General
Kisah pelajar mangsa buli yang SAMAN sekolah dan kerajaan RM2 juta
over 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Pada 27 Jun 2020 lalu, The Star melaporkan tentang seorang pelajar yang bertindak menyaman beberapa orang, termasuklah sekolahnya sebanyak RM2 juta. Pelajar tu mendakwa, dia dah dibuli dengan teruk oleh rakan-rakan sekelasnya pada tahun 2019 dan insiden tu dah membuatkannya terpaksa dimasukkan ke wad psikiatri. Tindakan buli tu didakwa telah memberikan kesan yang cukup besar kepada dirinya dan disebabkan hal itu – bagi pihaknya, ibu pelajar berkenaan dah bertindak memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap:
- pembuli itu sendiri (menyaman bapanya)
- pengetua sekolah
- ketua pengarah pendidikan
- kerajaan Malaysia
Nota: ibu mangsa menyaman bapa pembuli, disebabkan secara teknikalnya – kanak-kanak bawah umur tak boleh menyaman atau disaman.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa dia saman dengan jumlah yang sangat besar dan kenapa dia saman pengetua dan kerajaan sekali, sedangkan dia boleh saman pembuli je. Oleh itu, kami akan jelaskan hal ni dalam artikel supaya kita semua boleh faham. Tapi sebelum tu, korang kena tahu dulu yang…
Tak ada undang-undang terhadap buli
Sebenarnya, perkara ni bukanlah secara spesifik. Kami ada tulis artikel tentang hal ni dan korang boleh baca di sini. Tapi secara asasnya, buli itu sendiri bukanlah jenayah di Malaysia, sampailah ia melibatkan kecederaan fizikal, kematian atau ancaman keselamatan. Hanya jika berlaku perkara seperti itu, barulah pembuli tersebut boleh didakwa dengan jenayah seperti intimidasi fizikal, serangan ataupun pembunuhan. Kanak-kanak yang terlibat dalam buli fizikal pula boleh dibicarakan di mahkamah khas untuk kanak-kanak.
[BACA LAGI: Did you know Malaysia has a special court for CHILDREN who commit crimes?]
Bagaimanapun, dalam hal ni tak disebutkan tentang kes jenayah yang difailkan terhadap pembuli, dan apa yang kami tahu adalah dia disaman atas kesalahan sivil. Tapi sebenarnya, tu tak bermakna yang seseorang pembuli tu tak boleh dihukum berdasarkan undang-undang jenayah. Namun, kenapa dia kena saman je?
Seperti yang dikatakan awal tadi, ibu mangsa ada kata – disebabkan tindakan buli tu, anaknya terpaksa berjumpa dengan pakar psikiatri. Anaknya juga kena diberikan ubat dan rawatan. Makanya, apa yang kita boleh faham adalah perkara ni akan memberikan bebanan kepada ibu bapa mangsa. Di bawah undang-undang sivil, korang boleh menuntut ganti rugi (pampasan wang) dari seseorang yang telah menyebabkan mudarat terhadap diri korang. Oleh sebab itulah, pelajar berkenaan melalui ibunya bertindak menyaman pembuli… melalui bapanya.
Perkara ni nampak munasabah jugalah sebab dia saman pembuli yang memudaratkan dirinya. Tapi, kenapa pula dia saman sekolah sekali?
Sekolah dikatakan turut bertanggungjawab
Sekolah disaman kerana ia dianggap memainkan peranan juga dalam hal ini. Perkara ni mungkin buat korang rasa keliru sikit, tapi inilah apa yang dikatakan sebagai kecuaian yang juga merupakan satu kesalahan sivil. Maknanya, korang boleh saman seseorang kerana kecuaian, jika sekiranya kecuaian mereka tu menyebabkan mudarat terhadap korang. Dan untuk menyaman seseorang kerana kecuaian, korang kena membuktikan:
- Mereka ada tanggungjawab menjaga korang
- Mereka telah melanggar tanggungjawab itu
- Pelanggaran itu mesti menimbulkan mudarat kepada korang
- Mudarat itu tak terlalu jauh dari akibat pelanggaran tersebut
Jadinya, untuk pelajar tadi berjaya menyaman sekolah, dia kena membuktikan:
- sekolah (guru, pengetua dan sebagainya) ada tanggungjawab undang-undang untuk memastikannya selamat di sekolah
- sekolah telah gagal menjalankan tanggungjawabnya
- dia menderita kerana sekolah itu gagal menjalankan tugasnya
- mudarat yang ditanggungnya pasti dapat dijangka; iaitu, buli kemungkinan besar berlaku kerana sekolah itu tidak menjalankan tugasnya
Tentang kenapa dia saman ketua pengarah pendidikan dan kerajaan Malaysia pula, ia adalah kerana mereka dianggap mempunyai kemajipan untuk peduli terhadapnya, tetapi gagal berbuat demikian. Namun, sama ada saman tu akan berjaya atau tak di mahkamah, tu perkara lain.
Sebelum ni, ada juga yang saman sekolah
Buat masa sekarang, kami cuma boleh kongsikan maklumat tentang kes ni je dulu. Bila keputusan dah keluar nanti, kami akan kemaskini artikel.
Kalau korang rasa macam baru je dengar kes mangsa buli saman sekolah, ia sebenarnya bukanlah perkara baru dan pernah je berlaku sebelum ni. Contohnya pada tahun 2017, apabila seorang pelajar di Terengganu menyaman beberapa pihak kerana dia dah hilang pendengaran akibat dari tindakan buli fizikal yang dia alami. Dia menyaman 5 pembulinya, pengetua sekolah, kerajaan Malaysia dan dua orang lagi sebanyak RM2 juta. Mahkamah kemudian memihak kepadanya dan memberikan pelajar berkenaan pampasan bernilai RM616,634. Pada tahun sama, ada juga seorang bapa yang menyaman sekolah dan guru anaknya kerana mengabaikan anaknya yang dibuli.
Tentang jumlah tuntutan saman yang tinggi tu pula, ia adalah kerana dalam kes begini – mangsa harus menanggung pelbagai kos seperti terapi, ubat-ubatan, yuran guaman dan sebagainya.
Sementara kes ni masih lagi berjalan di mahkamah, kita semua sedia maklum dengan keburukan dan kesan buli kepada mangsa. Jadinya, kalau korang kenal atau tahu sesiapa yang dibuli, korang bolehlah menghubungi nombor berikut untuk dapatkan bantuan:
Befrienders: 03-7956 8144/ 03-7956 8145
Talian Kasih: 15999
Protect and Save the Children: 03-7957 4344/ 016-227 3065