General, Employment

Kisah lelaki kena pecat sebab gagal update profil Jobstreet-nya

 almost 4 years ago   Azar Ishak


[Click here for the English version]

Kalau korang ni dah pernah bekerja, mesti korang tahu cara macam mana nak mohon kerja. Sama ada memohon terus kepada syarikat yang berkenan di hati ataupun melalui laman-laman web macam Jobstreet, Indeed atau Monster. Masa nak daftar dalam laman-laman web ni, korang akan isi maklumat peribadi, pendidikan, pengalaman bekerja dan sebagainya. 

Resume kita tu pula akan berubah dari masa ke semasa dan memang jadi tanggungjawab kita untuk kemaskini (update) dengan maklumat-maklumat terbaru. Tapi, macam mana kalau kita mohon kerja tanpa kemaskini resume atau salah isi maklumat? Sebenarnya, hal ni boleh bawa kesan besar juga sebab ada seorang lelaki ni sampai hilang kerja sebab maklumat dalam profil Jobstreet-nya tak tepat!

 

Dia mohon jawatan dalam syarikat yang dia sedang bekerja

Imej dari Dice Insights

Kisah ni bermula pada tahun 2000, iaitu tahun yang sama dia mula bekerja di syarikatnya. Pada tahun 2017, dia yang bekerja sebagai Pegawai Teknikal dengan gaji sebanyak RM6,900, dah buat permohonan kekosongan jawatan dalam syarikat sama dengan menggunakan Jobstreet. Pihak HR masa tu pun dapat permohonannya. Tapi, yang jadi punca masalah adalah bila HR sedar yang jawatannya dalam profil Jobstreet tu tak sama dengan jawatannya yang sebenar dalam syarikat. 

Jadinya, pada Oktober 2017, syarikat dah keluarkan surat tunjuk sebab kepadanya. Surat tunjuk sebab tu diberikan kerana syarikat nak dapatkan penjelasan kenapa dia buat macam tu. Tak lama lepas tu, dia pun bagi jawapan dengan kata maklumat salah tu jadi disebabkan masalah teknikal. Syarikat yang dapat jawapan tu rasa tak puas hati dan mereka pun mulakan siasatan dalaman dan dapati dia bersalah atas tujuh dakwaan salah laku. Dia kemudiannya digantung tugas selama 14 hari tanpa gaji dan selepas itu dia pun buat rayuan terhadap keputusan tu. 

 

Gagal kemaskini profil Jobstreet-nya, dianggap sebagai salah laku

Imej dari Jobstreet.

Menjelang Februari 2018, Jawatankuasa Rayuan Disiplin (DAC) dah adakan pendengaran rayuan. Dia kemudiannya mengakui dakwaan-dakwaan tu, tapi sekali lagi mempertahankan yang dia tak menipu tentang kelayakan. Dia juga kata maklumat yang betul tu tak keluar disebabkan masalah teknikal. Menurutnya, dia dah kemaskini maklumat dalam profil dan simpan, tapi bila dia log masuk semula – perubahan tu dah takde. 

Dia juga kata yang dia ada maklumkan hal tu kepada Jobstreet, tapi tak ada-apa yang pengguna boleh buat untuk betulkannya. Syarikat kemudiannya setuju yang alasan tu nampak munasabah. Tapi... muncul pula isu lain. 

Semasa memohon kekosongan jawatan di Jobstreet, dia kena masukkan surat untuk satu permohonan. Ia adalah surat cadangan dari pihak atasan, dan di dalamnya, ada kata yang dia itu bertugas sebagai 'Senior Manager Knowledge Management’, sedangkan jawatan sebenarnya adalah ' Executive Knowledge Management'. Jadinya, syarikat pun kata yang mereka tak boleh percayakan dia lagi untuk jalankan tugas dan ambil keputusan untuk pecatnya. Dia lepas tu ada failkan kes di Mahkamah Perusahaan atas dakwaan pemecatan secara salah.

 

Tapi, mahkamah kemudiannya bersetuju dengan syarikat

Imej dari Mahkamah Perusahaan Malaysia.

Dia merasakan apa yang jadi terhadap pemohonannya tu tak lah sampai boleh membuatkannya dipecat. Dia juga kata yang tak seorang pun dari DAC – jawatankuasa yang mendengar rayuannya – dipanggil untuk memberikan bukti di mahkamah. Jadinya, dia anggap pemecatannya tu tanpa sebab. 

Dalam memberikan keputusa untuk kes ni, mahkamah seterusnya melihat kepada dua perkara iaitu:

  • sama ada apa yang dilakukan oleh pekerja itu adalah salah laku
  • dan adakah tuduhan salah laku itu adalah alasan yang baik untuk memecatnya
  • Mahkamah seterusnya memberitahu yang pekerja tu sendiri dah mengaku terhadap tujuh tuduhan salah laku, iaitu bermakna dia setuju yang dia sepatutnya memastikan profilnya dikemaskini. Tentang persoalan sama ada dia dipecat atas alasan yang munasabah. Mahkamah nampaknya bersetuju bahawa wujudnya kemungkinan telah berlaku masalah teknikal dan kerana itulah maklumat yang diberikannya tak tepat. Bagaimanapun, isu yang lebih besar adalah surat dari pihak atasan yang tak menyatakan jawatannya sebenar. Untuk hal ni, pekerja tak boleh kata yang dia tak sedar dengan apa yang berlaku. Hakim berkata:

    Mahkamah memang menerima penjelasan penuntut mengenai percubaannya yang gagal untuk membetulkan penyataan yang salah di halaman Jobstreet. Bagaimanapun, Mahkamah tidak mendapat penjelasannya mengenai keterangan yang dilampirkan pada pertuduhan ketujuh yang memuaskan. Mahkamah mendapati bahawa penyertaan kesaksian ini menimbulkan keraguan terhadap integriti penuntut. Oleh itu, Mahkamah dan Syarikat kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap penuntut. 

    Oleh itu, mahkamah membuat keputusan menerima tindakan syarikat dan menolak tuntutannya. Kalaulah dia menang dalam kes tu, syarikat mesti kena bayar pampasan kepadanya. Perkara ni ada dinyatakan dalam Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, di mana pekerja ada hak untuk buat tuntutan di Mahkamah Perusahaan jika mereka rasa mereka dah dipecat secara tak adil. 

    Kalau korang rasa, korang melalui hal yang sama dan nak dapatkan keadilan – korang bolehlah failkan kes di Mahkamah Perusahaan. Cumanya korang kena ingat yang tuntutan tu hanya boleh dibuat dalam tempoh 60 hari dari hari dipecat. 

    This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

    Tags:
    mahkamah perusahaan
    salah laku
    jobstreet
    kena pecat
    pemecatan
    sisatan dalaman
    resume kerja
    kemaskini resume