Constitution, General

Kisah kanak-kanak Malaysia yang dinafikan kerakyatan kerana dilahirkan di rumah

 over 3 years ago   Azar Ishak


[Click here for English version]

Walaupun ramai di kalangan kita yang dilahirkan di hospital, tak dapat dinafikan juga masih ada yang dilahirkan di rumah. Tak kisahlah lahir di mana, mesti kita rasa yang selagi kita dilahirkan di Malaysia dengan ibu atau bapa kita adalah rakyat Malaysia, maka secara automatik kita akan dapat kerakyatan dalam negara ni. Tapi, apa yang jadi dalam satu kes ni tak seperti mana yang kita sangka. 

Sebabnya, seorang kanak-kanak bernama Karthiyani – yang beribubapakan rakyat Malaysia dah dinafikan kewarganegaraannya. Mungkin ada di antara kita yang merasakan kes ni agak ganjil, tapi sebenarnya banyak juga kanak-kanak di Malaysia yang berdepan nasib sama walaupun dilahirkan di negara ini. 

Sebagai contoh, kami pernah tulis tentang kisah seorang kanak-kanak 6 tahun yang saman kerajaan kerana dinafikan kerakyatannya – walaupun bapa kandung dan ibu bapa angkatnya adalah rakyat Malaysia. Namun, kes ni agak berbeza dengan kes yang menimpa Karthiyani. Sebabnya, kes yang menimpa Karthiyani seolah-seolah mengatakan: kanak-kanak yang lahir di Malaysia, tak bermakna mereka secara automatik akan diberikan kerakyatan. 

 

JPN perlukan bukti yang dia dilahirkan di sini

Imej dari zayan.my

Karthiyani berasal dari sebuah keluarga besar, memandang dia juga adalah anak ke-8 dari 11 orang adik beradik. Tak seperti adik beradiknya yang lahir di hospital, Karthiyani dilahirkan di rumah saja. Berdasarkan maklumat dari Latheefa Koya – peguam yang kemudiannya ambil kes ni – ibu Karthiyani tak sempat ke hospital dan sebab itulah dia dilahirkan di rumah. 

Dia dilahirkan pada 2010 dan pada hari sama juga dia dan ibunya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mereka dimasukkan ke wad selama 3 hari, bagi memastikan kedua-duanya berada dalam keadaan baik. Bila mereka keluar dari hospital, HKL ada bagi surat yang mengesahkan bayi tu benar-benar dilahirkan di rumah dan kemudiannya dibawa ke hospital. Ibu bapa Karthiyani pun ada buat laporan polis bagi mengesahkan kelahirannya di rumah

Berbekalkan surat dari HKL dan laporan polis, mereka pun pergi ke cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk daftar kelahiran Karthiyani. Seperti mana dimaklumkan tadi, JPN kemudiannya menolak permohonan mereka. Antara puncanya adalah JPN tak dapat mengesahkan sama ada betul atau tak Karthiyani dilahirkan di rumah. Malah, dinyatakan juga yang mereka tak pasti dari mana Karthiyani datang, sebab dia tak dilahirkan di hospital. 

 

Hanya selepas 10 tahun, dia akhirnya dapat kerakyatan

Imej dari New Straits Times

Disebabkan Karthiyani tak dapat kerakyatan, dia juga tak ada sijil kelahiran seperti kanak-kanak lain. Kalau tak ada sijil kelahiran atau MyKad, perkara ni memang akan menghalang seseorang tu dari buat banyak benda, sebab mereka akan dianggap sebagai ‘tanpa dokumen’. Kerana itulah, Karthiyani kemudiannya tak boleh masuk sekolah bila mencapai umur 7 tahun – pada 2017. 

Pada 2018, keluarganya dah buat permohonan baru kepada JPN. Kali ni, JPN tak tolak, sebaliknya minta mereka bagi lebih banyak bukti tentang kelahiran Karthiyani seperti dokumen tambahan dan saksi. Pada 2019, JPN perlukan bukti yang lebih spesifik – surat yang HKL bagi kepada mereka dan juga lima orang saksi. Lima orang saksi ni adalah ibu Karthiyani, jiran-jiran mereka dan En Shanmugam (presiden NGO – Malaysian Tamilan Today). NGO ni juga aktif memperjuangkan kes Karthiyani. Tapi malangnya, bapa Karthiyani meninggal dunia ketika itu. 

Sementara saksi-saksi tu ditemubual oleh JPN pada Disember 2019, Karthiyani juga ditemubual oleh mereka sebulan sebelum itu. Perkembangan tu turut menampakkan kesan positif. Selepas sesi temu bual tamat pada akhir tahun 2019, JPN akhirnya terima bukti-bukti yang diberikan. Pada 5 Ogos 2020, JPN mengeluarkan sijil kelahiran dan MyKid kepada Karthiyani. Jadinya, bolehlah Karthiyani masuk sekolah dengan adik beradiknya dan seperti kanak-kanak yang lain. 

Namun, kisah ni juga menimbulkan persoalan kepada kita…

 

Macam mana seseorang tu nak dapatkan kerakyatan Malaysia?

Imej dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Sebenarnya, ada dua cara untuk dapatkan kerakyatan, iaitu: 

  • pendaftaran
  • naturalisasi 
  • Kerakyatan secara pendaftaran bermakna seseorang kanak-kanak tu memenuhi syarat-syarat di bawah undang-undang untuk jadi warganegara, dan apa yang perlu dibuat adalah ibu bapanya mendaftarkan anak mereka di JPN. Satu lagi cara adalah melalui naturalisasi – selalunya diberikan kepada seseorang yang telah menetap di Malaysia untuk beberapa tempoh tahun tertentu dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan. Bila mereka dapat kerakyatan Malaysia, apa saja kerakyatan yang dia ada selain Malaysia, akan dibatalkan kerana Malaysia tak menerima dwi-kerakyatan. 

    [BACA LAGI4 cara yang boleh melucutkan kerakyatan seseorang secara kekal]

    Tapi untuk artikel ni, kami tak akan bincang secara terperinci berkenaan syarat untuk dapat kerakyatan. Sebabnya, perkara tu agak kompleks dan memerlukan penerangan yang panjang. Kalau korang berminat juga untuk tahu, korang boleh lah semak Artikel 14 – 31, Perlembagaan Persekutuan

    Makanya, dalam kes Karthiyani ni – dia secara asasnya layak dan boleh je dapat kerakyatan secara pendaftaran. Tapi masalah timbul disebabkan dia dilahirkan di rumah dan bukannya hospital. Dalam masa sama, ini bukan bermakna kanak-kanak yang dilahirkan di rumah susah mendapat kerakyatan. Cumanya dalam kes Karthiyani, pihak berkuasa nampaknya memerlukan lebih banyak bukti mengenai tempat dia dilahirkan.

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    jabatan pendaftaran negara
    perlembagaan persekutuan
    mykad
    jpn
    warganegara
    karthiyani
    lahir di rumah