Criminal

Riza Aziz dilepaskan: Tapi tu tak bermakna yang dia tak bersalah atas pertuduhannya

 almost 4 years ago   Azar Ishak


[Click here for English version]

Boleh dikatakan majoriti daripada kita semua tahu tentang skandal membabitkan 1MDB dan usaha nak mendapatkan balik aset-aset badan itu. Setakat ini, sejumlah AS$322 juta atau sekitar RM1.3 bilion dah berjaya dikembalikan semula ke Malaysia. Bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang menjadi suspek utama kes 1MDB masih lagi dalam proses perbicaraan, sebaliknya anak tiri beliau – Riza Aziz baru-baru ni dah menjadi tajuk utama media.

Sebabnya, Riza dah dilepaskan dari 5 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai hampir AS$248 juta dari dana 1MDB. Mahkamah memutuskan yang Riza dilepas tanpa dibebaskan atau bahasa Inggerisnya – discharge not amounting to an acquittal (DNAA). Tapi, keputusan tu disertai juga dengan perlunya Riza bersetuju untuk membayar AS$107 juta.

Kami tahu mesti ada di antara anda yang tertanya-tanya apa dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) ni? Adakah tu bermakna Riza memang dah tak bersalah dari sebarang pertuduhan terhadapnya sekarang?

Walaupun mungkin ada dakwaan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba membantah keputusan mahkamah atau mengaitkannya dengan soal politik, itu semua di luar pengetahuan kami. Jadinya, apa yang kami boleh bincangkan adalah tentang apa yang dimaksudkan dengan DNAA dalam kes Riza ni. Pertama sekali, kita semua kena tahu yang…

 

Bukan sekadar bersalah dan tak bersalah je, yang ada dalam kes mahkamah

Imej dari Giphy.

Bila seseorang tu didakwa dengan kes jenayah di mahkamah, kita selalunya akan fikir tentang dua keputusan iaitu sama ada dia bersalah atau tak bersalah. Tapi sebenarnya, masih ada jalan tengah di mana seseorang tu boleh jadi masih bersalah, tapi pihak pendakwa raya buat keputusan untuk tak mendakwanya buat masa sekarang. 

Sebenarnya ada 3 keputusan iaitu:

  • Tidak bersalah – Mereka dibebaskan dari dakwaan kesalahan mereka dan tuduhan terhadap mereka digugurkan. Tertuduh kini seorang yang tak bersalah dan boleh jalani kehidupan secara bebas. 
  • Bersalah – Mereka akan disabitkan dan dijatuhi hukuman atas kesalahan mereka. Hukuman itu boleh jadi denda, penjara, atau kedua-duanya
  • Jalan Tengah – Inilah dia yang dinamakan sebagai dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Tertuduh dilepaskan sekarang. Tapi mahkamah masih boleh mendakwanya di kemudian hari.
  • Satu lagi perkara yang kita kena tahu, DNAA ni bukan diputuskan oleh mahkamah, sebaliknya ia diminta oleh pendakwa raya kepada mahkamah untuk keputusan itu dibuat. Kalau anda tak tahu apa itu pendakwa raya, ini dia contoh ringkasnya.

    Pada asasnya akan ada dua peguam dalam satu kes. Satu peguam yang membela tertuduh, dan seorang lagi yang akan cuba berhujah bahawa tertuduh bersalah. Peguam pertama dipanggil sebagai peguam bela, manakala peguam kedua dipanggil sebagai pendakwa raya. Bila dah tahu apa yang pendakwa raya ni buat, jom kita kembali pada isu pokok. 

    Sebenarnya, pendakwa raya ada hak untuk berhenti mendakwa tertuduh. Hal tu ada disebut dalam Seksyen 254, Kanun Prosedur Jenayah:

    (1) Pada setiap tahap pengadilan, sebelum keputusan penghakiman, Pendakwa Raya boleh, jika difikirkannya sesuai, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak akan mendakwa tertuduh lebih lanjut atas tuduhan tersebut dan… tertuduh akan dilepaskan dari yang sama… (3) Pelepasan tersebut tidak akan menjadi pembebasan kecuali jika Mahkamah mengarahkan sebegitu. 

    Jadinya, sebelum mahkamah buat sebarang keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tak, pendakwa raya boleh meminta supaya kes itu dihentikan seketika. Tapi, tertuduh tak akan dibebaskan daripada tuduhan terhadapnya dan hal ni bermakna, mahkamah masih belum kata yang dia tak bersalah

    Tapi kenapa pula mereka buat macam tu? Sebenarnya, ada beberapa sebab perkara ni diambil, dan yang paling pentingnya adalah…

     

    Kita tak boleh mendakwa seseorang untuk jenayah yang sama dua kali

    Imej dari Giphy.

    Di bawah undang-undang Malaysia, kita tak boleh mendakwa seseorang dengan jenayah yang sama. Perkara ni dipanggil sebagai double jeopardy”. Tapi, perkara ni cuma jadi kalau mahkamah dah memutuskan kes anda, sama ada didapati bersalah atau tidak atas sesuatu jenayah. Ini adalah hak asas kita semua, dan ia dinyatakan dalam Artikel 7, Perlembagaan Persekutuan

    (2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.

    Keputusan sama ada anda bersalah atau tak bersalah sebenarnya tak menjadi masalah, selagi mana mahkamah dah memutuskan kes tersebut. Cumanya, ada pengecualian kalau mahkamah yang lebih tinggi mendapati yang keputusan tu salah dan membatalkannya atau dengan kata lain – membatalkan keputusan sebelumnya. Hal ini kemudiannya akan membawa kepada perbicaraan semula.

    Dalam masa sama, ada banyak sebab atau keadaan yang menyebabkan seseorang pendakwa raya tu meminta supaya DNAA dilaksanakan. Kadang-kadang tu sebab bukti tak cukup, atau siasatan tak lengkap dan mereka nak mengukuhkan bukti terlebih dulu. Jadinya, mereka akan ada kes yang lebih baik di masa akan datang.

    Dengan adanya DNAA juga, ia akan membenarkan pendakwa raya untuk mendakwa kembali terduduh dengan jenayah sama di masa akan datang. Masa tu, tertuduh tak boleh gunakan double jeopardy dan pertuduhan masih boleh dibicarakan di mahkamah

    Jadinya, kalau mahkamah dah memutuskan sama ada Riza bersalah atau tak, dia tak boleh didakwa lagi dengan jenayah sama di masa depan. Tapi, disebabkan dia dapat DNAA, dia kemungkinan akan dibawa semula ke mahkamah, dengan tuduhan yang sama di masa akan datang. 

    Riza mungkin dilepaskan sekarang, tapi ruang untuk mendakwanya semula masih terbuka. 

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    1mdb
    riza aziz
    dnaa
    pengubahan wang haram
    dilepas tanpa dibebaskan
    pendakwa raya