Civil, General

Pada 2004, kerana nak bayar yuran pengajian, lelaki ni saman bapanya sendiri

 almost 5 years ago   Azar Ishak


[Click here for English version]

Kadang-kadang tu, memang biasalah kalau kita ada salah faham dan perselisihan dengan ahli keluarga kita. Mungkin kita merajuk dan tak nak bercakap dah dengan ahli keluarga lain. Tapi, kalau merajuk pun tak lama. Bila dah tiba masa, kita semua akan berbincang dan cari jalan untuk berdamai.

Tapi, ada juga yang rasa tak semua benda boleh dibawa berbincang. Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki dari Perak, yang buat keputusan untuk bawa kesnya ke mahkahmah dan saman bapanya sendiri. Kes saman-menyaman orang tu memang kita dah biasa dengar, tapi kes saman ahli keluarga sendiri? Yang ni memang unik sikit.

Korang mungkin tertanya-tanya, boleh ke kita saman ahli keluarga kita sendiri? Ataupun, kes saman bapa sendiri ni hanyalah satu pengeculian? Jadinya, sebelum kitorang bercerita lebih lanjut pasal Dui Geng yang saman bapanya Woon Keat, lebih baik untuk kita jawab dulu persoalan...

 

Di Malaysia, boleh ke kita saman ahli keluarga sendiri?

Imej dari imgflip.com

Sebenarnya, undang-undang Malaysia tak halang korang dari saman sesiapa pun. Walaupun begitu, masih ada orang tertentu yang ada imuniti, seperti duta asing dan kerabat diraja. Tapi selain tu, undang-undang tak kata yang korang tak boleh saman ahli keluarga. Cuma masalahnya, kalau kita ada isu dengan ahli keluarga, ia biasanya tak ada asas undang-undang.

Tapi, apa dia asas undang-undang ni sebenarnya? Kalau korang nak tahu,  kes yang boleh dibawa ke mahkamah adalah sesuatu yang boleh menyebabkan tindakan undang-undang dan sesuatu yang pihak penyaman boleh mendapatkan remedi darinya. Remedi ni bermaksud, korang boleh dapatkan pampasan, sama ada wang ataupun harta benda. Dalam kes tertentu pula, ia juga boleh buatkan korang mengarahkan seseorang untuk buat sesuatu – seperti suruh jiran korang potong bahagian pokoknya supaya tak masuk laman rumah korang. 

Jadinya, kalau korang dan kakak korang bergaduh sebab masing-masing tak nak basuh pinggan lepas makan, undang-undang tak ada peruntukkan remedi untuk kes macam tu. Bagaimanapun, kalau korang dan adik beradik ada pertelingkahan pasal harta keluarga, kes macam ni boleh dibawa ke mahkamah. Sebabnya, undang-undang harta dan undang-undang amanah mungkin boleh bantu korang selesaikan masalah tu.

Jadi, apa sebabnya Dui Geng ni nak bawa bapanya, Woon Keat, ke mahkamah? Dalam kes ni, ia bukan pasal masalah keluarga biasa, tapi melibatkan hal kewangan dan kewajiban sara diri. Oleh kerana hanya undang-undang yang dapat menolongnya, Dui Geng pun buat keputusan untuk bawa bapanya sendiri ke mahkamah.

 

Dia nak bapanya bayar RM81,421 untuk kos pendidikannya

Imej dari Giphy.

Ibu bapa Dui Geng bercerai bila dia berumur 4 tahun, dan dia dibesarkan oleh ibunya. Masa diorang bercerai dulu, mahkamah putuskan yang bapanya, Woon Keat, kena bayar nafkah. Nafkah ni adalah belanja atau sara hidup untuk anak, seperti wang yang digunakan untuk makanan, pakaian, pendidikan, dan sebagainya. Pada mulanya, Woon Keat bayar nafkah sebanyak RM400 setiap bulan

Woon Keat juga seorang pemilik kilang di Gopeng dan dia tetap bayar nafkah tu sampailah Dui Geng berumur 18 tahun pada tahun 2000. Lepas bayaran tu tamat, Woon Keat ada minta Dui Geng datang dan bekerja di kilangnya. Dui Geng pun setuju dan mula bekerja masa berumur 19 tahun. Masa tu, Woon Keat bayar Dui Geng RM600 sebulan, sama seperti gaji yang dibayar kepada pekerja-pekerjanya yang lain. 

Tak lama lepas tu, Dui Geng pun menyambung pengajiannya. Tapi dia ada masalah – untuk tahun ketiga dan terakhir pembelajarannya, dia perlu melanjutkan pelajaran ke Nottingham Trent University, UK. Dui Geng telah membiayai sendiri yuran pengajian untuk dua tahun yang pertama, tapi lepas tu dia perlukan bantuan kewangan untuk tamatkan tahun akhir di UK. Bagaimanapun, disebabkan umur Dui Geng dah lebih 18 tahun, Woon Keat dah berhenti dari bagi dia duit, dan duit yang dia terima cuma gaji yang dia dapat dari bekerja dekat kilang bapanya tu. 

Untuk membayar yuran pengajiannya di UK, dia pun buat keputusan untuk ambil tindakan undang-undang terhadap bapanya, kerana inilah satu-satunya cara nak buatkan bapanya menolongnya. Dengan bantuan peguamnya, M Kulasegaran (sekarang ni Menteri Sumber Manusia), dia pun failkan kes tu di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk buatkan bapanya tanggung pengajiannya. Kos yuran pengajian dan penginapannya tu berjumlah lebih dari RM81,000, dan inilah jumlah yang dituntut Dui Geng daripada bapanya.

 

Mahkamah kata boleh saman...tapi lepas tu kata tak boleh

Imej dari Giphy.

Dui Geng failkan kes ni pada Januari 2004. Dia kata, walaupun umur dia dah lebih 18 tahun (22 tahun masa tu), bapanya masih lagi ada tanggungjawab untuk bayar nafkah kepadanya. Untuk menyokong hujahnya tu, peguamnya merujuk Seksyen 95, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang menyatakan: 

“Kecuali jika sesuatu perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak dinyatakan untuk mana-mana tempoh yang lebih singkat atau jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan, perintah itu hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun atau jika anak itu dalam keadaan hilang upaya dari segi jasmani atau mental, perintah itu hendaklah tamat apabila keadaan hilang upaya itu terhenti, mengikut mana-mana yang terkemudian”

Undang-undang ni pada asasnya nak beritahu yang ibu bapa kena bagi nafkah kepada anak mereka sampailah diorang capai usia 18 tahun. Tapi ada pengecualian, kalau anak berkenaan dalam keadaan kurang upaya dari segi jasmani atau mental, dan ia memerlukan ibu bapa memberikan nafkah dalam tempoh lebih panjang lagi. 

Tapi… bukan ke umur Dui Geng ni dah lebih 18 tahun, dan dia pun tak ada sebarang kecacatan. Macam mana pula dia boleh rujuk pada undang-undang ni?

Dalam hal ni, peguamnya berhujah bahawa, jika seseorang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menampung kewangan mereka, ini boleh dikira sebagai kekurangan upaya mental dan fizikal. Memandangkan Dui Geng masih lagi belajar dan tak ada kerja, dia masih boleh bergantung kepada bapanya untuk menampung kewangannya. 

Mahkamah kemudiannya bersetuju dengan peguam Dui Geng, dan kata Dui Geng terpaksa bergantung kepada bapanya, dan dia ada asas undang-undang untuk menyaman Woon Keat. Itulah pengakhiran untuk pendengaran pertama, dan diorang boleh meneruskan kes diorang tu.

Enam bulan lepas tu, pada Jun 2004, Dui Geng dan Woon Keat naik lagi ke mahkamah untuk pendengaran yang seterusnya. Tapi kali ni, selok-belok cerita ni berubah. Walaupun mahkamah sebelum ni kata yang Dui Geng ada asas undang-undang untuk saman dan boleh teruskan kes tuntutan mahkamahnya, kali ni mahkamah bagi keputusan yang lain pula. 

Dalam keputusan akhirnya, Mahkamah Tinggi Ipoh menyatakan bahawa undang-undang itu kekal sama sepertimana yang telah ditulis: Seorang anak yang berumur lebih daripada 18 tahun tidak boleh memaksa ibu bapanya untuk menampung kewangannya. Dui Geng juga tak boleh dianggap ada kurang upaya fizikal atau mental, walaupun dia masih lagi belajar.

Akhirnya, mahkamah juga arahkan Dui Geng membayar kos guaman sebanyak RM3,000 kepada Woon Keat.

 

Undang-undang sekarang dah berubah

Imej dari econ2u.

Bila kes ni diputuskan 15 tahun dulu (masa artikel ni ditulis), ia diputuskan bahawa ibu bapa yang membayar nafkah anak mereka tak diwajibkan untuk membayar kos pendidikan mereka. Tapi, hal ni masih lagi ada pengecualian, contohnya seperti dalam kes Karunairajah a/l Rasiah v Punithambigai a/p Ponniahdi mana seorang bapa dah berjanji untuk menampung kos pendidikan anak-anaknya, sampailah diorang tamat belajar. Mahkamah memutuskan, janji sebegitu tak boleh dimungkiri. Tapi dalam kes Dui Geng, Woon Keat tak buat janji macam tu, makanya – tak ada pengecualian yang boleh dibuat dalam kes tu. 

Dari masa tu sampailah tahun 2017, mahkamah Malaysia dah dengar banyak kes berkenaan ibu bapa yang enggan membayar kos pendidikan anak diorang setelah diorang berusia 18 tahun. Walaupun undang-undang itu masih lagi diikuti bulat-bulat dalam kebanyakan kes, ada juga kes-kes tertentu yang menuntut lebih belas ihsan dari yang telah ditetapkan. Jadinya pada tahun 2007, satu perubahan telah dicadangkan – untuk memastikan pendidikan anak-anak akan dibiayai sehinggalah mereka lulus pengajian, walaupun mereka dah berusia lebih dari 18 tahun: 

Pindaan seksyen 95 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 menyatakan:
Seksyen 95 Akta dipinda – 
(a) dengan memasukkan selepas perkataan "ketidakupayaan fizikal atau mental," perkataan "atau sedang mengikuti pendidikan atau latihan lebih lanjut atau lebih tinggi,"; dan
(b) dengan memasukkan selepas perkataan "berhenti daripada ketidakupayaan sedemikian" perkataan "atau penyempurnaan pendidikan atau latihan yang lebih tinggi".

Perubahan ni kemudiannya diterima Parlimen dan jadi undang-undang sah pada 15 Disember 2018. Dengan undang-undang ni, tanggungjawab ibu bapa tak lagi terhenti bila anak mereka berusia 18 tahun. Sebaliknya, ia berakhir apabila anak itu boleh mula berdikari, dengan kelebihan yang terbaik – pendidikan.

 

This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

Tags:
pendidikan
saman bapa
saman keluarga
akta perkahwinan dan perceraian 1976
nafkah anak
kos pendidikan