Asklegal
Home banner 0200

Criminal

Selain hukuman mati, ini 5 perkara anda perlu tahu tentang undang-undang dadah di Malaysia.

almost 7 years ago UiHua

434

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal ditulis oleh Joshua Tay, peguam di AmerBON Advocates. Click here for the English version]


Di Malaysia, dadah berbahaya sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat. Mahkamah sentiasa dipenuhi dengan kes dadah dimana seseorang suspek dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dadah - walaupun kebanyakan suspek juga menyatakan bahawa penglibatan mereka adalah secara tidak sengaja ataupun telah ditipu. Oleh sebab itu, sangat penting untuk anda mempunyai asas kefahaman tentang undang-undang dadah di Malaysia, walaupun anda bukan seorang pengguna atau penyeludup.

Terima kasih kepada pengumuman di dalam pesawat kerana sering memaklumkan hukuman mati menanti anda jika terlibat najis dadah namun, apa yang mungkin anda tidak tahu adalah…


1. Mengedar dadah bukan selalunya dijatuhkan hukuman mati mandatori

Sebahagian daripada benteng Penjara Pudu. Imej dari Hype.my.

Pengunaan frasa ‘hukuman mati mandatori’ adalah kerana jika seseorang tertuduh didapati bersalah mengedar dadah, mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain menghukum orang yang tertuduh itu mati tanpa mengira tahap kebersalahan atau jumlah berat dadah yang dibawa; seperti di dalam Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (Sebahagian pernyataan, tiada versi BM rasmi):

(1) Tiada seorang pun boleh, bagi pihak dirinya atau bagi pihak orang lain, sama ada atau tidak seseorang itu berada di Malaysia -

(a)Mengedar dadah berbahaya

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dijatuhi hukuman mati.

Walau bagaimanapun, agak mengejutkan apabila mengetahui hukuman mati tidak seharusnya wajib... Perubahan dalam undang-undang hanya berlaku pada tahun 1983.

Sebelum ini, hukuman mati kerana mengedar dadah adalah mengikut budi bicara dimana mahkamah mempunyai pilihan untuk menghukum pesalah dengan hukuman penjara selain dari hukuman mati mengikut kesesuaian. Akta Dadah Berbahaya (ADB) telah dipinda pada tahun 1983 sebagai tanda dasar perangi dadah oleh kerajaan Malaysia yang mahukan masalah sosial dan kesalahan berkaitan dadah ini dibasmi.


2. Terdapat tiga kesalahan dadah yang boleh membabitkan anda.

Tiga kesalahan berkaitan dadah ini adalah kegunaan peribadi, pemilikan, dan mengedar. Setiap daripada kesalahan ini mempunyai hukuman yang berbeza dan cara mahkamah menentukan jika anda bersalah atau tidak juga berbeza.

(i) Kegunaan peribadi (Self-administration), yang diletakkan di bawah seksyen 15 ADB, dianggap kesalahan yang kurang serius berbanding memiliki dan mengedar. Kesalahan ini sering dibuktikan menerusi ujian kimia yang dijalankan ke atas air kencing atau sampel darah orang yang dituduh dan ia membawa hukuman tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun.

(ii) Pemilikan diletakkan di bawah seksyen 6 atau seksyen 12(2) ADB bergantung pada jenis dadah. Konsep legal bagi memiliki memerlukan tiga asas utama yang akan dibuktikan iaitu jaga, kawal dan tahu. Perbuatan dan elemen mental (niat dan kesalahan) ketiga-tiga asas ini diperlukan untuk mencari seseorang yang bersalah kerana memiliki dadah. Hukuman kerana memiliki dadah boleh berbeza-beza daripada denda ke penjara seumur hidup dan sebatan; bergantung kepada berat dadah berkenaan. Perkara ini akan dijelaskan lagi dalam point ketiga.

(iii) Kesalahan paling teruk di bawah ADB adalah mengedar dadah kerana ia membawa hukuman mati mandatori, seperti yang dinyatakan dalam point kedua. Untuk membuktikan kesalahan mengedar dadah, pertamanya pendakwaan perlu membuktikan bahawa anda memiliki dadah berbahaya dan pemilikan itu bertujuan untuk mengedarkan dadah tersebut.

Jika selama ini kita bersangka bahawa mengedar dadah merujuk pada menyeludup dadah melepasi pihak kastam, definisi legal bagi ‘mengedar’ telah diterangkan secara terperinci di dalam seksyen 2 ADB (sebahagian):

" "mengedar" termasuk melakukan mana-mana perbuatan tersebut: perkilangan, mengimport, mengeksport, menyimpan, menyembunyikan, membeli, menjual, memberi, menerima, menyimpan, mentadbir, mengangkut, membawa, menghantar, menyampaikan, mendapatkan, membekal, atau mengedar mana-mana dadah berbahaya..."


3. Anda berkemungkinan tidak dibenarkan diikat jamin.

Tujuan ikat jamin digunakan adalah kerana perbicaraan mahkamah boleh mengambil masa yang agak lama dan ketika proses tersebut, anda boleh dibenarkan balik ke rumah dengan jaminan atau direman (ditahan di penjara) sehingga tamat perbicaraan. Namun, jika anda disabit kesalahan memiliki sejumlah kuantiti (berat) dadah atau mengedar dadah, ikat jamin adalah tidak dibenarkan.

Seksyen 41B(1) Akta Dadah Berbahaya:

"Ikat jamin tidak akan diberikan pada tertuduh yang melakukan kesalahan dibawah akta ini-

(a) Jika kesalahan itu boleh dihukum mati; atau

(b) Jika kesalahan itu boleh dihukum penjara melebihi lima tahun; atau

(c) Jika kesalahan itu boleh dihukum hukuman lima tahun penjara atau kurang dan Pendakwa Raya memperakui secara bertulis bahawa jaminan kepada tertuduh bukan dalam kepentingan orang awam."

Seksyen 39A(1) dan 39A(2) di dalam ADB menyenaraikan peningkatan penalti jika dadah yang dimiliki melebihi berat yang tertentu. Sebagai contoh:

  • Jika anda didapati bersalah memiliki diantara 2-5 gram heroin, seksyen 39A(1) menyatakan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara 2-5 tahun dan 3-9 sebatan.
  • Di samping itu, jika anda didapati bersalah memiliki lebih dari 5 gram heroin, anda boleh dijatuhi hukuman penjara 5 tahun hingga ke seumur hidup dan minimum 10 sebatan di bawah seksyen 39A(2).

Hal ini bermaksud, jika anda bersalah memiliki dadah di bawah seksyen 39A(2) atau mengedar dadah, mahkamah tidak boleh menggunakan budi bicaranya untuk melepaskan anda dengan jaminan tetapi anda akan ditahan reman sehingga perbicaraan tamat. Tempoh tahanan reman boleh menjangkau masa yang lama (tidak kurang dari setahun) kerana proses perbicaraan turut memakan masa.


4. Mendakwa anda ‘tidak tahu dadah tersebut ada di situ’ tidak memberi apa-apa kesan.

Dalam kebanyakan kes dimana orang ditangkap dengan najis dadah, mereka akan mendakwa bahawa mereka tidak tahu dadah tersebut ada di situ. Jadi bagaimana pihak mahkamah menentukan perkara itu sahih atau tidak? Bagaimana juga pihak mahkamah menentukan sama ada anda bersalah kerana memiliki dadah atau lebih parah, mengedar dadah?

Jawapannya - Prasangka (presumptions).

Prasangka adalah pendirian legal yang membolehkan mahkamah untuk menganggap kewujudan fakta tertentu berdasarkan bukti dan sokongan fakta lain. Anggapan yang paling biasa digunakan dalam kes-kes dadah adalah prasangka memiliki/tahu dan prasangka mengedar. Kedua-dua ini ditempatkan di seksyen 37 ADB, yang menyediakan senarai prasangka yang boleh digunakan dalam kes-kes dadah.

Untuk meringkaskan bagaimana prasangka memiliki berlaku, bayangkan situasi ini:

Anda diminta untuk berhenti dan diperiksa ketika sedang membawa beg rakan. Malangnya, anda tidak tahu bahawa ada dadah yang tersorok di dalam beg tersebut dan anda telah disabit salah kerana memiliki dadah.

Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya hanya perlu membuktikan bahawa beg itu berada dalam kawalan dan jagaan fizikal anda. Kemudian, prasangka boleh digunakan untuk menganggap bahawa anda mempunyai pengetahuan tentang dadah di dalam beg tersebut dan oleh itu, anda memilikinya.

Prasangka mengedar pula bergantung pada berat dadah berkenaan. Jika berat dadah yang dijumpai pada anda melebihi berat sebenar yang ditetapkan dalam seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya, maka ia boleh dianggap bahawa anda sedang mengedar dadah tersebut. Seksyen 37(da) sebenarnya agak luas, jadi anda boleh mengetahuinya dengan lebih lanjut di sini.

Oleh itu, apabila kedua-dua anggapan ini (memiliki dan mengedar) digunakan seiring, ia sangat mudah untuk membuktikan kesalahan memiliki dadah atau mengedar dadah. Caranya:

  1. Pihak pendakwa menunjukkan anda mempunyai jagaan fizikal dan mengawal dadah, atau apa-apa di mana dadah tersebut telah berbungkus (seperti kotak, beg, parcel, dan lain-lain). Hal ini membuktikan kesalahan memiliki dadah.
  2. Jika berat dadah ini melebihi berat ambang (cth 15 gram heroin, 50 gram Methamphetamine atau 200 gram Cannabis), maka kesalahan pengedaran dadah akan terbukti.

Walau bagaimanapun, prasangka ini adalah boleh dihapuskan; dimana anda boleh membawa bukti untuk menidakkan atau menafikan hakikat bahawa anda mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut, atau anda tidak mengedar dadah berkenaan.


5. Rumah anda juga boleh disita (bersama barangan lain)

Imej dari Florida Politics.

Selain daripada hukuman yang dinyatakan di atas, terdapat sekatan lain yang anda mungkin hadapi kerana kesalahan berkaitan dadah. Ini mungkin termasuklah pembekuan atau lucut hak aset (seperti rumah atau akaun bank) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 jika ia boleh dibuktikan bahawa aset-aset ini adalah digunakan untuk aktiviti haram yang ditetapkan di bawah undang-undang ini.

Anda juga mungkin menghadapi penahanan tanpa bicara di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, di mana seseorang boleh ditahan di bawah perintah menteri bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun jika dikaitkan atau terlibat dalam pengedaran dadah. Akta ini juga membenarkan menteri untuk menyekat pergerakan anda ke kawasan yang tertentu melalui perintah sekatan.

Walau bagaimanapun, ini tidak terhad kepada hukuman keras. Undang-undang ini juga memberi keperluan untuk penagih dadah melalui proses pemulihan dengan memberi tumpuan kepada pembaharuan diri, melalui program pemulihan, rawatan dan pengawasan polis yang boleh didapati di bawah Akta 1983 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).



6. Hukuman mati mandatori mungkin akan dimansuhkan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa tokoh terkemuka di Malaysia telah berpendapat terdapat keraguan terhadap keberkesanan hukuman mati mandatori dalam menghalang pengedaran dadah dan - tidak berkaitan dengan artikel ini - membunuh. Pada tahun 2012, telah dihuraikan di Parlimen bahawa jenayah pengedaran dadah antara 2009 dan 2011 sebenarnya telah meningkat walaupun hukuman mati mandatori dijalankan. Ini juga menimbulkan persoalan etika:

“No criminal justice system is perfect. You take a man’s life and years later, you find out that another person did the crime. What can you do?" - Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, 2012, dipetik dari The Star Online.

Terbaru, hukuman mati mandatori sekali lagi mendapat perhatian Menteri Perundangan Azalina Othman yang menggesa kajian semula hukuman mati mandatori. Menurut beberapa laporan berita, kerajaan dikatakan telah bersetuju untuk meminda undang-undang untuk memberikan kuasa budi bicara pada mahkamah untuk mengenakan bentuk hukuman yang lain selain dari hukuman mati.

"The cabinet agreed and decided that amendments be made to Section 39B of the Dangerous Drugs Act by including additional cluses to give discretionary power tot he courts to bestow other sentences, besides the mandatory death penalty, in certain situations." - Azalina Othman, March 2017, dipetik dari The Malay Mail Online.


Tips keselamatan tambahan

  1. Berhati-hati dan sentiasa berjaga apabila orang yang tidak dikenali atau rakan meminta bantuan anda menjaga atau membawa barangan mereka. Walaupun ia mungkin tidak sopan untuk memeriksa barangan orang lain, undang-undang mengenakan kewajipan ke atas anda untuk menyemak dan memeriksa jika terdapat barangan seludup.
  2. Jangan meninggalkan barang-barang kepunyaan anda tanpa dijaga atau tanpa diperhati di tempat awam.
  3. Walaupun anda boleh menggunakan hak untuk berdiam diri semasa siasatan polis, anda dinasihatkan untuk memberikan kenyataan dan memaklumkan kepada pihak polis mengenai butir-butir bahan yang boleh digunakan untuk pembelaan diri walaupun tidak secara khusus diminta oleh pegawai rakaman:
  • Versi cerita anda
  • Pengenalan dan hubungan orang yang menyerah/menerima bungkusan yang mengandungi dadah.
  • Apa-apa bentuk komunikasi diantara anda dan orang tersebut.
  • Mana-mana orang lain yang mungkin mempunyai akses kepada dadah tersebut.
  • Mana-mana orang yang boleh menyokong cerita anda

Butiran ini mungkin membolehkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci dan juga boleh digunakan untuk menyokong pembelaan anda di mahkamah jika anda didapati bersalah.

4) Segera maklumkan pada keluarga atau rakan-rakan anda dan dapatkan nasihat undang-undang jika anda ditahan atau disiasat berhubung kesalahan berkaitan dadah.

Tags:
C08c7bda 1fca 4c79 815c c5c1d3d84ed3
UiHua

Chief keyboardist at Asklegal. Don't ask me legal questions. Ask me about the tramp joke instead.


434

Shares

A+

A-