Civil, General

Iktiraf Statut Rom gugat kuasa YDP Agong? Ini yang kita kena tahu...

 about 5 years ago   Azar Ishak


Sejak beberapa hari ni, kecoh pasal isu Malaysia menandatangani Statut Rom (Rome Statute), bila ada pihak yang kata Statut Rom ni boleh mengganggu gugat bidang kuasa Yang Dipertuan (YDP) Agong dan Raja-Raja Melayu. Antaranya adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), yang kata  – institusi raja akan tergugat bila mana YDP Agong boleh diheret ke Mahkamah Antarabangsa.

Bagaimanapun, kenyataan baginda dah dinafikan oleh Wisma Putra dan Perdana Menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad. Makanya, Malaysia sekali lagi berdepan dengan isu kontroversi, selepas kerajaan membatalkan usaha meratifikasi ICERD beberapa bulan lalu. Ini kerana, sesuatu tu boleh menjadi kontroversi dan sensitif bila ia dikaitkan dengan institusi raja dan hak istimewa orang Melayu.

Oleh itu, sebelum kita bercerita dengan lebih panjang lagi, mungkin lebih baik untuk kita tahu dulu latar belakang dan sejarah Statut Rom yang diperdebatkan ni.

 

Perjanjian ni muncul untuk mengadili jenayah kejam sesebuah negara 

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Imej dari World Atlas.

Statut Rom atau dikenali sebagai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah satu triti (atau perjanjian) rasmi antara negara-negara untuk menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Perjanjian ni diperkenalkan pada tahun 1998 dan dah dikuatkuasakan pada Julai 2002. Sehingga Mac 2019, terdapat 124 negara yang dah menjadi negara pihak (state party) perjanjian antarabangsa ini.

Statut Rom sebenarnya muncul sebagai respon kepada dua tragedi besar yang jadi pada akhir tahun 1990-an iaitu Penghapusan Etnik Rwanda (1994) dan Jenayah Perang Bosnia (1995). Kerana itu jugalah Perkara 6 sampai 8 Statut Rom memperuntukkan bidang kuasa ICC cuma untuk membicarakan empat jenayah antarabangsa utama, iaitu: 

  1. Penghapusan etnik (genocide). 
  2. Jenayah terhadap kemanusiaan.
  3. Jenayah perang.
  4. Jenayah pencerobohan. 

Jadi… konflik antara jiran dan rumah tangga tak termasuk dalam mahkamah ni. 

Berdasarkan rekod, sehingga ke hari ni, 10 daripada 11 kes ICC hanya membabitkan negara-negara Afrika dan hanya satu yang bukan iaitu Georgia ketika berlakunya konflik South Ossetia pada tahun 2008. 

 

Tak kiralah Ketua Negara atau Komander Tentera, semuanya tertaluk dalam ICC

Saif Al-Islam Gaddafi anak bekas pemimpin Libya, Gaddafi dapat waran tangkap ICC pada 2011. Imej dari Libyan Express.

Kalau kita lihat Perkara 27 dalam Statut Rom, ia memperuntukkan bahawa Ketua Negara negara pihak sebagai tertakluk kepada bidang kuasa ICC. Tapi ia bukan terhad kepada Ketua Negara sahaja, sebabnya Perkara 28 pula menyentuh tentang Komander Tentera.

(a) Seorang Komander Tentera atau orang yang bertindak sebagai komander ketenteraan adalah bertanggungjawab terhadap jenayah di dalam bidang kuasa Mahkamah yang dilakukan oleh pasukan di bawah arahan dan kawalannya…

Menurut Statut Rom lagi, sebarang imuniti dan kekebalan yang diperuntukan kepada mereka juga tak akan terpakai kalau mereka dibicarakan di ICC.

Bagaimanapun, menurut pakar undang-undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Hassan, bidang kuasa mahkamah ni tertakluk kepada Prinsip Saling Melengkapi (Complementarity Principle) yang mana pihak berkuasa tempatan atau mahkamah sesebuah negara akan terlebih dulu menyiasat/mendengar dan memutuskan sama ada kes-kes tu termasuk dalam jenayah ditetapkan ICC.

Kalau pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara tersebut tak mampu atau tak mahu (unable or unwilling) menyiasat atau mendengar kes-kes jenayah yang empat itu, barulah ICC akan bertindak. 

Maknanya di sini, bila benda macam tu jadi, pihak ICC boleh minta pihak berkuasa negara terbabit bekerjasama untuk tangkap dan serahkan mereka yang disyaki lakukan jenayah ke ICC. Tak kiralah mereka tu Ketua Negara atau Komander Tentera seperti mana yang termaktub dalam Bahagian Kesembilan, Perkara 87 Statut Rom.

1. (a) Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat permintaan kepada Negara Pihak untuk bekerjasama. Permintaan itu hendaklah melalui saluran diplomatik atau mana-mana saluran lain yang sesuai sebagaimana yang ditetapkan oleh setiap Negara Pihak selepas pengesahan, penerimaan, kelulusan atau penyertaan.

Selain tu, menurut Perkara 120 Statut Rom, perjanjian ni tak membenarkan mana-mana peruntukan yang ada di dalamnya dihadkan penggunaan oleh negara-negara pihak, tak macam perjanjian – perjanjian antarabangsa lain yang membenarkan perkara sebegitu dibuat.

Jadi, setiap peruntukan yang ada dalam Statut Rom kena dipatuhi oleh negara-negara pihak, dan tak ada pengecualian

Imej dari gifgifs.com.

 

Tapi… macam mana dengan bidang kuasa YDP Agong? Tergugat ke?

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YDP ke-16. Imej dari Astro Awani.

Kalau kita merujuk Perlembagaan Persekutuan, dah dinyatakan dengan jelas bahawa YDP Agong adalah Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Polemik yang timbul sekarang ni adalah sama ada Statut Rom boleh menggugat bidang kuasa YDP Agong.

Berdasarkan jawapan dari Wisma Putra, walaupun Malaysia melakukan jenayah terkutuk seperti yang dinyatakan dalam perjanjian, peranan YDP Agong tetap tak akan disentuh kerana beberapa faktor:

  1. Artikel 40, Perlembagaan Persekutuan - Yang di-Pertuan Agong adalah seorang Raja Berperlembagaan. Semua tugas-tugasnya di laksanakan atas nasihat perdana menteri/kabinet.
  2. Artikel 41, Perlembagaan Persekutuan - Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi bagi angkatan tentera persekutuan. Yang di-Pertuan Agong tidak diberi kuasa untuk mengisytihar perang. 
  3. Negara-negara pihak lain yang mempunyai Raja Berperlembagaan turut terima Statut Rom seperti: Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, The Netherlands, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

Malah, seorang pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam juga kata, menerima Statut Rom tak akan menggugat peranan YDP Agong. Sebabnya, Malaysia bukanlah sebuah negara kuasa ketenteraan dan dasar luar Malaysia selama ni adalah sentiasa ambil pendekatan berkecuali dalam apa je konflik dunia.

Tambahnya lagi, Angkatan Tentera Malaysia di bawah pemerintahan YDP Agong juga tak ada kecenderungan untuk buat apa-apa konflik atau menggunakan kuasanya untuk tujuan tertentu secara tiba-tiba. 

Seorang lagi pengamal undang-undang, Lukman Sheriff pula kata, Peguam Negara boleh berhujah bahawa tentera bukan di bawah kawalan ‘efektif’ YDP Agong. Walaupun benar YDP Agong adalah Ketua Turus Angkatan Tentera, tapi Peguam Negara mungkin berhujah bahawa angkatan tentera adalah di bawah kawalan efektif eksekutif

Gerak Khas. Imej dari Kelab Penyokong Angkatan Tentera Malaysia.

Oleh itu, Statut Rom tidak akan membuatkan YDP Agong tertakluk kepada Mahkamah Antarabangsa dan ia juga nampaknya tak bercanggah dengan Perlembagaan.

 

Malaysia dapat banyak manfaat dengan terima perjanjian ni

Dianggarkan lebih 39 ribu terkorban dalam konflik Bosnia – Serbia. Imej dari pewresearch.org.

Sebagai sebuah negara yang menentang jenayah perang dan penindasan, Malaysia nampaknya akan menerima pelbagai manfaat apabila menjadi negara ahli untuk Statut Rom ni.

Antaranya adalah seperti:

  1. Meningkatkan martabat negara di peringkat dunia sebagai negara yang komited menegakkan keadilan dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.
  2. Melambangkan kesungguhan negara dalam meningkatkan perpaduan bersama-sama masyarakat antarabangsa dengan membawa pelaku-pelaku jenayah antarabangsa ke muka pengadilan.
  3. Malaysia sekarang boleh merujuk kepada pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Statut Rom mengenai jenayah-jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak jika perlu.
  4. Malaysia sekarang boleh bersuara lebih lantang menentang negara-negara yang melakukan penghapusan etnik dan jenayah perang di persidangan tahunan negara-negara ahli.
  5. Malaysia sekarang layak mencalonkan rakyatnya sebagai hakim, pendakwa dan pendaftar serta jawatan-jawatan lain di pejabat pendakwa dan pejabat pendaftar ICC. 

This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

Tags:
statut rom
bidang kuasa ydp agong
perlembagaan
jenayah perang
mahkamah jenayah antarabangsa