Asklegal
Home banner bf36585b 6377 45de a2bb 75171edb52f2

"SAYA ASYIK DIKECAM, DIMAKI, DIFITNAH DAN DIMALUKAN. SAYA NAK SAMAN DIA. AWAS!”

Not published yet ago zamrezahir7@gmail.com

8

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Kata-kata maki hamun, kecaman dan hinaan acap kali diungkap di media sosial. Hal ini menimbulkan kekacauan di minda seseorang individu. Hal ini juga kadangkala dikaitkan dengan masalah kesihatan mental. Apabila timbul amarah, mulalah rasa memberontak dan nak saman orang yang memaki hamun itu. Walau bagaimanapun, untuk mengambil sesuatu tindakan seperti menyaman, dek alasan anda telah dimaki hamun di khalayak awam mungkin agak sukar, kecuali anda merupakan individu yang terkenal atau bereputasi tinggi seperti selebriti atau ahli perniagaan yang tersohor. Itupun, ia masih menjadi sukar untuk diterima oleh mahkamah atas banyak faktor lain seperti sama ada kejadian tersebut telah direkodkan dan disebarkan atau sebagainya (Haeme Hashim, 2019).

 

Jadi situasi bagaimana yang membolehkan anda boleh mengambil tindakan saman malu? Pada pandangan saya, saman malu boleh dilakukan dalam situasi atau kes yang melibatkan pelanggaran privasi seseorang individu. Katakan, gambar atau video peribadi anda telah disebarkan oleh seseorang dengan niat untuk memalukan, anda mempunyai hak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu tersebut kerana anda telah dimalukan olehnya, walaupun gambar atau video tersebut bukan satu bentuk fitnah.

 

Bagaimana pula jika gambar atau video bersifat peribadi tersebut diambil sendiri oleh anda atau diambil oleh orang lain tetapi mendapat kebenaran daripada anda? Ini masih jatuh dalam konsep privasi melainkan jika anda sendiri yang menyebarkan gambar atau video bersifat peribadi tersebut ke domain awam seperti di laman sosial (Haeme Hashim, 2019). Perlu diingatkan bahawa undang-undang bersifat sentiasa berkembang. Sekiranya terdapat apa-apa tuntutan yang dibawa ke mahkamah, tuntutan tersebut akan dipertimbangkan sebaiknya selagi tuntutan tersebut tidak bersifat skandal, remeh dan menyusahkan, prejudis atau menyalahgunakan proses mahkamah.

 

Apabila membincangkan hak privasi, apakah yang dimaksudkan sebagai ‘hak privasi’? Secara kasarnya, hak privasi ialah hak peribadi anda yang anda tidak mahu kongsikan atau dedahkan kepada pihak lain (Haeme Hashim, 2019). Jika didedahkan tanpa kebenaran, maka hal ini berkemungkinan akan memberi impak negatif kepada diri anda seperti trauma dan tekanan mental. Asasnya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai apa-apa peruntukan secara khusus tentang hak privasi.

 

Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor [2010] 3 CLJ 507 telah memutuskan bahawa kebebasan diri yang termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan turut termasuk hak privasi seseorang individu. Hal ini bermaksud bahawa mahkamah di Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung mengiktiraf perlindungan hak privasi di Malaysia.

 

Walaupun Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), tetapi ia tidak digubal untuk melindungi hak privasi. Sebaliknya, PDPA digubal untuk lebih melindungi maklumat diri anda bagi tujuan komersial. Contohnya, sekiranya anda dirakam secara sembunyi ketika berada di dalam bilik mandi, tiada tindakan perundangan yang boleh diambil di bawah PDPA. Namun, jika maklumat diri anda (seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon) telah dikongsikan kepada sesuatu syarikat seperti syarikat pengiklanan dan sebagainya, potensi untuk tindakan diambil di bawah PDPA mungkin ada.

 

Selanjutnya, apabila kita membahaskan tentang saman malu atau saman fitnah, ia berlaku apabila wujudnya pernyataan yang dibuat yang merosakkan atau mencederakan reputasi orang lain. Fitnah boleh terdiri daripada slander atau libel. Slander berlaku apabila pernyataan fitnah dibuat melalui bentuk sementara (misalnya, kata-kata yang diucapkan atau gerak isyarat), manakala, libel berlaku apabila pernyataan fitnah dibuat melalui bentuk tetap (misalnya: catatan media sosial, penulisan, laporan surat khabar, e-mel, rakaman audio atau video).

 

Apakah yang terjumlah sebagai pernyataan fitnah? Secara umumnya, suatu pernyataan adalah fitnah jika pernyataan tersebut menjatuhkan reputasi orang lain di mata orang ramai. Pernyataan tertentu mungkin jelas memfitnah dalam erti kata biasa dan semula jadi (misalnya, membuat kenyataan secara salah terhadap orang lain bahawa individu tertentu ialah penjenayah yang disabitkan kesalahan).

 

Dalam situasi yang bagaimana saya boleh memfailkan saman fitnah? Terdapat 3 kriteria yang harus dipenuhi sebelum seseorang boleh memfailkan tuntutan fitnah. (i) Wujud unsur fitnah yang akan menjatuhkan reputasi anda di mata orang ramai; (ii) Penyataan tersebut mesti merujuk identiti anda; dan (iii) Pernyataan tersebut mesti disiarkan kepada pihak ketiga.

 

Seseorang menyiarkan kenyataan fitnah mengenai saya di media sosial, bolehkah saya menyaman dia kerana fitnah? Jawapannya, ya. Selagi anda memenuhi kriteria di atas, anda boleh mengajukan tuntutan saman fitnah.

 

Bolehkah saya memohon maaf secara terbuka daripada pihak lain sekiranya saya mendapati bahawa kenyataan saya merupakan satu fitnah? Anda boleh meminta maaf secara terbuka. Walau bagaimanapun, permintaan maaf secara terbuka bukanlah suatu remedi yang wujud di bawah undang-undang. Anda boleh mencadangkannya sebagai salah satu syarat untuk penyelesaian di luar mahkamah.

 

Apakah jenis pembelaan yang boleh digunakan sekiranya anda disaman oleh seseorang kerana fitnah? Jawapannya:

 

  • Kenyataan yang dibuat itu adalah benar. Misalnya, jika Mr. J ialah seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan, pernyataan bahawa Mr. J disabitkan dengan kesalahan jenayah bukan suatu fitnah.
  • Komen adil. Di sini pernyataan yang dibuat ialah ungkapan pendapat yang jujur tentang sesuatu masalah yang mempunyai kepentingan awam.
  • Keistimewaan mutlak. Dalam keadaan atau orang dilindungi oleh hak istimewa mutlak, mereka tidak boleh digugat kerana pernyataan yang dibuat walaupun mereka memfitnah. Contohnya ialah “laporan prosiding yang adil, tepat dan seiring” di mahkamah, serta “penghakiman, hukuman atau penemuan mahkamah tersebut”.
  • Keistimewaan berkelayakan – Ini meliputi situasi iaitu pembuat pernyataan mempunyai kewajipan undang-undang atau moral untuk membuat pernyataan, atau pernyataan itu dibuat untuk memajukan kepentingan bersama yang sah (Mohamad Zufarsyah, 2020).

 

Apakah jenis pampasan yang akan saya dapat melalui tuntutan fitnah? Sekiranya anda memenangi saman fitnah, anda berhak mendapat ganti rugi melalui wang pampasan. Jumlah pampasan yang diberikan bergantung kepada budi bicara mahkamah berdasarkan beberapa faktor, seperti reputasi pihak menuntut, keseriusan fitnah, kerugian yang ditanggung oleh pihak menuntut sebagai akibat fitnah tersebut dan sebagainya.

 

Kesimpulannya, setiap apa yang ingin dilakukan perlulah difikirkan baik dan buruknya. Sekiranya kita ingin memalukan, menghina atau memfitnah seseorang itu, kita perlu tahu apa kesannya kelak. Begitu juga, sekiranya kita merupakan mangsa fitnah atau kecaman seseorang individu, kita mempunyai hak untuk membela diri kita selaku mangsa. Oleh hal yang demikian, dinasihatkan agar setiap apa yang ingin dilakukan perlulah dikaji baik dan buruknya serta tindakan “sediakan payung sebelum hujan” amat tepat untuk kita sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.

 

Sekian.

Tags:
defamation
undang-undang
fitnah
ilmu
malu
samanmalu

8

Shares

A+

A-