Constitution
Apakah tugas Speaker Dewan Rakyat sebenarnya?
over 6 years ago amsyar ahmed
Parlimen Malaysia merupakan salah satu institusi penting dalam sistem pemerintahan negara kita. Badan perundangan ini berfungsi untuk meluluskan undang-undang di peringkat Persekutuan/negara yang biasanya dipanggil Akta (atau Act dalam Bahasa Inggeris).
Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, tiga unsur penting yang menjadi komponen Parlimen adalah:
- Yang di-Pertuan Agong (YDPA);
- Dewan Negara; dan
- Dewan Rakyat.
Pada dua minggu yang lepas, YB Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, mantan Hakim Mahkamah Rayuan telah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat Kesembilan bagi Parlimen Malaysia ke-14 yang menggantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah Dewan Rakyat dibubarkan pada April lepas bagi memberi laluan kepada pesta demokrasi Malaysia yang dikenali sebagai Pilihan Raya Umum. Pelantikan beliau telah menimbulkan pelbagai isu yang sangat memerlukan penerangan asas dari segi undang-undang untuk difahami oleh setiap rakyat Malaysia.
Apakah tugas-tugas Speaker Dewan Rakyat?
Secara umumnya, Tuan Yang di-Pertua/Speaker Dewan Rakyat berfungsi seperti moderator yang mempengerusikan dan mengawal selia mesyuarat Dewan Rakyat. Terdapat banyak bidang kuasa yang diberikan kepada beliau bagi memastikan kelancaran sesi mesyuarat dan pematuhan peraturan oleh Ahli-ahli Dewan seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) atau Standing Orders of the Dewan Rakyat. Antara bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat adalah:
Semasa sidang mesyuarat berlangsung, kadang-kadang kita akan terdengar beberapa orang Ahli Dewan akan mengucapkan –
“Dengan izin Tuan Speaker, we need to ....”
Maksudnya di sini, jika terdapat mana-mana ahli Dewan yang ingin berhujah dalam Bahasa Inggeris, beliau mestilah mendapatkan kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat dengan sekurang-kurangnya mengucapkan frasa sedemikian sebelum menyambung hujahnya dalam bahasa berkenaan. Menurut Peraturan 8 PMDR:
Hal ini adalah bertepatan dengan hasrat memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan yang mesti diutamakan dalam urusan rasmi pemerintahan negara.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, usul bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk dibincangkan sebelum dipersetujui atau diterima. Semasa sidang Dewan Rakyat, sudah pasti ramai ahli-ahli Dewan yang bersidang akan membawa macam-macam usul/cadangan untuk penambahbaikan perjalanan Mesyuarat. Dalam hal ini, tidak semua usul/perkara yang dibangkitkan akan diterima oleh Speaker untuk diambil tindakan.
Secara rumusannya, Peraturan 18(7) PMDR menyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk menolak sebarang usul yang dibawa oleh mana-mana ahli Dewan atas sebab-sebab:
Hal ini adalah penting untuk memastikan sidang Parlimen berjalan dengan lancar mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang ditetapkan pada hari tersebut.
Semasa sesi soal jawab antara pihak Kerajaan dengan ahli-ahli Dewan yang lain, sudah tentu akan ada dalam kalangan mereka yang kurang jelas dengan jawapan yang diberikan oleh mana-mana anggota Kabinet. Oleh sebab itu, mereka boleh meminta Menteri/Timbalan Menteri yang berkenaan untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas bagi menjawab persoalan yang dikemukakan. Menurut Peraturan 24(3) PMDR:
Rumusannya, setiap pertanyaan tambahan yang ingin dikemukakan mestilah tidak melebihi tiga soalan tetapi setiap pertanyaan tersebut mestilah berkaitan dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri/Timbalan Menteri yang berkenaan dan belum pernah dijawab oleh beliau sepanjang sidang Parlimen pada tahun tersebut di samping pertanyaan tersebut mestilah tidak menggabungkan beberapa soalan tambahan.
Namun, masa yang diberikan oleh Speaker untuk setiap pertanyaan tambahan hendaklah tidak melebihi 30 saat dan Menteri atau Timbalan Menteri diberi masa dua minit 30 saat untuk menjawab soalan-soalan tambahan yang dikemukakan kepadanya.
Speaker berkuasa menggantung mana-mana Ahli Parlimen daripada perkhidmatannya!
Pada minggu lepas, Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Bukit Gelugor, YB Tuan Ramkarpal Singh telah diarahkan keluar dari Dewan dan digantung tugasnya selama dua hari atas kegagalan beliau untuk mematuhi arahan YB Speaker Dewan Rakyat untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya semasa sidang Dewan. Situasi ini telah menjadi isu hangat apabila beliau (YB Ramkarpal) telah mencatatkan rekod sebagai Ahli Parlimen pertama yang diarahkan keluar dan digantung setelah Parlimen Malaysia Ke-14 mula bersidang!
Dari sudut undang-undang, adakah Speaker berkuasa untuk bertindak sedemikian?
Menurut Peraturan 44(2) PMDR:
Berdasarkan peruntukan ini, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang gagal mematuhi peraturan Dewan yang berkaitan di atas keluar dari Dewan dan menggantung perkhidmatannya selama 10 hari atau kurang jika dinyatakan tempohnya atau selama dua hari jika tempoh tidak dinyatakan termasuk hari ahli Dewan tersebut diarahkan keluar.
Sekiranya Speaker berpendapat bahawa tindakan ini tidak memadai, beliau boleh menggantung perkhidmatan seseorang ahli Dewan Rakyat untuk tempoh yang lebih lama dengan persetujuan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat menerusi prosedur yang dinyatakan di bawah Peraturan 44(3) PMDR.
Jadi… bagaimanakah Speaker Dewan Rakyat dilantik?
Pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah penting bagi menjamin kelancaran dan kelangsungan institusi Parlimen di negara kita. Oleh sebab itu, calon-calon yang dipilih mestilah memenuhi kriteria yang dinyatakan di bawah Perkara 57(1) Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat ini.
Dalam bahasa yang lebih mudah, calon-calon Speaker Dewan Rakyat boleh dipilih dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau mana-mana rakyat Malaysia yang layak bertanding dalam pilihan raya Persekutuan (bagi kerusi Parlimen) iaitu seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun dan tidak hilang kelayakannya untuk bertanding.
Tetapi, jika Speaker dilantik dalam kalangan bukan ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah mengangkat sumpah di hadapan Dewan Rakyat dan dianggap sebagai salah seorang anggota Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 57(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga menerangkan cara pelantikan Speaker yang merupakan perkara pertama yang hendaklah diselesaikan apabila Dewan Rakyat memulakan persidangan setelah berlangsungnya Pilihan Raya Umum atau jawatan itu menjadi kosong seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan berikut:
Dari segi aturan pemilihan Speaker pula, antara intipati/gist syarat yang dinyatakan di bawah Peraturan 4 PMDR adalah seperti berikut:
Kesimpulannya, Tuan Yang di-Pertua/Speaker Dewan Rakyat mempunyai banyak bidang kuasa dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa sidang Parlimen. Pelantikan seseorang yang berkelayakan dan berkaliber adalah sangat penting bagi mengawal selia urusan mesyuarat Dewan Rakyat dan kelakuan ahli-ahlinya dengan lebih berkesan berasaskan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
This article is for informational purposes only and should not be taken as legal advice. Every situation is unique and dependent on the facts (ie, the circumstances surrounding your individual case) so we recommend that you consult a lawyer before considering any further action. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.
Tags: