekerja migran. Melalui Penubuhan Pusat Kelulusan Setempat (OSC), peranan penyumberan luar dan orang tengah (agen) dihapuskan. Oleh itu, OSC juga di bentuk bagi memantau kebajikan pekerja migran.


Kebajikan pekerja migran bergantung kepada tahap penyediaan sokongan asas sebagai suatu hak asas dalam statut seperti Akta Kerja 1955 (Semenanjung Malaysia), Ordinan Buruh Sabah (Sabah) dan Ordinan Buruh Sarawak, Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perusahaan 167,Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990,Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


Tanggungjawab majikan

Dasar pekerja migran kini mahu meletakkan tanggungjawab lebih berat kepada majikan untuk menjaga kebajikan pekerja migran dengan memperkenalkan dasar liabiliti ketat. Dalam perundangan prinsip liabiliti ketat adalah sebahagian dari prinsip common law yang meletakkan tanggungjawab keras kepada majikan.


Majikan yang menggaji pekerja migran bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses pengambilan, termasuklah semua kos yang terlibat meliputi saringan kesihatan, penyediaan insurans kemalangan dan yuran pemprosesan penyediaan dokumen kerja. Tanggungjawab keras ini juga meliputi penyediaan sokongan asas seperti penyediaan tempat penginapan (perumahan) dan keperluan asas lain sehingga mereka kembali ke negara asal.


Pemakaian dasar liabiliti ketat menjamin hak asas pekerja migran yang sering terdedah kepada pelbagai bentuk eksploitasi. Perlaksanaan dasar liabiliti ketat ini juga di harapkan dapat memastikan amalan pematuhan dikalangan majikan menggajikan pekerja migran.


Kata penutup

Dasar menjamin penyediaan sokongan asas bagi pekerja migran ini bukan sahaja mempromosikan amalan kemanusiaan dengan mematuhi hak asasi manusia, tetapi juga memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang mengamalkan tadbir urus yang baik (Good Governance) untuk pekerja migran.


Hubungan diplomatik yang baik dengan negara penghantar pekerja migran perlu di teruskan bagi memastikan pekerja migran yang di hantar adalah yang memenuhi spesifikasi keperluan bagi pembangunan ekonomi Negara.


Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin

Calon Doktor Falsafah

Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia

Email: mafiqmd@gmail.com


Dr Rohani Abdul Rahim

Pensyarah Kanan

Fakulti Undang-undang

Universiti Kebangsaan Malaysia

Email: rar@ukm.edu.my

No Tel:03-89216374


Photo credits: MTUC

This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.
Tags:
41a3c7d7 0a7f 46e2 af2b 7511f9f6b459

0

Shares