Asklegal
Home banner c81d

Civil

Bolehkah PDRM memeriksa kenderaan anda sewaktu menjalankan sekatan jalan raya?

almost 7 years ago khaliq

84

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[This article was originally written in English. Click here for the English version]

Sekatan jalan raya ada kalanya boleh menimbulkan ketidakselesaan bagi sesetengah masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun, ada baiknya jika kita memahami punca mengapa sekatan ini diadakan, apa yang boleh dilakukan oleh pihak PDRM, dan hak kita sebagai pengguna jika diminta diperiksa.

Sebab diadakan sekatan jalan raya

Tujuan utama sekatan jalan raya adalah untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Berdasarkan kenyataan dari Inspektor Adrian Bin Kadir dari Cawangan Trafik IPD Nusajaya, sekatan jalan raya dilakukan untuk:

  • Mengesan kesalahan lalu lintas
  • Mencegah dari timbulnya masalah jenayah

Kesalahan lalu lintas yang dimaksudkan termasuk memandu dengan tidak berhemah dan tanpa dokumen memandu yang sah (Seperti tiada lesen dan / atau tidak memperbaharui cukai jalan) atau memandu di bawah pengaruh alkohol atau ubat-ubatan yang mengkhayalkan. Melalui operasi ini juga, ia mampu mengesan suspek jenyah yang dikehendaki oleh PDRM.


Undang-undang berkenaan sekatan jalan raya

Imej dari Paultan.org

Untuk memahami hak pemandu dalam sekatan jalan raya, kita perlulah melihat pada enabling provisions terlebih dahulu. Enabling provisions adalah seksyen di dalam undang-undang yang menyatakan bahawa pihak berkuasa boleh mengambil tindakan atas perkara tertentu. Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 banyak menyentuh tentang skop tindakan pihak berkuasa terhadap operasi sekatan jalan raya. Antaranya:

Seksyen 26(1), Akta Polis 1967 – ‘Kuasa untuk mendirikan sekatan jalan’:

"...mana-mana pegawai polis boleh, jika difikirkannya perlu untuk berbuat demikian bagi memelihara dan mengekalkan undang-undang dan ketenteraman atau untuk mencegah atau mengesan jenayah, mendirikan atau meletakkan atau menyebabkan didirikan atau diletakkan apa-apa sekatan di atas atau melintang mana-mana jalan awam atau lorong atau di mana-mana tempat awam..."

Dalam erti kata lain, mana-mana pihak berkuasa berhak menyekat jalan raya untuk mengelak dari timbulnya masalah jenayah disamping menjaga ketenteraman awam.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya mengadakan sekatan jalan raya. Ini termaktub di dalam Seksyen 78(1), Akta Pengangkutan Jalan – ‘Kuasa mengadakan sekatan jalan’:

"Walau apa pun yang terkandung dalam mana-mana undangundang lain, mana-mana pegawai polis berpakaian seragam yang diberi kuasa secara bertulis oleh seseorang pegawai polis kanan yang berpangkat Inspektor atau lebih tinggi, termasuk seseorang Inspektor dalam percubaan, atau mana-mana pegawai pengangkutan jalan berpakaian seragam, yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pengarah boleh, jika didapatinya perlu untuk berbuat sedemikian bagi penguatkuasaan Akta ini, mendirikan atau meletakkan atau menyebabkan didirikan atau diletakkan apa-apa galangan sebagaimana yang ditetapkan di atas atau melintang mana-mana jalan mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut..."

Ini bermaksud, PDRM hanya boleh mengadakan sekatan jalan raya jika terdapat arahan dari pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.

Inspektor Adrian mengulas lanjut:

“Operasi sekatan jalan raya mesti didirikan oleh lebih dari tiga pegawai polis dan diselia oleh pegawai dengan pangkat korporal atau lebih tinggi. Disamping itu, harus ada papan tanda dengan tulisan ‘PEMERIKSAAN POLIS’ dengan lampu biru berserta kon-kon trafik sewaktu sekatan jalan raya diadakan.” – Inspektor Adrian bin Kadir, sewaktu sesi temuramah bersama ASKLEGAL


Haruskah kita berhenti sewaktu terdapat sekatan jalan raya?

Biasanya, sewaktu memperlahankan kenderaan anda di sekatan jalan raya, pihak berkuasa yang bertugas akan melihat ke dalam kenderaan sepintas lalu dan akan memberikan laluan. Tetapi jika anda tidak bernasib baik, mereka akan memberhentikan kenderaan anda untuk melakukan pemeriksaaan. Persoalannya, adakah perlu kita berhenti? Apa akan terjadi sekiranya kita berlalu pergi sahaja?

Seksyen 26(2), Akta Polis 1967 mengatakan bahawa, jika anda tidak patuh kepada arahan pegawai yang mengadakan sekatan jalan raya, hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan atau denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya sekali akan dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Seksyen 26(2), Akta Polis 1967:

"Seseorang yang tidak mematuhi apa-apa isyarat yang munasabah yang diberi oleh seorang pegawai polis yang menghendaki orang atau kenderaan itu berhenti sebelum sampai mana-mana sekatan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya..."

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa boleh menganggap bahawa melarikan diri dari sekatan jalan raya adalah satu kesalahan (kemungkinan suspek jenayah ingin melarikan diri) dan ini boleh menyebabkan kemalangan berlaku. Sebagai contoh, kes Sharil Azlan Ahmad Kamil, dia telah mengalami kecederaan akibat lantunan peluru yang dilepaskan ke arah tayar keretanya berikutan dia mengundurkan kenderaannya sewaktu sekatan jalan raya berlaku.


Pihak polis mempunyai kuasa memeriksa kenderaan anda!

Imej dari The Sun Daily.

Sekarang anda tahu, adalah menjadi satu kesalahan jika tidak memberhentikan kenderaan sekiranya diminta. Setelah meletakkan kenderaan di tepi jalan dan memeriksa dokumen perjalanan (Kad pengenalan dan lesen memandu), anda diminta keluar dari kenderaan supaya pemeriksaan dapat dilakukan.

Walaupun anda tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti membawa barangan larangan di dalam kenderaan, tindakan memeriksa kenderaan ini nampaknya seperti mencabul hak kebebasan pemilik kenderaan. Iyalah, anda tidak melakukan kesalahan tetapi hak peribadi diperiksa pula. Persoalannya, adakah pihak berkuasa tersebut boleh memeriksa kenderaan kita? Adakah perlu ada waran?

Menurut Inspektor Adrian, pegawai polis mempunyai kuasa untuk memberhentikan kenderaan dan memeriksa kenderaan mahu pun pemandu serta penumpang. Seksyen 24(1)(b), Akta Polis 1967 menyatakan:

"Mana-mana pegawai polis boleh –

… memberhenti dan memeriksa tanpa waran mana-mana kenderaan atau vesel yang disyakinya atas alasan yang munasabah sedang digunakan dalam melakukan apa-apa kesalahan terhadap mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa…"

Hal ini bermaksud, pihak berkuasa boleh memberhentikan kenderaan anda untuk memeriksa sama ada anda mempunyai lesen memandu dan mereka juga mempunyai kuasa untuk memeriksa kenderaan jika disyaki digunakan untuk melakukan kesalahan.


Perlukah kita menjawab soalan yang ditanyakan oleh PDRM di sekatan jalan raya?

Hanya setakat nama dan alamat peribadi sahaja yang boleh ditanyakan. Kita tidak perlu menjawab pertanyaan selain daripada itu melainkan jika pihak berkuasa tersebut sedang menjalankan proses soal siasat jenayah. Sebagai contoh, sekatan jalan raya diadakan di suatu kawasan di mana sedang berlakunya satu kes jenayah. Pemandu-pemandu yang melalui kawasan tersebut mungkin akan ditahan bagi membantu siasatan.

Walau bagaimanapun, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan atau berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah sesuai dengan Seksyen 112(2), Kanun Prosedur Jenayah (Tiada penterjermahan rasmi) :

"…[Orang yang diperiksa] hendaklah menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Pegawai itu;

Dengan syarat bahawa saksi itu boleh menolak daripada menjawab jika jawapan itu akan menyebabkan ia dibabitkan pada sesuatu tuduhan jenayah atau penalti atau perlucuthakan."


Sekiranya anda berasa hak anda dicabuli, anda boleh menyuarakan aduan

Di dalam sebuah artikel perbandingan antara PDRM dan pihak berkuasa Amerika Syarikat, didapati bahawa hak masyarakat Malaysia tidak dilindungi sepenuhnya berbanding di Amerika Syarikat. Tidak semestinya anda harus mengikuti arahan dari pegawai polis bulat-bulat kerana anda juga mempunyai hak tersendiri berdasarkan undang-undang.

Jika anda berasa hak anda dicabuli, catatkan masa, tempat dan nombor pengenalan pegawai polis yang terlibat. Aduan terhadap pegawai polis boleh dibuat melalui perkhidmatan aduan SiSPAA PDRM.

Tags:

84

Shares

A+

A-