Asklegal
Home banner d0362593 0ee6 4828 aeee c1afebe2e33e

Constitution,General

Kenapa ada peruntukan B. Inggeris dalam Akta Bahasa Kebangsaan? Ini fakta-faktanya

almost 5 years ago Azar Ishak

43

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Kalau korang ada ikut perkembangan semasa, korang mesti ada terbaca berita pasal keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ni yang menolak saman Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) terhadap kerajaan persekutuan. Kisahnya, GERAKAN saman kerajaan sebab tak setuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan pembelajaran seni khat dan tulisan Jawi kepada pelajar Tahun Empat di sekolah vernakular. 

Bagaimanapun, Mahkamah tolak saman GERAKAN tu sebab Mahkamah dapati yang tulisan Jawi ni sebahagian dari Bahasa Melayu, yang juga adalah Bahasa Kebangsaan. Sebabnya, kalau rujuk Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, walaupun dinyatakan tulisan untuk bahasa kebangsaan adalah tulisan rumi, tapi dalam masa sama – tak ada larangan untuk tulisan Jawi digunakan.

Jadinya di sini, tahulah kita yang Akta Bahasa Kebangsaan ni penting, dan sebab itu jugalah mahkamah buat keputusan selepas merujuk Akta ini. Tapi... korang tahu tak, apa tu Akta Bahasa Kebangsaan, dan apa isi-isi penting dalamnya? 

 

Akta ni dipinda selepas 10 tahun kita merdeka

Demonstrasi Keranda 152 di DBP pada tahun 1967. Imej dari Puisi Kabur.

Kalau kita tengok Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, memang dah jelas ditetapkan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia. Tapi dalam masa sama, penguatkuasaan perkara ni tak lah dibuat secara menyeluruh lepas kita merdeka pada tahun 1957. Sebabnya, dinyatakan juga yang kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan peranannnya secara berperingkat selama 10 tahun selepas merdeka. Hal ni ada diungkapkan dalam Perkara 152 (2), Perlembagaan Perskutuan:

“...selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.”

Jadinya, bila sampai pada tahun 1967, usaha nak memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mula disuarakan, khususnya di kalangan pejuang-pejuang bahasa dan pertubuhan-pertubuhan Melayu. Tapi, kerajaan masa tu tak berapa serius sangat dengan perkara ni, sampailah ia membuatkan ramai pihak marah sehingga terjadinya protes mahasiswa di Universiti Malaya (UM). 

Akhirnya, kerajaan pun akur dan meminda akta berkenaan yang kemudiannya dikenali sebagai Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Walaupun akta tu diluluskan oleh Parlimen pada tahun sama, tapi ia masih mengundang rasa tak puas hati ramai pihak. Sebabnya, cita-cita pejuang bahasa nak melihat bahasa Melayu menjadi sebagai bahasa rasmi tunggal nampaknya tak berjaya. Sebabnya, akta ni masih dibayangi dengan peruntukan yang membolehkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Reaksi ni juga dah membawa kepada protes besar-besaran di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967, apabila hampir 2,000 orang berhimpun membantah tindakan kerajaan. Perkara ini juga membawa kepada terusungnya ‘Keranda 152’ yang terinspirasi dari puisi Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang. Bagaimanapun, akta ni tetap diteruskan dan kali terakhir ia dipinda adalah pada tahun 1994. Sehingga ke hari ni, ia menjadi rujukan utama bila kita bercakap soal Bahasa Kebangsaan. 

Sebenarnya, akta ni taklah panjang sangat dan cuma ada 11 Seksyen saja. Dan dalam banyak seksyen tu, mungkin ada fakta-fakta menarik yang kita boleh tengok, contohnya…

 

1. Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar untuk segala urusan rasmi kerajaan

Imej dari Wikipedia

Inilah mungkin antara peruntukan terpenting dalam Akta Bahasa Kebangsaan, yang kita semua kena tahu. Sebabnya, Seksyen 2, Akta ini menyatakan dengan jelas yang Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Hal ni diperkuatkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 yang menjelaskan urusan rasmi kerajaan tu termasuklah – kenyataan rasmi, menyuarat rasmi, ucapan, taklimat, seminar dan sebagainya. 

Bagaimanapun, pekeliling ni masih bagi kelonggaran pada bahasa lain (seperti Bahasa Inggeris) untuk digunakan, contohnya kalau sesuatu majlis rasmi tu disertai orang bukan warganera atau delegasi luar negara. Tapi sebelum ni, Malaysia pun ada kontroversi bila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ada menggunakan bahasa Mandarin sebagai salah satu medium terjemahan kenyataan rasmi kerajaaan. Betul ke apa yang Guan Eng buat tu? 

 

2. Akta ni membenarkan terjemahan kenyataan rasmi ke bahasa lain 

Contoh kenyataan rasmi kerajaan. Imej dari Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut Guan Eng, kenyataan rasmi dari kementeriannya tu memang dikeluarkan dalam bahasa Melayu, dan hanya diterjemah ke bahasa lain jika perlu. Tambahnya, selalunya kenyataan rasmi dalam bahasa Melayu akan diterjemah ke bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan cuma sekali sekala je akan diterjemah ke bahasa Mandarin kalau perlu. 

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh Guan Eng tu tak salah kalau kita rujuk Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Sebabnya, Seksyen 3, Akta itu menyatakan:

“Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana Negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.” 

Bagaimanapun, masih ada pihak yang anggap apa yang Guan Eng buat tak perlu sebenarnya sebab dah memadai sesuatu kenyataan rasmi kerajaan diterjemah ke bahasa Inggeris saja. Manakala bagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid pula, apa yang penting – versi rasmi itu haruslah di dalam bahasa Melayu dan kemudiannya hanya boleh diterjemahkan ke bahasa lain jika ia untuk kepentingan awam

Kalau kita rujuk balik apa yang diceritakan di awal tadi, masa akta ni digubal ramai pihak yang rasa tak puas hati sebab ia masih dibayangi dengan bahasa Inggeris. Hal tu sebenarnya memang ada dalam Akta Bahasa Kebangsaan, sebab…

 

3. Bahasa Inggeris masih boleh digunakan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri

Asalkan tak ada kata-kata kesat. Imej dari Kinitv.

Hal ni disebut dalam Seksyen 5, Akta Bahasa Kebangsaan yang menetapkan bahawa bahasa Inggeris dibenarkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Dengan itu, seseorang Ahli Parlimen atau Ahli DUN (ADUN) dibenarkan untuk memberikan ucapan dalam bahasa Inggeris, tapi dengan syarat jika ia diizinkan oleh Yang Di-pertua Dewan. 

Ketika menjelaskan hal ni di Parlimen, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ada kata – yang Seksyen 5 diwujudkan sebab nak memelihara demokrasi Parlimen dengan tujuan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen yang masih lemah dalam Bahasa Melayu, untuk kemukakan pendapat masing-masing dengan jelas. Tapi pada tahun lepas, pihak DBP ada kata yang mereka akan ajurkan kursus bahasa Melayu kepada Ahli Parlimen. Jadinya, mungkin di masa akan datang dah tak ada masalah lagi untuk Ahli-ahli Parlimen kita berbahasa Melayu di Parlimen. 

 

4. Bahasa Inggeris juga boleh digunakan dalam mahkamah

Imej dari Giphy.

Kalau tadi bahasa Inggeris boleh digunakan di Parlimen dan DUN, bahasa sama juga sebenarnya boleh digunakan di Mahkamah. Ini kerana, walaupun Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahasa Melayu mesti digunakan dalam mana-mana prosiding mahkamah di negara ini (kecuali pemberian keterangan oleh seseorang saksi), masih lagi ada kelonggaran untuk bahasa Inggeris digunakan. Kita boleh tengok apa yang dinyatakan dalam Seksyen 8, Akta, iaitu:

“… Dengan syarat bahawa Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.” 

Perkara ni dibuat kerana nak memudahkan perjalanan mahkamah, sebab seperti mana yang kita tahu banyak istilah undang-undang ada dalam bahasa Inggeris. Tapi, bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang UKM, Dr. Ramalinggam Rajamanickam, kini dah tiba masanya untuk bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Katanya, penterjemahan istilah-istilah undang-undang yang lebih tepat ke bahasa Melayu harus diusahakan, selain menerbitkan buku-buku dan penulisan rujukan undang-undang dalam bahasa Melayu. 

Oleh itu, dengan sendirinya nanti bahasa Melayu akan lebih mudah dan selesa digunakan dalam mahkamah, serta matlamat Akta Bahasa Kebangsaan untuk kegunaan bahasa di Mahkamah akan tercapai. 

[BACA LAGI: Pemartabatan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Mahkamah di Malaysia]

Apa yang pasti, walaupun akta ni tak la terlalu panjang macam akta-akta lain, tapi akta ni tetap menjadi rujukan utama kalau kita nak berbincang soal Bahasa Kebangsaan. Bagaimanapun, masih ada orang yang merungut sebab akta ni tak peruntukkan sebarang implikasi perundangan untuk mana-mana pihak yang melanggarnya. Senang kata, tak ada hukuman macam denda atau sebagainya kalau kita melanggar peruntukan akta. Dan sebab itu jugalah…

 

DBP nanti mungkin akan ada kuasa untuk denda korang

Imej dari Malaysiakini.

Disebabkan banyak rungutan dan ada juga pihak yang kata DBP ni ‘tak ada taring’ dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan, makanya DBP kata yang pihaknya sedang dalam proses siapkan draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ni. Antara yang dimasukkan dalam draf tu adalah memberikan DBP kuasa dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu.

"Kita lihat sekarang ini dalam majlis-majlis rasmi kerajaan ada yang menamakan program kerajaan dalam bahasa Inggeris, umpamanya program Food Bank sedangkan ia ada namanya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan," – Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP. Dipetik dari Astro Awani

Tapi dalam masa sama, Abang Sallehuddin ada bagi jaminan yang DBP nanti tak akan jadi ‘Polis Bahasa’ tapi sebaliknya sebagai ‘Pendakwah Bahasa’. Sebab katanya, tugas dakwah bahasa lebih berkesan, kerana dengan cara tu kesedaran dapat dipupuk dan mewujudkan rasa tanggungjawab. Tapi dia masih tak menolak akan ada hukuman undang-undang sebagai jalan terakhir

Kesimpulannya, seperti mana yang dinyatakan oleh ramai pihak – Akta Bahasa Kebangsaan perlu diberikan nafas baru supaya ia kekal releven, apatah lagi kita telah merdeka dan mempunyai Bahasa Kebangsaan sendiri selama lebih 60 tahun. Memartabatkan Bahasa Kebangsaan tak bermakna kita memencilkan bahasa lain dan memang terbukti pun yang seseorang itu lebih mudah mengakses ilmu jika dia mengetahui pelbagai bahasa. Tapi untuk Bahasa Kebangsaan, kalau bukan kita yang memartabatkannya, siapa lagi?

 

Tags:
akta bahasa kebangsaan
bahasa rasmi
bahasa kebangsaan
bahasa melayu
perkara 152
dewan bahasa dan pustaka
bahasa mahkamah
bahas parlimen

43

Shares

A+

A-