Asklegal
Home banner b8d299c5 0811 4853 b77b 75a4b0874025

Criminal,General

4 perlaksanaan hudud yang selalu kita salah faham

over 5 years ago Azar Ishak

112

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Sejak kebelakangan ni, isu hudud kembali lagi kedengaran bila negara jiran kita – Brunei mengumumkan pelaksanaan hukuman rejam terhadap pesalah zina dan homoseksual. Sebenarnya, Brunei dah pun mengenalkan hukuman hudud atau “Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah” pada tahun 2013. Tapi ia hanya mula dilaksanakan pada 2014, untuk kesalahan-kesalahan tertentu.

Bagaimanapun, baru-baru ni nampaknya Brunei dah menarik balik pelaksaan rejam selepas ia mendapat bantahan hebat di peringkat global. Tapi, hukuman lain seperti potong tangan terhadap pencuri masih diteruskankan dan ia dah menjadikan Brunei sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengamalkan undang-undang syariah di peringkat kebangsaan. 

Tapi sampai ke hari ni, tak kiralah dari kalangan orang bukan Islam atau orang Islam sendiri, ramai yang masih lagi terkeliru dengan hudud. Oleh itu…

 

Apa hudud tu sebenarnya?

Imej dari Astro Awani.

Pada asasnya, hudud adalah salah satu cabang dari Undang-Undang Jenayah Islam/Syariah, iaitu:

  1. Qisas – Hukuman balas untuk kesalahan membunuh dibalas dengan bunuh dan mencedera dibalas dengan mencedera. Tapi kalau membunuh dengan tak sengaja dan mencedera dengan tak sengaja, hukumannya adalah denda (atau diyat).
  2. Hudud – Hukuman berdasarkan al-Quran dan Hadis (kata-kata/perbuatan Nabi Muhammad SAW). Khas untuk kesalahan zina, minum arak, tuduh orang berzina (Qazaf), murtad (keluar dari Islam), mencuri dan merompak. 
  3. Takzir – Hukuman yang takde dalam al-Quran dan Hadis, diserahkan kepada undang-undang sedia ada dan hakim. Hukuman boleh jadi macam penjara, buang daerah dan sebagainya. 

Jadinya di sini, undang – undang Islam tak terhad pada hudud semata-mata dan ia juga boleh menerima pakai undang-undang sedia ada. Berkenaan dengan hukuman untuk kesalahan hudud pula:

  1. Berzina – Sebat 100 kali untuk yang belum kahwin dan rejam untuk yang dah kahwin. 
  2. Tuduh orang berzina (qazaf) – 80 kali sebat kalau tak bawa saksi.
  3. Mencuri – Potong tangan kalau ada pengakuan atau ada 2 saksi.
  4. Merompak – Kalau membunuh masa merompak hukumannya bunuh. Merompak dengan merampas harta orang lain, hukumannya potong tangan dan kaki.
  5. Minum arak – Sebat 40 kali.
  6. Murtad – Bertindak keluar dari Islam, hukumannya bunuh. 
Imej dari gifimgs.com

Bila kita dengar hukuman-hukuman ni, tak dapat dinafikan yang ia nampak kejam dan ganas untuk kita, mahupun sesetengah pihak. Tapi sebenarnya, hukuman-hukuman ni tak mudah nak dilaksanakan dan banyak syarat yang kena dipatuhi. Contohnya…

 

1. Orang miskin yang mencuri TAK BOLEH dihukum hudud

Al-Quran sumber no 1 dalam Islam. Imej dari Egypt Today

Untuk kes mencuri, hukuman hududnya adalah potong tangan. Tapi hukuman ni tak boleh dijalankan terhadap kanak-kanak dan orang gila. Malah, ada beberapa situasi yang menghalang hudud dari dilaksanakan seperti:

1. Kecurian berlaku dalam kalangan ahli keluarga

Contoh: Isteri curi duit suami, anak curi duit ayah atau adik curi barang abang.

2. Mencuri sebab terpaksa atau nilai barang yang dicuri terlalu kecil 

Contoh: Seseorang tu mencuri sebab miskin/takde pendapatan/ada pendapatan tapi tak cukup atau nilai barang tu kecil sangat. 

3. Mencuri harta awam (sebab semua orang termasuk si pencuri ada hak dengan harta tu)

Contoh: Curi penutup besi longkong, kabel elektrik, balak dan sebagainya. 

4. Kecurian jadi sebab kelalaian kita

Contoh: Kita letak barang yang berharga tu dekat merata-rata tempat atau tempat yang tak selamat. Disebabkan kelalaian kita tu, barang kita dicuri.

Selain tu, antara perkara paling penting untuk melaksanakan hukuman hudud (potong tangan) bagi kesalahan mencuri adalah bila adanya pengakuan dari pesalah atau ada dua saksi. Pihak berkuasa juga dilarang dari memaksa suspek dari mengaku. Tapi kalau cukup bukti dan suspek masih tak mengaku dia masih lagi boleh dihukum. Cuma hukumannya bukan hudud, tapi takzir

Hukuman takzir juga dikenakan untuk kesalahan curi harta benda awam yang kita ceritakan tadi.

 

2. Bukan semua yang murtad dihukum bunuh 

Antara cerita murtad yang dilaporkan media. Imej dari Harian Metro

Satu lagi jenis hukuman kontroversi melibatkan hudud adalah hukuman mati terhadap kesalahan murtad atau keluar dari agama Islam. Murtad boleh jadi dengan cara masuk agama lain, atau isytiharkan diri tak lagi beragama Islam. 

Bagi bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Dunia – Abdul Hadi Awang, hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad tak boleh dilakukan macam tu je, sebab ada lagi syarat-syarat yang kena dipatuhi. Sebab katanya – hukuman mati hanya dilaksanakan kalau orang yang murtad tu mengancam keselamatan negara atau bertindak memusuhi Islam.

Kalau dia tak buat benda-benda di atas ni, maka hukuman mati tak boleh dijalankan. Memetik ulasan dari Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin pula, beliau kata – pada masa dulu tak ada sempadan negara dan kesalahan murtad boleh dianggap sebagai pengkhianatan (treason). Ini kerana, seseorang yang murtad tu boleh pergi kepada musuh dan mendedahkan rahsia umat Islam. Tapi pada hari ni, dah ada sempadan negara dan hukuman mati dah tak lagi praktikal menurut sebahagian ulama. 

Hal yang sama dikongsikan oleh pemikir Islam, Dr Taha Jabir al-Alwani yang kata –  terdapat 12 ayat dalam al-Quran yang membicarakan pasal murtad, tapi tak disebut satu pun hukuman duniawi yang patut dikenakan kepada pelaku tersebut.

Dr Taha Jabir al-Alwani. Imej dari icna.org

Selain tu, ada juga pandangan yang pelaku murtad tu akan diberikan peluang untuk bertaubat sebelum hukuman dijalankan. Ada ulama yang kata beberapa hari dan ada pula yang kata sepanjang hayat.

Macam mana pula dengan hukuman sebat dalam hudud? 

 

3. Tangan perotan tak boleh diangkat lebih dari ketiak

Imej dari FMT

Ada beberapa kesalahan dalam hudud yang dihukum sebat iaitu minum arak, berzina dan menuduh orang berzina (qazaf). Bagaimanapun, terdapat persoalan macam mana hukuman ni dijalankan dan adakah sebat tu seperti mana hukuman sebat dalam undang-udang sivil ada.

Sebenarnya, hukuman rotan dalam hudud taklah seperti yang diamalkan di penjara tu. Sebabnya, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti:

  1. Rotan yang digunakan tak terlalu berat atau terlalu ringan.
  2. Ketika sebat dilaksanakan tangan perotan tak boleh diangkat hingga nampak ketiak dan tak boleh lebih tinggi dari kepala perotan.
  3. Kalau pesalah yang akan dihukum itu sakit, maka hukuman akan ditangguhkan.
  4. Jika berlaku ketelanjuran dalam sebatan macam luka, maka pesalah boleh dapatkan pampasan.
  5. Hukuman sebat untuk kesalahan minum arak dikecualikan untuk wanita mengikut Mazhab Hanafi.

Malah, Imam Syafie (Mazhab Syafie) menggariskan secara spesifik bahawa bahagian muka, kemaluan, rusuk serta bahagian-bahagian lain yang boleh mendatangkan risiko adalah dilarang untuk disebat. Di zaman Khalifah Umar al-Khattab hukuman sebat juga dijalankan dengan cara… 

“Saidina Umar al-Khattab (Khalifah Islam ke-3) pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak."

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''

Imej dari Harian Metro

 

4. Pesalah zina digalakkan bertaubat, dari dihukum 

Imej dari terengganutimes.com

Dalam isu zina pula, pelaku zina tak digalakkan mengaku kesalahan, sebab menutup aib (keburukan) diri itu lebih utama. Malah, lepas diorang mengaku pun, diorang ni diberikan peluang untuk bertaubat. Dalam sejarahnya, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menolak dari menghukum pesalah zina yang mengaku sendiri.

Kisahnya, seorang lelaki ada datang berjumpa Nabi dan mengaku yang dia dah berzina. Tapi Nabi berpaling muka dari lelaki tu dan tak mahu melayannya. Tapi dia tetap datang berjumpa dengan Nabi dan minta supaya dihukum, dia datang jumpa Nabi 4 kali.

“Nabi kemudiannya menemui kaum lelaki itu, dan bertanya adakah dia ini waras? Kaumnya kata ya – dia tidak gila. Keesokan harinya lelaki ini datang lagi minta supaya dia dihukum. Setelah itu barulah Nabi menghukumnya,” –Hadis riwayat Bukhari, diceritakan oleh Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin

Melalui hadis ni, dah jelas bahawa Nabi tak mahu menghukum orang yang melakukan zina sebab ia dilihat sebagai aib (keburukan) yang sepatutnya ditutup. 

Seperti mana yang kita diberitahu, hukuman untuk kesalahan zina untuk yang belum kahwin (100 kali sebat) dan untuk yang dah kahwin (rejam). Tapi hukuman ni juga diperdebatkan oleh para ulama Islam. Ini kerana, diorang berpendapat hukuman antara kedua-dua ni macam tak padan dan perbezaannya sangat jauh.

Sebabnya, kalau kita tengok pelaksanaan hukuman sebat 100 kali, ia boleh dikata cukup ehsan sampai tak boleh mencederakan. Tapi tiba-tiba ada pula hukuman yang cukup jauh berbeza iaitu rejam. Disebabkan hal ni, ulama besar al-Azhar, Imam Abu Zahrah ada kata yang hukuman rejam ni bukan datang dari Islam. Sebab katanya, al-Quran hanya kata hukuman untuk zina – 100 kali sebatan dan bukannya rejam. 

Pandangan Abu Zahrah kemudiannya disokong oleh ulama masyhur seperti Mustafa al-Zarqa dan Dr. Yusuf al-Qaradawi, cuma mereka kata hukuman rejam yang pernah dijalankan (di zaman dulu) tu adalah takzir dan bukannya hudud. Maknanya, ia hukuman yang ada pada zaman tu, dan pemerintah boleh saja menukar hukuman tu dengan cara yang lain.

Mengulas hal ni, Mufti Perlis, Dr Asri pernah mencadangkan kepada Kelantan kalau nak laksana hudud – supaya terima pandangan ni dan hukuman kepada penzina yang dah berkahwin bukannya rejam, tapi hukuman lain yang tak memperlihatkan Islam ni sebagai agama yang ganas dan tak berperikemanusiaan. 

Selain tu, proses pembuktian hudud juga cukup ketat sebab memerlukan 4 orang saksi atau pengakuan pesalah untuk kes zina dan qazaf. Tanpa 4 orang saksi atau pengakuan suspek, hudud tak boleh dijalankan. Untuk kes rogol pula, walaupun takde 4 orang saksi, siasatan polis, ujian DNA dan pemeriksaan doktor masih boleh diterima pakai. Cuma hukumannya bukan hudud, tapi takzir. 

Imam Abu Zahrah (1898–1974). Imej dari ainfathah.wordpress

 

Tapi dalam banyak keadaan, pelaksanaan hudud kadang-kadang tak seperti yang dituntut

Keadaan bertambah parah, bila hudud dilaksanakan sesuka hati oleh kumpulan pengganas ISIS. Imej dari monsterchildren.com

Walaupun pelaksanaan hudud bukanlah mudah dan banyak syarat yang perlu dipatuhi, tapi kita juga dilihatkan dengan pelbagai negara yang gagal dalam melaksanakan hudud seperti yang dituntut.

Hal ini jugalah yang jadi di Pakistan. Disebabkan undang-undang hudud negara tu perlukan 4 orang saksi untuk kes zina, ramai di kalangan wanita yang teraniaya akibat jenayah rogol.

Contohnya macam kes Jehan Mina pada tahun 1981 yang dah dirogol, tapi dia pula yang dihukum sebat 100 kali sebab mengandung anak luar nikah. Malah tindakan melulu dari anggota masyarakat terhadap pelaku murtad pun banyak kali berlaku di sana.

Negara Sudan pula melaksanakan hukuman syariah pada tahun 1991. Tapi terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaannya termasuklah dalam satu kes ni. 

“...tertuduh pada asalnya mengadu dirogol oleh dua orang lelaki semasa mengumpul kayu. Dia adalah seorang janda dan kehamilannya menyebabkan beliau disabitkan atas jenayah zina di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.Setelah tiga tahun menghabiskan tempoh dalam penjara, beliau akhirnya dibebaskan oleh mahkamah agung kerana tidak ada bukti untuk menangkis tuduhan rogol yang dikemukakan oleh beliau, sedangkan lelaki yang merogolnya langsung tidak diapa-apakan.” – Dipetik dari terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Afghanistan juga melaksanakan hukuman hudud seperti potong tangan, tapi pelaksaannya tak dapat diterima dan bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ia termasuklah laporan bahawa ada insiden di mana pesalah tak diberikan apa-apa pertolongan atau bantuan perubatan setelah tangan diorang dipotong.

Di Arab Saudi pula, menurut sumber – kesalahan hudud di sana tak dikanunkan. Maka terserah kepada hakim-hakim untuk laksanakan atau tak. 

Hakim-hakim itu hanya melaksanakannya terhadap orang luar (pendatang). Seorang Profesor Syariah yang melihat hukuman potong tangan di Arab Saudi berkata cara orang ramai bersorak dan memaki hamun pesalah bukanlah cara Islam – Tun Abdul Hamid, bekas Ketua Hakim Negara.

 

Selain hudud, KEADILAN itu sebenarnya lebih utama

Imej dari incontextinternational.org

Sistem Syariah dan Sistem Sivil di Malaysia secara asasnya boleh duduk bersama, tapi tidak secara setaraf. Ini kerana, peruntukan telah pun ditetapkan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan kalau Hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam je, maka ia dah melanggar Perlembagaan Persekutuan – Perkara 8 yang menyebut tentang kesamarataan dan keadilan di sisi undang-undang.

Selain tu, pelaksanaan hudud juga memerlukan perancangan yang cukup teliti, sebab kalau tersilap langkah ia dibimbangi akan menganiaya pihak yang tak bersalah. Kalau nak dilaksanakan pun, pandangan mana yang akan diambil? Sedangkan kita boleh nampak ramai ulama yang membahaskan isu ini.

Tapi disebalik hudud yang kita perkatakan ni, ada satu lagi konsep yang lebih tinggi dan penting untuk dimartabatkan. Ia adalah KEADILAN

“Jika isu pengagihan kekayaan dan kekuasaan gagal diuruskan dengan baik, keadilan jenayah terutamanya yang membabitkan harta akan gagal berfungsi dengan baik juga. Sebab itulah, tidak cukup jikalau kita percaya hanya dengan hudud dan qisas semua masalah masyarakat akan selesai.” – Hazman Baharom, dipetik dari bukunya; Perihal Keadilan:Tinjauan Wacana Keadilan Moden

Tags:
hukum hudud
hukum syariah
hukum islam
hudud
qisas
takzir
hudud salah faham

112

Shares

A+

A-