Asklegal
Home banner f9ae81bd 2575 47a2 a6b0 8e0b745318b5

Criminal

Bagaimana satu kes bunuh di Singapura mengubah system perundangan kes bunuh di Malaysia

almost 7 years ago Clarence Kuna

227

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Artikel ini diterjemahkan dari bahasa Inggeris. For the English version, click here

 

Jika anda pernah terbaca kisah jenayah ataupun menonton filem yang melibatkan pembunuhan seorang individu, anda pasti tahu yang si pembunuh akan cuba membuang ataupun melupuskan mayat sebagai langkah pertama kerana satu andaian umum ialah tanpa mayat, maka tiada bukti boleh ditemui, dan tanpa bukti, maka si pembunuh tidak bersalah. Ada juga segelintir pembunuh menerapkan kaedah yang di luar jangkaan untuk melupuskan mayat, seperti “Pembunuh Mandian Asid” John George Haigh, yang rata rata ‘mencairkan’ mayat mangsanya  di dalam tong berisi asid.

Andaian di atas sebenarnya tidak benar kerana anda BOLEH disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh walaupun mayat tidak ditemui – dan ini tidak kurang bezanya di Malaysia. Ini terbukti dalam satu kes bunuh yang berlaku pada tahun 1963 di…..Singapura.

Mari kita baca tentang kisah Sunny Ang dan sejarah hitam yang berlaku di perairan Kepulauan Sentosa lebih dari 50 tahun yang lalu.

 

Bila Sunny bertemu Jenny

Imej dari asiaone.com 

Sunny merupakan jejaka tampan yang cukup bergaya. Dia juga seorang penyelam SCUBA yang mahir (ingat fakta menarik ini untuk rujukan kemudian) dan seorang pelumba kereta amatur.

Mungkin sesetengah daripada anda menyangka bahawa Sunny ini merupakan calon menantu yang menarik, tapi kalau ikutkan rekod kerjayanya yang kurang memuaskan, anda akan fikir dua atau tiga kali. Sunny pernah mencuba nasib menjadi seorang juruterbang, guru dan pelajar jurusan perundangan, tetapi malangnya dia tidak berjaya dalam ketiga-tiga bidang ini (penulis artikel ni pun lebih kurang sama nasibnya). Dalam masa yang sama dia juga diisytiharkan muflis setelah gagal menyelesaikan hutang. Rata rata masa depannya nampak malap walaupun dia ni rupawan.

Kemudian Sunny mula berkenalan dengan Jenny Cheok Cheng Kid.

Pada tahun 1963, selepas Sunny Ang gagal menceburkan diri dalam tiga kerjaya, terlibat dalam satu kes bunuh hasil dari kecuaian memandu dan terlibat dalam cubaan merompak, dia besua pula dengan Jenny Cheok.

Jenny merupakan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak, telah berpisah dengan suaminya dan hanya pernah belajar setakat Darjah 3. Kerjanya pula hanya sebagai seorang pelayan di Restoran dan Bar Odeon. Jenny merupakan seorang yang kurang berpendidikan dan hidup susah, manakala Sunny adalah sebaliknya: berpendidikan tinggi, berpengalaman luas dengan hobi yang cukup exotik. Namun, seperti yang pernah kita semua tonton dalam cerita Hindustan, Jenny jatuh cinta dengan Sunny sekitar tahun 1963.

 

Yusuf Ahmad, saksi utama. Imej dari straitstimes.com

Malangnya kesudahan hidup Jenny sungguh jauh dari impian indah

Jadi, disinilah bermulanya kisah romantik mereka bedua. Pernahkan mereka berpegang tangan, bergelak ketawa sambil berjalan jalan di sekitar Bandar Singapura? Pernahkah mereka bercengkerama di bawah sinar bulan purnama di pantai Sentosa, berkongsi puisi dan nafas cinta?

Entahlah.

Tapi kita semua PASTI yang pada Ogos 1963, Sunny mengajak teman wanitanya menyelam, di mana ia berkesudahan dengan Jenny gagal pulang dari percutian tersebut.

Yang anehnya, Sunny sedikitpun tidak menunjukan rasa cemas dan gelisah atas kehilangan Jenny. Lazimnya kita akan jadi gila dibuatnya, kan? Pasti kita akan melaporkan kehilangan orang tersayang kepada polis dan beri khabar kepada sanak saudara dan sahabat handai, meraih bantuan dari mereka untuk mencarinya di seluruh pelusuk Singapura. Tampal poster, upah penyiasat dan apa apa sahaja yang kita mampu demi mendapatkan mereka kembali ke pangkuan kita.    

Tetapi menurut saksi saksi utama kes, Sunny Ang hanya berdiam diri dan tidak menunjukkan apa apa reaksi. Perlakuannya ketika itu tidak seiras dengan perlakuan orang yang kehilangan bakal suami atau isterinya.

Dengan itu pada April 1965, perbicaraan kes bunuh Sunny Ang bermula….. tanpa mayat mangsa. Tetapi, bagaimana Sunny boleh didakwa membunuh Jenny walaupun Jenny hilang begitu sahaja ? Mari kita lihat.

 

Segalanya bermula di satu hari yang indah di lautan luas

Ingat tak fakta menarik tentang Sunny yang menyatakan bahawa dia ni penyelam SCUBA yang mahir? Kemahiran inilah yang membolehkan Sunny merancang kehilangan dan (hampir pasti) pembunuhan Jenny.

Kehilangan Jenny boleh kita ringkaskan seperti di bawah:

  1. Sunny dan Jenny menyewa bot dari Yusuf Ahmad, tukang perahu yang menjadi saksi utama kes ini. Mereka kemudiannya menuju ke Pulau Dua, di mana lokasi menyelam di sana tidak sesuai untuk penyelam baru seperti Jenny disebabkan arus air yang kuat.
  2. Setelah bot itu berhenti, Jenny menyelam dulu manakala Sunny menunggu di bot. Menurut Yusuf, fakta yang menariknya, dua bulan yang lalu sebelum ini, dia diupah oleh Sunny untuk membawanya dan Jenny ke sebuah pulau yang berbeza. Pada ketika itu, Yusuf menyedari bahawa Jenny tidak nampak seperti perenang yang berkebolehan.
  3. Sunny kemudian memeriksa tangkinya dan menyedari bahawa ia bocor. Dia merasakan bahawa kebocoran itu mungkin berpunca dari ‘washer’ tangki. Yusuf cuba membantu Sunny membaiki tangki tersebut namun tidak berjaya. Pada masa yang sama, Sunny cuba menarik tali pandu yang digunakan Jenny untuk membantunya menyelam sambil bertanya kelibat Jenny kepada Yusuf.
  4. Mereka kemudiannya cuba mencari gelembung udara di sekitar bot namun gagal, di mana selepas itu mereka bergegas ke Pulau St. John untuk melaporkan kehilangan Jenny kepada pihak polis.
  5. Dalam perjalanan ke Pulau St. John, Yusuf menyedari bahawa Sunny tidak menunjukkan tanda-tanda risau. Dia tidak bertindak cemas ataupun menyuruh Yusuf mempercepatkan perjalanan, tetapi sebaliknya dia sempat menukar pakaian dengan tenang.
  6. Lima nelayan menemani mereka kembali ke lokasi di mana Jenny hilang dan mula menyelam untuk mencarinya namun Sunny hanya menunggu di bot.
  7. Jenny hilang tanpa apa apa kesan meskipun usaha mencari terus dilakukan oleh nelayan tempatan dan penyelam dari Tentera Laut.
Penyelam Tentera Laut menyelam untuk mencari Jenny. Imej dari straitstimes.com

Tapi, tak masuk akal kalau nak tuduh seseorang dengan tuduhan membunuh hanya kerana mereka tak nampak cemas atau gelisah, kan?

Pihak pendakwa pada ketika itu telah membina kes ke atas Sunny Ang menggunakan fakta berkaitan (”relevant fact”) yang bila dilihat secara menyeluruh, menyakinkan pihak juri sehingga mereka mendapati Sunny Ang bersalah selepas sesi perundingan yang berlangsung selama dua jam, di mana selepas itu dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 6hb Februari 1967.

“Kes ini agak luar biasa di Singapura, malahan ia juga agak luar biasa di Malaysia. Inilah kali pertama di mana kes bunuh dibicarakan  tanpa mayat mangsa.” – diterjemahkan dari temu duga Pendakwa Francis Seow, untuk The Straits Times, Singapura

Jadi, Sunny Ang didapati bersalah dan dihukum gantung walaupun mayat mangsa tidak ditemui dan tiada bukti sahih (direct evidence”) yang lain. Bukti apakah yang dapat meyakinkan pihak juri pada masa itu?

 

Secara tidak langsung , Sunny Ang meninggalkan banyak bukti

Pada masa kehilangannya, Jenny memiliki polisi insuran kemalangan bernilai $400,000 yang diambil oleh teman lelakinya. Yang peliknya di sini, kenapa seorang pelayan restoran yang membawa pulang gaji $90 sebulan memiliki polisi insuran kemalangan setinggi itu?

Mungkin Sunny sedikit keterlaluan dalam bab menjaga Jenny, mungkin juga dia boleh dilihat sebagai paranoid sehinggakan dia sanggup membeli polisi perlindungan insuran yang amat tinggi; akan tetapi Sunny didapati telah memfailkan tuntutan insurans sehari selepas Jenny hilang. Selain dari itu, dua minggu sebelum Jenny hilang, Sunny menyarankan Jenny supaya meletakkan nama emak Sunny sebagai pewaris tunggal dalam wasiat Jenny. Jika anda masih tidak yakin, salah satu polisi insurans yang bernilai $150,000 tamat sehari sebelum aktiviti selam mereka di Pulau Dua, dan Sunny memperbaharui polisi itu untuk tempoh lima hari sahaja. Ini bermakna jika Jenny meninggal dunia selepas hari kelima, maka tiada sebarang tuntutan yang boleh dibuat.

Selain dari pembelian insurans dan penentuan ahli waris yang pelik, penemuan sirip kaki (flippers) milik Jenny menjadi penentu ajal Sunny. Jenny hilang pada 27hb Ogos dan sirip kakinya ditemui pada 3hb September, tidak jauh dari lokasi kehilangannya. Yang peliknya, didapati bahagian tali tumit sirip kaki tersebut terpotong bersih. Menurut dua saksi pakar, analisa mendapati potongan bersih tersebut hanya boleh dilakukan dengan alat buatan yang tajam dan bukan dengan batu karang kerana batu karang mempunyai permukaan yang kasar dan tidak sekata. Saksi-saksi juga memberi keterangan bahawa dalam situasi sebegini, penyelam baru seperti Jenny kebiasaannya akan menjadi panik jika mereka mendapati mereka tidak boleh menyelam seperti biasa dan secara tidak sengaja, mereka akan tenggelam.

Ketamakan Sunny membawa padah. Imej dari straitstimes.com

Ada juga andaian di mana satu lagi cubaan bunuh ke atas Jenny dibuat oleh Sunny sebelum kehilangan Jenny di Pulau Dua. Pada masa itu, Sunny meminjam sebuah kereta dari rakannya untuk satu perjalanan ke Kuala Lumpur dengan Jenny. Sebelum pulang ke Singapura, Sunny telah membeli polisi insurans kemalangan bernilai $30,000 untuk dirinya sendiri dan $100,000 untuk Jenny. Setakat perjalanan dari KL ke Singapura, takkanlah sampai nak beli insurans berjumlah $130,000 kan?

Bak kata orang, malang tak berbau. Tetapi bagi kes ini, malang ini seperti telah dijangka Sunny, apabila kereta yang dipandunya terbabas. Menurut Sunny, seorang pemandu yang mahir, (ingat tak yang dia merupakan seorang pelumba kereta amatur) keretanya terbabas ketika dia cuba mengelak anjing di tengah jalan. Kerosakan yang paling teruk berlaku di bahagian penumpang di mana Jenny duduk ketika kemalangan itu berlaku tetapi mujur Jenny hanya mengalami kecederaan yang ringan.

Jadi, melalui beberapa fakta berkaitan Sunny didakwa dan didapati bersalah membunuh Jenny walaupun mayatnya tidak ditemui. Tetapi apakah itu fakta berkaitan dan kenapa mayat mangsa amat penting dalam satu satu kes bunuh.  Mari kita lihat Akta Keterangan bagi tujuan perbincangan ini.

 

Bukti kes sebenar adalah lebih rumit dari bukti kes di siri TV

Menurut seksyen 5 Akta Keterangan 1950:

“Keterangan boleh diberikan dalam mana-mana guaman atau prosiding mengenai kewujudan atau ketidakwujudan tiap-tiap fakta persoalan dan mengenai apa-apa fakta lain yang ditetapkan kemudian daripada ini sebagai berkaitan, dan tidak mengenai apaapa fakta lain.”

Bahasanya berbelit di sini, tetapi yang pentingnya ia mengatakan bahawa terdapat dua jenis fakta yang boleh digunakan di mahkamah, iaitu fakta persoalan (”fact in issue”) dan fakta berkaitan (“relevant fact”).

Akta Keterangan amatlah teknikal tetapi dasarnya, fakta persoalan adalah bukti langsung yang menunjukkan bahawa tertuduh melakukan kesalahan, di mana hakim kes tidak perlu membuat sebarang kesimpulan dan andaian berasaskan fakta ini.

Manakala bagi fakta berkaitan, ia adalah bukti yang tidak menunjukkan secara langsung yang tertuduh melakukan kesalahan. Fakta kaitan boleh membantu membuktikan fakta persoalan dalam kes-kes. 

Untuk pemahaman yang lanjut, kita ambil contoh di bawah:

A pergi bertemu B di Banting, B kemudian membunuh A menggunakan pisau dan membakar mayatnya, tetapi tanpa disedari B, C telah menyaksikan semua kejadian jenayah ini.

Dalam senario di atas terdapat dua bukti penting, pertamanya adalah keterangan dari C dan keduanya adalah pisau.

Keterangan dari saksi C adalah fakta persoalan kerana keterangan itu secara langsung memaklumkan hakim akan apa yang telah berlaku.

Pisau yang mengandungi cap jari B merupakan fakta berkaitan kerana walaupun B memegang pisau tersebut, tetapi ini tidak bermakna B menggunakan pisau itu untuk membunuh A. Hakim perlu membuat kesimpulan berdasarkan cap jari B pada pisau tersebut.

Mungkin pernah terlintas di fikiran anda yang anda pernah terbaca fakta senario di atas di halaman akhbar atau portal berita. Jika ya, memang benar kerana senario di atas menyerupai kes pembunuhan Sosilawati di Malaysia. Tetapi kenapa pula kita tumpukan perhatian kepada kes bunuh Sosilawati?

 

Kerana kes Sunny Ang telah mempengaruhi kes bunuh Sosilawati

Surat khabar yang memaparkan pembunuhan Datuk Sosilawati. Imej dari gempak.com 

Laporan mengenai kes ini boleh dibaca disini, jadi kita tidak akan mengkaji kes ini secara mendalam tetapi kes bunuh Sosilawati boleh dihuraikan sebagai kes yang pertama semenjak kes Sunny Ang.

Pendek kata, inilah kali pertama kes bunuh dijalankan di mahkahmah tanpa mayat mangsa, semenjak kehilangan Jenny.

Datuk Sosilawati dan tiga orang rakannya dibunuh oleh peguam beliau iaitu N. Pathmanabhan. Dia kemudian membakar mayat mayat tersebut untuk mengelakkan mayat dari dikesan. Berikutan dari ini, Pathmanabhan didakwa dan didapati bersalah atas tuduhan membunuh Datuk Sosilawati dan tiga rakannya berdasarkan circumstantial evidence.

Ini bermakna kes bunuh yang berlaku di Singapura pada tahun 1963 menjadi asas yang penting untuk satu lagi kes yang mirip dengannya di Kuala Lumpur pada Mac 2017 apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah ke atas N. Pathmanabhan dan dua orang rakannya.

Berdasarkan apa yang kita telah baca di atas, kes yang berlaku bertahun-tahun dahulu di nagara lain boleh mempengaruhi undang-undang dan perhakiman di negara kita. Malah, banyak undang-undang di negara kita mempunyai persamaan dengan undang-undang di UK dan negara-negara Komanwel lain. Hakim di negara kita juga boleh merujuk kepada keputusan kes yang dibuat di UK apabila hendak membuat keputusan untuk kes yang sama disini. Nampaknya banyak juga andaian yang kurang tepat berkenaan undang-undang wujud di luar sana ya.

Jika anda ada membaca artikel-artikel lain di sini, anda mungkin perasan yang kita banyak juga merujuk kepada kes kes dari UK. Bukannya kita nak menunjuk kehebatan kita dalam sejarah Inggeris, tapi kes-kes ini masih lagi digunakan sebagai asas bagi penghakiman di mahkamah Malaysia sehingga ke hari ini.

 

Tags:
sunny ang
jenny cheong
sosilawati lawiya
pathmanaban
singapure
kes bunuh tanpa mayat
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


227

Shares

A+

A-