General
5 persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap peguam berdasarkan kaji selidik kami
about 7 years ago Khaliq[Artikel ini diterjemahkan dari Bahasa Inggeris. Click here for the original article in English]
Tidak kira umur atau berasal dari mana, kita sudah mempunyai persepsi bahawa profesi peguam membawa kata tamak, jahat dan tidak berhati perut – yang itu pun dah dikira kata-kata yang bersopan.
Perkataan seperti “tamak” dan “jahat” biasa dipakai semasa sembang borak biasa – tapi tidak ditujukan spesifik kepada masalah yang dihadapi masyarakat berkenaan perkhidmatan guaman dan - yang penting sekali - apa yang boleh dibuat untuk memperbetulkan keadaan ini. Pada suatu tahap, sesetengah orang memang memerlukan peguam, dari hal-hal biasa seperti pembelian harta hingga ke insiden yang lebih dramatik, seperti jika anda disaman atas kes jenayah atau jika anda hendak mengeluarkan saman (sue) terhadap seseorang.
Beberapa minggu yang lalu, kami menjalankan kaji selidik tentang pengalaman dan persepsi masyarakat Malaysia terhadap peguam. Bergantung sama ada mereka pernah berjumpa dengan peguam di luar kontrak seperti perjanjian SPA (cth: pembelian harta) atau tidak, soalan tentang pengalaman atau pandangan mereka apabila berunding dengan peguam ditanyakan. Mereka juga ditanyakan bagaimana mahu memperbaiki mutu perkhidmatan guaman di Malaysia.
Kita mulakan dengan carta demografik hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan, tetapi jika anda mahu lanjut terus ke poin-poin menarik, anda boleh langkau ke seksyen seterusnya.
Informasi carta demografik
Kaji selidik ini dibuat, dijalankan, dan di tafsirkan sendiri oleh ASKLEGAL. Hasil yang didapati mewakili populasi umum, jadi istilah “masyarakat” digunakan untuk memudahkan perbincangan.
Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dipakai dalam kaji selidik ini, dan mendapat sejumlah 262 respon. Ambil perhatian bahawa, secara umumnya kebanyakan daripada respon yang didapati ini adalah lebih kurang sama untuk kedua-dua bahasa.
Responden mengikut negeri (3 terbanyak)
Kami menerima banyak respon seluruh Malaysia. Selangor mencatatkan nilai yang tertinggi sebanyak (37.2%). Para Responden berusia dalam lingkungan 18 hingga lebih 66 tahun dengan yang terbanyak daripada golongan yang berusia antara 26 – 35 tahun (38.4%). Majoriti responden mempunyai tahap pendidikan hingga sarjana, dan berpendapatan antara RM2,500 – RM4,499 - - walaupun di dalam kaji selidik yang dibuat dalam Bahasa Malaysia, ada segelintir yang berpendapatan antara RM4,500 – RM6,499.
Terdapat juga responden yang belum pernah berjumpa dengan peguam untuk khidmat nasihat di luar perjanijian SPA iaitu sebanyak 71.5% (80% untuk kaji selidik dalam Bahasa Malaysia). Dengan kata lain, sejumlah 189 responden belum pernah berjumpa dengan peguam manakala 73 lagi pernah.
Sekarang, jom ke bahagian yang lebih menarik…
1. Kesediaan berjumpa peguam
Rumusan: Sesiapa yang pernah berjumpa dengan peguam, kemungkinan besar akan mendapatkan lagi khidmat nasihat peguam pada masa akan datang
Boleh dijangkakan bahawa responden yang belum pernah mendapatkan khidmat peguam, pastinya enggan berjumpa dengan peguam jika mempunyai masalah terkait dengan undang-undang.
… Sebahagian besar responden yang pernah berjumpa dengan peguam sebelum ini ada juga yang mengatakan kemungkinan tidak akan lagi berjumpa dengan mana-mana peguam jika ditimpa masalah pada masa akan datang. Walaubagaimanpun, rata-ratanya golongan ini masih lagi akan mencari peguam untuk khidmat nasihatnya.
Apa yang jelas adalah, golongan yang mengatakan kemungkinan tidak akan berjumpa dengan peguam pada masa akan datang, mempunyai pengalaman tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya sebelum ini (dibincangkan dalam poin 4) atau memberikan maklum balas negatif dalam kaji selidik terbuka yang dijalankan:
“Peguam seharusnya menepati janji. Jangan hanya pandai berucap sahaja. Peguam sengaja memperjanjangkan kes dan saya tidak tahu kenapa sebab kami tidak akan membayar ekstra. Peguam mempunyai banyak helah. – Maklum balas responden
Sebaliknya, kebanyakan responden akan meminta bantuan daripada sahabat handai terlebih dahulu:
Sebab-sebab utama tidak lagi mahu berjumpa dengan peguam akan dibincangkan nanti di bawah.
2. Pengalaman menggunakan khidmat guaman
Rumusan: Anggapan sebahagian orang berjumpa dengan peguam untuk pertama kali adalah tidak memuaskan
Pada umumnya, responden yang pernah berjumpa dengan peguam sebelum ini mengatakan pengalaman mereka adalah lebih kepada positif daripada negatif. Hanya 9% sahaja (atau 6 responden) yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut.
Sepertimana yang disebut tadi kebanyakan daripada golongan responden itu kemungkinan tidak akan menggunakan khidmat peguam lagi.
Di sini terdapat maklum balas daripada responden yang belum pernah mempunyai pengalaman berjumpa dengan peguam yang menjangkakan banyak negatifnya daripada positifnya:
“Saya harus tahu anggaran kos atau masa sebelum berjumpa dengan peguam terlebih dahulu. Dan ya, amatlah sukar jika berunding dengan peguam yang ego.” – Maklum balas responden
“Kebanyakan peguam hanya mahu mendapatkan duit client sahaja dan hanya berjanji palsu.” – Maklum balas repsonden
3. Kos
Rumusan: Kebanyakan orang menganggap bahawa khidmat peguam adalah mahal, dan sebahagiannya tidak memahami bagaimana kos perkhidmatannya ditetapkan
Harga, atau anggaran kos perkhidmatan guaman ini menjadi persoalan bagi kebanyakan responden dalam pilihan jawapan sendiri yang diberikan. 95% daripada responden yang belum pernah menggunakan khidmat peguam mengatakan kosnya adalah amat mahal.
Golongan ini berpendapat bahawa kosnya adalah RM2,000 atau lebih. Untuk pengetahuan, nasihat yang diberikan oleh peguam sebenarnya tidak termasuk dalam perkhidmatannya – itu hanyalah suatu perundingan sahaja. Ada kemungkinan inilah yang sesetengah responden tidak faham berdasarkan kaji selidik.
Pandangan responden mengenai kos khidmat nasihat peguam
Responden yang pernah menggunakan khidmat peguam juga mengatakan atau telah menganggap kosnya adalah tinggi, dengan kadar peratusan 43.5% sementara 40% dari jumlah responden mengatakan kosnya lebih tinggi daripada anggaran mereka:
Sejumlah 81% daripada responden ini mengatakan bahawa peguam masing-masing menerangkan tentang kos perkhidmatannya, akan tetapi 1/5 darinya tidak memahami dan 1/5 lagi tidak mendapat penerangan sama sekali:
4. Takut akan peguam
Rumusan: Kebanyakan orang sukar untuk bersikap terbuka dengan peguam, lebih-lebih lagi meletakkan kepercayaan
Selain daripada kos, terdapat pula faktor lain yang boleh menyebabkan masyarakat takut atau tidak percaya kepada peguam – di mana boleh mempengaruhi ‘mahu atau tidak’ mendapatkan khidmat peguam jika berdepan dengan masalah.
Sebahagian responden yang telah mempunyai pengalaman berjumpa dengan peguam mendapati bahawa mereka (peguam) mudah untuk didekati secara amnya.
Salah satu soalan yang kami tanyakan adalah, apakah perasaan anda sebelum atau jika mahu berjumpa dengan peguam? Apakah adanya rasa takut, rasa rendah diri atau cemas? Berbandng dengan data antara yang pernah berjumpa peguam dengan yang belum pernah, didapati bahawa tahap kebimbangan responden lebih sedikit di kalangan golongan yang pernah berjumpa dengan peguam:
Sungguhpun begitu, ini tidak bermaksud pengalaman sebenar tidak seteruk berbanding anggapan, jika dilihat dari carta di atas. Bukan sahaja itu, 32% daripada golongan yang pernah berjumpa dengan peguam masih lagi takut akan info-info peribadi mereka didedahkan oleh peguam berbanding dengan 41% yang belum pernah.
Golongan responden yang pernah berjumpa dengan peguam (81.2%) tidak mempunyai masalah (kurang rasa malu) untuk mendedahkan info peribadi kepada peguam jika dibandingkan dengan golongan yang belum pernah (67.1%). Dilihat daripada respon yang diberikan, responden daripada kedua-dua golongan mengatakan ketelusan peguam dalam contoh kurang memberikan keterangan secara teknikal, menjadi lebih mudah untuk didekati, dan bersikap jujur dan terbuka amatlah membantu.
“Masih lagi samar-samar. Kerana undang-undang adalah sesuatu yang jargon (sukar difahami), dan saya rasa ini disengajakan untuk membuatkan kami tidak mengerti.” – Maklum balas responden
“Mentang-mentang peguam senior, mereka ingat mereka TUHAN. Mereka seharusnya tidak memberikan janji palsu dan berterus terang jika sesuatu itu boleh dilakukan atau tidak.” – Maklum balas responden
5. Kebolehan untuk mengakses ke perkhidmatan guaman
Rumusan: Kebanyakan orang tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan khidmat peguam, tapi proses ini boleh ditingkatkan lagi
Yang baiknya, mudah untuk mendapat akses ke perkhidmatan guaman di Malaysia, menurut kaji selidik yang dibuat, di mana kebanyakan responden tiada masalah untuk mendapatkan khidmat peguam.
Majoriti mendapat peguam daripada kenalan rapat, baik melalui cadangan orang (55%) ataupun melalui kawan atas kawan (32%). Kami juga memberikan pilihan jawapan terbuka bagi soalan ini, dan responnya adalah seperti berikut:
- Ditetapkan mahkamah (1)
- Melalui Bar Council (1)
- Terlintas pandang di akhbar atau media sosial (2)
- Skype (1)
Bergantung kepada persepsi anda, isu tentang mempertingkatkan lagi kemudahan untuk mendapatkan peguam harus dilihat lagi, berdasarkan soalan-soalan yang ditanyakan di laman web dan Facebook kami, di mana kebanyakannya tidak pasti peguam yang mana harus dicari. (cth: Korporat, Keluarga, Jenayah, Syariah).
Jurang antara peguam dan masyarakat umum harus dirapatkan
Jika boleh disimpulkan daripada respon-respon yang didapati, masyarkat kurang memahami konsep undang-undang dan juga skop kerja peguam. Oleh yang demikian, timbullah persepsi-persepsi seperti di atas. Sementara itu, kos perkhidmatan peguam yang tidak jelas dan sikap peguam yang tidak berhati perut (atau sukar didekati) juga menyumbang kepada adanya jurang pemisah antara peguam dan masyarakat.
“Dengan membuat senarai kos perkhidmatan dan menyebarkan pengetahuan tentang common law menerusi media sosial. Menjalankan workshop atau kempen atau forum supaya masyarakat boleh berhubung dengan para peguam dan mengurangkan jurang yang ada.” – Maklum balas responden
Semua hal yang kita lakukan sehari-hari ada undang-undang tersendirinya; dari memandu (undang-undang trafik), membeli barang secara online (undang-undang kontrak/pengguna), dan juga dalam kes saman ke atas peminang yang tidak jadi kawin kerana berasa tidak yakin (Serius ada). Jadi, pemahaman asas harus ada supaya anda tidak keliru dengan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan peguam dan undang-undang.
Tambahan lagi, 58% daripada responden yang pernah berjumpa dengan peguam mengatakan mereka percaya kepada online portal untuk informasi guaman berbanding dengan 72% yang belum pernah berjumpa dengan peguam.