Civil, General

Boleh ke korang tebang dahan pokok yang masuk kawasan rumah korang... dan ambil buahnya?

 almost 5 years ago   Azar Ishak


[Click here for English version]

 

Rasanya macam dah lama pokok mangga jiran korang tu tumbuh di sebalik pagar rumah korang. Sebenarnya, dah lama dah korang bersabar dengan hal ni, sampailah korang rasa sakit hati sebab pokok tu dah menghalang pandangan korang dan juga membahayakan. Masa inilah korang tertanya-tanya sama ada korang boleh dapat masalah tak – kalau korang tebang dahan-dahan pokok yang menjuntai masuk kawasan rumah korang tu

Selain tu, pokok tu juga berbuah banyak dan ada yang jatuh dalam kawasan korang. Korang pun lepas tu rasa macam nak bagi balik buah-buah tu kepada tuannya. Tapi dalam masa sama, boleh tak korang ambil buah tu untuk diri sendiri? Benda ni mungkin dengar macam remeh je dan undang-undang macam tak ada kaitan langsung dengannya. Tapi…

 

Sebenarnya, ada undang-undang pasal hal ni

Imej dari Meme Center

Bila dahan pokok jiran korang membesar dan masuk ke dalam kawasan korang, ia dikenali sebagai “overhanging branches”. Sebenarnya, kebanyakan negara di dunia ni ada undang-undang pasal overhanging branches. Di Australia contohnya, setiap negerinya ada undang-undang berbeza tentang isu ni. Di Malaysia pula, hal ni melibatkan undang-undang kacau ganggu persendirian (private nuisance). Ini kerana, dahan pokok yang membesar sampai masuk ke dalam kawasan korang tu dikira sebagai kacau ganggu. 

Secara takrifnya, kacau ganggu adalah gangguan yang menyalahi undang-undang dengan penggunaan tanah. Terdapat tiga elemen kacau ganggu persendirian, yang mana semuanya kena dipenuhi –  kalau korang nak jiran korang tu bertanggungjawab:

  • Plaintif (korang) pemilik tanah atau mempunyai hak untuk mendudukinya;
  • Defendan (jiran korang) sebenarnya dah bertindak dengan cara yang mengganggu kesenangan plaintif dan gunaan hartanah miliknya; dan
  • Gangguan defendan cukup ketara dan tak munasabah.
  • Jadi, dengan membiarkan pokok diorang membesar sampai masuk ke dalam kawasan korang, diorang mungkin bertanggungjawab terhadap ganggu kacau persendirian kalau dahan-dahan yang berlebihan tu memberi kesan terhadap suasana dan keadaan rumah korang. Kalau ia menimbulkan risiko keselamatan pula, ia menambahkan lagi memungkinkan untuk jiran korang bertanggungjawab. 

    Tapi macam mana pula kalau korang tak suka pokok tu tumbuh ke dalam kawasan korang sebab ia cuma menghodohkan dan merosakkan pemandangan dari rumah korang? Dalam hal ni, undang-undang mengatakan…

     

    Kalau dahan tu menjuntai masuk kawasan korang, ia dikira korang punya

    Imej dari Problem Neighbours

    Jadi, walaupun korang tak saman jiran korang sebab buat kacau ganggu persendirian, korang masih boleh buat sesuatu pasal dahan-dahan tu atau buah-buah yang jatuh dalam kawasan korang.

    Ada beberapa kes pasal hal ni di banyak negara dan cuba kita tengok yang paling dekat dulu. Pada pertengahan tahun 2016, Mahkamah Tinggi Singapura ada buat perbicaraan kes antara dua jiran. Seorang wanita ni dah biarkan pokoknya tumbuh sampai ke halaman jirannya dan dahan-dahan tu pula membahayakan jirannya, terutamanya sebab ada anak-anak kecil di rumah. Bila jirannya upah orang untuk potong pokok tu, wanita tadi halang jirannya dengan cabut kunci dari kren yang digunakan untuk memotong pokok tu. 

    Mahkamah lepas tu buat keputusan yang jirannya ada hak untuk tebang mana-mana dahan yang masuk dalam kawasannya dan wanita tadi bersalah sebab menghalang diorang dari berbuat demikian.

    Ada satu lagi kes yang dah lama sangat berlaku iaitu pada tahun 1894. Kes ni dikenali sebagai Lemmon v Webb dan Mahkamah England memutuskan:

    Seorang jiran boleh menebang dahan-dahan yang memasuki tanahnya tanpa memberi notis kepada pemilik pokok itu dengan syarat dia boleh melakukannya tanpa memasuki tanah orang lain.

    Jadi, korang sebenarnya boleh je tebang mana-mana dahan atau ranting yang masuk kawasan korang (atau ambil buah-buah yang tumbuh dari dahan-dahan tu). Tapi…

     

    Korang tak boleh ambil apa-apa je yang tumbuh di atas kawasan jiran korang

    Imej dari GIPHY

    Jadinya, bila sesuatu tu tak lagi ada dalam kawasan korang, korang takde hak untuk buat apa-apa dengannya. Sebab, ia tak lagi menyebabkan sebarang halangan terhadap hartanah korang. Apa je yang ada dalam kawasan jiran korang tu hak diorang dan kalau korang keluarkan apa je yang ada kat sana, korang boleh disaman sebab menceroboh. Seperti mana yang dah dikatakan dalam kes Lemmon tadi… kalau korang nak buat sesuatu, ia mestilah “tanpa memasuki tanah orang lain”

    Makanya, tindakan panjat pagar dan curi buah dalam kawasan jiran korang juga akan dikenali sebagai mencuri, sebab ia adalah hartanah orang lain. Korang mesti tak nak kena tangkap mencuri, sebab hukumannya berat kan? Kita tak cakap pasal denda kecil, tapi ia boleh melibatkan hukuman penjara!

     

    Sesetengah pokok adalah milik kerajaan

    Imej dari Harian Metro

    Hampir semua kawasan perumahan ada pokok-pokok yang tumbuh berhampiran dengan laluan pejalan kaki atau di kawasan luar rumah. Dan salah faham yang biasa jadi adalah, disebabkan ia tak tumbuh dalam kawasan mana-mana rumah –  tak ada sesiapa yang miliki pokok-pokok tu dan sesiapa pun boleh ambil buah atau bunganya. Tapi ramai mungkin tak tahu bahawa mana-mana tumbuhan yang tumbuh di ruang awam adalah milik Majlis Perbandaran di kawasan tu. Jadi, mengambil apa-apa bahagian dari tumbuhan atau pokok tu sebenarnya salah dan ada penalti untuknya, dan ia berbeza dari majlis bandar ke majlis bandar.

    Maka secara asasnya... kalau korang ambil atau potong mana-mana bahagian pokok, pastikan yang ia berada di atas hartanah korang. Kalau tak, sebaiknya korang tak kacau pokok-pokok ni dan biarkanlah ia hidup dengan aman. 

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    tebang dahan pokok jiran
    dahan pokok jiran masuk rumah
    hartanah
    undang-undang hartanah
    kacau ganggu persendirian
    buah
    dahan pokok