Asklegal
Home banner fccd90a0 e3ac 4789 a6f4 43155edd86c6

Criminal

Tertuduh kes bunuh di Malaysia didapati tidak bersalah kerana... bau badan

over 6 years ago Clarence Kuna

519

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris. Click here for English version]

 

Yang ini biasa kita dengar: pembunuhan berlaku untuk menyembunyikan jenayah lain. Selalunya mangsa dibunuh untuk menyembunyikan jenayah lain yang serius, seperti rogol. Banyak kes sebegini dilaporkan di Malaysia, dari kes sensasi pembunuhan Canny Ong yang diculik dari Bangsar Shopping Center – mayatnya ditemui dibakar di Jalan Klang Lama – sehinggalah kes bunuh Nurin Jazlin (masih belum selesai), yang dipercayai mangsa gangguan seksual.

Kes bunuh Canny Ong telah pun selesai, dan tidak ada sesiapa pun yang dituduh membunuh Nurin Jazlin, muncul pula satu lagi kes melibatkan seks dan bunuh yang belum selesai walaupun seorang individu telah didakwa dan dibawa ke mahkamah. Inilah kes Noritta Samsudin, seorang eksekutif syarikat di mana mayatnya ditemui oleh rakan-rakan serumah, diikat di dalam bilik, dan di mana pertikaian utama kes ini merupakan .... bau badan busuk, lelaki setinggi 6 kaki, dan tertuduh yang menyerah diri?

Hebat kan cerita ini? Banyak andaian yang dibuat dalam kes ini oleh itu kita akan tumpukan perhatian kepada fakta kes yang dipersembahkan di mahkamah. Mari kita lihat dengan lebih lanjut.

 

Bau badan busuk, mayat yang diikat dan bayang-bayang seorang lelaki

Noritta Samsudin. Gambar dari coconuts.co

Noritta Samsudin merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 22 tahun. Dia tinggal di bilik yang disewa dari sepasang suami isteri dan bekerja sebagai eksekutif syarikat di Kuala Lumpur. Pada 5hb Disember 2003, lebih kurang pukul 4:30 pagi, dua rakan serumahnya (Kenneth dan Nor Azora) menemui mayat Noritta selepas pulang dari kelab malam.

Kalau kita fikir sejenak, agak menakutkan juga jika kita sendiri menemui mayat dan tambahan pula, mayat tersebut dijumpai dalam keadaan yang menggerunkan. Mari kita siasat kisah di sebalik penemuan ini.

Apabila rakan-rakan serumah Noritta pulang, mereka agak hairan kerana semua lampu rumah terpadam. Mungkin anda akan terfikir bahawa ini tak beberapa hairan  kerana waktu menunjukkan pukul 4:30 pagi dan Noritta mungkin telah memadamkan semua lampu sebelum masuk tidur; tetapi Noritta, Kenneth dan Azora telah bersetuju untuk sentiasa meninggalkan lampu ruang makan terpasang sebelum meninggalkan rumah.

Selepas mereka berdua membuka kunci pintu dan melangkah masuk, Kenneth dan Azora mengesan bau badan yang kurang menyenangkan di pintu masuk, dan bau ini menyerbak ke bahagian koridor sehingga ke ruang makan. Selepas memasuki rumah, Kenneth mengunci pintu utama dan menggerapai ke bilik tidur bersama-sama Azora.

“Reaksi Nor Azora terhadap bau badan tersebut menunjukkan bahawa arwah dilawati seseorang. Menurutnya, ia merupakan kali pertama dia berdepan dengan bau yang mual itu.” – Penjelasan Mahkamah Tinggi berkenaan keterangan rakan serumah – dipetik dari fakta (facts) keputusan Mahkamah Tinggi, diterjemah oleh ASKLEGAL

Ketika Kenneth sibuk membuka pintu bilik tidur, Azora ternampak bayangan seorang lelaki di kanan tetapi mengendahkannya kerana dia mengandaikan bahawa Noritta ada membawa tetamu ketika itu berdasarkan bau badan yang busuk itu. Apabila mereka masuk ke bilik, Azora bertanya kepada Kenneth jika dia ada ternampak sesiapa berdiri di luar tetapi Kenneth menjawab tidak dan merasakan bahawa Azora cuma terbayangkan benda lain. Kalau anda sudah menonton filem Dukun, inilah masa anda menjerit, “ORANG MINYAK!”

Azora membuat keputusan untuk mencari lelaki berkenaan. Dia bergegas ke ruang dapur dan ruang tamu tetapi tidak menjumpai sesiapa. Kemudian dia tersedar bahawa pintu depan rumah terbuka, dan dia tahu yang Kenneth telah pun mengunci pintu tersebut sebelum mereka berdua beredar ke bilik tidur sebelum ini. Dengan rasa kurang senang hati, Azora memanggil Kenneth dan kedua-duanya memanggil Noritta tetapi tiada balasan diterima. Kenneth kemudiannya bergegas keluar untuk memanggil pengawal keselamatan kerana mereka mengesyaki bahawa rumah mereka di pecah masuk.

Tata kala Kenneth keluar untuk memanggil pengawal keselamatan, Azora sedar yang pintu bilik Noritta terbuka sedikit. Dia menjenguk dan kemudiannya memasang lampu bilik Noritta, dan mendapati biliknya berselerak, sambil melaung nama Noritta, Azora melucutkan selimut yang meliputi Noritta dan...menjumpainya terlantar di katil.

“Noritta ditemui mati dengan kepala ke bawah tilam yang terletak di atas lantai biliknya. Kepalanya diserkup dengan sarung bantal yang diikat, dan kedua-dua tangan diikat dengan wayar elektrik di belakang, dan kakinya juga diikat dengan wayar elektrik dan baju dalam. Dia dijumpai dalam keadaan berbogel tetapi ditutupi dengan cadar ketika ditemui buat kali pertama” – Penjelasan Mahkamah Tinggi berkenaan keterangan rakan serumah – dipetik dari fakta (facts) keputusan Mahkamah Tinggi, diterjemah oleh ASKLEGAL

Azora panik dan meluru keluar menghala ke tingkap biliknya untuk memanggil Kenneth yang berada di pondok pengawal. Pada ketika itu dia ternampak seorang lelaki yang berjalan ke arah pondok pengawal sambil mengenakan kemeja. Azora menyangka bahawa lelaki tersebut adalah lelaki yang sama dijumpainya di dalam rumah dan menjerit kepada lelaki itu untuk berhenti dengan menyatakan “Bastard, stop. I think you are a killer”. Azora kemudian bergegas ke bawah dan dia bersama-sama dengan Kenneth dan seorang pengawal keselamatan cuba mencari lelaki tersebut namun gagal.

Kenneth dan ketua pengawal keselamatan kemudiannya memasuki bilik Noritta dan memanggil namanya tetapi tiada balasan diterima. Dia membuka ikatan sarung bantal yang menyelubungi kepala Noritta dan menjumpai mukanya dililit dengan sarung bantal peluk, menutupi mulutnya. Kenneth membuka ikatan ini dan sejurus selepas ikatan itu tertanggal, sehelai tuala muka berbentuk bola jatuh dari mulut Noritta.

Kenneth cuba membangunkan Noritta tetapi gagal dan dia kemudiannya menghubungi polis.

Nampaknya Noritta adalah mangsa rogol dan bunuh ataupun ... permainan seks yang tidak menjadi. Polis memulakan siasatan mereka dan...

 

Pada satu hari, tertuduh melangkah masuk ke balai polis

Hanif ketika didakwa di mahkamah. Gambar dari The Star

Pihak polis mengumpul beberapa bahan bukti seperti:

  1. 3 sampel air mani berbeza dari tilam
  2. 11 helai tisu dengan kesan air mani di dalam bekas sampah
  3. Kesemua peralatan yang digunakan untuk mengikat Noritta

Dari semua bahan bukti yang terkumpul, polis menjumpai beberapa sampel DNA, satu daripadanya milik Noritta dan selainnya milik dua lelaki yang berbeza. Lelaki yang menyerah diri adalah Hanif Basree Abdul Rahman, seorang jurutera awam berumur 36 tahun dari Shah Alam. Jika anda tertanya-tanya, ya, salah satu sampel DNA adalah miliknya. Hanif kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh Noritta.

“Bahawa kamu pada 5.12.2003 di antara jam 1.30 pagi hingga 4.00 pagi di...Kuala Lumpur, telah melakukan bunuh terhadap Noritta binti Samsudin, KP: 810211- 02-5166 dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.” – dipetik dari fakta keputusan Mahkamah Tinggi,  diterjemah oleh ASKLEGAL

Apabila kes ini dibicarakan di mahkamah, satu perkara penting diketengahkan oleh pihak pendakwa raya sebagai keterangan berdasarkan keadaan (circumstantial evidence) sebagai bukti yang Hanif bersalah, iaitu sebelum Hanif menyerah diri kepada pihak polis, dia telah membotakkan kepala dan memotong semua kukunya. Timbalan Pendakwa Raya memberitahu mahkamah bahawa ini membuktikan bahawa Hanif cuba memusnahkan semua bukti yang boleh menghubungkannya dengan Noritta. Mereka juga menyatakan bahawa Hanif ada bertanya jika bukti DNA boleh menghubungkannya dengan bilik Noritta pada malam kejadian.

Menurut keterangan mahkamah saksi-saksi pihak pendakwa raya – iaitu pengawal-pengawal keselamatan bertugas di kondo tersebut:

  1. Hanif sering berkunjung ke kondominium Noritta dan selalunya balik bersama Noritta sekitar pukul 2 pagi.
  2. Pada hari kejadian, Hanif memasuki kondominium sebelum pukul 1 pagi dan kemudiannya mereka nampak Hanif dan Noritta berbual dengan dua pasangan orang keturunan Melayu yang berada di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di kawasan luar kondominium ketika itu
  3. Mereka tidak nampak Hanif meninggalkan kondominium pada hari kejadian

Mungkin anda terfikir yang ianya mustahil untuk mengingat kembali siapa yang keluar masuk kondominium tersebut sebab Hanif semestinya tampil sebagai seorang warga Malaysia biasa kan? Sebenarnya tidak kerana ketinggian Hanif setinggi 6 kaki bukannya ketinggian biasa seorang warga Malaysia.

Ketinggian Hanif berbanding dengan anggota polis. Gambar dari The Star

Dua saksi yang memberi keterangan terhadap Hanif dan bukti DNA. Sangkutlah nampaknya si jurutera kita ni. Kita pun sudah sedia maklum dari siri-siri TV yang bukti DNA tidak boleh dipertikaikan dan boleh meletakkan tertuduh di tempat kejadian, dan seterusnya dia boleh didakwa. Kita pun dah banyak kali tonton di TV adegan penyiasat menjumpai sehelai rambut dan dia kemudian memasukkannya ke dalam beg bukti. Tetapi hakikatnya, apa makna semua bukti ini menurut undang-undang?

 

Undang-undang terbahagi kepada keterangan terus dan keterangan berdasarkan keadaan

Kes ini mendapat liputan di Minnesota, USA. Gambar dari bulletinmedia.blogspot.my

Menurut undang-undang sivil dan jenayah, beberapa perkara perlu dibuktikan untuk mewujudkan dakwaan dan punca kejadian. Ini dikenali sebagai fakta isu (Facts in issue) dan ini merupakan komponen utama dalam kes. Sebagai contoh, dalam kes bunuh Noritta, pihak pendakwa raya perlu membuktikan bahawa:

  1. Kematian Noritta telah berlaku
  2. Kematian Noritta berpunca atau hasil daripada sesuatu yang dilakukan oleh Hanif
  3. Tindakan dibuat dengan niat untuk menyebabkan kematian ataupun menyebabkan kecederaan badan yang boleh membawa kepada kematian

Selain dari fakta isu, pihak pendakwa raya boleh juga membangkitkan fakta relevan (relevant facts) yang boleh memperkukuhkan fakta isu. Fakta relevan yang dibangkitkan oleh pihak pendakwa raya adalah motif cemburu. Mereka mendakwa bahawa Hanif membunuh Noritta kerana dia cemburu yang Noritta rapat dengan lelaki lain. Fakta relevan boleh membantu untuk membuktikan fakta isu tetapi ia bergantung kepada pengaruhnya.

Kita sekarang ada keterangan yang boleh membuktikan fakta isu ataupun fakta relevan, keterangan yang boleh membuktikan kedua-dua isu ini terbahagi kepada dua jenis; keterangan terus (direct evidence) dan keterangan berdasarkan keadaan (circumstantial evidence).

Keterangan terus di sini membuktikan secara langsung fakta isu/relevan, manakala keterangan berdasarkan keadaan agak rumit sedikit – fakta isu/relevan tidak dibuktikan secara langsung tetapi ia lebih bersifatkan kesimpulan. Jika dakwaan dibuat berdasarkan keterangan berdasarkan keadaan, ianya perlu membuat kesimpulan kukuh kepada mahkamah yang Hanif melakukan jenayah tersebut. Dan jika ada penjelasan lain yang munasabah diberi oleh keterangan berdasarkan keadaan, maka mahkamah tidak boleh menyabit.

Keterangan kes bunuh Noritta boleh dibahagikan kepada:

  1. Kenyataan pengawal yang menunjukkan bahawa Hanif berada di dalam apartmen pada masa kejadian, tetapi tidak menunjukan yang Hanif membunuh Noritta. Keterangan ini merupakan keterangan berdasarkan keadaan.
  2. Bukti DNA menunjukkan yang Hanif ada melakukan hubungan seks dengan Noritta sebelum dia dibunuh tetapi ia tidak meletakkan Hanif sebagai orang terakhir yang melakukan hubungan seks dengan Noritta walaupun Hanif mengaku yang dia dan Noritta mempunyai hubungan seksual dan dia ada berjumpa dengan Noritta sehari sebelum dia dibunuh. Jadi keterangan ini juga merupakan keterangan berdasarkan keadaan.

Tambahan pula mahkamah mendapati bahawa kedua-dua pengawal keselamatan memberi kenyataan yang berlainan dan mereka juga mengubah cerita mereka beberapa kali. Kenyataan pertama mereka mengatakan bahawa mereka nampak Hanif di apartmen tetapi ianya sehari sebelum pembunuhan berlaku. Mereka mendakwa yang mereka dalam keadaan panik ketika itu dan gagal mengimbas kembali apa yang berlaku tetapi mahkamah juga mendapati yang kenyataan mereka bercanggah dengan pakaian yang dikenakan Hanif dan Noritta:

“Mahkamah ini telah melihat dan mendengar kenyataan kedua-dua saksi ini dan mendapati bahawa kesahihan keterangan mereka amat mencurigakan terutamanya untuk membuktikan keterangan yang penting ini dan dengan itu menolak kenyataan mereka” – Mahkamah Tinggi dalam kes Pihak Pendakwa Raya v Hanif Basree Abdul Rahman

Seperti yang kita lihat, asas keterangan pihak pendakwa raya terletak kepada kenyataan kedua-dua saksi ini yang didapati tidak benar. Dan walaupun keterangan yang diberi boleh diterima, ia hanyalah keterangan berdasarkan keadaan dan di sini, kenyataan dari kedua-dua rakan serumah Noritta bercanggah dengan kenyataan kedua-dua pengawal keselamatan. Rakan-rakan serumah Noritta menyatakan bahawa mereka kenal Hanif dan mereka tidak pernah tercium bau badan yang busuk darinya. Selain itu, Azora juga menyatakan yang lelaki yang dia nampak pada malam itu berkulit lebih gelap dari Hanif.

Berdasarkan semua kenyataan ini, mahkamah memutuskan bahawa....

 

Hanif bukan pembunuh Noritta

Hanif di luar mahkamah setelah dibebsakan
dari tuduhan. Gambar dari utusan.com.my

Ya betul! Mahkamah membuat keputusan untuk membebaskan Hanif atas empat sebab:

  1. Mereka mendapati kenyataan kedua-dua pengawal keselamatan yang menjadi saksi tidak boleh dipercayai
  2. Bau badan busuk yang tidak dapat dijelaskan
  3. Tiada bukti yang menyatakan bahawa Hanif merupakan orang terakhir melakukan hubungan seks dengan Noritta
  4. Wujudnya DNA kedua milik lelaki tidak dikenali

Kita sedia maklum dengan kesahihan kenyataan pengawal keselamatan tetapi apa yang lebih menarik di sini ialah pihak pendakwa raya tidak dapat menerangkan kewujudan DNA kedua milik lelaki tidak dikenali.

Makhamah menyatakan bahawa berdasarkan bagaimana tangan dan kaki Noritta diikat selepas di bunuh dan bagaimana DNA milik lelaki yang tidak dikenali dijumpai pada wayar elektrik dan baju dalam yang digunakan untuk mengikatnya, maka kemungkinan tinggi orang terakhir yang bersama Noritta adalah lelaki tersebut.

“...Pihak pendakwa raya tidak dapat membina kes prima facie yang mengatakan tertuduh bertanggungjawab atas kematian mangsa berdasarkan bukti saintifik, satu-satunya bukti yang ada. Ia juga tidak dapat membuktikan yang tertuduh merupakan orang terakhir bersama-sama mangsa. Sebaliknya, Mahkamah Tinggi mendapati yang individu yang dikenali sebagai Lelaki Tidak Dikenali 1 berkemungkinan tinggi merupakan orang terakhir tersebut - Mahkamah Tinggi dalam kes Pihak Pendakwa Raya v Hanif Basree, Penekanan dan terjemahan oleh ASKLEGAL

Menurut mahkamah, berdasarkan semua di atas, pihak pendakwa raya gagal menubuhkan kes prima facie (kes asas) dan dengan itu membebaskan Hanif dari tuduhan membunuh.

 

Ya....pembunuh Noritta masih lagi bebas

Malangnya, kes Noritta sudah menjadi kes lama. Lelaki yang tidak dikenali itu tidak dijumpai atau dikenalpasti. Berdasarkan fakta kes yang menyatakan bahawa tiada tanda-tanda pecah rumah dan pergelutan dengan Noritta, kemungkinan besar dia mengenali si pembunuh. Anda mungkin terfikir bahawa semua ini mungkin akibat dari aktiviti katil yang tidak menjadi (ini juga di hujah oleh pihak pembangkang), tetapi apa yang dapat kita lihat di sini adalah bukti menunjukkan bahawa tuala yang disumbat ke dalam mulut Noritta mungkin menyebabkan Noritta tertelan lidahnya dan ini boleh menyebabkan saluran pernafasannya tersumbat.

“... disebabkan oleh tuala muka yang disumbatkan ke mulut Noritta, ia boleh menyebabkan kematian kerana apabila benda ini dimasukkan dengan paksa, lidah akan didorong ke belakang dan menyebabkan saluran pernafasan tersumbat...pandangan bahawa kematian ini dilakukan dengan sengaja...” – dipetik dari keterangan doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas Noritta dalam keputusan Mahkamah Tinggi, diterjemah oleh ASKLEGAL

Mungkin kes ini akan terus menjadi misteri.

Tags:
hanif basree abdul rahman
noritta samsudin
keterangan terus
keterangan berdasarkan keadaan
pembunuhan
dna
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


519

Shares

A+

A-