Asklegal
Home banner 503169c6 d735 44eb 92c9 5bc2cc3ff0eb

Consumer

5 taktik jualan yang biasa kita nampak, tapi sebenarnya salah

almost 4 years ago Azar Ishak

24

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Sekarang ni, macam-macam cara kita dengar orang buat untuk tipu pengguna, contohnya ayat biasa ni: “PM tepi kalau nak tanya harga”. Walaupun di luar sana banyak je peniaga yang jujur, tapi ada je yang guna taktik untuk menipu kita semua. 

Yang terlibat dengan penipuan ni bukan peniaga biasa-biasa je, tapi kadang-kadang tu – syarikat-syarikat yang ada nama pun terlibat sama. Salah satunya macam LuxStyle yang minta pengguna daftar alamat dan emel diorang kalau nak tahu harga produk. LuxStyle ni kemudiannya akan hantar barang tu kepada mangsa dan minta bayaran atau barang tu akan dikembalikan dengan perbelanjaan mangsa.

Ramai mangsa dari serata dunia dah masuk perangkap penipuan LuxStyle ni, termasuklah dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional juga dah keluarkan kenyataan supaya mangsa tak buka atau guna barang yang dihantar dan abaikan segala permintaan bayaran dari LuxStyle. 

Disebabkan banyak kes penipuan macam ni, ia juga menimbulkan persoalan tentang: Apa hak pengguna terhadap perniagaan tak jujur ni? Maka, sebab itulah kitorang senaraikan 5 taktik jualan yang mungkin korang pernah jumpa dan apa hak korang untuk berdepan dengan diorang ni. 

 

1. “Berminat? PM tepi untuk harga”

“PM tepi”. Imej dari Tanya Peguam Anda.

Ceritanya mudah je, ada orang post di Facebook dan kata “Basikal untuk dijual. PM tepi untuk harga”, tanpa tunjukkan gambar basikal tu. Korang pun PM lah si penjual tu, tapi dapat tahu harga basikal tu lebih tinggi dari harga pasaran dan basikal tu juga sebenarnya dah tak boleh pakai. 

Inilah antara amalan tak beretika yang sesetengah penjual dalam talian gunakan untuk tipu pengguna dan ambil duit korang. Disebabkan kes ni banyak sangat terjadi, makanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dah memperkenalkan Peraturan-peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, yang memerlukan perniagaan dalam talian untuk mendedahkan 8 maklumat berikut kepada pelanggan.

  1. Nama penjual (sama ada orang, perniagaan atau nama syarikat)
  2. Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat (jika ada)
  3. Butiran menghubungi penjual atau perniagaan (emel, no telefon, alamat)
  4. Perihal tentang ciri utama barang atau perkhidmatan yang disediakan
  5. Harga penuh barang atau perkhidmaran, termasuk kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain
  6. Kaedah pembayaran
  7. Terma dan syarat
  8. Anggaran masa penghantaran

Sebenarnya, kementerian dah kuatkuasakan undang-undang ni sejak 1 Julai 2013 lagi, selepas beri masa yang agak lama kepada penjual untuk suaikan diri. Tapi, kalau korang jual barang lama atau belum dipakai di media sosial dan laman web seperti Mudah.my, ia tak terpakai terhadap korang sebab korang tak menjalankan perniagaan dalam talian. 

 

2. Kualiti dijamin!! Dijamin puas hati!! 2 juta pengguna tak mungkin salah!!

Gaya Che Man. Imej dari imgflip

Walaupun adanya label macam ni, tak ada jaminan semua produk yang kita dapat tu berfungsi dan perkhidmatannya pula memuaskan. Jadi, ia membawa kita ke Seksyen 32, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang menyatakan dengan jelas bahawa, jika sesuatu barang dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat jaminan bahawa barang itu adalah daripada “kualiti yang boleh diterima” berdasarkan harga dan jenisnya. 

Ini bermakna, kalau korang beli telefon berharga RM3,000, korang kenalah dapat yang kualiti dan ciri-cirinya lebih baik dari telefon berharga RM800. Bagaimanapun, kedua-dua telefon tadi mestilah boleh berfungsi dengan asasnya seperti: menelefon dan SMS. 

Apa yang dianggap sebagai “kualiti yang boleh diterima” ada diterangkan dalam Seksyen 32(2), Akta:

“… barang itu adalah bersifat daripada kualiti yang boleh diterima – 
(a) jika barang itu – 
(i) sesuai bagi semua maksud yang baginya barang daripada jenis yang berkenaan itu lazimnya dibekalkan;
(ii) dapat diterima dari segi rupa dan kemasan;
(iii) bebas daripada kecacatan yang kecil;
(iv) selamat; dan 
(v) tahan lama…

Perkhidmatan juga tak terkecuali dan perkara itu dinyatakan di bawah Seksyen 53 akta sama. Dinyatakan, sesuatu perkhidmatan tu mestilah dijalankan dengan “ketelitian dan kemahiran yang munasabah”. Hal ni pada dasarnya diterjemahkan kepada standard kemahiran dan penjagaan yang diamalkan oleh majoriti orang lain dalam pekerjaan yang sama. Contoh mudah –  Doktor mesti ikut standard doktor lain, dan peguam mesti penuhi standard peguam lain.

 

3. Promosi sihat tubuh badan dan meningkatkan tenaga badan anda

Siapa nak boleh call. Imej dari dantingcs.blogspot

Kebarangkalian korang ternampak iklan “ubat kuat lelaki – 100% efektif” atau “ubat segala penyakit” di internet atau di tepi jalan memang besar sekali di Malaysia ni. Kalau baca iklan-iklan ni, memang macam-macam yang diorang kata, sampai kadang-kadang tu boleh sembuhkan kanser dan bersihkan darah!

Tapi sebenarnya, Seksyen 10, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dah nyatakan yang dakwaan palsu dan mengelirukan ni sebagai salah. Dakwaan tu termasuklah jenama, model, gaya dan sebagainya. (Korang boleh tengok dalam akta untuk tahu lebih lengkap). 

Ini maknanya, apa-apa je ciri yang pembekal tu kata tak betul, ia boleh dianggap sebagai melanggar undang-undang. 

 

4. Edisi terhad! Sementara stok masih ada!! Untuk masa terhad saja!!!

Yang ni lain. Imej dari Goodreads.

Sejak dulu sampailah sekarang, kita semua dah dihidangkan dengan taktik jualan “edisi terhad” dan “sementara stok masih ada” ni. Ada juga yang buat taktik “untuk masa terhad saja”, tapi dia tak nyatakan sampai bila masa terhad tu. Sepatutnya, kalau dah kata “masa terhad” tu, diorang kenalah beritahu sampai bila, supaya semua orang tahu. 

Seksyen 15(1), Akta Perlindungan Pengguna 1999 menyatakan – tak ada perniagaan yang boleh mendakwa sesuatu barangan tu sebagai “terhad”, kecuali adanya kuantiti maksimum yang telah ditentukan sebelumnya, atau ada masa yang terhad untuk barang-barang itu tersedia.

Seksyen 15(2) pula menghendaki peniaga menyatakan dengan jelas:

  1. Kuantiti maksimum barang yang ditawarkan untuk jualan
  2. Tempoh masa dan tarikh tertentu barang itu ditawarkan untuk jualan

Jika korang disabitkan kesalahan menyembunyikan maklumat ini, Seksyen 25 memperuntukkan denda sehingga RM250,000 (RM500,000 untuk kesalahan berulang) dan jika dilakukan secara individu pula, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya (didenda RM250,000 dan penjara sehingga 6 tahun untuk kesalahan berulang). 

 

5. RM9.99 sahaja! *tertakluk kepada 10% SST & 6% caj perkhidmatan*

Imej dari NST.

Lepas kerajaan perkenalkan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014, kadang-kadang tu kita ada rasa terkeliru juga sebab ada peniaga tertentu yang asingkan GST dalam harga mereka. Ada juga yang kata harga mereka tu sebagai “tertakluk GST dan Caj Perkhidmatan”. Lebih mengelirukan bila ada peniaga yang pamerkan harga tanpa beritahu pengguna yang harga tu termasuk GST ke tak. Perkara yang agak sama juga jadi bila kerajaan perkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2018

Berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Pindaan) 2017, Seksyen 10B dah ditambah yang memperuntukkan hal pameran harga. Ia menyatakan,  harga sebarang barangan atau perkhidmatan kena dimasukkan semua sekali cukai, duti dan caj kerajaan, termasuk juga sebarang caj lain seperti caj penghantaran dan perkhidmatan dalam harga tersebut. Ni maknanya, peniaga tak payah kata “tertakluk kepada 10% SST dan 6% caj perkhidmatan”. Senang kata – korang hanya bayar harga yang ditunjukkan. 

Jadinya, mulai sekarang kalau korang jumpa orang buat sign harga macam tu, korang tegur-tegurlah diorang. Sebab apa yang diorang buat tu dah melanggar peruntukan akta. Tapi ia juga buatkan kita terfikir…

 

Dekat siapa kita boleh buat aduan?

Imej dari The Leaders.

Bila bercakap soal melindungi hak pengguna, ada dua tempat yang korang boleh pergi untuk buat aduan dan dapatlkan keadilan, iaitu:

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Kalau korang ada perkara yang dipertikaikan dan syarikat itu pulak tak nak bekerjasama, tempat inilah yang korang kena pergi. Korang boleh dapatkan borang e-aduan diorang di sini. Walaupun begitu, untuk lebih mudah – korang cubalah selesaikan pertikaian tu dengan cara baik dulu, sebelum bawanya ke peringkat ni. NCCC juga ada berikan beberapa garis panduan di sini tentang cara menghubungi syarikat yang korang ada masalah tu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Di sinilah korang boleh failkan laporan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang dalam Akta Perlindungan Pengguna. Hal itu termasuklah perkara seperti iklan yang mengelirukan, sijil halal palsu, barang tak sempurna dan bahaya, harga predatori dan sebagainya. Aduan tu boleh dibuat di sini.

Satu lagi, korang tahu tak yang gim tak dibenarkan menafikan bayaran balik (refund) bila korang nak batalkan keahlian? Diorang tak boleh buat macam tu dan hal ni ada dibincangkan oleh Donovan & Ho dalam artikel diorang. Bacalah kalau korang berkelapangan. 

 

Tags:
akta perlindungan pengguna 1999
pusat khidmat aduan pengguna nasional 
kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna
akta kawalan harga dan anti-pencatutan (pindaan) 2017
taktik perniagaan
pm tepi
edisi terhad
peraturan-peraturan pelindungan pengguna (urus niaga perdagangan elektronik) 2012

24

Shares

A+

A-