Asklegal
Home banner beca3d44 92d4 4e84 acde e08ccbf3440a

Education

Covid-19: Hak individu terhadap rawatan perubatan

almost 4 years ago zamrezahir7@gmail.com

45

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


THIS IS THE PERSONAL OPINION OF THE COLUMNIST. The opinions, beliefs and viewpoints expressed by the author do not necessarily reflect ASLEGAL’s position on the issue, nor should it be reflective of the regular content published by ASKLEGAL. We do not make any claims on the legal accuracy of this article as it has not been verified by a practicing lawyer.

oleh Mohd Zamre Bin Mohd Zahir | zamrezahir7@gmail.com

 

Dalam perkara melibatkan kes perubatan, terdapat prinsip-prinsip yang perlu diperhalusi. Prinsip-prinsip tersebut antara lain membantu penyeliaan proses membuat keputusan perubatan dan menyelesaikan konflik yang terjadi antara pesakit, ahli keluarga dan kakitangan kesihatan termasuk doktor. Prinsip-prinsip yang dimaksudkan ini ialah prinsip-prinsip yang melibatkan empat prinsip etika perubatan yang dibangunkan oleh Beauchamp dan Childress iaitu prinsip autonomi, prinsip manfaat, prinsip tidak memudaratkan dan prinsip keadilan.

Prinsip autonomi merupakan prinsip etika perubatan yang dibangunkan oleh Beauchamp dan Childress. Perkataan autonomi berasal daripada Greek daripada dua perkataan dasar iaitu auto dan nomos.  Auto bererti “sendiri” dan nomos bererti “peraturan dan undang-undang.” Berdasarkan pengertian autonomi ini, prinsip autonomi memberikan ruang kepada individu untuk berfikir dan membuat keputusan, bertindak di atas asas pemikirannya sendiri, bebas membuat keputusan dan tidak bergantung kepada sesiapa. Setiap individu berhak dalam membuat keputusan kerana minda dan fizikalnya adalah miliknya. Kebebasan individu untuk membuat keputusan mestilah tidak dihalang oleh paksaan atau pengaruh tidak wajar daripada pihak lain.

Dalam kes Re T (Adult: Refusal of Medical Treatment), Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa walaupun setiap pesakit dewasa mempunyai hak dan kemampuan untuk menolak rawatan perubatan, anggapan ini boleh disangkal apabila terdapat faktor kekeliruan, tidak sedarkan diri, keletihan, atau kejutan yang mempengaruhi keputusan pesakit itu.

Dalam kes ini, ibu pesakit yang merupakan penganut Jehovah’s Witnesses telah mempengaruhi keputusan anak perempuannya untuk menolak daripada dipindahkan darah ke dalam tubuh anaknya. Oleh itu, mahkamah memutuskan keengganan untuk tidak diberikan pemindahan darah bagi menyelamatkan nyawa pesakit adalah tidak dibenarkan.

Doktor juga perlu mengambil kira sama ada keputusan pesakit telah dibuat secara bebas atau tidak. Doktor yang berhadapan dengan keengganan pesakit rawatan dalam keadaan yang mengancam nyawa seperti ini boleh merujuk kepada mahkamah.

Batasan kepada prinsip autonomi adalah tidak membahayakan sebagaimana yang dibincangkan oleh John Stuart Mill. John Stuart Mill walau bagaimanapun tetap berpegang teguh bahawa setiap individu adalah bebas untuk bertindak tanpa mencampuri urusan orang lain termasuklah membahayakan orang lain. Ini bermakna batasan kepada prinsip autonomi adalah tidak membahayakan pihak lain. Dalam konteks Covid-19, ia merupakan penyakit berjangkit tanpa vaksin yang diketahui untuk mencegah penularannya.

Penyakit berjangkit tanpa vaksin yang diketahui untuk mencegah penularannya mampu membahayakan pihak lain. Jika seseorang individu yang menghidap Covid-19, ia mampu menjangkiti orang lain tanpa mengira usia, jantina, pangkat, agama apatah lagi bangsa. Oleh itu, walaupun seseorang itu mempunyai autonomi untuk membuat keputusan berhubung dengan rawatan perubatannya, sama ada ingin meneruskan rawatan atau menolak rawatan perubatan, terdapat persoalan berkenaan dengan autonomi individu tersebut.

Berdasarkan konteks tidak membahayakan pihak lain, individu tersebut haruslah menerima rawatan perubatan. Bukan sekadar itu, ia penting dalam konteks kesihatan awam. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa wabak Covid-19 di Wuhan pada akhir 2019 telah mencapai tahap pandemik global pada 11 Mac 2020. Oleh sebab Covid-19 suatu yang “the alarming levels of spread and severity,” WHO meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan agresif untuk menghentikan penyebaran virus tersebut. Setakat 12 Mei 2020, sebanyak 4,298,371 kes dilaporkan, 289,199 kematian dan 1,546,297 sembuh di dunia. Manakala di Malaysia, sebanyak 6,742 kes dilaporkan, 109 kematian dan 5,223 sembuh.

Imej dipetik dari Al Jazeera

Berdasarkan prinsip autonomi, setiap individu berhak mendapatkan hak kesihatan dan rawatan perubatan. Setiap individu berhak mendapatkan rawatan termasuk rawatan jika dia menderita akibat Covid-19. Undang-undang antarabangsa bagi hak asasi manusia menjamin setiap individu berhak mencapai tahap kesihatan yang tinggi dan mewajibkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah untuk mencegah ancaman terhadap kesihatan awam serta memberikan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukannya.

Undang-undang hak asasi manusia juga mengakui bahawa dalam konteks ancaman terhadap kesihatan awam yang serius dan keadaan yang mampu menakutkan masyarakat dalam negara, batasan terhadap hak adalah wajar berdasarkan perundangan dan bukti-bukti ilmiah. Dalam penyelidikan yang lain bertajuk ‘Using public health law to contain the spread of COVID-19’ oleh Richard Griffith dalam British Journal of Nursing, 5 (29) hlm. 326-327 bertarikh 12 Mac 2020, beliau mendapati terdapat keperluan pertimbangan kuasa dari pihak para menteri dalam sesebuah kerajaan, pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkuasa tempatan untuk meminimumkan penyebaran novel coronavirus dan penyakit-penyakit yang ditimbulkan daripadanya.

Di Malaysia, terdapat Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) digubal untuk meminda dan menyatukan undang-undang berkait pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang berlaku dalam negara. Ia juga untuk mengadakan peruntukan atau peraturan berkenaan perkara yang berkaitan. Akta ini terpakai di seluruh negara, kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk yang bermastautin atau berada di Malaysia pada masa ia dikuatkuasakan. 

Akta 342 adalah satu set undang-undang yang memberitahu kita apakah langkah-langkah yang boleh diambil semasa pandemik, dan apa yang berlaku jika kita ingkar dengan apa-apa perintah yang dibuat pada masa itu. Seksyen 24 dalam Akta ini menyatakan hukuman denda dan penjara sehingga dua tahun untuk kesalahan kali pertama, denda dan penjara lima tahun untuk kali kedua, dan denda tidak melebihi RM200.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Dalam Seksyen 25, Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa olehnya bagi maksud ini secara bertulis boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini yang telah ditetapkan oleh peraturan-peraturan sebagai boleh dikompaun dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang yang tidak melebihi RM1,000.00. Berdasarkan Seksyen 31 (1) Menteri boleh membuat peraturan-peraturan, bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Malaysia, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, perairan pantai dan sempadan daratnya, bagi melaksanakan peruntukan Akta ini.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan kawalan pergerakan dan perhimpunan. Bukan itu sahaja, seseorang warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang pulang dari luar negara hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan apabila tiba di Malaysia sebelum mendapatkan pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk dan hendaklah mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh pegawai diberi kuasa.

Selanjutnya, mana-mana premis yang menyediakan perkhidmatan perlu boleh dibuka dengan syarat bahawa bilangan kakitangan dan pengunjung di premis itu berada pada tahap minimum. Sesiapa yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan boleh dipenjara sehingga 6 bulan, didenda RM1,000.00 atau kedua-duanya.

Intihanya, dalam konteks Covid-19, setiap individu mempunyai hak terhadap kesihatan dan rawatan perubatan. Walau bagaimanapun, berkaitan dengan autonomi individu tersebut sama ada untuk menerima rawatan atau menolak rawatan timbul satu persoalan lain yang memerlukan kepada kajian lanjut.  Contohnya, dalam situasi pemberian bantuan pernafasan CPR jika pesakit berhenti bernafas atau jantungnya berhenti berdegup, terdapat isu sama ada pesakit Covid-19 wajar diberikan bantuan tersebut atau tidak.

Jika di negara barat, terdapat arahan yang disebut sebagai Do Not Resuscitate (DNR) yang disebut sebagai Larangan Resusitasi (LR) yang digunakan oleh doktor untuk tidak memberikan bantuan pernafasan CPR kepada pesakit Covid-19. Walau bagaimanapun, pengaplikasiannya memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut dan bukti yang lebih tuntas. Bukan itu sahaja, teori bahaya daripada John Stuart Mill bersama-sama prinsip-prinsip etika perubatan wajar dikaji dengan lebih kritis dalam konteks pesakit Covid-19.

Dalam konteks penularan Covid-19 di Malaysia, penulis ingin memberikan 3 pesanan penting iaitu:

  1. Duduk di rumah, just stay at home;
  2. Menjaga kebersihan diri pada setiap masa dan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun secukupnya;
  3. Menjaga jarak antara individu sekurang-kurangnya 1 meter.

 

Mohd Zamre Bin Mohd Zahir merupakan siswazah/calon PhD di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan sedang melakukan penyelidikan dalam bidang undang-undang perubatan. Beliau boleh dihubungi melalui email:  zamrezahir7@gmail.com  
Tags:
law
hospital
covid-19
etika perubatan
undang-undang
medical ethics
do not resuscitate (dnr)
right to health
research
autonomi

45

Shares

A+

A-