Civil, General

Anda boleh saman jiran, kalau mereka buat 5 perkara menyakitkan hati ni

 almost 5 years ago   Azar Ishak


[Click here for English version]

Kadang-kadang tu, memang tak dapat dinafikan – kita ada jiran-jiran yang selalu je buat benda yang menyakitkan hati kita. Contohnya macam – main muzik kuat-kuat, buang sampah merata-rata atau biarkan kucing diorang jadikan halaman rumah korang tandas. 

Kalau benda macam tu jarang berlaku, kita tak kisah sangat, tapi kalau selalu je jadi – dan dah mula mengganggu ketenteraman hidup korang, sesiapa pun akan rasa tak puas hati kan? Dan hal macam ni lah yang dimanakan sebagai tort kacau ganggu persendirian (private nuisance). Sebenarnya, kalau benda macam ni jadi, korang boleh bawa jiran korang tu ke mahkamah. 

Tort ni secara asasnya adalah salah laku yang memberikan korang sebab untuk menyaman si pembuat salah. 

[BACA LAGI: What is a Tort?]

 

Bila tindakan jiran korang tu boleh dikira sebagai kacau ganggu?

Kalau ada jiran macam ni ok lah. Imej dari Giphy.

Kacau ganggu sebenarnya adalah terma undang-undang. Terdapat 2 jenis kacau ganggu iaitu: kacau ganggu persendirian dan kacau ganggu awam. Tapi untuk artikel ni, kitorang cuma bagi fokus pada kacau ganggu persendirian, iaitu akan berlaku bila mana seseorang tu melakukan sesuatu yang mengganggu hak korang untuk menikmati hartanah korang (baca: menghalang korang tinggal di rumah sendiri dengan aman). 

Untuk menang kes terhadap kacau ganggu yang dilakukan oleh jiran, korang mesti tunjukkan apa yang jiran korang dah buat tu sebagai tak munasabah, secara berterusan menggangu kedamaian korang, dan boleh menyebabkan bahaya kepada korang

Ini apa yang buku teks undang-undang kata tentang kacau ganggu persendirian:

Ia sentiasa menjadi persoalan sama ada gangguan terhadap keselesaan atau kemudahan cukup serius untuk menimbulkan gangguan. Perbuatan-perbuatan yang dikeluhkan sebagai menimbulkan gangguan, seperti suara, bau atau gegaran, biasanya akan menjadi tindakan yang sah, yang hanya menjadi salah dari keadaan di mana ia dilakukan, seperti waktu, tempat, sejauh mana atau cara pelaksanaan. – Clark & Lindsell tentang Torts (18 Ed.)

Apa yang dimaksudkan di sini adalah – ada beberapa perkara tertentu yang jiran korang buat tu sebenarnya dibolehkan saja oleh undang-undang. Bagaimanapun, bila ia dilakukan dengan cara tertentu atau pada masa tertentu, ia mungkin boleh dianggap sebagai kacau ganggu jika ia mula secara serius mengganggu kehidupan korang. Atau lebih teruk dari tu, membuatkan korang mengalami tekanan emosi

Contohnya:

Jiran korang Joe Chia ni kalau menyanyi memang teruk dan setiap kali dia buka mulut untuk menyanyi, memang sumbang betul suara dia. Di sini tak salah kalau korang tak pandai menyanyi dan tak salah juga kalau korang penyanyi yang teruk. Tapi, dia ni selalu menyanyi siang dan malam, sampai menggangu tidur dan kehidupan seharian korang. Dengan itu, ia dah menjadi kacau ganggu

Tapi, kacau ganggu oleh jiran ni tak terhad pada buka muzik kuat tengah malam je atau jiran korang ni vokalnya tak berapa bagus. Ia juga boleh jadi dalam bentuk bau, gegaran, asap, mahupun penglihatan. Sebenarnya, korang akan terkejut dengan apa yang dianggap atau dah dianggap oleh undang-undang sebagai kacau ganggu oleh jiran.

Kami cuba selidik beberapa kes yang menarik untuk kita tahu. Dan ini dia 5 perkara yang rakyat Malaysia pernah bawa jiran diorang ke mahkamah kerana kacau ganggu dan menang.

 

1. Membakar barang sembahyang secara tetap dan kerap

Imej dari Lodyhelp.
KES: Tunku Norella Suriani bt Tunku Yusoff & Anor v Kumpulan Sierramas (M) Sdn Bhd & Anor [2011] 9 MLJ 1

Dalam kes ini, wanita tersebut berjaya menyaman jirannya yang selalu buat pembakaran terbuka barang sembahyang yang membuatkan bau asap tak menyenangkan dan berbahaya. 

Mahkamah mendapati, tindakan itu sebagai kacau ganggu kerana ia bukan saja mengganggu wanita berkenaan di rumahnya, tapi juga menurunkan nilai hartanahnya

 

2. Kamera CCTV yang menuju terus ke arah rumah jiran

Eh, pura-pura pulak dia! Imej dari Giphy.
KES: Lew Cher Phow @ Lew Cha Paw & Ors v Pua Yong Yong & Anor [2011] MLJU 1195

Satu keluarga di Johor Bahru ni ada masalah dengan kamera CCTV jiran yang betul-betul diarahkan ke halaman depan dan bahagian belakang rumah diorang.

Rasa seperti diintip oleh jiran, keluarga ni terpaksa lebarkan zink di sepanjang pagar untuk elakkan rumah dan aktiviti diorang dari diawasi secara berterusan oleh jiran. Keluarga ni juga terpaksa sentiasa tutup pintu dan tingkap, selain tak boleh hidup, makan dan tidur dengan aman. Hasilnya, diorang dah mengalami tekanan emosi, stress dan komplikasi perubatan

Mahkamah kemudiannya memutuskan yang tindakan jiran diorang itu sebagai pengawasan melampau yang melanggar hak privasi diorang. Hal ini pada dasarnya dianggap sebagai kacau ganggu.

 

3. Parkir kereta dengan cara menyusahkan orang lain

Ni pun kira double parking ke apa? Imej dari Giphy.
KES: Lai Kong Loke & Anor v Ting See Leng [2017] 7 MLJ 548

Pada tahun 2017, seorang lelaki di Pulau Pinang dah bertindak menyaman jirannya yang selalu parkir kereta di depan rumah jirannya. Hal tu bukan je menyebabkan dia susah nak masuk ke dalam rumahnya sendiri, malah membuatkannya susah nak undurkan kereta untuk keluar dari jalan

Mahkamah memutuskan yang sikap jirannya itu sebagai sangat tak munasabah dan ia adalah kacau ganggu.

[BACA LAGI: Apa anda boleh buat jika ada yang meletak kenderaan mereka di hadapan rumah anda?]

 

4. Bunyi bising pam air

Imej dari Giphy.
KES: Ong Koh Hou v Perbadanan Bandar & YBR Management Sdn Bhd [2009] 8 MLJ 616

Kes ni jadi bila ada seorang lelaki yang beli penthouse dan baru je pindah masuk. Dua minggu kemudian, dia terpaksa pindah keluar sebab tak tahan dengan bunyi bising pam air yang terletak di atas rumahnya. Dia kata, bunyi tu sama dengan bunyi mengetuk yang jadi secara berterusan dengan kekerapan dua kali setiap jam sepanjang hari. Dia saman pemaju dan pengurusan kondominium.

Mahkamah dapati, mendengar bunyi bising secara berterusan dari pam air sebagai terlalu sukar nak ditanggung dan bunyi itu dianggap sebagai kacau ganggu. 

 

5. Buat ubah suai sampai merosakkan hartanah orang lain

Imej dari Giphy.
KES: Chan Wing & Sons Realty Co Ltd v The Asia Insurance Co Ltd [1962] 1 MLJ 40

Dalam kes ini, pemilik bangunan rumah kedai yang berusia berabad dah menyaman pemilik plot tanah (defendan) kerana menyebabkan kerosakan yang serius terhadap harta benda diorang semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan. Bukti menunjukkan – gegaran dari kerja pembinaan membuatkan dinding dan simen lantai rentak, selain struktur bangunan yang tak sekata

Tapi pihak defendan berhujah yang tu bukan salah diorang sebab bangunan tu memang dah tua pun. Bagaimanapun, hakim tak terima hujah tu sebab ia sekadar pendapat dan disebabkan bangunan tu dah tua, tu tak bermaksud yang ia tak patut dapat perlindungan undang-undang terhadap kacau ganggu. 

 

Macam mana nak berurusan dengan jiran yang bermasalah ni?

Imej dari Meme Generator.

Sekarang ni, sebelum korang saman jiran korang, apa kata cubalah dulu bersemuka dan berbincang dengan diorang. Sebabnya, bukan semua benda kita patut selesaikan di mahkamah, ada je benda yang boleh selesai dengan berbincang dan rundingan. 

Tapi, kalau dengan cara baik macam tu masih lagi tak jalan – bolehlah korang ambil tindakan dengan buat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (macam: Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran). Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab membuat sebarang langkah perlu untuk menyelesaikan jenis-jenis kacau ganggu tertentu. Sesetengah isu yang pihak berkuasa tempatan ada kuasa untuk menguruskannya disenaraikan dalam Seksyen 81, akta sama dan ia termasuklah berkenaan dengan:

  • Binatang yang disimpan di sesuatu tempat atau dengan cara yang dianggap sebagai kacau ganggu
  • Tempat atau tadahan yang boleh menjadi tempat pembiakan makhluk perosak seperti nyamuk, lalat dan tikus
  • Melepaskan asap atau debu yang berbahaya kepada kesihatan penduduk di kawasan kejiranan
  • Tapi senarai ni tak lengkap, sebab pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk menangani pelbagai lagi isu yang lebih luas. Kalau korang nak tahu lagi tentang skop kuasa dan tanggungjawab diorang, korang boleh rujuk semuanya dalam Akta. 

    Sekiranya korang tinggal dalam hartanah berstrata (pangsapuri/apartmen/kondominium dan hartanah yang berpagar), korang kena kemukakan aduan korang kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) terlebih dulu sebelum pergi ke peguam. Pemilik dan penduduk hartanah berstrata terikat dengan undang-undang dan peraturan seperti dalam Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan & Pengurusan) 2015, dan dalam sesetengah kes Surat Ikatan Perjanjian Bersama dan Perjanjian Jual Beli yang pada asasnya menghuraikan 'peraturan rumah' yang mesti dipatuhi oleh penduduk.

    Kalau korang dah letih dengan cara diplomatik, korang bolehlah bawa kes tu ke mahkamah sebagai cara penyelesaian. Tapi dengan pilih cara ni, korang kena pastikan dulu yang korang ada bukti cukup, sebab dengan itu jugalah ia akan menentukan nasib kes korang tu.

    Akhirnya, sama ada mahkamah menganggap apa yang jiran korang buat tu sebagai kacau ganggu atau tak, ia akan diputuskan berdasarkan fakta dan keadaan.

     

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    tort
    kacau ganggu
    jiran
    mengganggu
    akta kerajaan tempatan 1976
    saman jiran
    kes saman jiran
    peraturan pengurusan strata (penyelenggaraan & pengurusan) 2015