

Kisah pembunuhan seorang jurugambar oleh agen perisik Perancis di New Zealand.
Not published yet ago Devraj NagarajanJames Bond ialah watak fiksyen yang dicipta oleh Ian Flemming tentang perisik British. Aksi dan cerita dalam filem James Bond selalu ada babak-babak yang mencemaskan seperti pengeboman dan pembunuhan. Tapi tahukah anda pada tahun 1985, pernah berlaku satu pengeboman yang dilakukan oleh spy Perancis dan dirancang oleh Kerajaan Perancis sendiri? Selalunya ASKLEGAL tulis pasal undang-undang Malaysia, tapi kali ini kami nak tambah sedikit pengetahuan anda tentang tanggungjawab negara dengan kisah Rainbow Warrior.
Direction Générale De La Sécurité Extérieure (DGDS) ialah agensi perisikan Perancis yang ditubuhkan pada 1947. Agensi ini juga dikaitkan dengan kehilangan Mehdi Ben Barka, seorang ahli politik Morocco di Perancis. Pada tahun 1985, agensi ini telah memulakan operasi mereka iaitu Satanic Operation dan hantar ejen mereka untuk menengelamkan kapal Rainbow Warrior milik Greenpeace di New Zealand. Perisik Perancis telah menyamar sebagai pelancong dan pekerja di New Zealand dan telah mengebom kapal Rainbow Warrior tetapi telah menyebabkan kematian seorang jurugambar bernama Fernando Pereira.
Fernando Pereira yang terbunuh dalam kapal Rainbow Warrior (Imej dari Stuff.co.nz)
Greenpeace ialah NGO berkaitan alam sekitar. Greenpeace ditubuhkan untuk berkempen tentang isu-isu seperti perubahan iklim, alam sekitar dan anti-Nuclear. Malah di Malaysia pun diorang ada cawangan. Tahun lepas kapal diorang berlabuh kat Pelabuhan Klang. Tapi kenapa Perancis nak bom kapal Greenpeace?
Sebenarnya Perancis nak bagi amaran sahaja dengan menengelamkan kapal Rainbow Warrior sebab tak puas hati dengan Greenpeace kerana operasi Greenpeace yang menentang cubaan senjata nuklear Perancis. Itulah sebab kenapa kerajaan Perancis nak bagi amaran tapi disebabkan pengeboman ini telah menyebabkan konflik yang besar sampai kena bayar berjuta-juta sebagai pampasan. Masalah ini bermula dengan kes di International Court of Justice (ICJ) antara Perancis dan New Zealand gaduh pasal testing senjata nuklear dekat selatan lautan Pasifik sejak tahun 70-an lagi.
Apa jadi selepas pengeboman kapal?
Dua ejen Perancis, Major Mafart and Captain Prieur telah ditangkap sebelum sempat meninggalkan New Zealand. Mereka mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kerosakan dan dihukum 10 tahun penjara oleh Mahkamah New Zealand.
Salah seorang daripada perisik Perancis, Christine Cabon sempat melarikan diri ke Israel dan kemudian kembali ke Perancis tanpa sebarang hukuman dikenakan. Cabon menawarkan diri sebagai sukarelawan kononya berminat dalam misi Greenpeace dan mengumpul intel untuk agenda Perancis.
Kes Mafart dan Prieur jadi berita tergempar sehingga membawa kepada perletakan jawatan Menteri Pertahanan Perancis, Charles Hernu. Malah didapati Presiden Perancis Francois Mitterrand yang memberikan kebenaran untuk bom kapal Greenpeace.
Perancis mintak New Zealand untuk lepaskan dua ejen spy diorang yang kena tangkap dan New Zealand pun mintak gantirugi. Disebabkan tiada kata putus dicapai maka Setiausaha United Nations (Javier Perez) diminta untuk settle masalah ini secara baik-baik.
Perez cakap Perancis kena bayar USD 7 juta sebagai tambahan kepada pampasan yang dibayar Perancis kepada keluarga Pereira dan kepada Greenpeace dan tak boleh ganggu atau sabotaj perdagangan dengan embargo New Zealand sebab Perancis pernah ugut akan buat macam tu kalau kedua-dua ejen mereka tu tak dilepaskan oleh New Zealand.
Tapi dalam perjanjian yang dibuat oleh Perez, ejen-ejen tu diarahkan untuk dipenjara selama tiga tahun di pengkalan tentera Perancis di lautan Pasifik dan tak boleh tinggalkan tempat itu tanpa persetujuan kedua-dua negara.
Satu lagi masalah timbul antara New Zealand dan Perancis.
Tak lama selepas persetujuan kedua-dua negara untuk patuh kepada perjanjian Perancis telah melanggar perjanjian dengan melepaskan Mafart dan Prieur. Perbuatan ini menimbulkan kemarahan New Zealand yang mendakwa berlaku perlanggaran tanggungjawab dalam triti atau breach of a treaty obligation sebab lepaskan diorang awal.
Perancis pula bagi alasan mereka terpaksa untuk tujuan perubatan yang kritikal. Atas nasihat pakar perubatan, Menteri Pertahanan Perancis mengarahkan Mafart dipindahkan ke Perancis untuk rawatan. Tapi lepas diberitahu kepada wakil New Zealand, mereka hendak periksa sendiri dengan menghantar doktor tetapi Perancis pula tak bagi kapal New Zealand mendarat di kem tentera Perancis untuk tujuan keselamatan negara dan protokol tentera.
Prieur pula 6 minggu mengandung dan kem tentera tak sesuai untuk penjagaan dan rawatan. Pihak Perancis juga berkata disebabkan keadaan bapa Prieur yang sedang nazak perlu untuk dia dipindahkan ke Perancis dan kekal sampai dia melahirkan anak pertamanya atas dasar kemanusiaan. Hal ini menjadi satu isu dan kes ini dibawa ke Tribunal Antarabangsa untuk penimbangtaraan. Perancis mengaku melanggar perjanjian dan bersetuju untuk membayar pampasan. New Zealand pun setuju dengan syarat diorang berdua tetap menjalani tempoh penjara yang masih berbaki.
Tribunal mendapati Perancis tak bersalah sebab keluarkan Mafart tapi bersalah sebab keluarkan Prieur. Menurut Tribunal, alasan Perancis ditolak kerana gagal tunjuk elemen kemustahilan mutlak dan material.
Tribunal juga mengesyorkan Perancis dan New Zealand menubuhkan dana untuk menggalakkan hubungan harmoni dan Perancis membuat sumbangan awal sebanyak USD 2 juta untuk dana itu. Macam Tabung harapan lah kan…

Apa tanggungjawab negara dalam Undang-undang Antarabangsa?
Daripada masalah antara Perancis dan New Zealand yang nampak rumit kita dapat lihat sedikit tanggungjawab sesebuah negara di peringkat antarabangsa.
Setiap negara yang menandatangani perjanjian antarabangsa seperti triti, perjanjian dan konvensyen akan mempunyai tanggungjawab dan akan bertanggungan kalau berlaku perlanggaran. Negara-negara yang menuntut pula kenalah tunjukkan kerosakan yang berlaku akibat perbuatan negara atau individu dari negara luar. Benda-benda ini penting kalau ada negara nak buat tuntutan.
Undang-undang antarabangsa kebanyakan berasal daripada adat-adat dan amalan negara. Contohnya kalau ada negara yang takde laut, dah menjadi tradisi untuk negara perairan bagi negara tanpa laut untuk guna laut diorang.
Artikel 38 Statut ICJ tunjukkan beberapa sumber undang-undang dalam perjanjian antarabangsa dan tanggungjawab negara pula ada dalam Artikel Suruhanjaya Undang-undang Antarabangsa berkaitan tanggungjawab negara 2001.

Dalam kes-kes sebuah negara menghantar ejen-ejennya ke luar negara untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa di negara sasaran, adalah adat kebiasaan (customary law) bagi negara untuk mengambil tanggungjawab terhadap perbuatan dan bagi pampasan. Tetapi terdapat beberapa prinsip yang berbeza yang wujud.
Beberapa prinsip penting dalam Undang-undang Antarabangsa
Jadi apa konsep dan setakat mana negara perlu bertanggungan akibat perbuatan ejen, ahli atau anggota mana-mana negara? Contoh kes di bawah akan jelaskan prinsip bila negara kena bertanggungjawab.
Prinsip: tingkah laku militan tidak boleh secara langsung dikaitkan dengan negara tapi kalau tiada tindakan susulan atau kegagalan bertindak boleh menyebabkan negara perlu bertanggungjawab.
Kes United States v Iran [1980], di mana demonstrasi dan tunjuk perasaan berlaku kat Tehran, Iran dekat kedutaan Amerika. Lebih 60 diplomat dan warganegara Amerika telah menjadi tebusan selama 444 hari. Walaupun Iran telah menjanjikan perlindungan ke Kedutaan Amerika tapi para pengawal hilang semasa pengambilalihan dan kerajaan Iran tidak cuba menghentikannya atau menyelamatkan tebusan. AS mengatur untuk bertemu dengan Ayatollah Khomeini untuk membincangkan pembebasan tebusan, tetapi pemimpin Revolusi Iran melarang pegawai untuk bertemu dengan wakil-wakil Amerika.
Kesannya hubungan diplomatik AS dan Iran putus dan AS menghentikan hubungan dengan Iran, menghentikan eksport, import minyak, dan sekatan-sekatan lain. Iran juga didapati bersalah oleh ICJ sebab melanggar undang-undang antarabangsa dan kena mengatur pembebasan segera tebusan, memulihkan premis Kedutaan AS, dan untuk membayar ganti rugi.
Bagaimana dengan perbuatan keganasan oleh rakyat sesebuah negara terhadap rakyat negara lain?
Prinsip: tiada kerajaan yang boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan orang-orang yang memberontak, di mana negara itu sendiri tidak melakukan pelanggaran tanpa kecuaian dalam pengawalan.
Dalam kes Sierra Leone (Amerika v Great Britain), orang asli Sierra Leone memberontak terhadap British kerana mereka tidak mahu pengumpulan cukai baru. Semasa pemberontakan, semua barangan yang dibawa misi Amerika Syarikat diserang dan dimusnahkan, dan beberapa mubaligh dibunuh. Jadi Amerika tuntut daripada Britain untuk pampasan.
Ohh kat benua Afrika rupanya...(Imej dari ontheworldmap.com)
Prinsip: kelakuan orang perseorangan yang bertindak di dalam kapasiti persendirian tidak sepatutnya dikaitkan dengan negara. Negara hanya akan bertanggungan kalau anggota dilantik negara seperti polis, tentera dan pegawai kerajaan yang buat semasa dalam perkhidmatan.
Dalam kes tuntutan Caire pada tahun 1929 iaitu kes antara Perancis dan Mexico di mana, seorang warga Perancis bernama Caire, telah diseksa dan dibunuh di Mexico oleh tentera Mexico selepas mereka memeras ugut mintak wang daripadanya. Selepas gagal memeras wang, mereka bawa Caire ke kem tentera dan menembaknya. Perancis, bagi pihak Claire, mengemukakan tuntutan terhadap Kerajaan Mexico dan dapat pampasan kerana pembunuhan dilakukan oleh agen negara dan tanggungjawab adalah atas negara kerana mereka bunuh orang dengan kapasiti anggota tentera dan bukan individu malah berlaku kat kem tentera.
Ini baru beberapa prinsip tanggungjawab negara dalam undang-undang antarabangsa. Ada banyak lagi, kalau berminat nak tahu boleh click di sini.
So apa jadi dengan Cabon?
Cabon ditemui oleh wartawan New Zealand tahun lepas. Dia yang kini berusia 66 tahun telah bersara daripada tentera dan tinggal di sebuah kampung kecil di Lasseubetat, Perancis. Menurut kapten kapal Greenpeace, Captain Pete Wilcox kerajaan Perancis tak pernah minta maaf secara terbuka kepada New Zealand dan keluarga mangsa walaupun dah lebih 33 tahun. Dalam interview wartawan dengan Cabon pun, dia tidak meminta maaf atau rasa kesal dengan perbuatannya.
Aktiviti keganasan negara atau state sponsored terrorism ini telah menganggu hubungan diplomatik antarabangsa. Setiap negara akan cuba melindungi kepentingan negara masing-masing. Pengganas boleh jadi sesiapa sahaja tapi tanggungjawab yang wujud terhadap perbuatan itu akan menjadi tugas setiap negara untuk memulihkan keadaan dalam kes-kes macam dalam kes Rainbow Warrior.