Asklegal
Home banner 9ec5f0d3 7eb8 4457 9d46 3541bfcf5a81

Civil,General

Boleh ke kita rakam polis bila diorang tahan kita dekat sekatan jalan raya?

over 5 years ago Azar Ishak

79

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Artikel ini diterjemahkan dari bahasa Inggeris. For the English version, click here

Boleh dikatakan, bila kita nak buktikan sesuatu atau nak guna sesuatu yang boleh dijadikan bukti, benda pertama yang kita buat adalah ambil phone dan mula rakam atau tangkap gambar. Benda inilah yang paling mudah dibuat untuk simpan bukti yang akan sokong dakwaan kita nanti. Kalau korang rasa dalam keadaan masalah atau bahaya, korang juga mungkin akan rakam kejadian yang jadi, supaya korang boleh buat laporan nanti.

Sejak dua menjak ni, kitorang sebenarnya ada dapat soalan yang tanya sama ada merakam anggota polis yang tahan korang dekat highway atau sekatan jalan raya tu salah di sisi undang-undang? Kitorang pun ditanya sama ada anggota polis dibenarkan atau tak suruh korang berhenti dari merakam. Tapi, sebelum kita tengok perkara ni dengan lebih mendalam lagi, mungkin bagus juga untuk korang tahu yang…

 

Tak ada undang-undang yang larang korang rakam sesiapa di tempat awam

Semua nak rakam. Imej dari BBC

Sebenarnya, tak ada undang-undang di Malaysia ni yang menghalang seseorang tu dari tangkap gambar atau rakam video orang lain di tempat awam. Tapi dalam masa sama, dah jelas dan terang yang korang tak boleh ambil gambar berunsur lucah atau apa-apa yang boleh menjejaskan reputasi seseorang. Bagaimanapun, undang-undang tak ada halangan untuk korang ambil gambar/rakam orang di tempat awam. Disebabkan tak ada larangan, dengan kata lain, korang boleh merakam seseorang tu selagi korang tak bertindak melampaui batas

Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan:

Barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya. 

Jadi, kalau korang ambil gambar atau video yang ada unsur tak baik atau lucah terhadap seseorang, ia satu kesalahan serius dan korang mungkin boleh dipenjara 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Tapi, macam mana kalau seseorang tu dah menyakiti kita secara lisan/fizikal atau bagi ancaman kepada kita? Korang mesti nak rakam diorang untuk dijadikan bahan bukti bila buat laporan polis nanti kan? Sekali lagi, undang-undang tak kata apa-apa pasal ni. Jadinya, tak ada halangan untuk korang dari merakam seseorang dalam kes yang macam ni. Dengan syarat, korang tak mengganggu privasi seseorang tu atau buat rakaman berunsur tak baik terhadap diorang

Ia bukan hanya melibatkan seseorang yang mengambil gambar/video orang lain yang tak sesuai. Tapi ia juga termasuk kalau korang stalk seseorang dan ambil gambar dia. Itu pun dianggap sebagai gangguan dan pastinya TAK BOLEH sama sekali.

[BACA LAGI: Can you legally stop someone from taking photos of you in Malaysia?

 

Polis tak terkecuali dari benda ni

Imej dari Chicago Tribune

Walaupun polis biasanya dilihat sebagai pihak berkuasa yang lebih tinggi, tapi tak ada undang-undang yang menghalang korang daripada merakam diorang. Jadinya, kalau korang ditahan masa sekatan jalan raya atau dekat mana-mana je dengan polis, dan korang rasa tindakan tu tak wajar, korang boleh rakam segala percakapan/urusan korang dengan pegawai polis tu. Bagaimanapun, benda ni tertakluk dengan tiga syarat ni:

1. Tindakan merakam tu tak mengganggu pegawai polis menjalankan tugasnya

Kalau pegawai polis tu menjalankan siasatan atau tengah buat sesuatu yang penting, korang tak patut rakam diorang kalau ia boleh mengganggu keseluruhan siasatan. Kalau rakaman boleh mengganggu pegawai berkenaan daripada menjalankan tugasnya, dia ada hak untuk minta korang berhenti dari merakam.

Sebagai contoh, kalau korang ditahan pada lewat malam dan pegawai polis tu nak periksa kereta korang, korang tak boleh halang diorang dari buat begitu dan tindakan korang yang merakam tak boleh mengganggu proses pemeriksaan. Kalau korang ganggu juga, diorang boleh minta korang berhenti dari merakam.

2. Korang patut beritahu pegawai polis tu yang korang nak rakam 

Daripada keluarkan phone korang dan terus rakam polis tu, cara yang lebih baik adalah maklumkan dulu yang korang nak rakam perbualan antara korang dan diorang. Cara ni lebih baik dan berbudi bahasa. Walaupun, korang tak perlukan kebenaran daripada diorang, tapi lebih bagus kalau korang bertindak sopan.

3. Jangan fitnah polis 

Kabanyakan video melibatkan pegawai polis ni muncul kat media sosial dan dari situ jugalah kita tahu pasal benda ni. Korang juga mungkin nak kongsikan video yang korang rakam dekat akaun media sosial korang. Tapi kalau korang nak buat macam tu, sebaiknya perkongsian tu tak ada sebarang komen

Menambah apa-apa ulasan atau kesimpulan yang lain mungkin akan timbulkan masalah kepada korang dan korang mungkin akan dianggap sebagai dah memfitnah pihak polis. Jadi, kalau korang kongsi, pastikan apa yang dikongsi tu adalah fakta tentang apa yang sebetulnya terjadi

Imej dari Berita Harian

Jadi, katakanlah yang korang dah ditahan dan korang rasa ia tak wajar, dan korang pun rakamlah keseluruhan kejadian tu. Korang mungkin akan tanya…

Boleh ke rakaman digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah?

Imej dari Robson Crim

Cubalah kita bayangkan senario ni, ada seorang pegawai minta korang bagi rasuah atau dakwa korang buat benda yang korang tak buat. Dalam kes macam ni, korang mesti nak laporkan perkara ni kepada pihak berkuasa kan? Tapi dalam masa sama, korang kena juga ada beberapa bukti supaya korang ada kes kuat terhadap polis yang dituduh.

Jadi soalannya, kalau korang ada rakaman yang polis tu minta rasuah, boleh ke korang gunakannya di mahkamah? Untuk jawab soalan ni, kita kena tengok Akta Keterangan 1950.

Seksyen 3 dalam akta tu mengatakan, apa saja “dokumen” boleh digunakan sebagai keterangan di mahkamah.

"keterangan" termasuklah –  
(a) semua pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah sebelum itu oleh saksi-saksi yang berhubungan dengan perkara-perkara yang difikirkan oleh siasatan: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;  
(b) semua dokumen yang dikeluarkan untuk pemeriksaan mahkamah: dokumen sedemikian dipanggil bukti dokumentari;

Tapi, apa sebenarnya "dokumen"? Bahagian 3 juga menyatakan: 

“dokumen” ertinya apa-apa hal yang dinyatakan, diperihalkan, atau bagaimana jua pun digambarkan, atas apa-apa benda, bahan, barang atau artikel, termasuklah apa-apa hal yang terkandung dalam cakera, pita, filem, runut bunyi atau apa jua pun peranti lain, dengan menggunakan – 
(b) apa-apa rakaman visual (sama ada imej kaku atau bergerak);
(c) apa-apa rakaman bunyi, atau apa-apa jua pun rakaman elektronik, magnetik, mekanikal atau rakaman lain dan walau bagaimana jua pun dibuat, atau apa-apa bunyi, dedenyut elektronik, atau apa jua pun data lain;

Jadi, pada dasarnya, apa-apa rakaman, sama ada audio atau visual, mahupun imej masih dianggap sebagai bukti yang boleh dibawa ke mahkamah

Bagilah kerjasama kepada abang dan akak polis kita

Imej dari NST

Ya betul, mahkamah akan terima rakaman sebagai keterangan bukti yang boleh digunakan di mahkamah. Tapi, korang semua mesti ingat, bila korang rakam percakapan dan urusan korang dengan pegawai polis, pastikan korang tetap sopan dan berbudi bahasa. Sebab, kalau korang berkelakuan kasar terhadap anggota polis, korang mungkin boleh dianggap membawa ancaman keselamatan kepada diorang. Jadi ingat, selalulah bersikap berhemah dan mesra. 

Tags:
pdrm
ditahan polis
rakam polis
keterangan di mahkamah
sekatan jalan raya

79

Shares

A+

A-